Halaman

13 January 2013

Kalimah Allah eksklusif untuk umat Islam

Oleh: Aida Abd Rahman

Penggunaan kalimah Allah kepada penganut agama lain adalah tidak bertepatan dan selari dengan prinsip al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ kerana agama yang benar di sisi Allah s.w.t hanyalah agama Islam.

Firman Allah dalam surah Ali Imran yang bermaksud `sesungguhnya agama di sisi Allah adalah agama Islam’.

Sehubungan itu, pandangan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam atas tujuan maslahat dakwah islamiyah tidak dapat diterima umat Islam kerana banyak cara serta kaedah lain yang boleh digunakan bagi tujuan maslahat dakwah, selain daripada penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Malah, roh kalimah Allah bukan hanya sekadar sebutan atau seruan mahu pun panggilan bagi tuhan semata-mata tetapi ia melambangkan akidah atau agama bagi orang yang menggunakannya.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot berkata, penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam dan ia tidak boleh disamakan dengan agama lain.

Beliau berkata, perkara berkenaan jelas disebut di dalam al-Quran menerusi surah al-Ikhlas yang menyatakan bahawa Allah itu bersifat Maha Esa dan surah Taha yang bermaksud tiada Tuhan lain melainkan Allah.

"Sekiranya penggunaan kalimah ini dibenarkan, maknanya mereka menyamakannya dengan konsep triniti dan sekiranya dikatakan semua agama itu sama, maka boleh jatuh hukum kufur, syirik dan murtad.

"Jangan keliru dengan hukum kerana ia sudah ditetapkan di dalam al-Quran, hadis serta ijtimak ulama dan perkara ini tidak boleh dikompromi," katanya.

Menurut beliau lagi, sesiapa yang membenarkan penggunaan kalimah Allah di dalam Bible berbahasa Melayu boleh jatuh kufur dan murtad.

Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membangkitkan semula isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu dianggap sebagai cubaan untuk melemahkan masyarakat Islam dan jati diri orang Melayu di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berpendapat, tindakan tersebut seperti ada agenda tersirat kerana isu itu telah diselesaikan sebelum ini dan tidak sewajarnya dibangkitkan semula.

 "Isu penggunaan kalimah Allah telah diputuskan dengan jelas oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, sehubungan itu kenyataan Guan Eng perlu dipersoalkan kerana jelas cuba mencabar keputusan Majlis Fatwa.

"Tindakan biadab Guan Eng ini seperti cuba mencairkan identiti dan agama Islam secara terus. Tiada keperluan untuknya mencampuri urusan kesucian agama Islam," katanya.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi menyatakan Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa kerajaan membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah telah mencetuskan semula polemik yang telah lama reda.

Katanya, isu ini tidak seharusnya ditimbulkan semula dan menggesa pihak yang berkenaan merujuk kepada ahli ulama terlebih dahulu.

Sebalik polemik itu, dua pemimpin utama parti pakatan rakyat, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) dan juga Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepakat menyatakan kalimah Allah boleh digunakan penganut agama lain.

 Bayangkan, Abdul Hadi sendiri mewakili parti yang mendakwa memperjuangkan Islam menegaskan pendirian itu, di satu majlis ketika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang duduki di sisinya si satu majlis dan sidang media, baru-baru ini.

Tindakan itu jelas memperkecilkan pendirian dan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bahawa kalimah Allah eksklusif bagi umat Islam.

Ketua pembangkang itu meremehkan pendirian tersebut dengan memberi gambaran seolah-olah MAIS tiada kaitan dengan kerajaan Selangor pimpinan PKR.

Dalam situasi itu sudah tentu Khalid tersepit antara patuh titah Sultan atau akur pendirian parti berhubung isu itu. Bagaimanapun, Khalid pada sidang medianya selepas itu akur dengan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata penggunaan kalimah Allah itu mengikut kepada ketetapan yang telah difatwakan dan diwartakan oleh kerajaan negeri pada 18 Februari 2010.

"Mengikut warta kerajaan, lafaz kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama serta umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam yang lain. "Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat," katanya.

Bagaimanapun, dalam pada itu, Khalid seperti tidak ikhlas dengan perakuan itu apabila mengaitkan soal lagu negeri Selangor yang mengandungi kalimah Allah dan turut dinyanyikan golongan bukan Islam. Manakala Hadi pula lebih tersepit apabila isu itu mendapat tentangan bukan sahaja daripada Setiausaha Agung Pas, Dato' Mustafa Ali, Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malah Ketua Dewan Ulama Pas, Dato'  Harun Taib juga menegaskan parti itu tidak akan bersetuju dengan sebarang cubaan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Harun berkata, walaupun penggunaan kalimah Allah dibolehkan untuk bukan Islam namun kalimah suci itu tidak boleh menjadi sebahagian daripada Bible versi bahasa Melayu.

"Penggunaan kalimah Allah bukan tak boleh digunapakai (oleh penganut Kristian tetapi), saya rujuk kepada kenyataan Lim Guan Eng nak pakai dalam kitab Bible, nak tukar kalimah 'God' kepada kalimah Allah yang itu saya tak setuju,” katanya.

Dalam pada itu, Tindakan Dewan Pemuda Pas Terengganu yang mempersoalkan penggunaan kalimah Allah dan Nabi Muhammad s.a.w dalam lagu kebesaran negeri serta logo-logo pasukan keselamatan jelas menggambarkan tahap kedangkalan ilmu golongan itu.

 Ketua Program Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti pengajian dan pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menegaskan kenyataan itu semata-mata bermotifkan politik.

Katanya, isu lagu, logo dan lambang sebenarnya berbeza dengan isu tuntutan penggunaan kalimah Allah secara rasmi oleh bukan Islam khususnya penggunaan dalam Bible berbahasa Melayu. Malah beliau juga menegaskan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam itu merupakan niat jahat mereka semata-mata bertujuan mengelirukan umat Islam di negara ini.

“Penggunaan kalimah Allah pada lagu, logo dan lambang adalah kerana amalan itu ada nilai sejarahnya tersendiri yang menyentuh sensitiviti orang Melayu. Paling penting amalan itu menyentuh sensitiviti orang Melayu dan juga mendukung institusi raja-raja yang sudah terbentuk di negara ini sejak dulu lagi,” ulasnya.