Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan negeri akan terus memperluaskan akses kepada pengajian pra universiti dan pengajian tinggi terutama dari segi pengambilan pelajar dan penajaan.
Pengerusi jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata peruntukan penajaan dan bantuan sentiasa ditambah bagi memastikan setiap rakyat berpeluang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
“Itulah yang kita cita-citakan dan impikan kepada seluruh rakyat Terengganu. Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat ini, pada tahun lalu kerajaan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM 123.85 juta kepada Yayasan Terengganu bagi perbelanjaan pengurusan, penajaan pelajar ke IPTA dan IPTS di dalam dan luar negara serta pusat latihan kemahiran, bantuan persediaan bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh, tingkatan enam dan IPT, penganjuran kursus dan sebagainya.
“Peruntukan ini telah memberi manfaat kepada 1, 836 pelajar bagi penajaan pengajian di dalam dan luar negara, 24,884 pelajar bagi bantuan persediaan , 8142 pelajar bagi Biasiswa Kecil Yayasan 2,167 pelajar bagi bantuan ke Tingkatan Enam Atas,133 pelajar bagi bantuan murid miskin, tujuh murid cacat di samping pemberian insentif pelajar cemerlang kepada 7,457 pelajar,” katanya.
Dato’ Ahmad Razif berkata, pada tahun ini tiga program baru pula diperkenalkan iaitu Kursus Persediaan Automotif di Jerman melibatkan enam pelajar,Program EASA ( European Aviation Safety Agency) Part 147 di TAECO , China melibatkan 11 pelajar dan perubatan di Universiti Hasanuddin, Indonesia yang melibatkan lima pelajar.
Katanya, bantuan pendidikan juga diberi melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di mana pada tahun lalu Maidam membelanjakan sejumlah RM 19.13 juta yang memberi manfaat kepada 9,127 pelajar di samping bantuan kepada institusi pendidikan dan bantuan untuk pembangunan pendidikan.
“Bagi anak miskin yang tidak berkelayakan menyambung pengajian ke IPT, Maidam dengan kerjasama UiTM melaksanakan Program Mengubah Destini Anak Bangsa iaitu pengajian peringkat pra diploma.
“Pada tahun ini, seramai 247 pelajar mengikuti program itu dan setelah tamat pra diploma dengan jayanya, mereka akan ditawarkan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di UiTM ,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai usaha menambah cendekiawan Islam sehingga menjadi ulama berwibawa melalui program pembiayaan pendidikan peringkat ijazah pertama hingga ke peringkat PhD diperkenalkan pada 2010 dengan membiayai lima pelajar di Jordon, lapan di bawah program Al- Ansar (2011), manakala seramai 76 pelajar pula diberi dermasiswa termasuk penempatan dan perjalanan di Jordan.