Halaman

15 January 2013

LPP sasar 700 usahawan muda

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mensasarkan 700 usahawan muda dari seluruh negara melibatkan diri menjadi usahawan tani dengan purata pendapatan lebih RM2,000 sebulan tahun ini.

Ketua Pengarah LPP, Dato’ Haji Arpan Shah Satu berkata, setiap projek yang dijalankan akan dipantau oleh mentor yang dilantik bagi memastikan setiap projek yang dirancang berjalan lancar.

“Kita akan lantik mentor bagi membimbing usahawan muda ini termasuk menawarkan pinjaman serendah RM3,000 hingga RM50,000,” katanya dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Tahunan Anggota LPP Negeri Terengganu di Wisma Peladang Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama Pengarah LPP Terengganu, Haji Shamsuddin Mat Rani dan semua ketua peladang kawasan seluruh negeri beserta kakitangan semua peringkat.

Katanya, sambutan golongan muda dalam pada bidang pertanian menggalakkan dan sehingga ini berjaya mendaftarkan lebih 5,000 petani muda di bawah Program Kor Tani.

Dalam perkembangan lain beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah mempertimbangkan permohonan LPP melaksanakan pembangunan kawaan agro makanan di negeri ini dan memperuntukan dana usahawan berdasarkan projek yang dilaksanakan.

“Selain itu LPP negeri ini juga menerima peruntukkan RM2.9 juta bagi menjalankan projek pengeluaran bahan makanan di negeri ini di samping memberi tumpuan kepada perlaksanaan projek kilang memproses makanan di Besut.,” katanya.

 

ILP Kuala Terengganu sasar 95 peratus pelatih dapat pekerjaan

Oleh: Noraini Jusoh

Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu tahun ini menyasarkan 95 peratus daripada pelatihnya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan latihan.

Pengarahnya, Abdul Halim Abd Rahman berkata, tahun lalu 92 peratus pelatih pusat kemahiran terbabit berjaya mendapat pekerjaan dan jumlah tersebut dijangka bertambah tahun ini.

"Kita meletakkan sasaran 90 peratus pelatih mesti laku di pasaran kerja dan kebiasaannya ia melebihi sasaran kerana ramai graduan ILP mendapat perhatian dan menjadi pilihan sektor perindustrian kerana kualiti dan kemahiran yang mereka miliki," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai majlis perasmian penutup minggu suaikenal pelatih baru sesi Januari 2013 di Dewan Kuliah Utama, ILP Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Perasmian penutup majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh.

Menurut Abdul Halim, seramai 210 pelatih baru telah mendaftar bagi sesi pengajian Januari 2013 di pusat kemahiran yang menawarkan 10 program di peringkat sijil dan satu program di peringkat diploma itu.

Tambah beliau, bermula Julai ini ILP Kuala Terengganu bakal menawarkan program baru iaitu Diploma Kemahiran Elektrik bagi memudahkan laluan kerjaya pelatihnya.

"Dengan adanya program ini, diharap dapat memudahkan pelatih yang telah tamat pengajian di peringkat sijil menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, ILP Kuala Terengganu juga menjalin kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu bekas pelatih yang berminat menceburi bidang keusahawanan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar.

 

PPT anjur ‘Terengganu Bike Week’ kali kedua

Oleh: Noraini Jusoh

Tengku Sri Temenggong Raja,
Dato' Seri Tengku Baharuddin.
Persatuan Permotoran Terengganu (PPT) akan menganjurkan ‘Terengganu Bike Week 2013’ (TBW 2013) bertempat di Dataran Taman Awam Batu Burok, selama dua hari bermula 1 Mac ini.

Presidennya, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin, berkata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka menyempurnakan majlis perasmian perhimpunan motosikal berkuasa tinggi yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri itu.

"Penganjuran TBW 2013 yang memasuki edisi kedua, dijangka akan menghimpunkan seramai 2,000 peminat dan pemilik motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara termasuk Thailand dan Singapura.

"Selain menggalakkan aktiviti pelancongan di kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi, ia juga bertujuan memperkenalkan Terengganu sebagai sebuah destinasi pelancongan menarik,” ujarnya.


Katanya, satu majlis sidang media akan diadakan pada 28 Januari, jam 8 malam bertempat di Permai Hotel, Kuala Terengganu bagi mengulas lanjut program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang penganjuran TBW 2013 kali ini.

 

Kelab Titans Muda SMKSS dapat sentuhan T-Team

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam kesibukan mengharungi Liga Super yang baru membuka tirainya, T-Team sempat meluangkan masa melancarkan Kelab Titan Muda di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Seramai 70 pelajar ahli Kelab Titan Muda yang pertama ditubuhkan di sekolah itu berkesempatan beramah mesra dengan ketua jurulatih, Peter James Butler dan semua pemain Titans serta berpeluang mendapat pendedahan mengenai kemahiran bola sepak di samping dapat menyertai perlawanan persahabatan.

Jurulatih berbangsa Inggeris itu berkata, tugas T-Team bukan saja mencari kemenangan di stadium semata-mata, malah mereka juga bertanggungjawab mencipta kemenangan di luar stadium bersama komuniti setempat.

“Masa depan bola sepak negara ini bukan di stadium tapi sebenarnya terletak di atas padang sekolah dan padang bola di kampung juga.

 “Pihak sekolah sudah mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Titan Muda dan kami akan membantu mereka memenuhi hajat mereka dan mungkin satu hari nanti, ahli kelab ini juga yang akan menyarung jersi T-Team ataupun pasukan lain,” katanya.

Butler mengaku hatinya tersentuh melihat kesungguhan pelajar Tingkatan Satu hingga Lima SMKSS untuk mengetahui lebih lanjut lagi apa yang berlaku dalam satu kelab bola sepak profesional.

 “Saya tidak terkejut jika ada ahli kelab ini berjaya menjadi pemain profesional dalam sedikit masa lagi kerana hampir semua ahli kelab sudah memiliki kemahiran bermain bola sepak.

 “T-Team akan memberi bantuan kepada kelab supaya mereka mempunyai kelebihan menyertai pertandingan peringkat sekolah ataupun kejohanan lebih tinggi”, katanya.


Penyampaian hadiah ADC Kebangsaan diadakan di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan 2012 dijangka diadakan di Terengganu pada 2 Februari depan.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka akan mengumumkan kampung yang berjaya menjadi johan dalam Pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan pada hari berkenaan.

Majlis diadakan di Dataran Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu itu dijangkakan dibanjiri 15,000 orang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negara dan masyarakat tempatan.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW), Dato’ Ibrahim Mohamad telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa induknya di kampung berkenaan baru-baru ini bagi membincangkan susun atur program serta memastikan ia berjalan lancar.

Hadir sama Ketua Pengarah Risda, Dato’ Haji Wan Mohammad Zuki; Setiausaha KPLBW, Encik Ahmad Zubir Abd. Ghani; Pengarah Risda negeri Haji Zakaria Mat Zin; Pengarah Kemas negeri, Puan Nor Hazelina Hashim dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Dato’ Ibrahim yang meninjau kawasan tapak majlis yang bakal berlangsung bulan depan itu berpuas hati dan dapat menampung kunjungan ribuan orang daripada seluruh negara.

Terdapat 13 buah kampung mewakili negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak terpilih menyertai Pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan 2012 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di mana penghakiman berakhir pada Oktober lalu.

Menurut Pengerusi Panel hakim, Encik Mohd Ali Sebran setiap kampung yang terpilih mewakili negeri ke pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan akan disenaraikan untuk menerima dana pembangunan di bawah program Desa Lestari yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentang bajet 2013.

 “Sama ada menang atau tidak kampung yang tersenarai ke pertandingan ini akan menerima dana berkenaan mengikut kesesuaian projek yang diperlukan masyarakat setempat,” katanya.

Lapan aspek yang dinilai untuk anugerah ini ialah ekonomi; pertanian dan penternakan ; teknologi maklumat (ICT); pendidikan; kebersihan dan kesihatan; keceriaan dan keindahan; kerohanian dan sivik serta kepimpinan.

 

Program bulan madu pulih potensi pelajar bermasalah

Oleh: Aida Abd Rahman

Program `bulan madu’ melibatkan pelajar bermasalah bersama ibu bapa masing-masing yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu akan diteruskan dalam usaha memulihkan golongan itu supaya lebih berdisiplin dan membaiki potensi diri.

Pihak sekolah menerusi Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengenalpasti pelajar berkenaan untuk menjalani program yang diatur sepanjang tiga hari dua malam di hotel yang terpilih.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pendekatan yang sudah tiga tahun dilaksanakan itu sangat berkesan bagi memulihkan pelajar yang sangat bermasalah serta membantu ibu bapa mengawasi anak-anak yang berisiko di sekolah terutama yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“JPNT menerusi sekolah masing-masing akan memilih pelajar bermasalah itu bersama ibu bapa untuk `honeymoon’ dan menjalani aktiviti dan mengikuti modul yang sudah diatur JPNT dan YPKT.

“Kita mempunyai rekod anak-anak yang terlibat dan disiplin mereka dapat dipulihkan serta lebih fokus dalam pelajaran masing-masing selepas mengikuti program berkenaan,” katanya.

Dato’ Ahmad Razif berkata, pihaknya juga sudah mengenalpasti sebuah pusat latihan yang lebih kondusif dan sesuai yang terletak di Saujana, Setiu bagi menjayakan program itu nanti.

Menurutnya, pada peringkat awal seramai 1,000 hingga 1,500 pelajar seluruh Terengganu akan dipilih untuk menjalani program itu yang dijangka akan dilaksanakan pada Februari ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan pelajar yang bermasalah dan berusaha memulihkan mereka bagi mengelak mereka tercicir dari meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan memiliki kerjaya masing-masing menerusi kemahiran yang ada apabila menamatkan pengajian kelak.


UMNO Besut benteng terkuat BN hadapi PRU13


Dato' Seri Ahmad Said mendengar taklimat di Bilik Gerakan UMNO Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Kekuatan UMNO Terengganu akan menjadi lebih kuat dan bermaruah apabila pihak pembangkang sukar menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang dipelopori oleh bahagian Besut.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said yang yakin dengan keupayaan pimpinan Besut menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU13), berharap bahagian lain turut mencontohi bahagian itu.

Katanya, dengan kekuatan yang ada kepada semua pemimpin dan sokongan padu ahli parti BN pembangkang tidak mudah menggugat pengundi di Parlimen Besut.

“Saya amat berpuas hati dengan pengurusan bahagian yang mempunyai pelbagai kemudahan dan bilik khusus untuk semua portfolio,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Umno Bahagian Besut, malam tadi.

Terdahulu, Ahmad diberi taklimat mengenai persiapan pilihan raya yang disampaikan oleh Setiausaha Umno Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri.

Hadir sama pada taklimat itu ialah semua ketua Umno bahagian termasuk ketua wanita, pemuda dan puteri negeri.

Ahmad berkata, berdasarkan maklumat diterima pengundi di Parlimen Besut akan memberi sokongan padu kepada semua calon BN yang akan bertanding pada PRU13 nanti.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, semua bilik gerakan akan mula beroperasi akhir bulan ini bagi menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan pada bila-bila masa. Malah,katanya, jentera pilihan raya juga sudah bersiap sedia untuk digerakkan sebik sahaja perlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri.

MB menemui mangsa kebakaran di Alur Lintang


Menteri Besar bertanya kabar mangsa yang terbabit dalam kebakaran

Oleh: Mohammad Ishak 

Walaupun sibuk dengan tugas rasmi namun sebagai pemimpin yang cakna rakyat, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said tetap melapangkan masa untuk menemui rakyat terutama mereka yang di timpa bencana.

Kesempatan turun ke Besut bagi menghadiri satu perjumpaan dengan pemimpin UMNO bahagian berkenaan petang semalam Menteri Besar mengambil peluang singgah di Kampung Alur Lintang, dekat Jertih, untuk menemui dan melihat sendiri kebakaran kedai di situ.

Kehadiran Ahmad bersama rombongan dan pegawai kanan kerajaan sedikit sebanyak mengubat perasaan duka yang dialami oleh mangsa kebakaran terbabit.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB) Ibrahim Mohamad serta pegawai kanan polis dan bomba.

Dalam kejadian ahad lalu sederet enam premis kedai musnah dalam kebakaran awal pagi menyebabkan kerugian dianggarkan RM1 juta.

Kejadian itu juga adalah yang terbesar berlaku di daerah Besut tahun ini tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika kejadian semua pemilik kedai berada di rumah kediaman masing-masing.

Ketika menemui mangsa,Ahmad yang bersimpati dengan nasib mereka meminta bersabar dan kerajaan akan memberi  bantuan bagi memulihkan kehidupan mereka yang terjejas dengan kejadian itu.

14 January 2013

Jabatan kecemasan HSNZ mula beroperasi

Oleh; Esah Abdullah


Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah mula beroperasi hari ini setelah siap sepenuhnya dengan kos RM14.93 juta beserta peralatan bernilai RM5 juta.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Anwa Sulaiman berkata, bangunan ini mula dinaiktaraf pada Julai 2009 menempatkan empat zon utama iaitu zon kritikal (merah)  enam bilik yang memuatkan enam katil pesakit kritikal beserta kelengkapan termoden bernilai RM1 juta setiap bilik.

“Zon untuk pesakit kritikal ini dilengkapi kemudahan moden seperti mesin ultra sound bernilai RM200,000, katil    berharga RM24,000 sebuah serta beberapa peralatan lain yang diimport dari Australia, Jerman dan Jepun.

 “Selain itu zon separa kritikal menempatkan 10 katil, zon tidak kritikal iaitu wad kecemasan (8 katil) dan wad pemerhatian (8 katil),” katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi di JKT HSNZ hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar dan Ketua Pakar Kecemasan HSNZ Dr Mohd Lotfi Hamzah.

Katanya, terdapat juga ruang untuk pesakit asma manakala di tingkat satu dan dua terdapat pusat panggilan kecemasan , ruang latihan, bilik seminar dan lain-lain kemudahan.

“Di sini juga ditempatkan makmal kemahiran yang pertama di Pantai Timur bernilai RM350,000 yang boleh digunakan untuk melatih anggota dari segi teknikal terutama dari segi pengendalian kes-kes kecemasan,” katanya.

 Menurut Dr Anwa, jabatan kecemasan menerima kira-kira 200 pesakit setiap hari dan daripada jumlah itu 20 orang merupakan pesakit kritikal. “ Dengan adanya kemudahan baru di sini kita dapat memendekkan masa menunggu pesakit kepada lima minit selepas mendaftar masuk atau lebih pendek daripada itu,” katanya.

 Katanya, setakat ini Dr Pakar di HSNZ adalah mencukupi dan tidak menghadapi masalah untuk menerima lebih ramai bilangan pesakit pada satu-satu masa.

 

Mangsa banjir tidak diabai

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Pihak tertentu diingatkan supaya tidak salah faham dan membuat pelbagai andaian berhubung keprihatinan kerajaan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir pada musim tengkujuh kali ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid berkata, sumbangan berkenaan adalah bukti kecaknaan kerajaan bagi membantu meringankan beban rakyat dan ia tiada kena mengena dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang ataupun bertujuan untuk memancing undi.

“Sedia maklum, negeri-negeri di Pantai Timur pasti dilanda banjir ketika musim tengkujuh pada setiap akhir tahun. Bencana ini turut melanda Terengganu termasuk di daerah Hulu Terengganu dan pelbagai bantuan akan disalurkan kepada mangsa setiap kali berlakunya banjir.

“Sehubungan itu, pihak tertentu diharapkan tidak terus beranggapan bantuan diberikan kepada mangsa banjir musim tengkujuh kali ini bertujuan untuk memancing undi hanya kerana secara kebetulan ia berlaku ketika PRU13 semakin hampir.

“Dalam hal ini, rakyat juga diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tanggapan dilemparkan pihak tertentu sebaliknya membuat penilaian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan kepada Mangsa Banjir Daerah Hulu Terengganu 2012 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, kelmarin yang melibatkan seramai 242 penerima.

Dato’ Rosol juga terkilan jika ada kalangan penjawat awam yang menentang kerajaan dan perkara itu tidak harus berlaku memandangkan golongan berkenaan makan gaji dengan kerajaan.

“Kita tidak memaksa seseorang individu bekerja dalam sektor kerajaan, sebaliknya mereka sendiri secara sukarela memohon, hadiri temu duga dan menerima untuk berkhidmat sebagai penjawat awam.

"Tidak seharusnya, mereka kemudiannya pula menentang kerajaan," katanya.