Halaman

13 January 2013

Program 1JKKK 1Polis bantu kurang jenayah

Oleh; Esah Abdullah


Program Satu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (1JKKK) Satu Polis (1Polis) dan Satu Masjid (1Masjid) Satu Polis (1Polis) yang diperkenalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu telah membantu mengurangkan kadar jenayah kerana masyarakat terus berhubung dengan pihak keselamatan.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Jamshah Mustapa berkata, pelaksanaan program ini bersifat komuniti dan lebih dekat kepada masyarakat merupakan langkah alternatif dalam usaha untuk mengurangi kadar jenayah di negeri ini.

“Yang jelasnya, kadar jenayah menurun sejak kita mempergiatkan program komuniti kepolisan dengan turun bertemu masyarakat dan kita harap ia terus memberikan impak yang positif, sekaligus mewujudkan suasana yang harmoni serta bebas dari gejala jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Jom Kayuh Cegah Jenayah Komuniti Kepolisan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu di Kampung Gong Lingai, Batu Rakit semalam.

Hadir sama ke majlis berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Katanya, program komuniti kepolisan seperti Jom Kayuh Cegah Jenayah dan Hari Kesedaran Jenayah yang sedang giat dilaksanakan bertujuan untuk mendapatkan keyakinan masyarakat bahawa polis bukan sekadar mencegah jenayah semata-mata.

 “Tanpa sokongan dan kerjasama masyarakat adalah mustahil sesuatu jenayah itu dapat dikesan secara menyeluruh kerana komuniti berperanan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, seramai 160 peserta mengambil bahagian dalam program Jom Kayuh Basikal yang baru diperkenalkan itu membabitkan anggota polis, badan Ngo dan masyarakat tempatan.