Halaman

14 November 2012

Pinjaman pelajar sertai perhimpunan Bersih ditarik balik

Yayasan Terengganu (YT) menyambung semula pinjaman pengajian seorang pelajar di Universiti Al-Azhar setelah ditahan menyertai perhimpunan Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah, Mesir tahun lepas.

 Ketua Penolong Pengarah Tajaan Pelajar YT Mohd Razali Mahmud berkata Muhamad Hasyim Che Ngah, 21, telah membuat pengakuan dan rayuan mengenai penglibatan beliau dalam perhimpunan itu.

 "Jadi bagi menentukan nasibnya, kita bawa kesnya ke mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu yang bersidang pada 8 Oktober lalu.


"Lembaga itu dalam keputusannya bersetuju untuk menyambung semula pinjaman pelajar berkenaan setelah ditamatkan apabila dia didapati terlibat dalam himpunan berkenaan tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

 Muhamad Hasyim, 21, pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universiti Al-Azhar adalah antara sembilan pelajar anak Terengganu yang terlibat dengan perhimpunan itu sebelum masing-masing ditamatkan pinjamannya tahun lepas.

 Beliau adalah salah seorang daripada sembilan pelajar yang terlibat, telah menemui Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada 1 Ogos lepas dan membuat pengakuan serta merayu agar pinjamannya disambung semula.

 Mohd Razali berkata semasa pinjamannya diberhentikan pada Mac lalu, Muhamad Hasyim telah membelanjakan sebanyak RM170,000 daripada RM301,144 yang diluluskan YT sebelum itu.

 Katanya kini pelajar berkenaan meneruskan pengajian enam tahunnya di bidang perubatan di universiti berkenaan- Bernama



PPSPPA anjur Larian Kitar Semula

Oleh: Suriati Ali

 Lebih 5,000 peserta dijangka menyertai Larian Jom! Kitar Semula dan Habitat 2012 bertempat di Dataran Teratai, Batu Burok, Kuala Terengganu pada 17 November ini.

 Larian anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri (PPSPPA) itu melibatkan murid sekolah dan warga emas dengan 10 kategori dipertandingkan dan jarak larian antara tiga hingga 10 kilometer.

 Pengarah PPSPPA, Puan Fatimah Ahmad berkata, kejohanan yang diadakan serentak di seluruh negara merupakan acara julung kali diadakan di negeri ini.


 Katanya, pendekatan itu mampu membudayakan amalan kitar semula di kalangan masyarakat setempat seterusnya mengamalkan amalan gaya hidup sihat rakyat di Terengganu.

 Menurutnya, seramai 5,000 peserta dijangka akan mengambil bahagian melibatkan murid sekolah dan warga emas dengan 10 kategori dipertandingkan dengan jarak larian antara tiga hingga 10 kilometer.

 “Alhamdulilah penyertaan yang diterima amat mengalakkan dan kami yakin sasaran awal 5,000 penyertaan mampu direalisasikan menjelang kejohanan itu nanti,” katanya.

 Puan Fatimah, berkata elain Terengganu, lokasi lain bagi kejohanan larian itu turut diadakan di Johor, Kelantan, Pahang, Perlis, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Negeri Sembilan.

 "Setiap peserta akan dibekalkan dengan sehelai baju-T, minuman dan sijil penyertaan, manakala hadiah wang tunai akan disediakan kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi setiap kategori,” katanya.

 “Pihak penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal sepanjang kejohanan itu berlangsung,” katanya.

 Justeru, orang ramai yang ingin mendapakan maklumat lanjut berhubung larian ini boleh menghubungi talian 09-6310034 bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau layari laman web www.ppsppa.gov.my.

 Untuk rekod Terengganu merupakan negeri paling tinggi yang berjaya mencatatkan rekod jumlah kutipan barangan kitar semula dengan 240,041 kilogram bersamaan RM69,460 hasil kutipan dalam usaha mencapai sasaran 22 peratus kitar semula sisa pepejal menjelang 2020.

 

JKNT giat atur kempen cegah denggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekodkan sejumlah 663 kes melibatkan 618 demam denggi dan 45 kes demam denggi berdarah dilaporkan di seluruh Terengganu sejak Januari hingga 3 November lalu.

Jumlah itu meningkat 18.4 peratus berbanding 560 kes dengan 462 kes demam denggi dan 98 kes demam denggi berdarah bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pengarah JKNT, Dr Anwa Sulaiman, berkata pihaknya memberi tumpuan serius terhadap peningkatan kes denggi di seluruh negeri sepanjang tahun ini dengan mengatur pelbagai inisiatif dan usaha pencegahan menerusi Kempen Kebersihan Cegah Denggi.

“Enam daerah menunjukkan trend peningkatan kes di mana Besut (110.9 peratus), Kemaman (51.8 peratus), Setiu (42.9 peratus), Marang (tujuh peratus) dan Kuala Terengganu serta Hulu Terengganu, masing-masing dua peratus.

“Hanya Dungun sahaja menunjukkan penurunan sebanyak 2.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.

Dr Anwa berkata, pihaknya mengatur pelbagai tindakan bagi mengatasi masalah itu termasuk menyediakan Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Denggi Khas bulan Oktober hingga Disember ini di seluruh Terengganu mengikut daerah.

Katanya, pelan tindakan ini disediakan berdasarkan masalah sebenar di daerah masing-masing dan pelaksanaan pelan ini dipantau secara terperinci oleh Pihak Vektor negeri.

 “Fokus diberikan kepada lokaliti yang bermasalah denggi di daerah dengan merencanakan serta melaksanakan aktiviti kawalan serta pencegahan secara berkesan.

 “Tindakan lain JKNT bagi mengatasi masalah denggi seperti mengadakan Kempen Gotong-royong di semua kemudahan kesihatan di negeri Terengganu yang mana dijalankan sebanyak empat kali sepanjang tahun ini,” katanya.

Menurutnya, JKNT turut mengedarkan hebahan dan peringatan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bagi menjalankan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes di sekolah khususnya sempena cuti sekolah tidak lama lagi.

Katanya, pihaknya turut mengadakan pondok informasi denggi di tempat strategik, mengedarkan teks hebahan `Alert Denggi’ di masjid daerah, hebahan menerusi media dan perkongsian maklumat dengan klinik swasta, sekolah, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat daerah dan jabatan yang berkaitan mengenai kes denggi serta langkah pencegahannya.

 

Tuanku Mizan berangkat rasmi sambutan Maal Hijrah esok

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1434 Hijrah/2012 Masehi, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9 pagi, esok (15 November).

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Sambutan Maal Hijrah pada kali ini membawa tema `Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ akan diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh qari jemputan dan diikuti dengan ucapan Menteri Besar.

Sebaik selesai ucapan Dato’ Seri Haji Ahmad, Baginda Tuanku Mizan seterusnya menyampaikan titah ucapan seterusnya melancarkan sambutan Maal Hijrah kali ini.

Majlis kemudiannya disusuli dengan persembahan nasyid dan penyampaian anugerah kepada Tokoh Maal Hijrah serta pelbagai anugerah bersempena kedatangan hari penting dalam sejarah Islam itu.

Sebelum itu, kira-kira jam 5.30 petang ini, Menteri Besar dijadualkan akan ke Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Penceramah terkenal, Ustaz Syed Nur Hisham Tuan Padang akan menyampaikan Bicara Khas Maal Hijrah yang turut disertai jemaah sekitar.

Selesai doa akhir tahun, jemaah akan menunaikan solat maghrib berjemaah dan diikuti doa awal tahun, solat hajat dan bacaan Yasin serta al-Quran.

Menteri Besar kemudiannya turut menyampaikan ucapan khas sempena sambutan Maal Hijrah 1434 Hijrah/ 2012 Masehi.


PTPTN buka cawangan di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini mempunyai cawangan di negeri Terengganu dan beroperasi di Tingkat 1 dan 2, Dataran Emas di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Pengurusnya, Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman berkata, pejabat PTPTN negeri telah mula beroperasi pada 11 September lalu dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang disediakan adalah termasuk urusan pembiayaan pendidikan, bayaran balik pembiayaan dan juga pembukaan akaun atau penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

 “Sehubungan itu, orang ramai boleh membuat sebarang urusan berkaitan di pejabat PTPTN pada waktu pejabat, iaitu pada hari Ahad hingga Rabu bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang manakala pada hari Khamis bermula 8.30 pagi hingga 3.30 petang,” katanya.

 

13 November 2012

LKIM peruntuk RM100 juta bina rumah nelayan.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang membina dan membaiki kira-kira 10,000 buah rumah nelayan di seluruh negara membabitkan kos sebanyak RM100 juta.

Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mohd Khazin Hamzah, berkata perbelanjaan daripada peruntukkan Bajet 2012 itu meliputi sebahagian daripada peruntukkan yang diluluskan bagi menaik taraf golongan nelayan.

"Sebanyak RM200 juta baki peruntukan itu akan digunakan untuk tujuan sama pada tahun ini dan awal tahun depan bagi memastikan lebih ramai nelayan yang tidak berkemampuan dapat menikmati kemudahan itu." katanya.

 Menurutnyam LKIM juga akan menawarkan kemudahan berkenaan kepada nelayan sungai di seluruh negara yang memerlukan rumah atau untuk membaiki rumah mereka yang usang dengan memohon kepada LKIM, melalui persatuan nelayan kawasan,

Mohd Khazin berkata, elaun sara hidup sebanyak RM200 yang sebelum ini dimasukkan setiap bulan ke dalam akaun bank nelayan, akan dibayar secara tunai mulai Oktober hingga Disember depan.

“Pembayaran secara tunai membabitkan peruntukkan RM12 juta kepada seramai 60,000 nelayan di seluruh negara itu akan dilakukan LKIM,” katanya. .

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan nasib golongan nelayan sebaliknya Perdana Menteri amat prihatin kepada nelayan negara ini.

Pakej menarik tarik pelancong berkualiti

Oleh: Noraini Jusoh

Tawaran pakej yang merangkumi semua sektor dapat menarik lebih ramai pelancong berkualiti terutamanya dari Eropah datang ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata pelancong berkualiti yang dimaksudkan ialah pelancong yang datang ke sini dan berbelanja sekaligus dapat menjana ekonomi rakyat negeri Terengganu.

“Sebelum membuat keputusan untuk melawat sesuatu tempat, perkara utama yang dinilai oleh para pelancong adalah pakej yang ditawarkan.

“Dengan adanya pelbagai pakej menarik yang menanti mereka termasuk di pulau-pulau dan tasik, selain aspek-aspek warisan, kebudayaan dan alam semulajadi yang terdapat di Terengganu tidak mustahil akan menarik ramai pelancong asing datang ke sini sempena TMT 2013 nanti,”ujarnya.

Katanya, sekiranya pakej pelancongan yang ditawarkan menarik, para pelancong tidak akan menolak untuk datang ke sini ditambah lagi dengan harga pakej pelancongan di negara kita yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan negara luar.

“Terengganu yang sememangnya kaya dengan khazanah alam semulajadi memudahkan usaha kerajaan negeri membangunkan tempat-tempat menarik seperti Tasik Kenyir, Pulau Perhentian dan sebagainya pakej pelancongan unik untuk pelancong,” katanya kepada sidang media sempena majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil seminar pembangunan pakej-pakej pelancongan sempena TMT 2013, semalam.

Katanya, walaupun tidak dapat ke pulau-pulau menarik di negeri kita apabila musim tergkujuh tiba, Tasik Kenyir contohnya dapat menjadi tarikan alternatif kepada pelancong untuk datang ke sini.

Menurut beliau, selain pakej pelancongan yang ditawarkan mesti menarik, aspek keselamatan pelancong juga perlu diberi perhatian. Selain itu, beliau juga berharap setiap pelancong yang datang ke Terengganu sempena TMT 2013 nanti akan diberikan cenderamata sebagai kenangan.

 

Amanah Ikhlas dan jujur hasilkan inovasi

Oleh; Esah Abdullah

Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) diminta mengamalkan tiga pengerak utama iaitu kerja secara amanah, ikhlas dan jujur bagi menghasilkan inovasi secara menyeluruh.

Pengarah LPP negeri, Encik Shamsuddin Mat Rani berkata, melalui tiga pengerak utama tersebut akan berjaya mencapai lima kepantasan yang disasarkan jabatan.

“Kepantasan bertindak berdasarkan keperluan pelanggan, pantas dalam inovasi, sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan dan mengamalkan sikap belajar sepanjang hayat,” katanya di majlis Sambutan Hari Inovasi LPP Negeri Terengganu di Dewan Wawasan, Wisma Peladang, Kuala Terengganu..

Menurutnya, kerja keras tanpa mengenal erti putus asa serta tidak mudah kecewa dalam menghasilkan kerja pasti membuahkan kejayaan.

 Selain itu katanya, setiap individu perlu pantas dalam melaksanakan perubahan dan juga pantas dalam menyelesaikan masalah serta kerjasama secara berkumpulan akan dapat melahirkan idea-idea kreatif.

“Saya harap semua warga LPP termasuk anggota Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PTK dan Pertubuhan Peladang Gerai (PTG) dapat menghasilkan produk yang mencapai tahap piawaian kualiti kepada pelanggan,” katanya.

 

MATTA anjur seminar pembangunan pakej pelancongan

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan kerjasama Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Terengganu telah menganjurkan Seminar Pembangunan Pakej-Pakej Pelancongan sempena TMT 2013 bertempat di Kuala Terengganu, semalam.

 Seminar yang berlangsung selama sehari ini membincangkan pakej-pakej pelancongan menarik yang terdapat di Terengganu yang boleh dipromosikan kepada pelancong khususnya sempena TMT 2013 nanti.

Ketua pembentang, Encik Alex Lee Yun Ping berkata, dua topik utama dibincangkan dalam seminar tersebut iaitu mengenai pakej-pakej pelancongan berbentuk pulau dan tasik serta perbincangan yang berkisar kepada pakej-pakej pelancongan bandar, acara, kebudayaan dan kesenian.

 “Sepanjang bengkel berlangsung lebih kurang 10 pakej siap dibincangkan dan selebihnya akan diserahkan kepada sekretariat TMT 2013 untuk tindakan lanjut.

 “Antara yang telah dipersetujui oleh peserta seminar yang sebahagian besarnya terdiri daripada pengusaha produk pelancongan ialah pakej Tasik Kenyir, Perhentian Discovery, Bamboo Village Homestay serta pelbagai pakej menarik yang lain,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Menurut Alex, kebanyakkan pakej yang dipersetujui dan telah mencapai kata sepakat mempunyai nilai untuk dijual dan harga setiap pakej juga berbaloi kepada pelancong yang datang ke sini.

 “Melalui seminar ini juga, pakej-pakej pelancongan sedia ada juga boleh dikemaskini dengan lebih terperinci dan ditambah nilai demi merealisasikan hasrat kerajaan negeri dalam menarik empat juta pelancong datang ke Terengganu tahun hadapan,” ujarnya kepada sidang media selepas majlis tersebut.

 

Terowong Berjalan Kaki mampu elak risiko kemalangan

Oleh: Suriati Ali

Pembinaan Terowong Berjalan Kaki, di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu dianggap sebagai kemudahan sangat bernilai kepada penduduk setempat, terutama pelajar sekolah. Mereka yang sebelum ini terpaksa berdepan dengan risiko kemalangan sangat menghargai kemudahan bernilai RM2.6 juta itu dan bagaikan tidak sabar untuk melaluinya.

Ketua Penolong Pengarah (Jalan) Jabatan Kerja Raya Terengganu, Encik Ibrahim Awang, berkata pembinaan terowong berjalan kaki bernilai RM2.6 juta itu sebenarnya sudah lama dirancang untuk kemudahan pelajar dan penduduk setempat.

Katanya, baru kini iaitu bermula awal Mac lalu, pihaknya dapat membina berikutan peruntukan untuk tujuan sudah diluluskan Kementerian Kerja Raya. “Pihak kami berharap penduduk terutama pengguna jalan raya bersabar sementara menunggu terowong itu siap awal tahun depan.

“Projek itu yang dijangka siap pada Oktober mengalami kelewatan akibat beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan,” katanya kepada Teganukita. Pengerusi Jawatankuasa Kampung (Kg) Pulau Kambing, Encik Elias Jantan, berkata keputusan membina terowong berjalan kaki itu dianggap seribu rahmat bagi penduduk di kawasan ini yang sudah lama menanti dan amat memerlukannya.

Katanya, apa yang diminta itu semata-mata mahu memberi kemudahan kepada penduduk setempat, terutama kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Cina) Chung Hwa Wei Sin. “Hampir setiap hari pelajar sekolah itu terpaksa berdepan dengan risiko kemalangan dan lewat hadir ke sekolah gara-gara menunggu tempoh tiada kenderaan untuk melintas.

“Dalam keadaan berhati-hati itu, pernah juga berlaku beberapa kemalangan membabitkan pelajar dan penduduk setempat,” katanya. Katanya, pihaknya tidak mahu perkara itu berulang kembali dan mengharapkan terowong itu dapat disiapkan segera.

“Kemudahan itu cukup berharga terutama apabila Taman Perumahan di Bukit Kemajuan yang bakal didiami lebih 1,000 penghuni siap kelak.

“Selain itu, urusan mengusung jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Bukit Kecil juga menjadi mudah di mana sebelum ini terpaksa menggunakan van dan sering berdepan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Pelajar Tingkatan Tiga SMK (Cina) Chung Hwa Wei Sin, Muhammad Lylia Zokarnain Rohaimi, berkata dia dan rakan lain mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membina terowong itu.

“Apabila ianya siap kelak, tiada lagi risiko berlaku kemalangan dan didenda guru akibat lewat datang sekolah,” katanya.