Halaman

08 December 2012

Williams raih gelaran keempat dunia

Pelayar Britain, Ian Williams dari pasukan GAC Pindar, mengesahkan status selaku juara Siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT), lebih awal selepas mengalahkan pendahulu, Bjorn Hansen 3-1 pada pusingan suku akhir Piala Monsun 2012 di Pulau Duyong, semalam.



Dengan kemenangan itu, Williams kini menyamai rekod lagenda sukan kapal layar, Datuk Peter Glimour, yang memenangi kejuaraan dunia sebanyak empat kali.

Beliau yang muncul juara dunia pada tahun lalu, 2008 dan 2007 turut mara ke pusingan separuh akhir Piala Monsun dan akan berlumba dengan pelayar lain hari ini.

Juara Piala Monsun 2011 itu kini sedang memburu pula Piala Monsun tahun ini dan berpeluang beraksi di final jika menumpaskan lawannya pada peringkat separuh akhir.

Selain Williams, pelayar veteran Peter Gilmour yang menewaskan anaknya sendiri, David Gilmour di peringkat separuh akhir, turut mara ke peringkat separuh akhir.

Manakala dua pelayar lain yang akan beraksi di peringkat separuh akhir ialah Phil Robertson dan Taylor Canfield.

 



Peluang masih terbuka untuk jadi pemilih-SPR

Oleh; Esah Abdullah

Orang ramai masih berpeluang untuk mendaftar sebagai pemilih selagi Dewan Parlimen belum dibubarkan.

Timbalan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Dato’ Haji Noordin Che Ngah berkata, SPR masih menggalakkan orang ramai untuk mendaftar sebagai pemilih dan masih berpeluang mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Mereka yang sudah mendaftar juga digalakkan untuk membuat semakan bagi memastikan nama serta lokaliti tempat mengundi betul atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media pada program Taklimat dan Simulasi Pengundian kepada Pemimpin Parti-parti Politik Negeri Terengganu di Primula Beach Resort.

Hadir sama Pengarah SPR Terengganu Haji Fakhrul Razi Abdul Wahab. Katanya, penyemakkan boleh dilakukan pelbagai cara sama ada melalui khidmat pesanan ringkas, laman web SPR atau pejabat SPR negeri-negeri .

 “Dengan membuat semakan awal tidak berlaku kelam kabut bila tiba hari mengundi nanti kerana jika ada kesilapan pada status pengundi masih ada masa untuk buat pembetulan dengan datang ke pejabat SPR untuk buat aduan,” katanya.

Sehubungan itu, SPR juga masih belum menentukan senarai nama yang boleh dipakai dalam PRU -13 kerana dewan parlimen belum dibubarkan

Katanya, andainya berlaku pembubaran Parlimen bulan Januari mungkin SPR akan menggunapakai senarai nama pemilih bagi suku tahun ketiga kerana senarai nama suku tahun keempat mungkin tidak sempat disahkan.

“SPR akan menentukan senarai daftar pemilih pada PRU- 13 bergantung kepada bila Parlimen dibubarkan, anda bertanya hari ini tentu tiada jawapan yang boleh saya beri,” katanya dalam ketawa.

 

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) gagal masuk Felda Selasih.



Oleh: Mohammad Ishak 

Peserta Konvoi Kembara Oren Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK) serta penyokong PAS menerima tampahan hebat apabila usaha mereka untuk masuk menyebarkan risalah di Felda Selasih, dekat Jertih,dihalang oleh peneroka Felda terbabit.

Kira-kira 200 peneroka termasuk isteri serta anak generasi kedua Felda Selasih berhimpunan secara aman dan menyekat kemasukkan konvoi di pintu masuk utama rancangan tanah berkenaan.

Peneroka menggunakan wanita sebagai benteng ketika membantah kemasukan 80 kenderaan pacuan empat roda yang menyertai konvoi kembara bermula dari Johor itu.

Mereka berkumpul sejak jam 3 petang bagi menghalang kemasukan konvoi yang turut disertai ahli Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa untuk masuk menyebarkan risalah dan berceramah di Felda terbabit.

Bagaimanapun,ketibaan konvoi membabitkan 200 peserta itu yang tiba di pintu masuk utama Felda itu kira-kira jam 5 petang dihalang oleh peneroka dengan alasan tidak memerlukan kehadiran konvoi berkenaan.

Konvoi itu diketui Presiden ANAK, Mazlan Aliman mengadakan rundingan dengan pihak Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Felda diketuai Pengerusinya,Alias Abdul Ghani, tetapi pihak JKKF tidak memberi kebenaran.

Selepas berunding kira-kira sejam akhirnya pihak ANAK terpaksa mengalah dan meneruskan konvoi ke Felda Tenang, Hulu Besut kira-kira jam 6.30 petang.

Halangan itu menyebabkan ANAK gagal meneruskan program untuk berceramah dan menyebarkan risalah menyebabkan kepada peneroka di Felda berkenaan.

Alias berkata, pihaknya tidak memerlukan kehadiran peserta konvoi itu kerana ia bermotif politik dan tidak mahu kehidupan peneroka di situ terganggu kerana ketika ini mereka hidup dalam keadaan selesa dan bersatu padu.

Sementara itu,Ketua Polis Besut,Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya turut menempatkan anggota polis bagi mengawal keadaan tetapi tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pas panas punggung dilabel Parti Ajaran Sesat

Oleh: Suriati Ali

 Ramai penyokong terutama pemimpin Pas `panas punggung’ dan melenting apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melabelkan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat.

Kenyataan yang dilontarkan pemimpin nombor satu Terengganu itu kini semakin jelas dan terbukti apabila pempimpin dan penyokong Pas sanggup meminta doa Umno dan Barisan Nasional (BN) dijahanamkan dan hancur, sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat, di Stadium Muhamad, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Pegawai Agama Khas kepada Menteri Besar, Ustaz Haji Kamalrudin Omar, berkata menggunakan perkataan jahanam dan mendoakan supaya Umno hancur itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

“Islam tidak mengajar kita berkelakuan seperti itu, sebaliknya perlu mendoakan agar rakyat Malaysia hidup aman dan bersatu padu bukan memecahbelahkan umat..

 “Jika doa mereka (pemimpin Pas) dikatakan mustajab kenapa tidak mendoakan keamanan bangsa Palestin supaya tidak lagi diseksa dan ditindas golongan zionis Israel,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Beliau berkata, Pas terus sesat daripada ajaran Islam sebenar kerana pemimpin mereka sendiri yang memberi tunjuk ajar dan teladan yang tidak baik.

 “Pas tidak konsisten, hukumnya berubah-ubah mengikut kepentingan parti itu sendiri. “Pada tahun 1963 Dewan Ulama Pas Kelntan telah memutuskan hukuman bahawa orang Islam yang berkerjasama dengan orang kafir memerintah negara menjadi kafir atau haram,” katanya.

Bagaimapun, katanya, secara tiba-tiba pada bulan April 1999, Pas bekerjasama dengan DAP sedangkan parti itu menolak pembentukan negara Islam.

“Manakala Mursyidul Am Pas, Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur kerana DAP menerima Pas walaupun parti itu menolak negara Islam.

“Pada 24 Januari 199, Nik Abdul Aziz di Kampung Pulau Melaka pernah menyatakan Pas sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik, termasuk DAP pada pilihan raya akan datang, malah katanya dengan syaitan sekalipun beliau terima.

“Apa yang dikatakan ini berdasarkan fakta dan bukti, kita boleh tunjuk, jika mereka mahu lihat,” katanya.

Ustaz Haji Kamalrudin turut memberitahu kesan pendekatan melampau, taksub fitnah dan sikap gemar membenci yang diamalkan pemimpin Pas telah melahirkan banyak kerosakan dalam masyarakat Islam kita hari ini.

 “Antara contoh terdekat adalah sembahyang dua imam, kubur berasingan, bercerai suami isteri kerana fahaman politik berbeza dan terpaksa bernikah dua kali,” katanya.

 

Umno Terengganu sedia hadapi PRU13

Oleh: Noraini Jusoh

Umno dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada bila-bila masa sahaja walaupun jika diadakan dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid berkata beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada Umno dan BN tidak kira bila PRU13 akan diadakan.

"Melihat situasi semasa Perhimpunan Agung Umno kali ke 66 yang baru berakhir beberapa hari yang lalu saya yakin Umno dan BN pasti memenangi PRU13 dengan kerusi dua pertiga melalui sokongan padu dan semangat yang kuat yang telah ditunjukkan oleh setiap ahli.

"Di Terengganu sendiri, semua jentera Umno telah bersiap siaga untuk menghadapi PRU13 dengan melakukan persediaan awal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita di majlis makan malam sempena meraikan pasukan yang menyertai Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun “Champion Of Champions” 2012 bertempat di Kompleks Sukan Negeri, baru-baru ini.

Katanya, buat masa sekarang tidak ada masalah untuk Umno dan BN memenangi PRU13 di Terengganu khususnya kerana telah terbukti kerajaan negeri yang memerintah sekarang mengotakan janji dalam merakyatkan pentadbiran dan pembangunan di negeri ini.

"Di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, rakyat Terengganu telah menikmati pelbagai keistimewaan.

"Saya percaya dan yakin dengan segala yang diberikan kerajaan negeri kepada rakyat pada hari ini, Umno dan BN akan kekal memerintah Terengganu selepas PRU13 nanti,” ujarnya.

Menurut Dato’ Rosol beliau meramalkan PRU13 akan diadakan awal tahun hadapan dan mengharapkan rakyat di negeri ini dapat membuat pilihan yang tepat supaya nasib rakyat di negeri ini terus terbela di bawah pimpinan Umno dan BN.

 

Makin ramai pesakit Indonesia terima rawatan di i-Heal

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Semakin ramai pesakit dari Indonesia, khususnya Palembang, menerima rawatan di Pusat Perubatan i-Heal, milik anak syarikat kerajaan negeri yang terletak di ibu kota, Kuala Lumpur.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sehingga ini 12 pesakit dari Palembang telah mendapatkan rawatan di pusat berkenaan yang kini semakin terkenal di negara itu.



iHeal Medical Services Sdn. Bhd. (iHeal Medical), yang merupakan projek usahasama Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWT) kini melebarkan sayap perkhidmatan kesihatan ke Palembang, Indonesia.

Baru-baru ini memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani iHEal Medical dengan Pemerintah Kota Palembang di Indonesia.

Menteri Besar berharap pusat rawatan itu juga bakal menjadi tumpuan pesakit dari negara-negara lain dalam tempoh terdekat ini.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta TDM Berhad supaya membiayai pengajian pelajar tempatan dalam pelbagai kepakaran bagi menambah tenaga mahir dari negeri ini.

“Saya harap pihak TDM mengenal pasti beberapa bidang kepakaran selain daripada perubatan dan menaja pelajar cemerlang mengikuti pengajian di bidang tersebut,” katanya.

 

07 December 2012

Sukan suatu elemen penting dalam kehidupan

Oleh: Esah Abdullah

Islam tidak pernah menolak sebarang bentuk aktiviti sukan malah sangat menggalakkan umatnya bersukan sebagai suatu aktiviti riadah yang menyihatkan.

 Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, namun begitu Islam menetapkan beberapa syarat dan peraturan sebagai rujukan dalam menjana setiap serak-geri umatnya agar tidak melanggar batas-batas kesopanan

“Sukan merupakan satu elemen yang penting dalam kehidupan kita di mana secara lazimnya ia dikaitkan dengan kekuatan dan keupayaan fizikal seseorang itu menguasai kemahiran, strategi dan taktikal dalam aktiviti sukan,”.

To’ Puan Seri Hajah Norliza yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri akil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Badminton Wanita Piala Isteri Menteri Besar Kali ke-2 , di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni , Prof Dr. Yahya Ibrahim; Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Prof Madya Dr. Norsiah Ahmad dan Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi UMT, Haji Mohamad Rafee Jusoh.

Katanya, pelajar yang meminati sukan dilihat mempunayi ciri kepimpinan, lebih berdya saing, tidak mudah berputus asa dan terserlah sifat berani menghadapi cabaran dan dalam aspek kesihatan pula individu berkenaan akan memiliki kesihatan dan fizikal yang lebih baik.

 Beliau seterusnya memuji langkah yang diambil UMT menganjurkan kejohanan khas untuk pelajar wanita sahaja kerana ia memberi keselesaan kepada wanita.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini itu diserta 15 pasukan (200 peserta) terdiri daripada pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Politeknik, dan Kolej Komuniti seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), UMT , Kolej PTPL dan Institut Latihan Petroleum.
 

T-TAS mampu lahir belia berkemahiran

Oleh: Noraini Jusoh

Skim Latihan Perantisan Pelancongan-Terengganu (T-TAS) yang diperkenalkan kerajaan negeri dengan kerjasama Inforana Holding Sdn Bhd dilihat mampu melahirkan belia berkemahiran dan berkelayakan bagi memenuhi keperluan pasaran kerja khususnya dalam bidang perhotelan dan pelancongan.

Merupakan program penggerak pelancongan dan sebagai persediaan awal menghadapi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, T-TAS terbuka kepada golongan belia yang berumur antara 18 sehingga 40 tahun yang berasal dari negeri ini sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata sejak skim ini mula diperkenalkan pada tahun 2008 ianya telah berjaya melatih 900 orang anak Terengganu.

"Hampir 85 peratus para pelatih lepasan T-TAS berjaya mendapat pekerjaan dalam bidang berkaitan dan ada yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Sehingga kini, ianya mendapat sambutan baik dan skim ini hendaklah diteruskan supaya industri pelancongan dan perhotelan di negeri ini terutamanya yakin dengan kebolehan dan dapat menerima tenaga mahir yang dilatih oleh Inforana Holding Sdn Bhd,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Graduasi T-TAS bertempat di Dewan Al Rayyan, Quinara Al Safir Resort, semalam.

Katanya, beliau yakin para pelatih lepasan T-TAS yang telah dibekalkan latihan teori dan praktikal selama 6 bulan dapat membantu kerajaan negeri mempromosikan Terengganu khususnya sempena TMT 2013 nanti.

"Para pelatih T-TAS telah mendapat tunjuk ajar dari tenaga pengajar profesional dan saya yakin mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik apabila menceburi bidang pekerjaan khususnya yang berkait rapat dengan pelancongan, perhotelan dan kulinari.

"Sebagai contoh, pengalaman mempelajari aspek bahasa dan perkhidmatan kaunter semasa mengikuti kursus T-TAS umpamanya dapat diaplikasikan semasa berurusan dengan pelancong yang menginap di hotel tempat lepasan T-TAS ini bekerja dan secara tidak langsung layanan bagus yang ditunjukkan dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap dengan adanya tenaga mahir yang terlatih menerusi program T-TAS ianya sedikit sebanyak dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menarik empat juta pelancong datang ke Terengganu sempena TMT 2013 tidak lama lagi tercapai.

 

Komuniti pelbagai kaum sertai mengacau bubur asyurat anjuran KRT Bandar Jertih



Oleh: Mohammad Ishak 

Semangat perpadauan antara kaum yang ditunjukkan oleh komuniti di bandar Jertih patut dicontohi oleh organisasi lain apabila program mengacau bubur asyura turut disertai oleh kaum Cina yang jarang dilakukan ditempatan lain.

Program yang dianjurkan secara bersepadu membabitkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih, Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Daerah Besut dan JKKK T.aman Jertih.

 Malah program itu turut disokong oleh jabatan kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN),Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK) dan sektor koporat Maybank Cawangan Jertih.

Penyertaan kaum Cina menyertai program gotong royong mengacau bubur asyura itu mencerminkan semangat kerjasama dan perpaaduan yang menyerlah di kalangan penduduk negeri ini. Kehadiran Ahli

Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi MARA memeriahkan program itu apabila beliau menyertai peserta dan komuniti mengacau bubur asyura.

Program yang berlangsung di perkarangan Pusat Aktiviti Rukun Tetangga Bandar Jertih itu sebahagian usaha membudayakan komuniti pelbagai kaum serta sektor koporat dan jabatan kerajaan dalam aktiviti sosial.

Pengerusi Penganjur, Wan Adilah Wan Awang berkata, penyertaan peserta pelbagai kaum dalam program itu mencerminkan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak kini direalisasikan oleh gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Besut.

Katanya, walaupun aktiviti itu bukan budaya kaum Cina tetapi mereka membuktikan semangat Malaysia apabila berganding tenaga menjayakan program dengan mengambil bahagian dalam gotong royong membuat bubur asyura.

“Kejayaan program ini mendorong pihak penganjur untuk meneruskan program serupa berkonsepkan perpaduan dan penyertaan peserta peilbaga kaum,” katanya.

Bomba berjaya selamat harta benda bernilai RM253.22 juta

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM253.22 juta dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarahnya, Encik Md Salleh Sarbini berkata, kerugian akibat kebakaran pula bernilai RM31.85 juta.serta merekodkan 2,120 panggilan kecemasan dalam tempoh tersebut berbanding tahun lalu sebanyak 2.404 panggilan.

Katanya, daripada jumlah panggilan itu, sebanyak 874 membabitkan panggilan kebakaran, 1,192 penggilan menyelamat antaranya kemalangan jalan raya dan lemas serta 54 panggilan khidmat khas.

 "Dalam tempoh sama, satu kematian direkodkan akibat kebakaran di loji minyak di Kertih " katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan JBPM Terengganu di pejabatnya.

Menurutnya, kes kebakaran rumah dan belukar paling banyak berlaku yang berpunca daripada kelalaian manusia seperti aktiviti di dapur dan masalah pendawaian elektrik.

Katanya, ada sesetengahnya rumah kediaman mempunyai pendawaian elektrik yang telah lama di samping penggunaan alat elektrik yang tidak dijamin kualiti dan penggunaan elektrik secara berlebihan.

Beliau juga memuji sikap dan kesedaran masyarakat hari ini semakin meningkat terhadap keselamatan kebakaran dan mangsa kebakaran didapati bertindak cepat menyelamatkan diri serta memadamkan kebakaran sebelum ketibaan bomba. `

`Ini membuktikan kempen kesedaran yang sering diadakan oleh jabatan dipraktikkan sebaik-baiknya di samping kerjasama masyarakat setempat untuk membantu,” katanya.

Selain itu beliau berbangga dengan pasukan bomba sukarela terutama di kawasan-kawasan perumahan untuk membantu memadamkan kebakaran sebelum ketibaan jentera bomba.

 Katanya, ahli pasukan bomba sukarela diberi latihan kebombaan dalam tempoh tertentu untuk membolehkan mereka dapat melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran dengan baik.