Oleh: Aida Abd Rahman
Nilai dan etika kerja menjadi dua asas penting yang diberi tumpuan di kalangan penjawat awam di Wisma Darul Iman (WDI) amnya dan pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri khasnya bermula 2013 ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata kedua-dua elemen itu amat penting dalam memastikan kelangsungan kepada kejayaan dan kecemerlangan setiap anggota, ahli dan juga sebuah organisasi seperti pentadbiran SUK sendiri.
“Kita harus menerapkan nilai dan etika kerja sebagai asas penting dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam pada hari ini.
“Berdasarkan pengalaman saya, sektor perkhidmatan awam pada zaman 70-an dan 80-an lebih di pandang tinggi dan dihormati kerana etika kerja penjawat awam yang lebih kukuh dan mantap dari aspek integritinya,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan dan Anugerah Cemerlang Bulanan Peringkat WDI, di Dewan Besar WDI, pagi ini.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Pegawai Kemajuan Negeri Pejabat Pembangunan Persekutuan Terengganu (ICU), Haji Ahmad Shahrom Yasin.
Dalam pada itu, Dato’ Haji Mazlan menolak tanggapan bahawa sektor perkhidmatan awam hari ini tidak cemerlang, bagaimanapun sikap segelintir penjawat awam yang tidak memiliki nilai dan etika kerja yang baik serta kurang berintegriti telah mengakis serta mencemarkan imej sektor itu di mata umum.
Katanya, ramai di kalangan penjawat awam yang menyalahgunakan hak dan tanggungjawab masing-masing termasuk ponteng kerja, memanjangkan waktu rehat, menyalahguna cuti kecemasan mahu pun cuti sakit.
“Ada di kalangan kita, ada cuti sakit (MC) tetapi keluar meronda-ronda ke tempat lain. Malah ada juga yang menggunakan waktu bekerja untuk melayari internet yang bukan untuk tujuan bekerja.
“Kecanggihan teknologi masa kini dengan pelbagai media sosial seperti facebook, Youtube, twitter dan Myspace juga menyebabkan ada di kalangan penjawat awam gagal memberi tumpuan terhadap kerja hakiki, selain ada yang menjadi ketagih dengannya (media sosial) sehingga menjejaskan prestasi kerja,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah bagi menangani masalah melibatkan nilai dan etika kerja di kalangan kakitangan awam termasuk menerusi kempen, slogan dan pelbagai program yang bertujuan menambah baik sistem pentadbiran negeri secara keseluruhannya.
Beliau berkata, antara program yang dilaksanakan seperti istem Integriti Korporat, Konsep 5S, Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif dan Modul Khas Pengurusan Integriti.