Halaman

12 December 2012

Wakil Pas puji usaha Kerajaan BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) memuji usaha yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk memberi subsidi diesel kepada golongan nelayan kerana ia membantu menambah pendapatan mereka.

Beliau berkata, usaha-usaha lain seperti membina kilang ais untuk kegunaan nelayan tempatan juga baik kerana memudahkan nelayan mendapatkan bekalan air batu bagi kegunaan mereka.

Pada masa yang sama beliau meminta kerajaan negeri supaya membuka peluang kepada pelabur bagi membina kilang baja dan makanan ternakan supaya petani dan penternak mudah mendapatkan kemudahan tersebut.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas, berkata jika barangan berkenaan dikeluarkan di negeri ini, ia akan membantu mengurangkan kos petani dan penternak, sekaligus menurunkan harga produk pertanian dan ternakan.

Sementara itu, beliau berkata, sempena persidang DUN kali ini yang merupakan kali terakhir untuk penggal ini, beliau mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada ahli-ahli DUN jika beliau melakukan kesilapan sepanjang persidangan dewan diadakan.

 

Gunting rambut percuma anjuran KRT Bandar Jertih dapat sambutan



Oleh: Mohammad Ishak

Peluang gunting rambut secara percuma mendorong ramai pelajar dan ibu bapa mengambil peluang untuk menyertai program anjuran Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih, hari ini.

Program sehari sempena kempen Kembali Ke Sekolah yang dijadikan acara tahunan sejak enam tahun lalu tetap mendapat sambutan komuniti setempat yang hadir memberi sokongan dan menyertai gunting rambut.

Pegawai Perpaaduan Daerah Besut, Nor Almizan Mahmod bersama penolongnya, Salma Mat Rashid yang hadir sama menyaksikan aktiviti itu memuji usaha yang dilakukan oleh KRT terbabit kerana ia satu usaha murni membantu golongan kurang berada.

Setiausaha Jiran Wanita KRT terbabit, Rahimah Latif berkata, program yang bermula sejal jam 8 pagi dan berakhir jam 4 petang, ternyata ditunggu-tunggu oleh orang ramai kerana sebelum ini mereka sudah mengetahui pihaknya mengadakan aktiviti serupa setiap hujung tahun.

Katanya, sehingga program itu selesai seramai 100 peserta terdiri daripada pelajar, ahli Jiran Muda, Jiran Wanita dan lelaki dewasa turut menyertai gunting rambut itu.

Menurutnya, bagi menjayakan program itu pihak penganjur menggunakan lima tukang gunting professional yang memiliki premis gunting rambut sekitar Bandar Jertih tanpil member khidmat secara sukarela.

Beliau berkata, kerjasama dan sokongan tuking gunting terbabit membanggakan penganjur kerana mereka sanggup menutup kedai masing-masing dan menyertai aktiviti anjuran KRT.

“Beginilah pada setiap kali KRT mengadakan aktiviti pihak terbabit member sokongan menyebabkan program berkenaan mencapai matlamat,” katanya.

Amanat Haji Hadi hangatkan DUN Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Isu Amanat Haji Hadi yang berupa ucapan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, di Banggol Peradong pada 7 April 1981, menghangatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini apabila ia dibangkitkan semula oleh YB Ramlan Ali (BN-Jabi).

Sambil menunjukkan buku bertajuk “Kafirkah Aku” yang ditulis oleh bekas seorang pejuang Pas, Cikgu Zainon Ismail, dari Kedah, YB Ramlan berkata, amanat tersebut telah banyak memecah-belahkan perpaduan masyarakat Melayu, khususnya di Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata, penulis buku berkenaan mengakui berikutan amanat itu dia tidak bertegur sapa dengan kaum keluarga yang merupakan pengikut dan penyokong Umno.

Malah, kata YB Ramlan penulis buku itu mengakui pada satu tahap dia tidak menziarahi bapa mentuanya yang meninggal dunia kerana terlalu taksub dengan amanat tersebut.

“Saya nak tanya hati pemimpin Pas hidup atau mati kerana mereka sanggup melihat akibat buruk hasil daripada amanat tersebut?,” katanya ketika membahaskan Bajet 2013 pada sidang DUN hari ini.

YB Ramlan sempat membaca amanat tersebut yang berbunyi: “Saudara-saudara sekelian percayalah. Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO.

Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah Kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan Perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah! Oleh kerana itulah kita menentang mereka.

Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh kerana itulah kita cuba berlawan dengan mereka! Percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad! Ucapan kita adalah jihad! Derma kita adalah jihad!

Bergantunglah kita kepada ALLAH dengan menghadapi puak-puak ini. Kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam!

Kita tidak perlu masuk Budha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku agama suku!”.

YB Ramlan berkata, amanat tersebut menyebabkan berlaku ketegangan antara pengikut Pas dan Umno hingga sampai tahap pembunuhan di kalangan mereka.

Beliau berkata, orang Umno tidak akan memaafkan kesalahan pemimpin Pas menggunakan amanat tersebut kerana kepentingan politik mereka hinga menimbulkan huru hara dalam negara.

Katanya, banyak masalah yang timbul akibat perbuatan tidak bertanggugjawab itu yang gagal diselesaikan hingga sekarang seperti sembahyang Jumaat di masjid berasingan.


WAKIL RAKYAT PAS LANGGAR UNDANG-UNDANG YANG MEREKA SENDIRI BUAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Pas yang membuat undang-undang tidak boleh membina masjid tanpa kebenaran kerajaan semasa mereka berkuasa di Terengganu sebelum ini, tetapi kini pemimpin mereka sendiri melanggar undang-undang itu dengan bersembahyang di masjid yang tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, tindakan bersembahyang di masjid yang tidak mendapat kebenaran pemerintah adalah haram, walaupun sah.

“Dalam Islam ada perkara yang sah tetapi haram, ini semua perlu difahami ,” katanya kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini.

Menjawab soalan Adun Hulu Besut, Haji Nawi Mohd, beliau yang juga Adun Batu Rakit menjelaskan tindakan pemimpin atau wakil rakyat Pas yang bersembahyang Jumaat di masjid yang tidak diiktiraf yang dibina secara tanpa kebenaran kerajaan itu bermakna mereka tidak mematuhi enakmen atau undang-undang yang pernah mereka buat sendiri semasa mereka menjadi kerajaan di Terengganu.

“Dulu mereka buat undang-undang itu atas rasa tanggungjawab sebagai kerajaan, sekarang mereka sendiri melanggar undang-undang yang mereka sendiri buat,” jelasnya tanpa sebarang bangkangan dari wakil pembangkang. Seramai lapan orang wakil pembangkang (Pas) dalam Undangan Negeri Terengganu termasuk Presiden Pas , Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, yang mewakili Dun Rhu Rendang.

Taat kepada pemerintah (kerajaan) dalam Islam adalah suatu kewajipan dan ini diperakui sendiri oleh Adun Rhu Rendang yang memberi kata-kata aluan dalam sebuah buku yang pernah diterbitkan berkaitan perkara itu, tegas Adun Batu Rakit itu.

Adun Hulu Besut,YB Haji Nawi Mohd dalam soalan asalnya kepada pihak kerajaan, bertanyakan tentang kedudukan wakil rakyat Pas yang terdapat dalam sidang dewan ini datang ke tempatnya dan bersembahyang Jumaat di masjid yang tidak mendapat kebenaran kerajaan.

YB Haji Khazan menjelaskan, sepatutnya perkara ini dijawab oleh wakil pembangkang,” tetapi sebagai kerajaan kita hendak menjelaskan tindakan itu adalah haram, walaupun sembahyang itu sah”.

 

Sidang DUN: 4,071 unit rumah sudah didiami pemilik

Oleh:Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini bahawa sebanyak 4,071 unit rumah yang dibina kerajaan negeri  sudah didiami pemilik sepanjang tempoh Januari 2008 hingga November 2012.

 Daripada jumlah itu, sebanyak 2,700 unit melibatkan Rumah Mampu Milik (RMM) dan selebihnya Rumah Kos Rendah (RKR) serta Rumah Kos Tinggi (RKT).

“Dalam tempoh sama, kerajaan telah melaksanakan 28 projek RKR dan RMM melibatkan 8,846 unit rumah dengan perbelanjaan mencecah RM782.18 juta.

 “Daripada jumlah ini, 13 projek sudah pun siap dan 15 projek lagi masih dalam pembinaan,” katanya ketika menjawab soalan YB Haji Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepuh).

 Katanya, pada tahun depan sebanyak RM72.50 juta diperuntukkan untuk meneruskan pembinaan rumah sedia ada di samping melaksanakan projek-projek baru.

“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Perumahan) ada menerima sebanyak 24,724 pemohonan terhadap rumah-rumah yang dibina.

 “Daripada jumlah itu, sebanyak 15,008 pemohonan sudah dipanggil temuduga dan 2,449 daripadanya diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan, manakala selebihnya masih lagi semakan dan siasat,” katanya.

 

Kolej Inforana lancar krew program kemanusian dan jelajah kemahiran

Oleh: Noraini Jusoh

Kolej Inforana yang merupakan anak syarikat Inforana Holding Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Pelancaran Krew Program Kemanusian dan Jelajah Kemahiran bertempat di Quinara Al Safir Resort, Tok Jembal, baru-baru ini.

Pengarah Eksekutifnya, Haji Ahmad Ramzi Haji Abdul Rahman berkata, pelancaran program terbabit bertujuan mendedahkan pelajarnya terutama yang sedang mengikuti kursus kulinari bagaimana cara masakan orang luar seterusnya dapat memberi pengalaman dan meluaskan kemahiran mereka.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Menurut Ahmad Ramzi, progam yang julung kali diadakan itu melibatkan 40 pelajar yang akan diterbangkan ke Indonesia pada bulan April tahun depan dan akan berada di sana selama empat hari tiga malam.

"Pada bulan Ogos pula, juga seramai 40 orang pelajar akan ke Kemboja untuk berkongsi pengalaman dalam bidang masakan dengan penduduk di sana.

"Saya difahamkan kemahiran penduduk dalam bidang masakan di Kemboja, contohnya dalam pembuatan roti masih rendah berbanding di Malaysia, oleh itu secara tidak langsung pelajar yang menyertai program ini akan menjadi duta kecil negara yang akan mengajar dan menunjukkan kemahiran memasak yang mereka miliki,” ujarnya di sidang media selepas selesai majlis pelancaran program tersebut.

Katanya, selain berlakunya perkongsian ilmu antara pelajar kolej ini dengan penduduk di sana, melalui program ini juga dapat mempromosikan menu makanan popular Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Katanya, beliau yakin melalui program yang mendapat kerjasama Homestay Teluk Ketapang ini mampu membuktikan kebolehan pelajarnya dan berharap dengan kemahiran yang dimiliki mereka mampu pergi lebih jauh dalam bidang masakan.

 

BABI TETAP HARAM WALAUPUN DIPANGGIL KHINZIR- YB KHAZAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Ustaz Haji Khazan Che Mat mejelaskan pakatan PAS, DAP atau dengan bukan Islam tetap tidak boleh kalau kaedah pakatan itu bercanggah dengan Islam walaupun disebut sebagai ‘tahaluf siasi’ kerana sebenarnya itu dalam bahasa Arab, dalam bahasa Melayu ialah ‘pakatan politik”.

Oleh itu, kalau Pas, mengatakan dulu haram dan tidak boleh pakatan politik, maka ia tetap haramlah walaupun atas nama ‘tahaluf siasi” apatah lagi pakatan yang tidak menepati kehendak Islam.

“Kalau babi itu haram, walaupun dipanggil khinzir sekalipun, ia akan tetap haram,” katanya kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu pagi ini.

Beliau memberi tahu dewan bahawa pihak dari parti pembangkang (Pas) memperalatkan agama untuk kepentingan politik dan bukannya menjadikan agama sebagai panduan sebab itu terjadi begitu.

Kalau cara pakatan politik itu bertentangan dengan Islam maka ia tetap haram dan tidak boleh dilakukan walaupun dinamakan dalam bahasa Arab, tahaluf siasi’.

Beliau berkata, hari ini semakin ramai pengikut Pas menyedari perkara yang tidak benar dilakukan oleh Pas sekarang.

Pengikut malah bekas peimpin utama mereka sendiri sudah tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh Pas seperti yang berlaku kepada bekas Naib Presiden Pas, YB Dato’ Dr. Hassan Ali dan bekas Timbalan Presiden Pas, YB Ustaz Nassaruddin Mat Isa yang kini dipinggirkan.

Beliau menerangkan perkara ini ketika menjawab soalan asal dari wakil Hulu Besut, Haji Nawi Mohd dan wakil-wakil pembangkang (Pas) semuanya membisu seribu bahasa mendengarkan apa yang dijelaskan oleh Adun Batu Rakit itu.

 

Sidang DUN: Usul tergempar ditolak, keputusan hak milik kawasan minyak bukan pendirian rasmi Kerajaan Pusat

Oleh: Aida Abd Rahman

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari kedua semalam menetapkan supaya usul tergempar mengenai isu kawasan medan minyak yang baru di Blok PM307 Bertam di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang ditolak serta tidak perlu dibahaskan berikutan kenyataan Perdana Menteri mengenai hak milik sebenar sumber asli itu masih bukan pendirian rasmi Kerajaan Pusat .

Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang menjelaskan demikian selepas menerima usul tergempar yang dibawa YB Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) bagi menangguhkan persidangan DUN mengikut peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi membolehkan dewan merundingkan isu kawasan minyak yang kini sah menjadi milik Kerajaan Terengganu.

Syed Azman ketika membacakan usul itu, menjelaskan hak dan tuntutan itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan Syarikat Lundin oill yang menjalankan kerja carigali di kawasan Bertam di mana syarikat itu memperakui bahawa kawasan medan dinyatakan berkenaan juga sah terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.

Dato’ Tengku Putera berkata, selepas meneliti perkara berkenaan, pihaknya mengambil kira tiga faktor bagi menolak usul itu, pertama, kenyataan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pada tarikh tersebut masih bukan pendirian rasmi kerajaan pusat atau pun keputusan kabinet.

“Kedua, kenyataan berkenaan bersesuaian dengan tempat dan keadaan. Selain ketiga, ia bukan keputusan rasmi Petronas seperti mana juga yang dimaklumkan YAB Menteri Besar (Dato Seri Haji Ahmad Said) dalam jawapan beliau semalam. Maka terlalu awal kepada kita untuk membuat perbahasan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, jika persidangan berbahas mengenai dua perkara yang dibangkitkan Adun Batu Burok itu kemungkinan akan menimbulkan spekulasi semata-mata tentang hak sebenar berikutan Perdana Menteri juga tidak menafikan atau menolak hak Terengganu terhadap perkara berkenaan secara perundangan ataupun teknikal.

Malah, Dato’ Tengku Putera berkata, bagi pihak rakyat Terengganu sendiri seharusnya berterima kasih dengan apa yang sudah dibangkitkan Menteri Besar, selaku ketua kerajaan kerana beliau bertindak mengingatkan atau mempertahankan kepentingan rakyat dan negeri Terengganu dalam soal itu.

 “ Jadi kita mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Barisan Nasional. Saya minta Ahli Yang Berhormat sekalian supaya cukup sekadar isu ini diperjelaskan dalam dewan sebagaimana yang sudah saya huraikan sebentar tadi dan tidak perlu kita mengadakan perbahasan bagi usul tergempar ini,” jelas beliau lagi.

 

Angkasa sasar 650 koperasi kredit ada sijil patuh syariah

Oleh; Esah Abdullah

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) mensasarkan 650 koperasi kredit yang ada di negara ini memperolehi sijil patuh syariah supaya dapat mengaplikasikan kewangan Islam dalam urusan perniagaan mereka.

 Presiden Angkasa, Profesor Dato’ Dr Mohd Ali Baharum berkata, sehingga kini, hanya 15 koperasi di di seluruh negara sudah memiliki sijil itu manakala 50 lagi sedang dalam proses penilaian.

Menurutnya, Angkasa kini sedang giat mengadakan program turun padang untuk memberi penerangan kepada koperasi di seluruh Malaysia, termasuk kepada koperasi kepunyaan bukan Islam.

 “Kita galakan supaya kesemua koperasi kredit, yang masih menjalankan operasi secara konvensional kepada syariah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Kewangan Islam Dalam Gerakan Koperasi di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu semalam..

Namun begitu katanya, tahap kesedaran koperasi kredit ini sudah meningkat kerana mereka tahu kepentingan pengesahan patuh syariah.

 “Angkasa  bersedia memberi nilai tambah dan juga  bimbingan terhadap perjalanan mana-mana koperasi yang perlukan khidmat itu,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 200 peserta terdiri dari ahli koperasi seluruh Terengganu menghadiri seminar selama dua hari yang membincangkan tiga tajuk iaitu Pemerkasaan Syariah Melalui Skim Infaq Lil Waqf, Hubungan Syariah Dalam Kehidupan Globalisasi dan Ke Mana Wang Zakat Anda Mengalir.

Sidang DUN-Laguna Setiu perlu penambahabaikan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri disaran menambah peruntukan sebanyak RM6.5 juta dalam sektor perikanan bagi mendalamkan dan juga membina benteng pasir di Laguna Setiu.

YB Haji Abdul Halim Jusoh (BN-Permaisuri) berkata, setakat ini hanya 30 peratus kawasan laguna itu dapat digunakan akibat beberapa masalah termasuk kecetekan air yang menyukarkan operasi serta keadaan yang tidak selamat jika berlaku monsun.

“Sekiranya kawasan tersebut diberikan penambahbaikan yang sempurna saya percaya ia mampu menjana pendapatan sehingga RM50 juta setahun,” katanya ketika membahaskan Ucapan Bajet 2013 yang dibentang oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada Sidang Dewan Undangan Negeri petang semalam.

Katanya, Laguna Setiu yang terkenal dengan ternakan ikan siakap itu mampu menjana pendapatan antara RM15 hingga RM20 juta setahun.

Menurutnya, terdapat 70 keluarga nelayan yang terlibat di kawasan terbabit dan aktiviti tersebut masih beroperasi dengan baik dan mampu menjana pendapatan pada musim biasa atau tengkujuh.

Beliau kemudiannya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperuntukan RM5 juta bagi membiayai projek-projek benteng hakisan di Jeti Merang, Tadika, futsal, bengkel IKS rumah kedai serta astaka dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri,

YB Abdul Halim juga bangga di atas keperihatinan kerajaan menyediakan bajet begitu besar untuk memastikan kecemerlangan pelajar di sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

 “Guru-guru hanya beri tumpuan kepada kelas A dan B sahaja sebaliknya kelas C dan D agak terpinggir dan  perlu diingat kecemerlangan akan membawa kejayaan pada masa akan datang tetapi keciciran pelajar juga akan membawa gejala negatif kalangan masyarakat negeri dan negara,” katanya.