Halaman

16 December 2012

Himpunan kasih sayang satukan pemimpin dan rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Program Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia Janji Ditepati anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dilihat mampu menyatukan pemimpin dan rakyat.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, program seumpama itu merupakan landasan yang terbaik dalam memperkukuh hubungan sekaligus menzahirkan rasa sayang kerajaan terhadap rakyat dan juga sebaliknya.

"Saya amat berbangga dengan penganjuran program yang berkonsepkan turun padang dimana dapat mengeratkan silaturahim antara pemimpin dengan masyarakat setempat.

"Dengan tema 1Malaysia, Janji Ditepati Kasih Sayang untuk rakyat telah terbukti kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat dan tidak mempunyai kepentingan peribadi jauh sekali berkehendakkan kuasa,” katanya.

Teks ucapan Menteri Besar dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said pada majlis perasmian penutup program tersebut di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Penerangan, Tarmidzi Hashim, Pengarah JPNT Hajah Azizah Awang, serta pemimpin setempat dan ketua-ketua jabatan yang lain.

Katanya, dibawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno nasib rakyat sentiasa terbela kerana kerajaan yang memerintah pada hari ini telah menunaikan segala janji yang pernah dibuat dalam pilihan raya lalu.

"Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan, baucer buku untuk pelajar universiti antara contoh sumbangan yang diberikan pihak kerajaan kepada semua tanpa mengira fahaman politik,” ujarnya.

Tambah beliau, di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada seluruh rakyat di negeri ini khususnya diharap sentiasa bersatu demi mengekalkan pemerintahan kerajaan yang mengutamakan rakyat.

 

Wanita UMNO Besut berjaya kutip RM2,000 tabung Gaza


 YB Datuk Seri Dr Abdullah melancarkan kutipan derma Gaza

Oleh: Mohammad Ishak 

Sikap prihatin dan semangat ingin membantu rakan seagama mendorong Wanita UMNO Besut melancarkan kutipan derma untuk Tabung Gaza bagi membantu penderitaan rakyat yang dihimpit peperangan itu.

Majlis pelancaran kutipan yang dilakukan Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) sempena program penerangan isu semasa kepada petugas Jalinan Rakyat (JR) semalam.

Ketua Wanita UMNO Besut, Engku Naimah Engku Taib berkata, ketika kutipan kilat dilakukan oleh pergerakan itu pihaknya berjaya mengutip RM2,000 hasil sumbangan peserta majlis berkenaan yang dihadiri kira-kira 800 peserta.

Katanya, kutipan itu tidak berakhir semalam sebaliknya ia akan diteruskan dalam dua minggu yang dijangka berakhir pada Disember ini.

Menurutnya, pihaknya menjangka hasil kutipan akan bertambah apabila gerakan mengutip dilakukan dalam tempoh berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak terbabit.

Engku Naimah berkata, satu majlis penyerahan hasil kutipan berkenaan akan diadakan pada 12 Januari tahun depan sempena Program Amanat Presiden anjuran UMNO Bahagian Besut yang akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, Jertih.

Sementara itu, Dr Abdullah memuji usaha yang dilakukan oleh Wanita bahagian itu kerana tanpil mengadakan kutipan derma untuk membantu rakyat Palestin yang hidup dalam kesusahan akibat perang.

Katanya, orang ramai juga diminta menyokog usaha yang dilakukan oleh wanita Umno yang akan turun padang untuk mengutip derma bagi tabung berklenaan.

Kerajaan terima RM10 juta setahun dari Syarikat Possti

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bersetuju menyerahkan segala pengurusan Pusat Taman Ilmu di Besut kepada Syarikat Possti Sdn Bhd selama 40 tahun dengan bayaran RM10 juta setahun kepada kerajaan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, syarikat itu bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan semua aspek pengurusan Taman Ilmu.

“Taman ilmu akan meneruskan konsep mini program untuk universiti-universiti dari dalam dan luar negara seperti yang dirancang kerajaan dan pelaksanaan itu akan diteruskan oleh syarikat berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak ada keupayaan untuk mengurus pusat tersebut dan memilih sebuah syarikat berpengalaman untuk mengurusnya dan berdasarkan perjanjian keutamaan tetap diberikan kepada anak-anak tempatan untuk belajar di situ.

Segala kelengkapan infrastruktur di pusat berkenaan selama tempoh perjanjian itu akan diselenggara oleh syarikat berkenaan dan dilaksanakan mengikuti perancangan awal kerajaan negeri.

“Segala pembangunan yang ada sekarang akan diteruskan dan diurus oleh pihak syarikat dan ini meringankan bebanan kerajaan apabila pengurusan diambil alih oleh syarikat berkenaan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini sudah ada enam buah universiti dari luar negara telah bersetuju untuk membuka cawangan di taman berkenaan.

“Kita sedia maklum untuk menguruskan sesebuah pusat pendidikan tinggi ini bukan suatu perkara yang mudah dan kerajaan tidak mahu mengambil risiko dengan menyediakan peruntukan yang besar untuk mengurus segala keperluan di situ,” katanya.

Namun katanya, kerajaan tetap komited memantau dan mengambil pengajaran sepanjang tempoh perjanjian kerana selepas itu ia akan diserahkan kembali kepada kerajaan negeri.

 

Kelab Chery Easter jadi duta kecil TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menggalakkan pembabitan pelbagai persatuan dan kelab di seluruh negara yang berperanan sebagai duta kecil pelancongan dalam usaha mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.



 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata promosi yang dilaksanakan kerajaan negeri secara intensif menerusi media cetak dan elektronik serta laman media sosial untuk menarik kunjungan pelancong akan lebih berkesan apabila pelbagai pihak turut membantu usaha berkenaan termasuk bertindak sebagai medium perantara kepada TMT 2013.

“Tahniah dan terima kasih kepada `Chery Easter Club’ yang berjaya mengumpul ahli dari serata negeri di seluruh Malaysia serta bertindak sebagai duta kecil bagi membantu mempromosikan TMT 2013.


 “Selain Chery Easter Club, kerajaan sentiasa mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak termasuk persatuan kereta dan permotoran dari seluruh negara mempromosikan TMT. Bukan sahaja menjayakan aktiviti penjelajahan dan lawatan bersama ahli kelab serta keluarga ke destinasi menarik di seluruh Terengganu, mereka juga boleh menghebahkan apa sahaja berita menarik untuk dikongsi dengan masyarakat luar sana,” katanya di Majlis perhimpunan Tahunan pemilik Chery Easter 2012 (Chery Easter Club), di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, Timbalan Pengarah (Sektoral), Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak dan Presiden Chery Easter Club, Encik Ridhoan Mohd Lazim.

Sebanyak 74 kenderaan pelbagai guna (MPV) Chery Easter membabitkan 450 ahli kelab bersama keluarga masing-masing menyertai acara konvoi ke Kuala Terengganu bermula Khamis lalu.

Program tiga hari di Bandar Raya Kuala Terengganu turut diisi dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan termasuk melawat tempat menarik seperti Taman Tamadun Islam, Bazar Warisan, Muzium Negeri dan Pasar Besar Kedai Payang.

Kelab yang berdaftar sejak 2009 mempunyai lebih 600 ahli dari seluruh Malaysia pernah mencatat rekod dalam Malaysia Books Of Records menerusi penyertaan peserta konvoi MPV terbesar yang melibatkan 147 MPV di Sungai Petani pada tahun lalu.

Terengganu merupakan destinasi ketiga dalam kalendar aktiviti tahunan kelab itu selepas memulakan konvoi di Kuantan pada 2010 dan Sungai Petani, Kedah (2011). Kelab itu merancang untuk menjalankan konvoi ke Ipoh, Perak pada 2013 nanti.





Lebih banyak forum cegah jenayah akan diadakan

Forum mengenai keselamatan keluarga akan diperluaskan di seluruh negeri bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keselamatan keluarga mereka dan langkah-langkah untuk mencegah jenayah.



Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, langkah itu penting bagi membolehan penduduk di negeri ini mendapat input-input dan ‘tips’ bagi mencegah jenayah yang berlaku di sekitar kawasan mereka.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini banyak jenayah berlaku melibatkan suri rumah dan ahli keluarga penduduk tempatan di mana ia boleh dicegah jika mereka didedahkan dengan kaedah keselamatan menjaga diri.

“Kita tidak tahu bila penjenayah akan melakukan kegiatan mereka dan ia boleh berlaku di mana-mana saja. Jika rakyat negeri ini tahu kaedah menjaga diri masing-masing, perkara yang tidak diingini boleh dicegah jika mereka didatangi penjenah berkenaan,’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Forum Perdana “Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita” yang diadakan di Bangunan Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri Seberang Takir di Seberang Takir, malam kelmarin.

Sempena forum berkenaan turut diadakan demonstrasi bagi mengelakkan penjenayah ditunjukkan kepada hadirin yang menyertai forum tersebut.

Dato’ Ahmad Razif berkata, berdasarkan sambutan yang menggalakkan pihaknya bercadang untuk mengadakan lebih banyak forum seumpama itu bagi memberi peluang orang ramai mendapatkan tips bagi mencegah jenayah.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta bantuan Kelab Pencegahan Jenayah Cawangan Negeri Terengganu bagi menjayakan forum berkenaan ke kawasan lain di seluruh negeri.



Orang muda disaran aktif sertai aktiviti sukarelawan

Oleh: Suriati Ali

 Golongan muda di Terengganu terutama penuntut universiti, institut latihan dan persatuan belia setempat diminta bergiat lebih aktif dalam aktiviti sukarelawan.



 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sehubungan itu, kerajaan negeri setia menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan dengan memberi fokus kepada golongan muda, sekali gus dapat menggunakan khidmat sukarelawan dalam pelbagai kegiatan yang diadakan nanti.

 “Seiring dengan perkembangan semasa hari ini, saya melihat adalah penting untuk kita melatih golongan muda terutamanya penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT), institut kemahiran dan persatuan belia yang ada untuk terlibat dalam aktiviti sukarelawan.

“Malah, dengan cara ini juga secara tidak langsung mampu mendidik golongan muda yang lebih prihatin dan peka dengan keadaan sekeliling, di samping khidmat mereka akan dapat digunakan bagi membantu melancarkan program yang akan diadakan nanti,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Berkhatan dan Bertindik di perkarangan Bangunan Penyelaras Umno Dun Seberang Takir, Telaga Daing, Kuala Terengganum kelmarin.



Seramai 52 kanak-kanak dikhatankan secara beramai-ramai, manakala peserta bertindik adalah seramai 23 orang.

 Pelbagai jabatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan mengambil bahagian mempamerkan produk masing-masing, termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan.

 Dato’ Haji Ahmad Razif turut memberitahukerajaan negeri bercadang untuk mendapatkan khidmat sukarelawan yang terdiri daripada golongan belia untuk membantu pesakit sebaik Pusat Rehablisasi Seberang Takir siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

 “Pusat yang akan memberi fokus untuk pesakit strok untuk rawatan dan fisioterapi bernilai RM350, 000 itu akan dibuka untuk menerima pesakit sebaik kesemua peralatan kesihatan lengkap sepenuhnya nanti,” katanya.

 




Ringan beban, segerakan hasrat berumahtangga

Oleh: Aida Abd Rahman

Bantuan RM2,000 kepada ibu dan bapa tunggal yang ingin berkahwin semula bermula tahun depan mampu membantu mengurangkan bebanan mana-mana golongan itu yang berhasrat membina kehidupan berumahtangga bersama pasangan masing-masing.

Pengerusi Kelab Ibu Tunggal Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Puan Saidah Salleh, 56, berkata dia tidak pernah terfikir sama sekali kerajaan akan menyediakan bantuan seumpama itu yang dapat menggalakkan golongan ibu atau bapa tunggal untuk berkahwin semula selama bercerai mahupun berpisah mati.

 “Sekiranya sudah ada pasangan dan calon pilihan untuk dibuat suami serta isteri, maka dengan bantuan RM2,000 setiap ibu atau bapa tunggal itu mampu menyegerakan impian mendirikan rumahtangga.

“Insiatif kerajaan ini membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan nasib golongan ibu atau bapa tunggal dalam setiap perancangan dan peruntukan tahunannya selain bajet RM20 juta untuk menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan taraf hidup golongan itu,” katanya.

 Seorang ibu tunggal dari Kampung Bukit Kubang Jambu, Puan Zulhanita Jusoh, 40, berkata pengumuman kerajaan itu sebagai satu hadiah kepada golongan itu untuk berkahwin dan mempunyai keluarga yang sempurna selepas hidup `membujang’.

“Keputusan kerajaan itu amat tepat pada masanya. Selain membantu golongan yang tidak bernasib baik dan kurang berkemampuan, bantuan itu juga dapat membantu menyegerakan hasrat `membina masjid’ apatah lagi jika sudah berhajat menamatkan zaman bujang masing-masing.

 “Bagaimanapun, jangan tergesa-gesa sehingga tersilap memilih pasangan hidup. Sebaliknya, jadikan pengalaman hidup ketika melalui fasa penceraian sebelum ini sebagai pengajaran bagi mengelak masalah yang sama menimpa kita pada kemudian hari,” katanya.

Bermula Januari depan, Kerajaan Terengganu bakal memperuntukkan bantuan sebanyak RM2,000 kepada mana-mana ibu tunggal dan bapa tunggal yang berkahwin semula.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata bantuan julung kali diwujudkan itu bertujuan mengalakkan golongan berkenaan mendirikan rumah tangga semula selepas melalui fasa perceraian.

"Peruntukan RM2,000 berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan itu untuk meneruskan kehidupan baru bersama pasangan mereka," katanya pada sesi penggulungan pada persidangan DUN, baru-baru ini.

Sehingga kini seramai 21,838 ibu tunggal dan 2,890 bapa tunggal direkodkan di negeri ini.

Selain itu, peruntukan RM20 juta dalam Bajet Terengganu 2013 di bawah program ibu tunggal turut diagihkan kepada golongan bapa tunggal.

 "Di dalam Belanjawan 2013 sebanyak RM20 juta disediakan untuk ibu tunggal dan daripada jumlah itu kita akan ambil kira untuk diberi kepada bapa tunggal juga," katanya.

 Dato’ Yahya berkata, kerajaan menyediakan pelbagai program di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Terengganu bagi membantu meningkatkan taraf hidup ibu tunggal seperti menyediakan  bengkel, kursus kemahiran, masakan dan jahitan, bengkel pemantapan pengurusan dan lawatan sambil belajar.

 

Nelayan Seberang Takir terima bantuan

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 450 nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menerima bantuan melalui Program Bantuan Nelayan Ihsan Samudera Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, melalui program tersebut sejumlah RM157,500 diperuntukkan pihak kerajaan untuk meringankan beban nelayan di kawasan terbabit.

"Sudah menjadi tradisi kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno membantu golongan nelayan di sini terutamanya apabila tiba musim tengkujuh.

"Dengan pemberian wang tunai RM200 dan barangan keperluan dapur diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan nelayan dalam menyediakan keperluan harian keluarga mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada golongan nelayan bersempena Karnival Kekeluargaan 1Malaysia DUN Seberang Takir 2012 bertempat di Bangunan Penyelaras Umno DUN tersebut, baru-baru ini.



Katanya, dengan pemberian bantuan tersebut ditambah dengan elaun sara hidup bulanan nelayan sebanyak RM200 dapat digunakan sebaiknya kerana kebanyakan penduduk di DUN Seberang Takir bergantung hidup kepada hasil laut.

Dato’ Haji Ahmad Razif merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri turut mengharapkan golongan nelayan di kawasan terbabit menyokong kerajaan sedia ada kerana telah terbukti nasib mereka sentiasa terbela dibawah pimpinan BN dan Umno.

 



Terengganu gagal mara ke final



Kedah melangkah ke final Kejohanan Bolasepak Piala Emas Raja-Raja menerusi kelebihan jaringan tempat lawan selepas seri 1-1 dengan Terengganu pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam semalam.


Pada aksi separuh akhir pertama di Alor Setar pada 5 Dis lalu, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Bagaimanapun, beraksi di hadapan hampir 6,000 penyokong, Terengganu bermula dengan begitu bersemangat untuk mendahului 1-0 pada minit ke-16 menerusi jaringan ketua pasukan Mohd Nurul Aliff Zainal Abidin.

Namun, Kedah bangkit semula pada babak kedua dengan mengatur gerakan kemas serta melakukan serangan bertali arus.



Usaha Kedah itu berbaloi apabila Hattapon al/ Bun An menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-85, sekali gus memastikan pasukan itu mara ke pentas final tahun ini dengan kelebihan peraturan jaringan di tempat lawan.

 





Keputusan PMR diumum 19 Disember (Rabu)

Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan diumumkan pada 19 Disember ini (Rabu).

Seramai 23,025 pelajar tingkatan tiga dari negeri ini, termasuk 124 calon berkeperluan khas (CBK) seperti buta, pekak, bisu, rabun, spastik dan lembam, menduduki peperiksaan PMR tahun ini.

Kesemua calon berkenaan menduduki peperiksaan di 192 pusat peperiksaan melibatkan 135 sekolah bantuan penuh kerajaan; tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); masing-masing dua dan empat swasta dan persendirian.

Pada tahun ini, seramai 22,229 adalah calon sekolah bantuan penuh kerajaan; 495 calon MRSM; 73 calon swasta dan 228 calon persendirian.

Sejumlah 481,424 pelajar tingkatan tiga di seluruh negara menduduki peperiksaan PMR tahun ini.