Halaman

18 January 2013

Bantuan persekolahan RM100 besar nilainya

Oleh: Noraini Jusoh

Biarpun hanya bernilai RM100, sumbangan Bantuan Khas Awal Persekolahan besar nilainya kepada ibu bapa dan pelajar terutama yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Menerusi pembentangan Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah meluluskan peruntukan sejumlah RM540 juta untuk membiayai bantuan tersebut kepada 5.4 pelajar seluruh negara.

Seramai 200 pelajar Kolej Vokasional Kuala Terengganu (KVKT) turut menerima keistimewaan itu dalam satu majlis yang diadakan di sekolah terbabit, semalam.

Seorang pelajar KVKT yang dulunya pernah dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembusu, Nur Aliyah Nadhirah Mohamad, 17, berkata sumbangan tersebut sangat bermakna buatnya dalam menampung keperluan persekolahannya.

"Alhamdulillah, duit ini dapat saya guna untuk bayar yuran asrama dan beli peralatan sekolah yang lain.

"Bantuan ini juga dapat ringankan sedikit beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan saya,” ujar anak kepada Mohamad Sulong,47, dan isterinya Ariani Yahya,46.

Sementara itu, seorang penjaga yang ditemui, Nadia Ghazali, 22, dari Manir berkata, bantuan RM100 besar nilainya kepada dia dan adiknya Muhammad Farhan Ghazali,17, kerana segala keperluan sekolah Muhamad Farhan diuruskan sendiri olehnya.

"Saya hanya tingga berdua dengan adik setelah kematian ibu dan tidak tinggal bersama bapa.

"Justeru, bantuan ini beri makna yang besar buat saya untuk menampung kos membeli keperluan persekolahan seperti buku dan alat tulis adik,” ujarnya yang hanya bekerja sendiri.