Halaman

13 January 2013

Yayasan Taqwa belanja RM21,500 untuk bantuan persekolahan

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Taqwa membelanjakan RM21,500 bagi program penyampaian sumbangan persekolahan kepada pelajar yang kurang berkemampuan dalam parlimen Kuala Terengganu yang diadakan di Dewan Seri Budi, semalam.

Majlis yang dianjurkan Yayasan Taqwa dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji tersebut melibatkan 100 pelajar sekolah rendah termasuk anak yatim piatu di parlimen itu.

Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji Terengganu, Tuan Haji Adnan Salleh berkata, sumbangan tersebut merupakan keprihatian Yayasan Taqwa yang merupakan agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam membantu pelajar yang kurang bernasib baik.

"Diharap pelajar yang mendapat sumbangan ini dapat menggunakannya sebaik mungkin,” ujarnya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Difahamkan, setiap pelajar yang terpilih menerima bantuan bernilai RM215 dalam bentuk pakaian sekolah, kasut serta alat tulis.

Sementara itu, Dato’ Wan Ahmad Farid berkata, peranan untuk membantu golongan yang memerlukan dan membuat kebajikan bukan setakat tanggungjawab kerajaan semata-mata.

"Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), agensi-agensi berkaitan hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha yang dilakukan Yayasan Taqwa dan Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji dalam menganjurkan program yang memberi makna yang besar kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan bagi menampung kos persekolahan anak-anak.