Halaman

17 December 2012

Hadi didesak tarik balik amanat


Puluhan ribu ahli dan pengikut tegar Pas dikesan masih berpegang teguh kepada amanat Presiden, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 yang mengkafirkan UMNO sehingga mereka kekal sehingga kini menganggap orang UMNO adalah kafir.


Perkara itu didedahkan sendiri aktivis yang juga bekas ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N al-Afghani berikutan masih ramai pengikut tegar parti itu percaya, pemimpin serta ahli UMNO jauh lebih hina daripada orang-orang bukan Islam.

Sehubungan itu, Zainon mendesak Abdul Hadi yang kini memegang tampuk kepemimpinan Pas menarik balik amanat berkenaan demi kepentingan umat Islam di negara ini kerana selagi beliau tidak berbuat demikian, orang Melayu akan kekal berpecah sampai bila-bila.

Katanya, dalam soal tersebut Abdul Hadi perlu meletakkan kepentingan akidah jauh lebih penting daripada pertimbangan politik kerana jika tidak, puluhan ribu pengikut Pas terus bergelumang dengan dosa akibat mengkafirkan saudara seagama hanya kerana perbezaan politik.

“Kepimpinan Pas tidak boleh berdiam diri dalam hal ini seolah-olah Abdul Hadi tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika mengeluarkan amanat kerana kesannya kepada masyarakat terlalu besar.

Soal kafir-mengkafir ini isu akidah jauh melebihi kepentingan politik. “Saya salah seorang ahli Pas yang terpengaruh dengan amanat tersebut sehingga sanggup mengkafirkan ayah dan abang sendiri. Sehingga kini saya tidak tenang kerana dihantui dosa itu.

Saya memohon kepada Allah agar diampunkan dosa sebelum ajal menjelma. “Tapi sebagai individu bertanggungjawab apatah ketika berkuasa, Abdul Hadi perlu membetulkan semula akidah pengikut Pas kerana masih terdapat puluhan ribu ahli parti yang taksub dan menganggap Umno kafir,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Zainon, walaupun sudah 31 tahun berlalu, tetapi amanat Abdul Hadi membarah sehingga ke hari ini di dalam jiwa dan pemikiran pengikut tegar Pas menyebabkan mereka menolak mentah-mentah apa sahaja termasuk kebaikan yang cuba dibawa kerajaan.

Dalam pada itu, Zaiton berkata, beliau sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai ‘serangan’ yang bakal dilemparkan pemimpin Pas termasuk ‘tuduhan wajib’ seperti dibeli oleh Umno kerana bertindak mendesak Abdul Hadi menarik balik amanat beliau yang membawa perpecahan.

“Saya buat semua ini atas sifat keinsafan diri demi untuk melihat akidah orang Islam khususnya pengikut tegar Pas yang bertindk mengkafirkan saudara seagama dapat diperbetulkan semula dan bagi tujuan itu, saya sedia bersemuka dengan mana-mana pemimpin Pas,” katanya.



Kerajaan sedia timbang wujudkan Kolej Sukan Negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri sedia menimbang cadangan untuk mewujudkan Kolej Sukan Negeri Terengganu sekiranya  mampu memberi manfaat dan impak positif kepada golongan belia di negeri ini pada masa depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, baru-baru ini.

 “Insya-Allah perkara ini akan diperbincangkan dan dilakukan kajian secara terperinci. Kerajaan Barisan Nasional yang memimpin Terengganu hari ini akan melihat cadangan (YB Mohd Zawawi Ismail (BN-Kuala Berang), jika kewujudan kolej itu nanti mampu mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada generasi muda dan belia negeri ini, kita bersedia untuk mewujudkannya satu masa nanti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa merintis jalan dan usaha untuk terus memperkasa bidang sukan di negeri ini sebagai kesinambungan kegemilangan sukan yang diraih Terengganu sejak kebelakangan seperti dalam Sukan Malaysia (Sukma) sejak empat tahun berturut-turut sejak 2008 lalu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyediakan  peruntukan besar setiap tahun termasuk RM25.5 juta pada tahun depan bagi bagi melaksanakan pelbagai program dan pembangunan sukan seperti pembinaan asrama atlet Majlis Sukan Negeri di Gong Badak, pembinaan Kompleks Sukan atau Mini Stadium di Hulu Terengganu serta membina 32 buah gelanggang futsal baru di setiap Dewan Undangan Negeri sebagai usaha berterusan menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti riadah.

 “Bagi memastikan kejayaan yang telah dicapai berterusan, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sentiasa merangka strategi pelaksanaan yang terbaik termasuk mengadakan kerjasama dan persefahaman dengan Universiti Malaysia Pahang bagi menerokai bidang Kejuruteraan Mekanikal dalam sukan melalui kajian-kajian yang berkait dengan Biomekanik iaitu Sains Pergerakan Sukan.

 “ Hasil penemuannya akan digunakan untuk meningkatkan prestasi atlet-atlet kita ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan matlamat kita untuk menjadikan ‘Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan’, katanya.


Akses lanjut pengajian diperluas

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan terus memperluaskan akses kepada pengajian pra universiti dan pengajian tinggi terutama dari segi pengambilan pelajar dan penajaan.

Pengerusi jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata peruntukan penajaan dan bantuan sentiasa ditambah bagi memastikan setiap rakyat berpeluang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

“Itulah yang kita cita-citakan dan impikan kepada seluruh rakyat Terengganu. Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat ini, pada tahun lalu kerajaan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM 123.85 juta kepada Yayasan Terengganu bagi perbelanjaan pengurusan, penajaan pelajar ke IPTA dan IPTS di dalam dan luar negara serta pusat latihan kemahiran, bantuan persediaan bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh, tingkatan enam dan IPT, penganjuran kursus dan sebagainya.

“Peruntukan ini telah memberi manfaat kepada 1, 836 pelajar bagi penajaan pengajian di dalam dan luar negara, 24,884 pelajar bagi bantuan persediaan , 8142 pelajar bagi Biasiswa Kecil Yayasan 2,167 pelajar bagi bantuan ke Tingkatan Enam Atas,133 pelajar bagi bantuan murid miskin, tujuh murid cacat di samping pemberian insentif pelajar cemerlang kepada 7,457 pelajar,” katanya.

Dato’ Ahmad Razif berkata, pada tahun ini tiga program baru pula diperkenalkan iaitu Kursus Persediaan Automotif di Jerman melibatkan enam pelajar,Program EASA ( European Aviation Safety Agency) Part 147 di TAECO , China melibatkan 11 pelajar dan perubatan di Universiti Hasanuddin, Indonesia yang melibatkan lima pelajar.

 Katanya, bantuan pendidikan juga diberi melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di mana pada tahun lalu Maidam membelanjakan sejumlah RM 19.13 juta yang memberi manfaat kepada 9,127 pelajar di samping bantuan kepada institusi pendidikan dan bantuan untuk pembangunan pendidikan.

 “Bagi anak miskin yang tidak berkelayakan menyambung pengajian ke IPT, Maidam dengan kerjasama UiTM melaksanakan Program Mengubah Destini Anak Bangsa iaitu pengajian peringkat pra diploma.

 “Pada tahun ini, seramai 247 pelajar mengikuti program itu dan setelah tamat pra diploma dengan jayanya, mereka akan ditawarkan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di UiTM ,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai usaha menambah cendekiawan Islam sehingga menjadi ulama berwibawa melalui program pembiayaan pendidikan peringkat ijazah pertama hingga ke peringkat PhD diperkenalkan pada 2010 dengan membiayai lima pelajar di Jordon, lapan di bawah program Al- Ansar (2011), manakala seramai 76 pelajar pula diberi dermasiswa termasuk penempatan dan perjalanan di Jordan.

 

Warga emas gembira terima kunjungan

Oleh: Noraini Jusoh



Seorang warga emas di Kampung Gong Sentul melahirkan perasaan gembira menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said serta pemimpin setempat dan ketua-ketua jabatan yang lain.


Yusof @ Abd Rajab Muda, 68, berkata beliau begitu terharu apabila Dato’ Haji Abdul Rahin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu dan para sukarelawan sudi datang untuk bergotong royong mengecat rumahnya.
"Saya sangat gembira atas kunjungan ini dan terima kasih diucapkan kepada semua yang sudi hadir ke rumah saya yang serba kekurangan,” ujarnya ketika ditemui Teganukita di rumahnya pada program gotong royong ‘Titik Sentuhan’ baru-baru ini.

Aktiviti gotong royong yang diadakan bersempena Program Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia Janji Ditepati itu adalah anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Penerangan (Pengurusan), Tarmidzi Hashim; Pengarah Penerangan negeri, Azizah Awang dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Ismail Nik.

Selain sempat meluangkan sedikit masa mengecat rumah warga emas tersebut Dato’ Haji Abdul Rahin turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada Yusof yang telah kematian isteri dan tinggal berseorangan.

Yusuf yang mempunyai seorang anak yang sudah berkahwin dan tinggal berasingan dengannya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang cakna dan prihatin terhadap rakyat.

 

Keputusan pemilihan DAP bukti tidak mencerminkan wakil pelbagai kaum


Timbalan Ketua Penerangan UMNO Besut,Ghazali Che Noh

Oleh: Mohammad Ishak 

Sudah terbukti kini DAP yang mendakwa mewakili pemimpin pelbagai kaum gagal mencerminkan konsep kepemimpinan dalam parti itu apabila tiada seorang pun calon Melayu yang bertanding menduduki Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dipilih mewakili parti.

Dengan menampilkan lapan calon Melayu tiada seorang pun daripada mereka dian gkat untuk membarisi pemipin dalam barisan kepemimpinan DAP apabila manjoriti 1,826 perwakilan yang mengundi menolak calon Melayu.

Keputusan itu menampakan sikap perkauman dalam DAP secara berterusan apabila calon Melayu diketepikan dengan manjoriti oleh perwakilan yang hadir.

Sudah sampai masanya pemimpin Melayu dalam parti pembangkang itu memikir semula masa depan politik mereka kerana sudah jelas orang Melayu ditolak oleh DAP.

Hanya calon berstatus Senator iaitu Ariffin SM Omar yang mampu meraih tempat ke 37 dan menjadi calon Melayu tertinggi dipilih oleh perwakilan pada pemiluhan CEC yang berlangsung di Pulau Pinang semalam.

Keputusan itu sepatutnya membuka mata rakyat negara ini kerana DAP hanyalah parti pimpinan keluarga dan anak beranak.

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Umno Besut,Ghazali Che Noh berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan itu kerana DAP sudah lama mempermaikan orang Melayu termasuk pemimpin yang ada bersama barisan parti itu.

Katanya,orang Melayu sudah lali dengan permainan politik DAP yang sentiasa member gambaran bahawa parti itu bukan sebuah parti berbilang kaum seperti yang sering dilaungkan pemimpin mereka sebelum ini.

Terengganu negeri terawal bina ICT kalangan pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu merupakan negeri terawal membina ICT di kalangan pelajar dan negeri terbanyak mempunyai e-book kalangan pelajar di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Terengganu muncul negeri pertama di negara ini yang melaksanakan kelas maya di sekolah rendah dan menengah.

 Katanya, apa yang dilaksanakan di negeri ini adalah selaras dengan gelombang pendidikan negara dalam pelan pembangunan 2013-2025.

 “Kehebatan ini sedang berlaku dalam projek Virtual Learning Environment (VLE) yang telah merancakkan lagi kelas maya serta penggunaan e-book di semua sekolah di seluruh negeri,” katanya.

Katanya, Fakulti Sains Universiti Pendidikan Sultan Idris yang diketuai oleh Prof Dr Chan Lee Hok bersama Intel Corporation dari Amerika telah membuat penyelidikan mengenai kegunaan e-book yang mampu melonjakkan pemahaman pelajar.

Menurutnya, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Jabatan Pelajaran turut membuat kajian mengenai penggunaan e-book di 260 buah sekolah daripada 349 buah sekolah seluruh negeri.

“Kita sekarang bergerak berasaskan kajian dan cadangan yang diberi oleh pihak-pihak yang membuat kajian mengenai kelas maya dan e-book serta sentiasa bersedia menerima pandangan-pandangan lain demi kebaikan pelajar,” katanya .

Tambahnya, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 terdapat tiga gelombang iaitu yang pertama, 20 murid setiap alat ICT internet dengan kadar kelajuan dua megabait, yang kedua, internet 24 jam satu perpustakaan 20 murid setiap alat peranti ICT dan ketiga 10 megabait satu komputer bimbit seorang murid menengah dan satu kemudahan sidang vedio.

Katanya, kerajaan negeri telah melaksanakan lebih awal daripada apa yang akan dilaksanakan diperingkat pusat dan kini telah menerapkan pengetahuan ICT bermula di peringkat sekolah rendah lagi.

Malah katanya, kini kesemua murid bermula empat, lima dan enam serta tingkat satu dan dua sudah ada e-book masing-masing dan dalam program e-book ini ada program permainan yang menguji minda pelajar dan boleh membantu meningkatkan pelajaran.

 “Jangan ingat pengisian permainan yang ada dalam e-book boleh menganggu pelajaran mereka sebaliknya dapat membantu perkembangan minda untuk menjadi lebih cemerlang dalam menguasai IT,” katanya.

PPNT tawar pakej pelancongan menarik

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik bagi menggamit pelancong datang ke negeri ini, khususnya menjelang Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Langkah itu juga bertujuan memperkenalkan “Payang Walk” yang dimulakan baru-baru ini, sebagai mempromosikan Bandaraya Kuala Terengganu sebagai “Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Antara pakej yang disediakan ialah menyusuri Sungai Terengganu (river crusie), menyusuri Sungai Terengganu sambil menikmati makan tengahari, makan malam atau minum petang dan menaiki beca di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, khususnya di sekitar Kedai Payang.

Pengerusi PPNT, Haji Wan Supian Dato’ Wan Ishak, berkata pihaknya diberi tanggungjawab bagi mengedalikan Program “Payang Walk” yang bertujuan mewujudkan keceriaan, keselesaan dan menghidupkan suasana waktu malam di sekitar bandar ini.

“Pengisian dalam Program “Payang Walk” ini terdiri daripada jualan barangan Terengganu seperti kraftangan, cenderahati, makanan, minuman, pelukis jalanan dan ubat-ubatan tradisional negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, persembahan kebudayaan akan diadakan pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula dari jam 6 petang hingga 1 pagi bagi memeriahkan suasana di kawasan “Payang Walk”.

 PPNT mengenakan harga yang berpatutan bagi setiap pakej pelancongan yang disediakan dan pelancong serta pelawat yang berminat boleh menghubungi pihak persatuan bagi mendapatkan keterangan lanjut.

“Mereka yang berminat untuk mendapatkan pakej ‘river cruise’ boleh menghubungi PPNT melalui talian 09-6221891 atau 017-9810070 (Haji Wan Supian) untuk tempahan,” katanya.

 

Kerajaan akan bina rumah untuk mangsa ombak di Kuala Besut


DR A Rahman Mokhtar melawat kawasan penempatan penghuni PPRT  dipulkul ombak besar kelmarin

Oleh: Mohammad Ishak 

Masalah kebimbangan penghuni di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut,dijangka dapat diselesaikan apabila kerajaan negeri membina rumah kediaman untuk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,YB Dr A Rahman Mokhtar berkata, projek perumahan berharga RM10 juta di Kampung Lay Out Tok Saboh dalam DUN Kuala Besut itu kini dalalam proses tawaran harga kepada kontraktor.

Katanya, pembinaan rumah kediaman itu bagi menempatkan 46 keluarga di PPRT terbabit yang hidup dalam ketakutan kerana kawasan itu sering berlaku ombak besar terutama musim tengkujuh.

Dr A Rahman yang juga ADUN Kuala Besut berkata demikian ketika melawat kawasan penempatan PPRT terbabit yang dilanda ombak besar malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu ombak kuat memukul pantai menyebabkan banteng dan jalan di situ pecah dan rosak teruk tetapi penghuninya terselamat.

Berikutan itu, Dr A Rahman mengarahkan jabatan dan agensi terbabit segera mengambil tindakan dan membantu memulihkan keadaan di kawasan penempatan berkenaan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut terpaksa menggunakan 10 lori untuk memunggah batu konkrik dan dijadikan banteng penghadang ombak bagi mengelak hakisan pantai terus merebak di situ.

16 December 2012

SUK Terengganu terima 24,724 permohonan rumah

Oleh: Suriati Ali

 Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri bahagian perumahan menerima sebanyak 24,724 permohonan untuk menduduki rumah kos rendah di Terengganu sejak Januari 2008 hingga November lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, namun ramai pemohon didapati bukan daripada kalangan yang layak menerima kemudahan itu.

Katanya, hanya 15,008 pemohon telah dipanggil untuk temuduga dan seramai 2,449 didapati memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi menduduki rumah berkenaan manakala selebihnya masih dalam semakan.

"Sebenarnya, tidak ada masalah untuk kita memenuhi permohonan itu kerana sebagaimana yang kita sedia maklum, sepanjang tempoh tersebut (Januari 2008 hingga November 2012), sebanyak 28 projek perumahan kos rendah dan rumah mampu milik telah dilaksanakan.

 "Sehingga hari ini, sebanyak 4,701 unit rumah telah disiapkan dan boleh diduduki pada bila-bila masa," katanya.

 Katanya, pada tahun depan sebanyak RM72.50 juta diperuntukkan untuk meneruskan pembinaan rumah sedia ada di samping melaksanakan projek-projek baru.

 “Sebahagian besar pemohon tidak layak menduduki rumah berkenaan dan memberi alasan tidak mampu kerana mempunyai pendapatan yang rendah.

 "Walaupun kita menyediakan kemudahan pembayaran secara progresif, mereka masih tidak mampu untuk membayar RM100 sebulan.

 "Bagaimanapun sebagai alternatifnya, ada projek-projek tertentu yang kerajaan negeri buat dan kita gunakan beberapa kaedah untuk membolehkan mereka diberikan pinjaman," katanya.

 

JPNT hantar kontijen terbaik ke MSKPP

Oleh; Esah Abdullah 




Seramai 135 peserta kontijen dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan menyertai kejohanan Majlis Sukan Kebudayaan Perkhdimatan Pelajaran (MSKPP) peringkat kebangsaan yang berlangsung di Shah Alam , Selangor pada 18 hingga 23 Disember ini.

 Kontijen Terengganu yang terdiri daripada guru dan kakitangan sokongan JPNT akan menyertai sembilan acara sukan dalam misi merebut juara seperti bola sepak, bola sepak veteran, bola jaring, takraw, tenis, bola tampar, ping pong, boling dan golf.

Pengarah JPNT, Encik Zakaria Hussin berkata, walaupun Terengganu menduduki tempat ke empat pada pesta sukan yang diadakan di Johor tahun lalu, tetapi berkeyakinan untuk menjadi juara tahun ini.

``Kita hantar kontijen terbaik tahun ini di samping membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah pada pesta sukan tersebut tahun depan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bendera negeri kepada ketua Kontinjen negeri yang juga Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu Encik Azhar Abu Bakar di perkarangan JPNT semalam.

Beliau yang juga Yang Dipertua MSKPP negeri berkata, Terengganu berharap peserta dapat menunjukkan kehebatan dan kebolehan dalam acara sukan yang dipertandingkan.

Namun begitu katanya, dalam memastikan semangat kesukanan dijaga, kesabaran dan ketabahan penting untuk mengelakkan sebarang masalah yang boleh merugikan kepada peserta.

`Peserta juga perlu menjaga nama baik negeri dan sekaligus mengharumkan nama Terengganu sebagai satu kuasa sukan yang terbaik pada masa ini,’’ katanya.