Halaman

22 November 2012

Usahawan Melayu harus bermotivasi tinggi

Oleh: Noraini Jusoh

Golongan usahawan Melayu khususnya harus mempunyai motivasi tinggi untuk berjaya seterusnya dapat memperkukuhkan ekonomi di negeri ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Tuan Haji Azmi Razik (gambar) berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengadakan pelbagai program yang boleh meningkatkan motivasi orang Melayu dalam bidang perniagaan termasuk melalui perkongsian pengalaman dengan usahawan yang telah berjaya.

"Melalui program Bicara Tokoh umpamanya, kita dapat mempelajari pelbagai perkara dari tokoh-tokoh perniagaan terkenal tanahair.

"Orang Melayu perlu sedar untuk berjaya dalam bidang perniagaan memerlukan pengorbanan dan sikap tidak mudah berputus asa serta sentiasa berusaha untuk memajukan diri,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena program Bicara Tokoh Bersama Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang berlangsung di Dewan Kovesyen YPU, hari ini.

Katanya, melalui perkongsian ilmu serta pengalaman yang disampaikan oleh Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) tersebut, dapat memotivasikan serta membuka mata usahawan Melayu supaya sentiasa gunakan peluang yang ada untuk memajukan perniagaan masing-masing.

"Usahawan Melayu khususnya tidak boleh bersikap lalai dan leka serta beranggapan sentiasa berada dalam zon selesa kerana akan ditindas oleh bangsa asing,” ujarnya.

 Program Bicara Tokoh bertajuk Khalifah Ganti Superman- Cabaran Pengurusan Masa Depan yang merupakan anjuran kali kedua oleh YPU ini mendapat sambutan menggalakkan dari para usahawan, pegawai kerajaan serta agensi berkaitan dari seluruh Terengganu.

 

BEZA HADI 1981 DENGAN HADI 2003 DAN SEKARANG

Oleh: Ruslan Abdul Rahman. 

INGAT DOK LAGI, ucapan atau amanat Presiden Pas, (Haji Hadi) yang disampaikan di Kg. Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 07 April 1981?

“Saudara-saudara sekelian percayalah. Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah Kerajaan.

Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan Perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah! Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapai mereka.

Oleh kerana itulah kita cuba berlawan dengan mereka! Percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad! Ucapan kita adalah jihad! Derma kita adalah jihad! Bergantunglah kita kepada ALLAH dengan menghadapi puak-puak ini.

Kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam! Kita tidak perlu masuk Budha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku agama suku!”.

Dari ucapan itu jelas bahawa Haji Hadi mengatakan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN ITU KAFIR.

Tetapi selepas itu cuba anda bandingkan ucapan Haji Hadi pada tahun 2003”, iaitu ucapan pada masa itu dua adalah enteri Besar Terengganu setelah PAS menang dalam PRU 10) pada 18 Januari 2003 dalam “Amanat Perdana Pemangku Presiden Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Hadi Awang” bertajuk “Pilihanraya ke 11: Formula Kemenangan”.

Kata Haji Hadi: “Justru kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan hudud dan syari’at menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan ijtihad besar untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat Persekutuan. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan diperingkat Persekutuan!

Seandai menang dalam pilihanraya akan datang, Barisan pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil diperingkat Persekutuan, yang mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada!”. Jelas sekali ucapan HADI pada tahun2003 bahawa: PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN ITU CUKUP ISLAMIK!

Dalam kedua-dua amanat itu sudah jelas menunjukkan Pas bukan sebuah parti yang memperjuangkan agama Islam sebaliknya mempergunakan Agama Islam untuk kepentingan mereka Pada Muktamar Pas yang ke-57 Pas sekali lagi mengemparkan seluruh umat Islam apabila Presiden parti Pas Haji Hadi mengumumkan bahawa Pas terpaksa menggugurkan negara Islam dan digantikan dengan negara berkebajikan.

Ini dibuat bagi memastikan perhubungan antara rakan parti seperti DAP dan PKR terus murni. Fikir-fikirkanlah.

 

Tuduhan Umno murtad melampau

Oleh: Suriati Ali 

 Kenyataan Mursyidul Am Pas, Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa Umno sebagai murtad amat keterlaluan dan melampau kerana tindakan tersebut bertentangan ajaran Islam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kenyataan pemimpin Pas itu membuktikan perjuangan parti berkenaan kini telah jauh tersasar daripada ajaran Islam sebenar.

Katanya, Pas kini semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat terutama orang Melayu sehingga sanggup melakukan apa sahaja walaupun menyedari perkara itu di luar batasan.

“Mereka sering menyerang Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tuduhan dan fitnah, terbaru mendokan UMNO supaya hancur serta dituduhnya murtad.

"Sebaliknya, parti itu perlu sedar diri kerana banyak perkara terpesong atau sesat telah dilakukan oleh mereka semata-mata mahu tunjuk hebat dan berkuasa di depan rakyat.

 “Apa yang kita buat semua salah dan tidak betul, ulamak kita pun digelar sebagai ulamak `terompah’, ulamak parti itu pula mulia dan baik,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata,sepatutnya Pas yang kononnya memperjuangkan Islam menganjurkan solat hajat dan berdoa untuk menyatupadukan umat Islam di negara ini, itu yang sepatutnya.

 "Semua umat Islam itu bersaudara, kepentingan agama Islam itu perlu diletak lebih tinggi daripada kepentingan politik,” katanya.

 

53 GLC ikrar jauhi rasuah

Oleh; Esah Abdullah

Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) sama sekali tidak dibenarkan mendekati atau memberi rasuah sebaliknya melaksanakan tanggung jawab dengan penuh dedikasi memajukan syarikat bagi meraih keuntungan.


Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, semua anak syarikat kerajaan negeri dikehendaki membuat ikrar dan menandatangani surat akuan bagi menjauhi perkara-perkara berkaitan dengan amalan rasuah.

“ Bukan saja anak syarikat kerajaan negeri tetapi syarikat lain yang ada hubungan dengan kita juga perlu menjaga hubungan dan bersih dalam sebarang urusan,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Ikrar Integriti Korporat di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama Penguasa Kanan, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Puan Halimah Md Sharif dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Terengganu Encik Mohd Yasin Jusoh.

Katanya, samaada menerima atau memberi rasuah dalam syarikat-syarikat berkaitan yang membuat urusan perniagaan tidak dibenarkan mengamalkan rasuah.

 “Prestasi anak-anak syarikat setakat ini agak baik contohnya EPIC yang mampu cacat keuntungan paling tinggi tahun ini dan berharap selepas buat ikrar hari ini, semuanya beri tumpuan untuk capai peningkatan masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu, 53 anak syarikat kerajaan negeri telah melafaz ikrar yang diketuai oleh Encik Ramli Ismail dari Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan seterusnya menandatangani surat akuan yang diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan.

“Saya akan serahkan surat akuan ini kepada SPRM dalam Seminar Sistem Integriti Korporat yang akan diadakan di Kota Bharu pada 3 Disember depan,” katanya.

 

MBNT tubuh sukarelawan belia

Oleh; Esah Abdullah

Belia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun dipelawa untuk mendaftar sebagai sukarelawan belia sebagaimana di bawah Akta Belia 2007.


Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) Encik Mat Yusof Mat Ali (gambar)berkata, mulai tahun depan.pasukan sukarelawan belia mula diwujudkan dalam usaha membantu kerajaan dan badan bukan kerajaan menjalankan pelbagai aktiviti kesukarelawan di negeri ini

“Kita akan menubuhkan Sekretariat Sukarelawan Belia Terengganu (SSBT) di pejabat MBNT bagi memudahkan belia mendaftar dan seterusnya menyelaras aktiviti-aktiviti kesukarelawan,” katanya.

Menurutnya, penubuhan sukarelawan itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan tahun 2013 sebagai tahun sukarelawan dalam usaha memudahkan penyelarasan aktiviti kesukarelawan di peringkat negeri dapat dilaksanakan.

``Usaha berkenaan juga bertujuan meningkatkan tahap kesedaran kesukarelawan dan peranan mereka kepada masyarakat terutama ketika berlaku sebarang bencana,’’ katanya.

Tambahnya, melalui SSBT yang bertindak sebagai perancang, mengurus dan memantau aktiviti kesukarelawan di peringkat negeri selain bertanggungjawab mengemaskini pengkalan data sukarelawan seluruh negeri. Selain itu SSBT turut mengadakan promosi bagi membolehkan seramai mungkin pendaftaran sukarelawan belia di peringkat daerah dan negeri.

 “Kita merancang mengadakan sekurang-kurangnya 30 aktiviti di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun depan,” katanya.

Antaranya seperti program jalinan kasih (warga emas/membaiki kediaman), bengkel pemantapan sukarelawan belia Terengganu (pertolongan cemas/ menyelamat di air/kebakaran), perkhemahan, sukarelawan haji dan skuad banjir.

 

Pembinaan hotel mampu beri impak besar kepada Tasik Kenyir

Oleh: Suriati Ali

 Inisiatif kerajaan negeri membina hotel bertaraf tiga bintang dengan kelengkapan 200 bilik di Pulau Bayas, Tasik Kenyir bakal memberi impak besar kepada industri pelancongan di tasik itu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, usaha yang dirintis telah mula menyakinkan sektor swasta untuk bersama-sama membangunkan dengan kos pelaburan keseluruhan dijangka mampu mencecah RM1 billion.

Katanya, Kerajaan Negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selaku agensi peneraju pembangunan tasik itu telah menggerakkan usaha awal bagi memastikan ia dapat disiapkan menjelang Ogos 2012 sebagai zon bebas cukai.

 “Kerajaan Negeri , Ketengah serta agensi-agensi lain optimis bagi memastikan Tasik Kenyir menjadi destinasi pelancongan unggul," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Pemimpin Muda di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pergerakan Pemuda Umno Terengganu Encik Saiful Bahari Baharuddin.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut melancarkan Tabung Prihatin Gaza bagi mengutip sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai semata-mata mahu meringankan kesengsaraan penduduk di Palestin yang dizalimi tentera rejim zionis Israel.

 Katanya, kawasan bebas cukai di Pulau Bayas sedang dibangunkan dengan peruntukan awal RM100 juta bagi penyediaan prasarana termasuk pembinaan jeti, kompleks persinggahan dan premis perniagaan.

 “Pulau Bayas merupakan pulau terbesar di antara 340 pulau di dalam tasik yang berkeluasan kira-kira 700 hektar dan daripada keluasan itu, sebanyak 400 hektar akan dimajukan pada peringkat awal projek,” katanya.

 

Jentera Umno mantap

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu sudah mantap dan berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.


Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya bersedia di segi fizikal dan mental, termasuk menyediakan penceramah yang terbaik bagi menangkis serangan daripada parti pembangkang.

“Semua peti undi, bilik gerakan, perayu undi dan jentera parti di setiap peringkat kini berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13),” katanya ketika ditemui Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, Umno Terengganu memulakan persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya sejak awal tahun di mana penceramah parti diberi input berkaitan pelbagai isu bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang gemar memburuk-burukkan kerajaan dan pemimpin Umno serta BN.

“Kita menyediakan penceramah tidak kurang daripada 20 orang bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini,’ ujar beliau.

Penerangan Umno negeri akan melancarkan ceramah besar-besaran di peringkat Parlimen dan DUN dalam tempoh terdekat ini bagi menjelaskan kepada rakyat berhubung program dan dasar kerajaan.

Katanya, penceramah berkenaan akan menyalurkan maklumat semasa mengenai bantuan dan program yang dilaksanakan Kerajaan BN bagi membantu rakyat tempatan, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Pada masa yang sama penceramah Umno akan menjelaskan isu-isu semasa kepada seluruh rakyat Terengganu agar mereka tidak dikelirukan dengan fakta-fakta tidak tepat seperti ditimbulkan parti pembangkang dalam ceramah mereka,” tambahnya .

Sebelum ini, semua peti undi diarah menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing, termasuk menyediakan bilik gerakan dan petugas daalm semua aspek, bagi memastikan kemenangan BN.

“Umno negeri mengarahkan semua peti undi membentuk petugas bagi mengendalikan urusan pilihan raya seperti jawatankuasa Pusat Daerah Mengundi, jawatankuasa penerangan, kewangan, perbekalan, ‘polling and counting agent’, keselamatan dan pengundi luar,” katanya.

 Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, pihaknya yakin dengan persiapan yang teliti itu BN berpeluang untuk mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat negeri ini, termasuk daripada generasi muda.

“Kita harap Umno dan BN akan terus menang pada pilihan raya kali ini dan kekal memerintah di Terengganu dan negara ini,” ujarnya.

 


PAS makin jauh menyimpang dari matlamat asal perjuangan

Oleh: Nurul Aziella Saberi 

Isu doa selepas solat hajat yang diimamkan adik Menteri Besar Kelantan, Nik Razi Nik Mat bersama penyokong PAS yang memohon kehancuran Barisan Nasional (BN) kecoh diperkatakan dari pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua muda.

Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi daripada pihak mereka yang selama ini amat menitik-beratkan soal agama malah menjadikan isu agama yang membezakan PAS dan UMNO.

Bagi Imam Masjid Jamek Kijal , Ustaz Uzer Mohamad 44, sekeras-kerasnya membantah dan tidak bersetuju dengan perbuatan Nik Razi Nik Mat dan pengikutnya yang sanggup mendoakan pengikut BN dan UMNO supaya dimusnahkan dan dihancurkan.

Baginya yang juga merupakan Jurunikah Mukim Kijal, mereka tidak sepatutnya mendoakan kemusnahan dan kehancuran seseorang itu malah sesiapa sekali pun walaupun mereka pernah dizalimi.

“Apa yang membezakan pengikut parti BN dan pengikut parti PAS? Sama-sama sujud pada Allah s.w.t, berkiblatkan Kaabah dan mengamalkan ajaran Islam sama seperti mereka.

Namun mengapa mereka tergamak mendoakan kehancuran sama-sama muslim? “Nabi sendiri melarang umatnya mendoakan kejahatan dan kemusnahan sesuatu kaum itu walaupun mereka sentiasa dianiaya oleh kaum kafir.

“Sebagai contoh, Nabi Allah Harun as dan Nabi Musa as yang diperintah oleh Allah s.w.t supaya terus berdakwah secara lemah lembut dengan menyampaikan wahyu Allah s.w.t kepada Firaun dan meminta agar Firaun membebaskan Bani Israel daripada perhambaan.

“Mereka berdua dengan berhemah menghadapi keangkuhan Firaun yang mengaku dirinya Tuhan semesta alam dan menzalimi Bani Israil supaya meluruskan jalan hidupnya yang melampaui batas menyimpang daripada ajaran Allah s.w.t dan akhirnya, mereka berjaya membawa keluar Bani Israil dari Mesir.

“Mereka tidak pernah menggunakan kekerasan malah tidak pernah mendoakan kemusnahan dan kehancuran,” ujar Ustaz Uzer ketika ditemubual semalam.

Menjadi persoalan sekarang, banyak lagi isu lain yang boleh dimainkan pihak pembangkang mengapa isu agama menjadi bahan mainan mereka.

Sedangkan isu agama begitu sensitif tidak kira mana-mana agama inikan pula agama Islam yang majoritinya dianuti oleh rakyat Malaysia dan menjadi sebagai agama rasmi.

Jelas sekali, pihak pembangkang iaitu parti PAS sudah jauh menyimpang dari matlamat asal dan mereka kini berada di persimpangan jalan, di antara perjuangan menegakkan cita-cita Daulah Islamiah atau menegakkan sebuah kerajaan berkebajikan.


7,459 keluarga peneroka Felda Terengganu terima durian runtuh


Ramlan Ali bergambar kenangan bersama penerima cek di Felda Selasih,Jabi petang semalam.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan menunaikan janji apabila 7,459 keluarga peneroka di rancangan tanah FELDA negeri kini menerima durian runtuh sebagaimana yang diumumkan kerajaan.

Pengurus Besar Wilayah Felda Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab berkata, pemberian durian runtuh RM15,000 kepada peneroka membabitkan 20 rancangan tanah FELDA negeri ini hampir selesai dilakukan oleh agensi itu.

Katanya, peruntukan RM37.3 juta yang disediakan kepada FELDA Terengganu itu diagihkan dalam tiga peringkat iaitu peneroka lelaki, isteri dan anak mereka

Menurutnya, kini genrasi kedua FELDA pula menikmati insentif kerajaan dalam usaha membantu mereka hasil kejayaan yang diperolehi oleh agensi itu memajukan pembangunan tanah.

“Peneroka seharusnya bersyukur dengan pemberian durian runtuh ini kerana hanya mereka yang tinggal di FELDA sahaja mendapat bantuan seperti ini,” katanya pada majlis penyampaian Durian Runtuh Generasi Kedua Felda Selasih, dekat sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali menyampaikan sumbangan keepada 158 keluarga FELDA itu membabitkan RM785.00.00

Ramlan berkata, generasi kedua di FELDA terbabit juga berpeluang mendapatkan tempat tinggal yang lebih selesa apabila kerajaan bersetuju membina rumah untuk mereka tidak lama lagi.

21 November 2012

Maidam terima zakat MIDF Property Berhad

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada MIDF Property Berhad pada majlis yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pengurus Besar MIDF Property Berhad, Mohd Yusoff Abdullah menyerahkan sejumlah RM150,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman sambil disaksikan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Haji Ahmad bin Said dalam satu majlis ringkas selepas selesai mesyuarat Exco.

Mohd Yusoff berkata, zakat perniagaan yang diserahkan itu selepas mengambil kira keuntungan yang diperoleh MIDF Property Berhad sepanjang tahun 2011.

 “MIDF Property Berhad yang merupakan anak syarikat Permodalan Nasional Berhad berharap dapat menyumbangkan jumlah zakat yang lebih besar pada masa akan datang untuk membantu golongan yang memerlukan,” ujarnya.