Halaman

15 January 2013

Program bulan madu pulih potensi pelajar bermasalah

Oleh: Aida Abd Rahman

Program `bulan madu’ melibatkan pelajar bermasalah bersama ibu bapa masing-masing yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu akan diteruskan dalam usaha memulihkan golongan itu supaya lebih berdisiplin dan membaiki potensi diri.

Pihak sekolah menerusi Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengenalpasti pelajar berkenaan untuk menjalani program yang diatur sepanjang tiga hari dua malam di hotel yang terpilih.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pendekatan yang sudah tiga tahun dilaksanakan itu sangat berkesan bagi memulihkan pelajar yang sangat bermasalah serta membantu ibu bapa mengawasi anak-anak yang berisiko di sekolah terutama yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“JPNT menerusi sekolah masing-masing akan memilih pelajar bermasalah itu bersama ibu bapa untuk `honeymoon’ dan menjalani aktiviti dan mengikuti modul yang sudah diatur JPNT dan YPKT.

“Kita mempunyai rekod anak-anak yang terlibat dan disiplin mereka dapat dipulihkan serta lebih fokus dalam pelajaran masing-masing selepas mengikuti program berkenaan,” katanya.

Dato’ Ahmad Razif berkata, pihaknya juga sudah mengenalpasti sebuah pusat latihan yang lebih kondusif dan sesuai yang terletak di Saujana, Setiu bagi menjayakan program itu nanti.

Menurutnya, pada peringkat awal seramai 1,000 hingga 1,500 pelajar seluruh Terengganu akan dipilih untuk menjalani program itu yang dijangka akan dilaksanakan pada Februari ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan pelajar yang bermasalah dan berusaha memulihkan mereka bagi mengelak mereka tercicir dari meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan memiliki kerjaya masing-masing menerusi kemahiran yang ada apabila menamatkan pengajian kelak.