Halaman

14 January 2013

Kepimpinan BN dan Umno perlu tingkatkan program bersama golongan sasar

Oleh: Noraini Jusoh

Kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno perlu memperbanyakkan program bersama golongan sasar agar mudah mendapat kepercayaan mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, bagi parlimen Kuala Terengganu sendiri, pihaknya kini mengurangkan program yang hanya melibatkan kalangan ahli sahaja.

"Sekarang, kita lebih banyak mengadakan program yang melibatkan orang ramai terutama pengundi muda serta pengundi pertama kali.

"Selain itu, kecanggihan teknologi juga diaplikasikan untuk mendekati golongan muda khususnya kerana mereka lebih senang menggunakan Facebook, Twitter dan pelbagai laman sosial lain untuk berhubung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas selesai menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan bantuan persekolahan anjuran Yayasan Taqwa dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji Kuala Terengganu, di Dewan Seri Budi, baru-baru ini.

Katanya, kepimpinan BN dan Umno perlu peka dengan kehendak golongan muda dan tahu menggunakan kecanggihan teknologi untuk berhubung dengan golongan ini sekaligus dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

"Apabila parlimen dibubarkan, mandat akan diserahkan kepada rakyat dan merekalah yang berhak membentuk kerajaan yang akan memerintah negara ini,” ujarnya.

Justeru, hubungan yang baik antara kepimpinan BN dan Umno dengan golongan sasar harus dijaga agar kerajaan BN dan Umno akan terus kekal memerintah negara tercinta.