Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh menyeru pelajar baru Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu membina kemahiran sepanjang menuntut di pusat kemahiran terbabit.
Beliau yang merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata, pelajar ILP tidak seharusnya mensia-siakan peluang yang telah diberikan kepada mereka untuk meneruskan pengajian.
"Para pelajar tidak perlu berasa rendah diri walaupun tidak dapat menyambung pengajian di universiti kerana tidak semestinya kurang cemerlang dalam akademik bermakna kita tidak mampu berjaya.
"Malah, berbekalkan kemahiran yang diperolehi semasa mengikuti pengajian di ILP, para pelajar mampu berdikari contohnya dengan membuka perniagaan sendiri, sedangkan ramai pelajar universiti yang menganggur kerana hanya mengharapkan dapat bekerja dengan kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup minggu suaikenal sesi Januari 2013 di Dewan Kuliah Utama, ILP Kuala Terengganu, hari ini.
"Dengan kemahiran juga mampu jadikan kita orang hebat dan selari dengan Wawasan 2020, negara perlukan orang yang mempunyai kemahiran seperti anda (pelajar ILP) dalam melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya saing,” katanya.
Katanya, para pelajar juga perlu menghormati tenaga pengajar dan pensyarah agar pembelajaran mereka sentiasa diberkatiNya.