Halaman

17 January 2013

SPR lantik pemerhati bantu PRU 13

Oleh: Suriati Ali

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melantik 16 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa pemerhati dari negara Asean sebagai langkah memantau proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) supaya berjalan lancar.

 Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata keputusan mengenai itu akan diputuskan panel pemilih yang ditubuhkan atas nasihat Wisma Putra. “Antara negara yang bakal dilantik, termasuk Indonesia, Filipina, Myanmar dan Thailand selain beberapa pemerhati daripada Sekretariat Asean.

"Setakat ini belum muktamad, ada beberapa negara tidak dijemput seperti Brunei, Singapura, Kemboja dan Laos. Wisma Putra yang kendalikan," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat PRU-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus SPR zon timur di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu

Beliau berkata pemerhati asing dan NGO yang terbabit perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan SPR, dan jika gagal mematuhinya, nama mereka akan digugurkan daripada senarai.

 "Setiap NGO boleh hantar tiga wakil untuk satu bahagian. Kalau ada lima NGO berminat untuk satu bahagian, maka ada 15 pemerhati di bahagian itu dan mereka boleh memohon mana tempat yang mereka nak pergi," katanya.

 Dalam pada itu, NGO yang akan dilantik bagi Zon Semenanjung adalah Institut For Democracry and Economy Affairs (Idea), Merdeka Center, Centre For Public Policy Study (CPPS-ASLI) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

 Bagi Zon Sarawak, ia akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahagian Kuching, Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Cawangan Sarawak, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak, Persatuan Orang Ulu Sarawak (OUNA) dan Saberkas.

Bahagian Sibu pula Sibu Chinese Chamber Of Commerce and Industry dan Persatauan Melanau Sibu manakala bahagian Mirio, Persatuan China Miri, Persatuan Dayak Miri dan Federation of Orang Ulu Association Malaysia (Forum) dan bagi Zon Sabah, Majlis Belia Sabah dan Gabungan Persatuan China Sabah.