Halaman

19 January 2013

SPR akan terbit buku kecil tangkis fitnah

Oleh: Suriati Ali

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menerbit dan mengagihkan buku kecil kepada orang ramai sebagai langkah menangkis dakwaan dan fitnah yang dilemparkan kepada suruhanjaya itu.

 Pelbagai isu berserta jawapan ringkas akan dimuatkan ke dalam buku yang bakal diterbitkan akhir bulan ini, supaya mudah difahami pembaca.

 Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, langkah itu dianggap penting bagi membersih kembali nama SPR daripada terus tercalar akibat fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai contoh, ada yang mendakwa, ramai bilangan pengundi tinggal dalam satu rumah, cerita sebaliknya mereka yang berkaitan gemar mengemukakan alamat di lokasi sama supaya mudah untuk urusan surat-menyurat.

 “Saya kesal dengan dakwaan seumpama ini kerana menuduh tanpa usul periksa, apabila terbukti ia tidak benar, ia lain pula akan timbul,” katanya.

Tan Sri Abdul Aziz turut memberitahu, pihaknya akan mengenal pasti kira-kira 46,000 orang belum lagi mendaftar sebagai pemilih di Terengganu walaupun mereka layak berbuat demikian.

“Orang ramai boleh berurusan dengan SPR atau mana-mana agen yang dilantik untuk mendaftar sebagai pemilih sepanjang musim, dalam waktu pejabat.

 “Semakan daftar pemilih pula boleh dibuat di ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana pejabat SPR negeri mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, setiap hari sepanjang bulan ini,” katanya.

 Katanya, mereka juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my bagi membuat semakan dan mendapatkan keterangan mengenai tempat mengundi.

 “Daripada statistik yang dikeluarkan SPR sebelum ini, didapati kira-kira 3.7 juta orang masih belum berdaftar di seluruh negara belum mendaftar sebagai pemilih, tetapi jumlah di Terengganu adalah yang paling sedikit,” katanya.