Halaman
15 January 2013
MB menemui mangsa kebakaran di Alur Lintang
Menteri Besar bertanya kabar mangsa yang terbabit dalam kebakaran
Oleh: Mohammad Ishak
Walaupun sibuk dengan tugas rasmi namun sebagai pemimpin yang cakna rakyat, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said tetap melapangkan masa untuk menemui rakyat terutama mereka yang di timpa bencana.
Kesempatan turun ke Besut bagi menghadiri satu perjumpaan dengan pemimpin UMNO bahagian berkenaan petang semalam Menteri Besar mengambil peluang singgah di Kampung Alur Lintang, dekat Jertih, untuk menemui dan melihat sendiri kebakaran kedai di situ.
Kehadiran Ahmad bersama rombongan dan pegawai kanan kerajaan sedikit sebanyak mengubat perasaan duka yang dialami oleh mangsa kebakaran terbabit.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB) Ibrahim Mohamad serta pegawai kanan polis dan bomba.
Dalam kejadian ahad lalu sederet enam premis kedai musnah dalam kebakaran awal pagi menyebabkan kerugian dianggarkan RM1 juta.
Kejadian itu juga adalah yang terbesar berlaku di daerah Besut tahun ini tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika kejadian semua pemilik kedai berada di rumah kediaman masing-masing.
Ketika menemui mangsa,Ahmad yang bersimpati dengan nasib mereka meminta bersabar dan kerajaan akan memberi bantuan bagi memulihkan kehidupan mereka yang terjejas dengan kejadian itu.