Halaman

18 January 2013

Peniaga istimewa Pasar Payang terima kerusi roda elektrik

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menyumbang sebuah kerusi roda elektrik bernilai RM8,800 untuk kegunaan seorang peniaga `istimewa’ di Pasir Kedai Payang, Kuala Terengganu untuk kemudahannya menjalani kehidupan seharian.

Peniaga Orang Kelainan Upaya (OKU), Kamariah Abdul Ghani, 49, kudung kedua-dua tangan dan kaki sejak lahir sudah menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis makanan tradisional, kacang dan asam di pasar itu lebih 20 tahun lalu.

Sumbangan kerusi roda menerusi Tabung Darul Iman itu diserahkan Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said, selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (16 Januari).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

Sementara itu, Kamariah bersyukur kerana ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya selama ini yang terpaksa menghabiskan banyak wang untuk menyediakan sendiri kerusi roda elektrik bagi berulang-alik dari rumahnya di Kampung Tanjung Paya untuk ke pasar setiap hari.

 “Saya gembira dan rasa bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib saya. Saya akan menggunakan bantuan kerajaan ini dengan sebaik yang mungkin,” katanya.