Halaman

21 December 2012

Nekad anak petani cipta kejayaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Nekad seorang pelajar mahu mengubah nasib keluarga pada masa depan berhasil apabila mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan, kelmarin (19 Disember).



 Anak sulung daripada empat beradik, Anis Syahirah Mohd Shafie, 15, belajar dengan gigih walaupun hidup dalam serba kekurangan sehingga mampu mencipta kejayaan yang turut menggembirakan kedua ibu bapanya, Wan Kalifatra Mat Ali, 41 dan Mohd Shafie Ismail, 41 serta seluruh warga sekolahnya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Terengganu itu menjadikan kesusahan hidup mereka sekeluarga yang hanya bergantung kepada sumber pencarian bapanya sebagai petani sebagai inspirasi untuk meraih kejayaan itu.

 “Saya mahu mengubah nasib keluarga dan mahu membalas jasa bapa yang sanggup membanting tulang di sawah dan menanam pelbagai sayu-sayuran untuk dijual sebagai mata pencarian untuk menyara dan menyekolahkan kami adik beradik.

 “Selepas ini, sebagai anak sulung dan ikutan kepada adik-adik yang lain saya mahu terus membuat yang terbaik dalam pelajaran dan berjaya menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran bagi mencapai cita-cita bergelar doktor,” katanya.

Anis yang memperolehi 6A 2B ketika peperiksaan percubaan PMR menerapkan kaedah belajar dengan mengulangkaji secara konsisten, selain sentiasa solat hajat dan tahajud bagi memohon keberkatan dalam setiap usahanya.


Sementara itu, Pengetua SMK Tengku Mizan, Haji Ismail Khusri, berbangga dengan prestasi memberangsangkan yang dihasilkan pelajarnya pada PMR kali ini.

 “Seramai 14 pelajar saya berjaya memperolehi semua A, meningkat lima orang berbanding tahun lalu. Ini semua usaha padu guru, pelajar dan juga sokongan tidak berbelah bahagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah yang dipengerusikan YB Ustaz Khazan Che Mat (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit),” katanya.

Katanya, Gred Purata Sekolah sedikit merosot, bagaimanapun dua mata pelajaran mencapai 100 peratus minimum D, iaitu Kemahiran Hidup dan Bahasa Arab.





20 December 2012

Program gemilang siswa di Tesdec

Oleh: Noraini Jusoh


Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) hari ini telah mengadakan Program Gemilang Siswa IPTA/IPTS 2012 peringkat Negeri Terengganu bertempat di Kampus Induk Kolej Tesdec, Marang.


Penolong Pengarah JPNT, Encik Mohd Iskandar Jaafar berkata, program yang kali ketiga dianjurkan ini berkonsepkan turun padang untuk mendekati golongan sasaran.

"Tujuan utama program ini adalah untuk mendekati dan memberi pemahaman kepada pelajar kolej ini berhubung dengan dasar-dasar kerajaan khasnya Gagasan 1Malaysia.

 "Selain itu, ia juga bertujuan menyampaikan maklumat berkaitan isu-isu semasa kepada mereka melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan,” ujarnya di sidang media selepas selesai program tersebut.


 Katanya, program yang bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir 12 tengahari tersebut dipenuhi dengan aktiviti yang dapat memupuk semangat patriotisme di kalangan pelajar.



"Antara aktiviti yang disertai oleh lebih kurang 200 orang pelajar pada hari ini termasuk senam seni 1Malaysia, sudut patriotik, aktiviti dalam kumpulan serta ceramah 1Malaysia,” ujarnya.

Difahamkan, Program Gemilang Siswa merupakan kesinambungan daripada Program Kembara Kampus yang pernah diperkenalkan Jabatan Penerangan pada tahun 2010 untuk mendekati golongan mahasiwa dan mahasiswi di seluruh negara.



 







Amanat Hadi wajar ditolak, ditarik balik

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib 

Memang wajar semua pihak menolak Amanat Hadi yang dikeluarkan pada tahun 1981 kerana banyak fakta yang terkandung dalam amanat itu bukan saja menyalahi syarak, tetapi juga mendatangkan terlalu banyak keburukan.

Bermula sejak amanat itu dikeluarkan dan disebar secara meluas bagi kepentingan politik Pas, hingga sekarang ini tidak ada satu pun kebaikan ke arah menyatupadukan ummah.

Sejak berpuluh-puluh tahun lalu amanat tersebut menghantui masyarakat Melayu dan Islam, tidak ada sebarang faedah ia dikeluarkan, sebaliknya apa yang berlaku amanat itu telah menyumbang ke arah memecah-belahkan masyarakat dan menimbulkan huru-hara di seluruh negara.

Kemuncak amalan karut yang dipegang ahli-ahli dan pengikut Pas, Amanat Hadi telah menyebabkan berlakunya pertumpahan darah Peristiwa Memali pada 19 November 1985 yang mengorbankan 14 orang penduduk tempatan.

Berapa ramai kaum keluarga yang berpecah akibat amanat itu, tidak terhitung. Berapa ramai pasangan yang bercerai kerana amanat itu, tidak terbilang.

Berapa ramai bapa dan anak tidak bertegur sapa kerana amanat itu, tidak terkira. Laporan Berita Harian hari ini yang memetik pengakuan bekas ahli Dewan Ulama Pas, Prof Madya Mohd Noor Deris, amat menyedihkan masyarakat Islam.

Pengakuan dari hati yang tulus bekas pemimpin Pas itu membuktikan betapa amanat itu merupakan ajaran sesat yang sengaja disebarkan dan digerakkan untuk menggulingkan Kerajaan Barisan Nasional (BN), amat mengejutkan semua pihak.

Kita semua dikejutkan dengan pengakuan Prof Madya Mohd Noor bahawa Amanat Hadi tidak lain tidak bukan semata-mata bertujuan menghasut para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menggulingkan kerajaan yang dianggap kafir.

Malah, beberapa gerakan berhaluan kiri dan militan telah digerakkan pada awal pengenalan Amanat Hadi bagi meniupkan ras benci rakyat, khususnya para pelajar IPT supaya membenci kerajaan dan pemimpin Umno dan BN yang tidak bersalah.

Kini masih ramai pengikut dan penyokong Pas masih berpegang teguh kepada Amanat Hadi kerana tidak ada sebarang langkah daripada pemimpin Pas untuk menarik balik amanat tersebut.

Mohd Noor yang membuat pengakuan bahawa beliau berada dalam keadaan sesat ketika membantu menyebarkan amanat tersebut bersama-sama pemimpin Pas lain, termasuk Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, telah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat.

Sepatutnya langkah itu dicontohi semua pemimpin Pas dan Abdul Hadi sendiri, demi bagi menyelamatkan akidah umat Islam yang terpesong akibat ajaran songsang itu.


AMANAT HADI DITENTANG

Mutakhir ini kita membaca, mendengar dan menonton di televisyen gesaan Mufti, Ulama, pemikir Islam dan mereka yang sedar daripada kesilapan lalu yang termakan dan terpengaruh dengan Amanat Hadi pada 1981, MENGGESA Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya MENARIK BALIK amanatnya itu.

Gesaan juga meminta Hadi supaya MEMOHON MAAF kepada mereka yang teranianya dan tersesat akibat amanatnya itu. Datuk Seri Abdul Hadi wajib segera menarik balik amanatnya yang menggambarkan UMNO kafir yang merupakan bidaah besar serta bercanggah dengan amalan ahli Sunnah Wal Jamaah.

Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) mahu Datuk Seri Abdul Hadi BERTINDAK SEGERA kerana pendedahan terbaharu bekas aktivis Pas dan bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail atau C.N al-Afghani mendakwa PULUHAN RIBU AHLI PARTI ITU MASIH MENGANGGAP ORANG UMNO SEBAGAI KAFIR ekoran amanat Abdul Hadi pada 1981 yang sehingga kini tidak ditarik balik.

 Melalui bukunya Kafirkah Aku? Zainon mendedahkan KERANA AMANAT itu, pengikut PAS MENGANGGAP UMNO KAFIR, MENCETUSKAN PERISTIWA MEMALI 1985, BERLAKU SOLAT DUA IMAM KHUSUSNYA DI TERENGGANU, WUJUD PANDANGAN SEMBELIHAN ORANG UMNO HARAM DIMAKAN, JENAZAH ORANG UMNO TIDAK LAYAK DISEMBAHYANGKAN DAN BERLAKU PERCERAIAN hanya kerana perbezaan politik.

 

Pelajar Terengganu atasi GPMP nasional

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak 12 daripada 13 mata pelajaran yang ditawarkan dalam Penilaian Menengah Rendah negeri ini berjaya mengatasi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) nasional.



Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin, berkata mata pelajaran berkenaan Bahasa Melayu (-0.17); Sejarah (-0.16); Geografi (-0.25); Bahasa Arab (-0.07); Bahasa Cina (-0.12); Pendidikan Islam (-0.08); Matematik (-0.04) dan Sains (-0.09).

Lain-lain, Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Kemahiran Tenikal (-0.39); KHB Ekonomi Rumahtangga (0.50); KHBPertanian (-0.13) serta KHB Perdagangan dan Keuhawanan (-0.64).

Selain GPMP negeri mengatasi nasional, tujuh mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan dari segi GPMP berbanding tahun sebelumnya.

Mata pelajaran berkenaan adalah Bahasa Melayu (-0.01), Bahasa Cina (-022) Sejarah (-0.08); Geografi (-0.11) Pendidikan Islam (-0.01) KHB Kemahiran Tenikal (-0.14) dan KHB Ekonomi Rumahtangga (-0.14).

"Ini merupakan satu petunjuk yang baik bahawa kecemerlangan pendidikan di negeri kita ini dapat kita lestarikan.

"Jika kita terus kuat berusaha untuk memajukan lagi kualiti pendidikan kita maka pada suatu masa nanti, tidak mustahil wawasan kecemerlangan pendidikan kita akan tercapai,” katanya.



 

MB susur sungai dengan bot tradisional

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan menyusuri Sungai Terengganu (river cruise) dengan menggunakan bot tradisional, bagi mempromosikan perkhidmatan itu, Isnin ini (24 Disember).

Beliau dijadualkan menggunakan perkhidmatan tersebut bersama-sama pegawai kanan kerajaan, wakil media massa dan agen pelancongan, sambil menikmati makan malam di atas bot berkenaan.

Khidmat tersebut dikendalikan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) khusus bagi menggamit pelancong datang ke negeri ini, terutama menjelang Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Antara pakej yang disediakan ialah menyusuri Sungai Terengganu (river crusie), menyusuri Sungai Terengganu sambil menikmati makan tengahari, makan malam atau minum petang dan menaiki beca di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, khususnya di sekitar Kedai Payang.

Mengikut atucara program itu, Menteri Besar akan menaiki bot pada jam 5 petang dan singgah di Riyaz Heritage Resort & SPA bagi menikmati hidangan teh tarik dan kerepok lekor di Bytes Cafe.

Selepas itu beliau dan rombongan akan meneruskan perjalanan menaiki bot TTI menuju ke Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam dan menunaikan solat maghrib.

Beliau kemudiannya meneruskan perjalanan sambil menikmati hidangan makan malam di atas bot dan menikmati panorama malam di persekitaran TTI.


60 usahawan sertai karnival

Oleh: Suriati Ali 

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) cawangan Terengganu akan menganjurkan Karnival Halal 1Malaysia Best selama tiga hari bermula hari ini sehingga 22 Disember ini.

Karnival terbuka kepada semua peniaga, terutama usahawan Industri Kecil dan Sederhana itu akan diadakan di Pusat Dagangan Terengganu, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

 Pengarah Fama , Encik Hasan Jusoh berkata, karnival itu bertujuan mempromosikan produk makanan dari negeri Pantai Timur yang mendapat pengiktirafan 1Malaysia Best.


“Karnival ini juga terbuka kepada masyarakat di luar Pantai Timur yang berminat mempromosi produk mereka,.

 “Seramai 60 usahawan akan menyediakan lebih 120 jenis kuih muih Tradisional Melayu, termasuk yang jarang diperoleh, seperti kuih gelombung buaya, gajah merah, tepung bunga dan buah lok lik.

 Katanya, pengusaha anak pokok dan bunga hiasan turut mengambil pada karnival itu, semata-mata mahu membantu menarik minat pengunjung.

 “Pihak kami bersedia menganjurkan karnival seumpama ini pada tahun akan datang kerana menyedari mampu mempromosi produk selain usahawan juga berpeluang menjalin hubungan kerja serta memperluas pasaran, katanya.

 

Agensi media disaran bersama Ukom

Oleh: Suriati Ali 

Pelbagai agensi media di negeri ini diminta bersama-sama Unit komunikasi Negeri (Ukom)  bagi memperjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri secara mendalam dan telus kepada rakyat.



Pengarah Ukom Haji Shamsudin Sulong, berkata kedua-dua pihak itu berperanan penting dalam menyampaikan sumber berita dan maklumat tepat kepada pihak berkaitan, terutama kepada masyarakat.

Katanya, pada sama sama, Ukom tidak jemu memperjelaskan isu-isu semasa melalui pelbagai program yang diaturkan selaras dengan moto `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’

“Pendekatan itu mampu menangkis dakyah dan fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap negeri dan pihak berkepentingan.



 “Apa yang dilaskanakan ini semata-mata mahu meningkatkan keyakinan dan sokongan rakyat secara berterusan kepada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Mesra Media di Permai Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Besar, Encik Rosli dan Zakaria dan ketua-ketua biro pelbagai agensi media. Lebih 100 petugas media, hadir bagi memeriahkan majlis tahunan anjuran Ukom.

 Haji Shamsudin turut memberitahu, program seumpama itu akan diteruskan walaupun kadang kala mempunyai kekangan masa, supaya hubungan baik dan sikap tolenrasi terus terjalin.

 

BPUNT lancar 'perang' dengan mereka yang pertahan amanat Presiden Pas

Oleh; Esah Abdullah

Biro Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) akan melancarkan ‘perang habis-habisan’ dengan mereka yang mempertahankan amanat yang dikeluarkan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (1981) sehingga ia ditarik balik.

Ketua Penerangan BPUNT, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jadikan ia suatu jihad demi memulih akidah dan persaudaraan di kalangan umat Islam.

“Saya menyeru seluruh rakyat negeri dan negara ini yang beragama Islam menolak ‘amanat’ itu dengan penuh kesedaran dan keinginan untuk melihat umat Islam kembali bertaut dan bersatu di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sehubungan itu katanya, enam pendekatan akan diambil berhubung isu berkenaan dengan mendesak secara berterusan Presiden PAS itu agar menarik balik amanatnya yang dibuat di Banggol Peradong kerana ia menghuru-harakan orang Islam dari segi akidah dan persaudaraan

Kedua; menggerakkan seluruh jentera Penerangan UMNO bahagian dan cawangan di negeri ini agar menjelaskan kepada rakyat perkara yang menyebabkan kesesatan umat Islam akibat amanat ini.

Ketiga; akan menyerahkan memorandum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin supaya bertindak sewajarnya terhadap amanat ini.

Keempat; menyokong usaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) agar ‘memerangi’ amanat yang memecah-belahkan umat Islam hingga ke beberapa negeri lain dan membuat penjelasan sewajarnya.

Kelima; mengeluarkan bahan-bahan bacaan dan tontonan kenapa amanat Dato’ Seri Abdul Hadi itu dianggap menyesatkan, mengeliru dan memporak-perandakan umat Islam di Terengganu dan beberapa negeri lain, termasuk di Kelantan, Kedah, Pahang dan beberapa negeri lain.

Keenam; bekerjasama dengan UMNO Pusat dan negeri-negeri bagi mendesak Dato’ Seri Abdul Hadi supaya menarik balik dan memohon maaf kepada mereka yang tersesat akibat amanatnya.

Beliau seterusnya melahirkan rasa kesal dengan sikap degil dan tidak endah Dato’ Seri Abdul Hadi kepada gesaan supaya memohon maaf dan menarik balik amatnya itu.
 

Sekolah berpencapaian tinggi PMR meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman



Kualiti pencapaian sekolah seluruh Terengganu dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 meningkat berbanding tahun lalu.

Pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik apabila terdapat pertambahan sebuah sekolah kepada 27 yang berjaya mencatat GPS cemerlang (1.00 hingga 1.80) atau prestasi A.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin,berkata Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud merekodkan GPS 1.03 untuk mendahului senarai sekolah berpencapaian tinggi apabila 84.62 peratus daripada 104 pelajarnya memperolehi semua A.

Sekolah lain, SMK Mak Lagam, Kemaman (1.10) dengan 58.65 peratus mendapat semua A, diikuti SM Sains Dungun (1.11) dengan 53.68 peratus pelajarnya memperolehi semua A.

Sekolah lain, SM Sains Hulu Terengganu (1.13), SM Imtiaz Kuala Berang (1.14); SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.16); SMK lembah Bidong (1.18); SM Imtiaz Besut (1.18); SMK Chukai 1.19 dan SMKA Sheikh Abdul Malek (1.19); SM Imtiaz Dungun (1.19); SMK Tengku Mahmud (1.21) dan SMA (A) Sultan Zainal Abidin Terengganu (1.24) dan SBP Integrasi Batu rakit (1.25).

 “Selain merekod bilangan peningkatan sekolah berpencapaian tinggi, Terengganu juga mempunyai 15 sekolah berjaya mencapai 100 peratus minimum D (lulus semua subjek),” katanya.

Sekolah berkenaan adalah SM Sains Sultan Mahmud, SMK Mak Lagam, SM Sains Dungun, SM Sains Hulu Terengganu, SM Imtiaz Kuala Berang, SMK lembah Bidong; SM Imtiaz Besut; SMK Chukai, SMKA Sheikh Abdul Malek; SM Imtiaz Dungun; SMK Tengku Mahmud; SMA (A) Sultan Zainal Abidin,; SMK Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun dan SMK pelong, Setiu.

 Menurut beliau lagi, pencapaian di kalangan pelajar sekolah di bandar meningkat berbanding tahun lalu apabila Gred Purata (GP)calon bandar meningkat 0.01 kepada 2.41, manakala GP calon luar bandar kekal seperti tahun lalu (2.72).

“Jabatan akan sentiasa berusaha untuk merapatan jurang antara calon bandar dan juga luar bandar.

“Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pada masa depan, kita menjangkakan calon luar bandar akan lebih mampu bersaing untuk merapatkan jurang itu,” katanya.