Halaman

16 January 2013

Terengganu catat 40,357 belum daftar pemilih

 Oleh: Suriati Ali

 Terengganu mencatatkan negeri yang mempunyai paling sedikit bilangan individu yang belum berdaftar sebagai pemilih berbanding negeri lain sehingga akhir tahun lalu.

 Berdasarkan jumlah itu, hanya enam peratus atau 40,357 daripada keseluruhan 678,642 pemilih di negeri ini masih belum berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

 Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daripada statistik yang dikeluarkan SPR sebelum ini, kita dapati kira-kira 3 juta pemilih masih belum berdaftar di seluruh negara dan Terengganu adalah yang paling sedikit.


"Ini perkara menarik untuk diperkatakan tentang negeri ini kerana kesedaran rakyatnya untuk mendaftar sebagai pemilih adalah tinggi berbanding negeri lain," katanya.

 Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Taklimat Pengurusan Pilihan Raya kepada Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Terengganu, Pahang dan Kelantan, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu,  hari ini.

 Hadir sama Pengarah Pilihan Raya negeri Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab. Wahab.

 Tan Sri Abdul Aziz turut memberitahu, sebanyak 342 buah pusat mengundi akan dibuka di Terengganu dengan 332 daripadanya melibatkan bangunan sekolah manakala selebihnya adalah dewan orang ramai.

 “Orang ramai boleh berurusan dengan SPR atau mana-mana agen yang dilantik untuk mendaftar sebagai pemilih sepanjang musim, dalam waktu pejabat.

 “Semakan daftar pemilih pula boleh dibuat di ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana pejabat SPR negeri mulai jam 8 pagi hingga 5 petang pada setiap hari.

 “Mereka juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my bagi membuat semakan dan mendapatkan keterangan mengenai tempat mengundi,” katanya.