Halaman

23 November 2012

Penduduk Rhu Rendang perlu bersyukur.

Oleh: Amirullah Othman 


Seramai 1,819 orang penerima bantuan kebajikan masyarakat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang gembira apabila mendapat bantuan dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, YB. Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar; Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang , Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang.


Sebanyak RM 451,350.00 bantuan telah disalurkan pada hari berkenaan meliputi pelbagai kategori bagi penerima-penerima yang layak menerima bantuan.

Dato’ Abdul Rahman Bakar dalam ucapannya berharap penduduk di kawasan Rhu Rendang supaya bersyukur kehadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu yang memerintah sekarang ini kerana menjaga kebajikan rakyatnya dan memberikan pelbagai bantuan seperti bantuan dalam bentuk wang pada hari tersebut.

Beliau juga turut menegaskan bahawa hanya kerajaan pimpinan Barisan Nasional sahaja yang mampu dan layak mentadbir Negeri Terengganu dan negara Malaysia.

Manakala Haji Nik Dir pula mengingatkan penerima bantuan supaya menggunakan wang yang diberi kepada mereka sebaik mungkin dan membeli keperluan sahaja dan tidak boros berbelanja.


Katanya, usaha kerajaan BN memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada masyarakat tempatan harus dibalas dengan kebaikan oleh rakyat negeri ini.


SPRM puji kerajaan Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

 Inisiatif kerajaan negeri memberi ruang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyampaikan taklimat mengenai langkah pencegahan dan memerangi gejala rasuah kepada Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) mendapat pujian daripada agensi itu.

Penguasa Kanan SPRM, Puan Halimah Md Sharif berkata, kesungguhan pemimpin negeri untuk menangani gejala rasuah terserlah dengan memberi ruang taklimat dan soal jawab diadakan antara SPRM dan GLC.

“Saya pergi ke negeri-negeri , semalam saya berada di Kelantan dan sebelumnya di Pahang, hanya di sini majlis didahului dengan taklimat sebelum majlis ikrar, ini yang saya puji Terengganu,” katanya di majlis Ikrar Integriti Korporat di Wisma Darul Iman semalam.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah hadir selaku tuan rumah dan mempengerusikan majlis beserta Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dari 53 Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) yang membuat ikrar serta menandatangani surat akuan.

 “Komitmen sesebuah organisasi untuk mendokong prinsip pencegahan rasuah di negara ini mampu menyekat perkara berkenaan daripada terus menular dan semua orang boleh lakukan perubahan untuk memerangi rasuah,” katanya.

Menurutnya, setakat 19 November tahun ini terdapat 41 organisasi seluruh negara telah membuat ikrar dan menandatangani surat akuan dengan SPRM bagi menyatakan kesediaan menghindari dan memerangi gejala rasuah.

 

Terengganu sasar lebih 30,000 pelajar khatam al-Quran tahun depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri mensasarkan lebih 30,000 pelajar sekolah rendah dan tabika di seluruh negeri Terengganu akan khatam al-Quran pada tahun depan.

Pada tahun ini, kira-kira 31,600 pelajar sekolah rendah dan tabika telah khatam al-Quran. Dua majlis khatam al-Quran secara berasingan diadakan pada tahun ini melibatkan pelajar Kelas Fardhu Ain (Kafa) dan tabika di bawah pengendalian Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Pelajaran Negeri, Kemas dan Jabatan Perpaduan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya merancang sekurang-kurangnya 32,000 pelajar sekolah rendah dan tabika akan khatam al-Quran pada tahun depan.

“Kita mahu angka pelajar sekolah rendah dan tabika di negeri ini yang khatam al-Quran pada setiap tahun bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan agar setiap kanak-kanak yang bakal melangkah ke sekolah rendah mampu menguasai al-Quran manakala murid sekolah rendah fasih membaca al-Quran sebelum mereka melangkah ke alam sekolah menengah.

Seramai 22,000 pelajar Kafa menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan secara serentak di tujuh lokasi, termasuk Stadium Tertutup Gong Badak, baru-baru ini.

Manakala Majlis Khatam al-Quran bagi Program Pintar al-Quran yang melibatkan kanak-kanak kelas tabika pula melibatkan penyertaan serama 9,639 kanak-kanak tabika dari seluruh negeri.


YIM Kids Invent! akan disertai 400 murid

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 400 murid sekolah rendah akan memeriahkan program YIM Kids Invent ! Terengganu di Galeri A, Pusat Dagangan Terengganu, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, 8 Disember ini (Sabtu).

Program tahun kedua anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan rakan strategik PSKT, Yayasan Inovasi Malaysia.

Pengarah Urusan PSKT, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab, berkata program yang memfokuskan kepada peserta cilik sebagai langkah menarik penglibatan golongan itu dengan aktiviti sains dan kreativiti khususnya pada musim cuti persekolahan.

“Pelbagai acara dan aktiviti yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak diatur bagi merangsang minda dan keseronokan mereka belajar sambil bermain bermula jam 9 pagi hingga 4 petang nanti.

“Perasmian program akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, kira-kira jam 4.00 petang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.

 Katanya, program pertama pada tahun lalu turut menghimpunkan jumlah peserta yang sama dari kawasan sekitar Kuala Terengganu dan Marang berjaya mencapai matlamat penganjurannya.

 

Ganu D’Art Gallery pertama Di Terengganu

 Oleh: Suriati Ali

 Usaha murni pemilik Ganu D'Art Gallery, Dr Abdullah Sani menubuhkan galeri seni lukis persendirian yang pertama di Terengganu sewajarnya mendapat pujian kerana mampu membantu kerajaan negeri memperluaskan budaya seni kepada masyarakat luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd. Said berkata, pada masa yang sama, dengan tertubuhnya galeri itu, ia akan menjadi `pembuka jalan' terhadap penubuhan galeri-galeri lain yang berkaitan.

 "Galeri ini adalah yang pertama di negeri ini dan saya berbangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh pemiliknya, Dr. Abdullah Sani untuk `menghidupkan' galeri ini.

"Aktiviti seni seperti lukisan sebenarnya mempunyai tempat yang khusus di hati masyarakat dan saya harap usaha ini juga dapat mempromosikan Tahun Melawat Terengganu pada tahun depan," katanya selepas merasmikan Ganu D' Art Gallery, di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, semalam.

 Galeri berharga kira-kira RM20,000 itu dibina di sebuah premis dua tingkat di Jalan Sultan Sulaiman dan menempatkan hampir 100 karya seni berkonsepkan `modern art' serta `reality art'.

 Ia dibuka setiap hari mulai 10 pagi hingga 6 petang dan tiada yuran dikenakan untuk masuk ke situ. Dalam pada itu, Abdullah ketika ditemui berharap galerinya akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pencinta seni lukisan di negeri ini.

 Beliau yang juga pensyarah sambilan dalam bidang Reka Bentuk Perindustrian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan berbeza termasuk membawa masuk karya-karya pelukis baru dari semasa ke semasa bagi menarik lebih ramai pengunjung ke galerinya itu.

 "Selain itu, galeri ini juga menyediakan karya-karya yang berunsur abstrak dan realiti kepada peminat-peminat seni atau mana-mana usahawan seni yang berminat mendapatkan karya seni kami untuk dipasarkan.

"Kami juga mahu menjadikan galeri ini sebagai pusat penerangan, perbincangan dan perundingan seni lukis memandangkan kebanyakan karya yang dipamerkan di sini berunsurkan seni bina dan landskap negeri Terengganu," ujar beliau

. Tambahnya, satu akademi seni lukis juga akan ditubuhkan di tingkat bawah premis tersebut dan ia akan dikhususkan kepada mana-mana pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berminat untuk mendalami bidang tersebut.

 "Saya juga berharap galeri ini akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu sebagai antara destinasi menarik yang perlu dilawat terutamanya sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 nanti,"
 katanya

.

YPKT anjur Program Ceria Belia 1Malaysia

Oleh: Suriati Ali Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menganjurkan Program Ceria Belia 1Malaysia di Dataran Permata, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 23 November ini. Penolong Pengarah Perancangan, Penyelidikan dan Perhubungan Awam YPKT, Encik Khairuninadwa Che Rosli berkata program yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Negeri dan Majlis Daerah Kuala Terengganu memuatkan pelbagai acara.
“Antara aktiviti itu termasuk, pertunjukkan motosikal, `street soccer’ persembahan muzikal dan pameran dari pelbagai jabatan kerajaan serta agensi swasta,” katanya. Orang ramai yang berminat untuk menyertai aktiviti sehari yang bermula jam 8 pagi hingga 11 malam itu boleh mendaftar di pejabat Majlis Belia Daerah.

22 November 2012

Usahawan Melayu harus bermotivasi tinggi

Oleh: Noraini Jusoh

Golongan usahawan Melayu khususnya harus mempunyai motivasi tinggi untuk berjaya seterusnya dapat memperkukuhkan ekonomi di negeri ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Tuan Haji Azmi Razik (gambar) berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengadakan pelbagai program yang boleh meningkatkan motivasi orang Melayu dalam bidang perniagaan termasuk melalui perkongsian pengalaman dengan usahawan yang telah berjaya.

"Melalui program Bicara Tokoh umpamanya, kita dapat mempelajari pelbagai perkara dari tokoh-tokoh perniagaan terkenal tanahair.

"Orang Melayu perlu sedar untuk berjaya dalam bidang perniagaan memerlukan pengorbanan dan sikap tidak mudah berputus asa serta sentiasa berusaha untuk memajukan diri,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena program Bicara Tokoh Bersama Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang berlangsung di Dewan Kovesyen YPU, hari ini.

Katanya, melalui perkongsian ilmu serta pengalaman yang disampaikan oleh Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) tersebut, dapat memotivasikan serta membuka mata usahawan Melayu supaya sentiasa gunakan peluang yang ada untuk memajukan perniagaan masing-masing.

"Usahawan Melayu khususnya tidak boleh bersikap lalai dan leka serta beranggapan sentiasa berada dalam zon selesa kerana akan ditindas oleh bangsa asing,” ujarnya.

 Program Bicara Tokoh bertajuk Khalifah Ganti Superman- Cabaran Pengurusan Masa Depan yang merupakan anjuran kali kedua oleh YPU ini mendapat sambutan menggalakkan dari para usahawan, pegawai kerajaan serta agensi berkaitan dari seluruh Terengganu.

 

BEZA HADI 1981 DENGAN HADI 2003 DAN SEKARANG

Oleh: Ruslan Abdul Rahman. 

INGAT DOK LAGI, ucapan atau amanat Presiden Pas, (Haji Hadi) yang disampaikan di Kg. Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 07 April 1981?

“Saudara-saudara sekelian percayalah. Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah Kerajaan.

Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan Perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah! Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapai mereka.

Oleh kerana itulah kita cuba berlawan dengan mereka! Percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad! Ucapan kita adalah jihad! Derma kita adalah jihad! Bergantunglah kita kepada ALLAH dengan menghadapi puak-puak ini.

Kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam! Kita tidak perlu masuk Budha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku agama suku!”.

Dari ucapan itu jelas bahawa Haji Hadi mengatakan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN ITU KAFIR.

Tetapi selepas itu cuba anda bandingkan ucapan Haji Hadi pada tahun 2003”, iaitu ucapan pada masa itu dua adalah enteri Besar Terengganu setelah PAS menang dalam PRU 10) pada 18 Januari 2003 dalam “Amanat Perdana Pemangku Presiden Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Hadi Awang” bertajuk “Pilihanraya ke 11: Formula Kemenangan”.

Kata Haji Hadi: “Justru kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan hudud dan syari’at menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan ijtihad besar untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat Persekutuan. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan diperingkat Persekutuan!

Seandai menang dalam pilihanraya akan datang, Barisan pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil diperingkat Persekutuan, yang mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada!”. Jelas sekali ucapan HADI pada tahun2003 bahawa: PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN ITU CUKUP ISLAMIK!

Dalam kedua-dua amanat itu sudah jelas menunjukkan Pas bukan sebuah parti yang memperjuangkan agama Islam sebaliknya mempergunakan Agama Islam untuk kepentingan mereka Pada Muktamar Pas yang ke-57 Pas sekali lagi mengemparkan seluruh umat Islam apabila Presiden parti Pas Haji Hadi mengumumkan bahawa Pas terpaksa menggugurkan negara Islam dan digantikan dengan negara berkebajikan.

Ini dibuat bagi memastikan perhubungan antara rakan parti seperti DAP dan PKR terus murni. Fikir-fikirkanlah.

 

Tuduhan Umno murtad melampau

Oleh: Suriati Ali 

 Kenyataan Mursyidul Am Pas, Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa Umno sebagai murtad amat keterlaluan dan melampau kerana tindakan tersebut bertentangan ajaran Islam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kenyataan pemimpin Pas itu membuktikan perjuangan parti berkenaan kini telah jauh tersasar daripada ajaran Islam sebenar.

Katanya, Pas kini semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat terutama orang Melayu sehingga sanggup melakukan apa sahaja walaupun menyedari perkara itu di luar batasan.

“Mereka sering menyerang Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tuduhan dan fitnah, terbaru mendokan UMNO supaya hancur serta dituduhnya murtad.

"Sebaliknya, parti itu perlu sedar diri kerana banyak perkara terpesong atau sesat telah dilakukan oleh mereka semata-mata mahu tunjuk hebat dan berkuasa di depan rakyat.

 “Apa yang kita buat semua salah dan tidak betul, ulamak kita pun digelar sebagai ulamak `terompah’, ulamak parti itu pula mulia dan baik,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata,sepatutnya Pas yang kononnya memperjuangkan Islam menganjurkan solat hajat dan berdoa untuk menyatupadukan umat Islam di negara ini, itu yang sepatutnya.

 "Semua umat Islam itu bersaudara, kepentingan agama Islam itu perlu diletak lebih tinggi daripada kepentingan politik,” katanya.

 

53 GLC ikrar jauhi rasuah

Oleh; Esah Abdullah

Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) sama sekali tidak dibenarkan mendekati atau memberi rasuah sebaliknya melaksanakan tanggung jawab dengan penuh dedikasi memajukan syarikat bagi meraih keuntungan.


Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, semua anak syarikat kerajaan negeri dikehendaki membuat ikrar dan menandatangani surat akuan bagi menjauhi perkara-perkara berkaitan dengan amalan rasuah.

“ Bukan saja anak syarikat kerajaan negeri tetapi syarikat lain yang ada hubungan dengan kita juga perlu menjaga hubungan dan bersih dalam sebarang urusan,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Ikrar Integriti Korporat di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama Penguasa Kanan, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Puan Halimah Md Sharif dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Terengganu Encik Mohd Yasin Jusoh.

Katanya, samaada menerima atau memberi rasuah dalam syarikat-syarikat berkaitan yang membuat urusan perniagaan tidak dibenarkan mengamalkan rasuah.

 “Prestasi anak-anak syarikat setakat ini agak baik contohnya EPIC yang mampu cacat keuntungan paling tinggi tahun ini dan berharap selepas buat ikrar hari ini, semuanya beri tumpuan untuk capai peningkatan masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu, 53 anak syarikat kerajaan negeri telah melafaz ikrar yang diketuai oleh Encik Ramli Ismail dari Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan seterusnya menandatangani surat akuan yang diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan.

“Saya akan serahkan surat akuan ini kepada SPRM dalam Seminar Sistem Integriti Korporat yang akan diadakan di Kota Bharu pada 3 Disember depan,” katanya.