Halaman

31 December 2012

Risda, Ketengah bantu tingkat pendapatan keluarga tani

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Risda dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan pelbagai program secara bersepadu yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 petani dan pekebun kecil di wilayah Ketengah.


Perjanjian tersebut membolehkan kedua-dua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melaksanakan Program Pembangunan Tanam Semula, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Perladangan dan Pengurusan Kilang Sawit, Pembangunan Pendidikan dan Latihan serta Pembangunan Pengurusan dan Pemasaran Unggas serta Haiwan bagi faedah golongan sasar.

Perjanjian tersebut ditandatangani Ketua Pengarah Risda, Dato’ Haji Wan Mohamad Zuki yang mewakili Risda dan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud, mewakili Ketengah.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Haji Hasan Malek; Pengurusi Risda, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar, Dato’ Ibrahim Muhamad.

Menteri Besar pada sidang media selepas majlis itu berkata, MoU berkenaan merupakan pakatan startegik antara dua agensi di bawah kementerian yang sama dan bakal menggabungkan kepakaran keadua-dua agensi itu bagi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan petani.

Katanya, selain mempunyai kepakaran dalam pembangunan industri tanaman getah dan kelapa sawit, Risda juga memiliki Koleh Risda yang menjana pengeluaran graduan dalam pelbagai bidang.

“Begitu juga dengan Ketengah yang memiliki Kolej Ketengah dan sudah tentu gabungan tenaga kedua-dua agensi ini bakal meningkatkan mutu pendidikan yang memberi faedah kepada anak-anak petani dan pekebun kecil,” ujar beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta kakitangan Risda, Ketengah dan semua agensi kerajaan di bawah kementerian berkenaan supaya menjalankan tugas dengan baik bagi merealisasikan hasrat kerajaan membantu meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, sudah banyak program dilakukan kerajaan bagi tujuan itu ditambah pula dengan usaha memberikan taraf pendidikan terbaik kepada anak-anak pekebun kecil, petani dan peneroka.

“Kita tidak mahu ada kakitangan kerajaan dan agensi kerajaan yang bertindak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘musuh dalam selimut’ yang menikam kerajaan dari belakang,” katanya.


JKNT panjangkan waktu melawat pesakit

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan memanjangkan waktu melawat di kesemua enam hospital berkuatkuasa 1 Januari ini.

Pengarahnya, Dr. Anwa Sulaiman berkata, ia bersesuaian dengan permintaan orang ramai yang mahu waktu melawat lebih panjang khususnya pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

Beliau berkata, sesi waktu melawat yang dilonggarkan itu juga diharap dapat mengurangkan kesesakan pelawat yang bertumpu ke hospital dalam tempoh masa lawatan pendek serta mengurangkan masalah kesesakan tempat letak kereta di hospital.

“Untuk itu, kita telah membuat beberapa pindaan terhadap waktu melawat di hospital selepas mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 JKNT panjang waktu melawat pesakit “Bagi sesi lawatan tengah hari pada setiap Ahad hingga Khamis, ia akan dipanjangkan dari pukul 12 hingga 2 petang berbanding dari pukul 1 hingga 2 petang manakala sesi petang (pukul 5 petang hingga 7 malam) pula dikekalkan.

“Pada Jumaat, Sabtu dan Cuti Umum pula, waktu lawatan tengah hari bermula 11 pagi hingga 2 petang (sekarang 1.00 hingga 2 petang).

 Sesi lawatan petang 4 hingga 7 petang (sekarang 5 hingga 7 petang),” katanya. Menurutnya, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah masih tidak dibenarkan masuk melawat sebagai langkah pencegahan untuk mengelak risiko penyakit berjangkit.

 “Pendekatan it terus dilaksanakan kerana menyedari kanak-kanak mempunyaui daya ketahanan atau umuniti rendah berbanding orang dewasa.

 “Berdasarkan pengalaman, didapati anak yang dibawa boleh menganggu pesakit-pesakit lain kerana gemar berkejaran antara mereka, berbuat bising dan merosakkan peralatan perubatan,” katanya.

 


Faizal rekod nama di Liga Hoki India

Oleh: Aida Abd Rahman

Seorang lagi atlet kelahiran Terengganu, Faizal Saari, 21, berjaya mencipta rekod apabila menempatkan diri di persada antarabangsa selepas dilamar oleh kelab Mumbai Magicians untuk beraksi dalam Liga Hoki India (HIL) yang bakal berlangsung selama sebulan bermula 16 Januari depan.

Kelibat penyerang skuad hoki negara yang membantu Terengganu pada aksi final membenam Pahang untuk menggenggam Piala Tun Abdul Razak ke-50 itu, kian menyinar sehingga mampu berada di kelompok pemain berstatus bintang dari seluruh dunia yang bakal beraksi dengan lima kelab dalam HIL.

Di sebalik tanggungjawab yang cukup besar bakal dipikul dalam tempoh singkat itu nanti, Faizal dikatakan turut mendapat habuan berbaloi apabila bakal menerima gaji sebanyak AS$26,000 (RM79,560).

Selain Faizal, penjaga gawang negara, S Kumar juga terpilih untuk beraksi dengan kelab Uttar Pradesh Wizards.

Kumar pula AS$15,000 (RM45,900). Jumlah itu difahamkan lebih besar berbanding gaji diterima oleh pemain negara yang beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM).

Faizal yang sering menjadi tonggak utama skuad negara, sebelum ini pernah menimba pengalaman di Liga Australia bersama kelab Southern Hotshots tetapi dia tidak dapat menyertai sepanjang satu musim berikutan masalah visa.

Atlet itu kemudiannya menerima tawaran untuk beraksi bersama kelab Sepanyol, Athletic Terassa Club sekitar Julai lalu, tetapi dia terpaksa menolaknya berikutan khidmatnya lebih diperlukan skuad negara menghadapi saingan Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina November lalu.

“Inilah impian yang saya nantikan sejak dulu lagi iaitu untuk beraksi di luar negara. Saya memang mahu belajar sesuatu yang baru selain daripada beraksi di LHM.

 “Sudah tentu saya gembira kerana terpilih untuk beraksi di HIL sebab bukan mudah untuk menempatkan diri di liga yang juga disertai ramai pemain hebat.

“Bagi saya wang bukan soal utama tapi seperti yang saya katakan tadi, kesempatan ini akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman baru,” katanya.

Selain itu,  Faizal dijangka berangkat ke India pada 8 Januari ini kerana jurulatih kelabnya itu mahu menemui pemain pada hari berikutnya.

 

TPM Lawat Mangsa Banjir di Kemaman

Oleh : Fauzi Mohd


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman petang tadi.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Dato'Seri Ahmad Said, Menteri Belia dan Sukan Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Noriah Kasnon.

Timbalan Perdana Menteri dan rombongan terpaksa menggunakan lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke pusat pemindahan banjir sejauh dua kilometer dari Stadium Mini Kemaman dan ia ternyata menceriakan mangsa banjir yang ditempatkan di situ.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang dikelolakan Kelab Putera 1Malaysia.
Sejurus selepas itu, serta melawat kawasan banjir di beberapa lokasi lain menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.


Pada sebelah pagi, Muhyiddin bersama isterinya melawat mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan.




























E-book bukan punca kemerosotan UPSR

Oleh: Noraini Jusoh

Penggunaan e-book dalam kalangan murid sekolah rendah bukanlah punca utama kemerosotan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, punca kemerosotan UPSR di Terengganu seperti yang didakwa pihak pembangkang adalah disebabkan pemberian e-book oleh kerajaan negeri kepada murid sekolah rendah tidak boleh diterima sama sekali.

"Kerajaan negeri menafikan perkara ini disebabkan penggunaan e-book masih baru di kalangan pelajar kita dan kesan atau hasilnya tidak boleh dilihat dalam masa terdekat.

"Justeru, tidak adil pihak pembangkang menjadikan penggunaan e-book sebagai satu isu yang menjejaskan pencapaian pelajar kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita di Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2012 dan Penyampaian Bantuan Peperiksaan Awam 2013 DUN Seberang Takir, di Bangunan Penyelaras UMNO, DUN tersebut, baru-baru ini.

Katanya, ramai pelajar yang mempunyai asas dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) hasil penggunaan e-book yang diperkenalkan kerajaan negeri lebih mesra dan mahir dalam bidang tersebut apabila melangkah ke sekolah menengah.

Menurut beliau, penggunaan e-book bukan bertujuan melalaikan pelajar tetapi sebaliknya untuk memantapkan penguasaan mereka terhadap bidang ICT.

"Justeru, selain pihak sekolah, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak menggunakan e-book untuk tujuan pembelajaran,” katanya.

 

30 December 2012

Penduduk ambil kesempatan bermain air banjir

Oleh: Suriati Ali

Segelintir penduduk kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil kesempatan bermain air banjir yang semakin pulih bersama anak masing-masing .

 Ada di antara mereka, terutama golongan remaja mambasuh motosikal, mendayung sampan dan mandi tanpa memikirkan risiko yang bakal dilalui.





Menurut portal banjir , tiada mangsa banjir di DUN Tepoh dilaporkan berpindah ke Pusat Perpindahan Banjir walaupun DUN lain, termasuk Tepoh, Kuala Berang, Air Puteh dan sebagainya mencatatkan ratusan mangsa terpaksa berpindah.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata mangsa yang terlibat dengan pemindahan banjir dinasihatkan agar dapat memaklumkan alamat rumah yang ditinggalkan kepada Balai Polis berhampiran atau kepada anggota polis yang bertugas di pusat pemindahan banjir.

 Katanya, ini untuk memudahkan menghubungi pemilik kediaman jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini semasa pihak polis menjalankan rondaan.

 Sehubungan dengan itu juga, beliau menasihatkan orang ramai supaya peka dan berwaspada dengan amaran banjir yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

 ``Ibu bapa juga perlu sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak bermain dengan air kerana arus deras apabila hujan lebat yang berterusan, tambahan pula pada masa ini musim cuti persekolahan dan malang tidak berbau,’’ ujarnya.

Pak Soh sayang pemimpin



 Oleh: Mohammad Ishak 

Tidak semua rakyat negara ini bencikan pemimpin sebaliknya masih ada rakyat yang sayangkan kepada pemimpin walaupun sudah tidak lagi memimpin negara.

Perasaan sayang dan cintakan kepada pemimpin terpahat kepada seorang pesara, Jusoh Muda, 63, dari Kampung Gertak Jerbung,Pasir Akar,Hulu Besut, apabila beliau turut menyelamatkan potret bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad.

Peristiwa itu berlaku ketika Jusoh yang juga bekas tukang kebun Sekolah Kebangsaan Pasir Akar, dekat sini, menemui potrat Tun Mahathir yang terjatuh dan terbenam dalam lumpur di bilik guru sekolah itu semalam.

Jusoh yang menyertai gotong royong membersih sekolah berkenaan yang dilanda banjir menemui potrat Mahathir dalam lumpur kemudian mengambilnya untuk dibersihkan selut yang terlekat pada potret berkenaan.

“Walaupun di bekas pemimpin saya amat menghormatinya kerana Tun Mahathir seorang negarawan ulung negara,” katanya.

Katanya, beliau terpaksa membersih semula dengan membuang selut dan meminta guru sekolah itu mengantung semula gambar bekas Perdana Menteri itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Apa yang dilakukan itu adalah contoh baik seorang rakyat yan g begitu hormat dan menyanjung tinggi terhadap seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

DOLAK DALIH SEORANG YANG TELAH TERLANJUR KATA MENFATWAKAN ORANG UMNO KAFIR

Oleh: RUSLAN ABDUL RAHMAN-Pengarang Teganukita.

(Klik foto untuk paparan video)

 Ia bukan baru, kalau seorang yang dilahirkan pada masa ucapan mengatakan orang Umno itui kafir, sekarang ini anak itu telah dewasa dan mungkin telah mempunyai beberapa orang anak.


31 tahun membuat fatwa sendiri bahawa orang Umno itu kafir amatlah besar dosanya kerana apabila orang Umno kafirnya banyaklah kesannya termasuk kepada pembuat ucapan dan amanat itu sendiri, apatah lagi kepada pengikut yang menyakini kebenaran fatwa itu.

Amanat atau ucapan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (selepas ini diringkaskan sebagai Haji Hadi sahaja) yang mengkafirkan orang Umno dibuat pada tahun 1981 iaitu kira-kira 31 tahun yang lalu, lama sekali.

Sewaktu mempertahankan tuduhan bahawa orang Umno kafir pada tahun 1986 sewaktu berucap di Besut beliau menggariskan tiga faktor utama orang Umno kafir:

- Ahli-ahli Umno telah menyokong perlembagaan negara yang bukan merupakan perlembagaan Islam.

- Pemerintah yang terdiri daripada orang-orang Umno telah meletakkan perlembagaan negara lebih tinggi dari al-Quran

- Kezaliman yang ditunjukkan oleh pemerintah terhadap orang-orang Islam, khususnya Pas, jelas menunjukkan mereka (orang Umno) tidak Islam.


Penulis memetik kenyataan Haji Hadi yang sewaktu itu adalah berjawatan Naib Yang DiPertua Agung Pas sewaktu berucap di suatu perhimpunan mengalu-alukan pembebasan tahanan ISA di Kampung Pasir Akar Besut, sebagaimana laporan pada 17 Jun 1986.

Permintaan Haji Hadi untuk menjelaskan kebenaran amanat atau tuduhannya bahawa orang Umno itu kafir adalah sesuatu yang amat dialu-alukan. Walau bagaimanapun untuk bersiaran selama satu jam di telivisyen RTM atau TV 3 secara langsung itu cuma helah beliau sahaja untuk menimbulkan keraguan kononnya selama ini pihak kerajaan memutar-belitkan kenyataan beliau.

Dulunya ramai pendokong Pas sendiri pernah menafikan amanat tersebut, kononnya rekaan Umno, tetapi akhirnya kita dapat membuktikan rekod suara asal Haji Hadi mengenai ucapannya itu melalui simpanan di Pejabat Menteri Terengganu Terengganu.

Apabila suara asal ucapan itu kita siarkan, pemimpin dan pendokong Pas tidak mampu menafikannnya lagi. Kalau kita melihat rakaman kenyataan Haji Hadi kelmarin sewaktu disoal oleh wartawan mengenai perkara berkenaan (Amanat Hadi) ternampak jelas di wajahnya beliau amat tidak selesa dan bercakap dalam keadaan yang tergagap-gagap bila diasak wartawan.


Zaman sekarang era media baru, berbagai saluran boleh digunakan sama ada web tv, youtube, penerbit VCD dan seumpamanya boleh dilakukan untuk berhujah dan member penjelasan dan tidak perlu menunggu stesen penyiaran menjemput beliau untuk membuat penjelasan secara langsung (live).

Malah dalam tembual dengan wartawan itu beliau sanggup menghina bekas pengikut setianya seorang guru yang menghasilkan buku kafirkah aku’ dengan berkata, itu guru sekolah rendah dan mengajar A B C sahaja, sesuatu yang tidak wajar seorang yang berilmu agama menghina sesama insan.

Dari bahasa badan (body language) jelas memperlihatkan apa sebenarnya di dalam hati beliau (sama-samalah pembaca , penonton dan pendengar menilainya yang terdapat di youtube) dan tidak perlulah penulis mengulas lagi kerana gambar video itu telah menceritakan segala-galanya.

Apabila orang Umno menjadi kafir bermakna segala urusan orang Umno itu tidak sah, termasuk dalam soal nikah-kahwin dan bagaimana kalau dikatakan yang membuat amanat orang Umno kafir itu sendiri dinikahkan orang jurunikah Umno?

Bagaimana zuriat-zuriat yang dilahirkan hasil pernikahan yang diuruskan oleh orang ‘yang telah menjadi kafir’ kerana menjadi orang Umno? Itu persoalan besar bukannya kecil bila membabitkan fatwa dan hukum sebegitu.

Berita Harian bertarikh 19 Julai 1982 pernah melaporkan umat Islam mengecam pertubuhan politik yang terbabit dengan kegiatan membiarkan pengikut mereka melakukan perpecahan di dalam masyarakat dengan sembahyang dua imam dalam satu masjid dan dua masjid dalam satu kampung.

Pada masa itu, di Besut kejadian mengadakan sembahyang Jumaat di tempat berasingan dua sekampung adalah paling banyak iaitu 26 tempat. Di Setiu lima tempat, Marang empat tempat, Kuala aTerengganu tiga tempat, Hulu Dungun dua tempat manakala Dungun satu tempat. Malahan sehingga kini masih berlaku lagi.

Fatwa Mufti Terengganu pada tahun 1986 dengan jelas diedar menyebut mendirikan sembahyang Jumaat berasingan dalam satu kariah adalah haram. Malah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam (Terengganu) 2001 yang diluluskan oleh kerajaan negeri Terengganu semasa Pas memerintah Terengganu dengan jelas melarang dan menjadi kesalahan yang boleh dihukum denda bagi mereka yang mendirikan masjid tanpa kebenaran dan tidak boleh mendirikan sembahyang Jumaat selain di masjid yang diisytiharkan sahaja. (Rujuk Bahagian IV Enakmen, berkenaan masjid).

Justeru itulah ahli-ahli agama berpendapat, Haji Hadi perlu menarik balik amanat dan fatwa orang Umno itu kafir dan memohon maaf atas keterlanjurannya itu.



Banjir hampir pulih

Oleh: Aida Abd Rahman

Banjir di Terengganu semakin pulih apabila hanya 662 mangsa berada di enam pusat pemindahan di seluruh Terengganu sehingga jam 1.30 petang ini berbanding 2,617 mangsa sehingga 8.30 pagi tadi.

Menurut Portal Kenyatan Banjir negeri Terengganu, lima daripada enam pusat pemindahan berkenaan di sekitar Dungun, iaitu Dewan Sivik Batu 48 (397 mangsa), Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah (tiga), bangunan JKKK Nyior (lapan), Balai Raya Kampung Durian Mentangau (22, ) dan Dewan Majlis Sukan Negara (113).

Sementara satu lokasi pemindahan di Kuala Terengganu ialah di Sekolah kebangsaan Kompleks Gong Badak yang menempatkan seramai 119 mangsa.

 Kesemua mangsa terdiri daripada 168 keluarga. Jumlah mangsa yang berpindah menurun dengan ketara selepas cuaca cerah dan tiada hujan lebat dilaporkan di beberapa daerah sejak pagi tadi.

 Kesemua daerah juga dilaporkan pulih sepenuhnya kecuali di beberapa kawasan di Dungun dan Kuala Terengganu.

Sebelum ini, seramai 2,617 mangsa dilaporkan masih ditempatkan di pusat pemindahan sehingga pagi tadi, berbanding 15,529 mangsa pada petang semalam.

 

JKNT kumpul lebih RM44 ribu untuk TKP

Oleh: Suriati Ali 

 Kesengsaraan penduduk di Palestin yang dizalimi tentera rejim zionis Israel mendapat perhatian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) apabila mampu mengumpul sejumlah RM44,476.70 untuk Tabung Kemanusiaan Palestin (TKP.

 Kesemua hasil sumbangan orang ramai, termasuk kakitangan jabatan itu, pesakit dan pelanggan diserahkan kepada wakil Media Prima di pejabat JKNT, Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu, hari ini.

 Pengarah JKNT, Dr Anwa Sulaiman, berkata pihaknya terharu kerana kutipan sumbangan yang dilancarkan pada 29 November lalu melebihi sasaran sebenar.

“Pihak kami hanya sasar RM20,000, mungkin kesedaran dan keprihatinan orang ramai terhadap nasib rakyat Palestin cukup tinggi, sejumlah RM44,46.70 dapat dikumpul.

 “Komitmen dan kerjasama semua kakitangan dengan meletakkan tabung kutipan di kaunter pertanyaan di hospital dan klinik seluruh Terengganu nyata mendapat perhatian orang ramai,” katanya kepadamedia selepas majlis penyerahan TKP.

JKNT berharap melalui usaha itu, lebih banyak lagi jabatan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan persatuan turut bersama-bersama membantu dan menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin .

Dr Anwa, berkata pada masa sama, pihaknya akan menjayakan Program Khatan Kanak-kanak Kemboja dengan melibarkan kira-kira 50 kanak-kanak, dijangka pada Jun tahun depan..

 “Bagi menjayakan program itu, usaha mengumpul sumbangan untuk membeli pelbagai kelengkapan belajar dan barangan keperluan rakyat itu akan dilaksanakan.

 “Kita mensasarkan sumbangan untuk rakyat Kemboja kira-kira RM20,000 di mana kaedah dan perlaksanaan mengutip sumbangan hampir sama seperti TKP,”katanya.