Halaman

16 January 2013

LPP isytihar 2013 tahun kutip hutang

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu menjadikan tahun ini (2013) sebagai tahun kutipan hutang yang terkumpul lebih RM12 juta.

Pengarah LPP terengganu, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, pihaknya akan perhebatkan usaha bagi mengesan penghutang terdiri daripada peniaga kalangan ahli dan bukan ahli bagi menyelesaikan masalah berbangkit.

“Hutang yang tertunggak merupakan hutang lama dan baru yang berlarutan sejak enam tahun lalu,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Tahunan Anggota LPP di Wisma Peladang Kuala Terengganu semalam.

Ketua Pengarah LPP, Dato’ Haji Arpan Shah Satu, hadir sama dalam perhimpunan tahunan berkenaan dan sebelum itu beliau membuat tinjauan ke ladang pembiakan kambing baka di Hulu Terengganu.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan penghutang serta menghantar penyata hutang kepada mereka yang terbabit setiap bulan.

Menurutnya, terdapat beberapa sebab peniaga tidak mampu membayar balik pinjaman seperti menghadapi masalah kegagalan projek, ditimpa bencana alam dan juga masalah sendiri liat bayar hutang.

 “Jika berlaku kegagalan projek, kita nasihatkan mereka bangkit semula dan sedia memberi khidmat nasihat tetapi kalau sengaja tak mahu bayar kes mereka akan dibawa ke jawatankuasa tindakan timbangtara,” katanya.

Menurutnya, setakat ini terdapat 52 orang telah melalui proses timbangtara dan perbicaraan dijalankan sama seperti kes yang dibawa ke mahkamah.

Katanya, sepanjang tahun lalu JPP telah berjaya membuat kutipan hutang berjumlah RM2 juta dan tahun ini dijangka dapat mengumpul kutipan dalam jumlah lebih banyak.

 

HSNZ terima 100,000 stoking untuk bayi

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyerahkan stoking kepada Timbalan Pengarah (Klinikal) HSNZ, Dr Muhada Suzana Mokhtar.
Oleh: Aida Abd Rahman

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima sumbangan 100,000 pasang stoking untuk kegunaan bayi yang lahir sepanjang Januari hingga Mac.

Sumbangan bernilai RM200,000 dari Syarikat My Socks Malaysia Sdn Bhd yang beroperasi di Gong Badak menerusi Ketua Pegawai Ekskutifnya , Johnny Wong yang disampaikan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, selepas Mesyuarat Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menteri Besar kemudiannya menyerahkan sumbangan itu kepada Timbalan Pengarah (Klinikal) HSNZ, Dr Muhada Suzana Mokhtar sebelum diagihkan kepada bayi yang bakal lahir di HSNZ.

Dato’ Seri Haji Ahmad memuji langkah syarikat itu tampil bagi menjalankan tanggungjawab sosial dengan  menghulurkan sumbangan kepada masyarakat di negeri ini.

 “Terima kasih kepada My Socks Malaysia Sdn Bhd kerana sudi menghulurkan sumbangan stoking untuk bayi yang baru lahir di HSNZ berjumlah 100,00 pasang yang bernilai RM200,000 sebagai menunaikan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat di sini,” katanya.


UniSZA lahir 30 orang doktor tahun depan

Prof. Dr. Yahya Ibrahim.
Oleh; Esah Abdullah

 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan mengeluarkan 30 orang doktor pakar tahun depan yang akan menjadi tenaga pengajar di hospital-hospital dan juga hospital universiti itu apabila beroperasi kelak.

Naib Cancelor (NC) UniSZA, Prof. Dr Yahya Ibrahim berkata, ini merupakan kumpulan pertama pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang bakal menamatkan pengajian tahun depan.

“Saya akan cuba berbincang dengan pihak bertanggung jawab untuk mempercepatkan pembinaan hospital UniSZA kerana tuntutan keperluan pengajaran di fakulti perubatan ini sangat kritikal,” katanya dalam sidang media di UniSZA baru-baru ini.

Katanya, mulai tahun depan 30 pelajar jurusan perubatan akan keluar dan mereka memerlukan tempat mengajar kerana Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sudah penuh dan tidak mampu menerima pelajar dari UniSZA.

Menurutnya, pembinaan hospital UniSZA di kawasan seluas 100 hektar itu nanti sangat memberi manfaat kepada pelajar terutama dari UniSZA serta memberi khidmat dan sumbangan kepada masyarakat setempat.

Prof Dr Yahya yang mula mengalas tugas sebagai NC bermula 1 Januari lalu berazam untuk memikul amanah yang diberikan sebaik mungkin serta berusaha membuat penambahbaikan pembangunan di universiti itu menjadi sebuah kampus yang serba lengkap.

 “Saya memerlukan sokongan semua pihak pengurusan, pegawai dan kakitangan untuk mengangkat matabat UniSZA ke tahap lebih tinggi dalam konteks pembangunan akademik dan kecemerlangan,” katanya.

Pada masa yang sama saya akan membangunkan bangunan canselori yang menempatkan pejabat NC, timbalan NC , pendaftar dan bendahari dan akan menaiktaraf bangunan lama sebagai sebuah canselori untuk capai matlamat pengurusan mesra dan efektif .

 

Kalendar aktiviti pelancongan Terengganu dilancar esok

Datuk Abdul Rahin.
Oleh: Aida Abd Rahman

Kalendar Aktiviti Pelancongan 2013 sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 bakal dilancarkan di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, jam 4 petang esok ( 17 Januari).

Pelancaran kalendar itu akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Ketua Sekretariat TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata majlis itu nanti akan diserikan dengan persembahan Tarian TMT 2013 oleh kumpulan Suktra dan diikuti ucapan pelancaran oleh Datuk Abdul Rahin.

 “Sejurus ucapan, Datuk Abdul Rahin kemudiannya akan menyempurnakan gambit pelancaran Kalendar Aktiviti Pelancongan 2013 sebagai simbolik kepada menguar-uarkan acara teras yang mewarnai sambutan TMT kali ini.

 “Acara itu juga merupakan kesinambungan kepada pelancaran TMT 2013 yang mengetengahkan secara terperinci kepada orang ramai terutama pelawat dalam dan luar Terengganu mengenai 34 acara teras yang disediakan untuk pilihan mereka,” katanya.

Encik Ahmad Fathil berkata, kalendar itu bukan sahaja membantu pelancong domestik dan antarabangsa membuat perancangan dan percutian masing-masing, malah juga mempromosikan aktiviti pelancongan yang sukar ditemui di tempat lain.

 Antara acara teras dalam kalendar TMT termasuk Karnival Tahun Baru Cina, Festival Permainan Tradisional,Le Tour De Langkawi, International Terengganu Starhill 4X4 Challenge, Kenyir Lake International Triathlon, Boat On The Road, Terengganu World Invitational Jetrace Chellenge dan Kapas-Marang International Swimathon 2013.

 Lain-lain acara, Pelancaran Karnival Candat Sotong Harian Metro 2013, Karnival GP Joran 2013, Colours of Terengganu, Festival Gamelan Sedunia, Pesta Pantai Terengganu, Piala Sultan Mizan, International Perhentian Island Challenge, Kenyir Cup, Terengganu Eco & Marine Tourism Conference, Terengganu Quiksilver Best Event Surfing Contest 2013, Kejohanan kapal Layar Piala Monsun 2013 dan Festival Songket Terengganu.


15 January 2013

336 pelajar terima bantuan

Oleh: Amirullah Othman 
Encik Zaidi Muda menyampaikan bantuan pakaian sekolah.

Seramai 336 pelajar dari empat cawangan di DUN Bukit Payong telah menerima bantuan pakaian seragam sekolah bernilai RM33,600 di majlis penyampaian bantuan tersebut di Balai Raya Kampung Batu 9, semalam.

“Pelajar berkenaan dari Kampung Mak Kemas, Kampung Padang Pak Suman, Kampung Batu 9 dan Kampung Kubang Palas,” kata Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Pembangunan Parlimen, YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Encik Zaidi dalam ucapannya berkata, pihaknya berharap ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak mereka supaya memberi tumpuan kepada persekolahan dan tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat.

“Saya mahu para pelajar, khususnya mereka yang bakal menghadapi peperiksaan awam pada tahun ini belajar dengan bersungguh-sungguh supaya mencapai keputusan yang baik,” katanya.

Beliau turut terharu dengan kehadiran ibu bapa yang ramai sebagai tanda sokongan kepada program anjuran kerajaan negeri yang bertujuan meningkatkan kecemerlangan pelajar di negeri ini.

 

LPP sasar 700 usahawan muda

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mensasarkan 700 usahawan muda dari seluruh negara melibatkan diri menjadi usahawan tani dengan purata pendapatan lebih RM2,000 sebulan tahun ini.

Ketua Pengarah LPP, Dato’ Haji Arpan Shah Satu berkata, setiap projek yang dijalankan akan dipantau oleh mentor yang dilantik bagi memastikan setiap projek yang dirancang berjalan lancar.

“Kita akan lantik mentor bagi membimbing usahawan muda ini termasuk menawarkan pinjaman serendah RM3,000 hingga RM50,000,” katanya dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Tahunan Anggota LPP Negeri Terengganu di Wisma Peladang Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama Pengarah LPP Terengganu, Haji Shamsuddin Mat Rani dan semua ketua peladang kawasan seluruh negeri beserta kakitangan semua peringkat.

Katanya, sambutan golongan muda dalam pada bidang pertanian menggalakkan dan sehingga ini berjaya mendaftarkan lebih 5,000 petani muda di bawah Program Kor Tani.

Dalam perkembangan lain beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah mempertimbangkan permohonan LPP melaksanakan pembangunan kawaan agro makanan di negeri ini dan memperuntukan dana usahawan berdasarkan projek yang dilaksanakan.

“Selain itu LPP negeri ini juga menerima peruntukkan RM2.9 juta bagi menjalankan projek pengeluaran bahan makanan di negeri ini di samping memberi tumpuan kepada perlaksanaan projek kilang memproses makanan di Besut.,” katanya.

 

ILP Kuala Terengganu sasar 95 peratus pelatih dapat pekerjaan

Oleh: Noraini Jusoh

Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu tahun ini menyasarkan 95 peratus daripada pelatihnya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan latihan.

Pengarahnya, Abdul Halim Abd Rahman berkata, tahun lalu 92 peratus pelatih pusat kemahiran terbabit berjaya mendapat pekerjaan dan jumlah tersebut dijangka bertambah tahun ini.

"Kita meletakkan sasaran 90 peratus pelatih mesti laku di pasaran kerja dan kebiasaannya ia melebihi sasaran kerana ramai graduan ILP mendapat perhatian dan menjadi pilihan sektor perindustrian kerana kualiti dan kemahiran yang mereka miliki," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai majlis perasmian penutup minggu suaikenal pelatih baru sesi Januari 2013 di Dewan Kuliah Utama, ILP Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Perasmian penutup majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh.

Menurut Abdul Halim, seramai 210 pelatih baru telah mendaftar bagi sesi pengajian Januari 2013 di pusat kemahiran yang menawarkan 10 program di peringkat sijil dan satu program di peringkat diploma itu.

Tambah beliau, bermula Julai ini ILP Kuala Terengganu bakal menawarkan program baru iaitu Diploma Kemahiran Elektrik bagi memudahkan laluan kerjaya pelatihnya.

"Dengan adanya program ini, diharap dapat memudahkan pelatih yang telah tamat pengajian di peringkat sijil menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, ILP Kuala Terengganu juga menjalin kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu bekas pelatih yang berminat menceburi bidang keusahawanan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar.

 

PPT anjur ‘Terengganu Bike Week’ kali kedua

Oleh: Noraini Jusoh

Tengku Sri Temenggong Raja,
Dato' Seri Tengku Baharuddin.
Persatuan Permotoran Terengganu (PPT) akan menganjurkan ‘Terengganu Bike Week 2013’ (TBW 2013) bertempat di Dataran Taman Awam Batu Burok, selama dua hari bermula 1 Mac ini.

Presidennya, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin, berkata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka menyempurnakan majlis perasmian perhimpunan motosikal berkuasa tinggi yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri itu.

"Penganjuran TBW 2013 yang memasuki edisi kedua, dijangka akan menghimpunkan seramai 2,000 peminat dan pemilik motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara termasuk Thailand dan Singapura.

"Selain menggalakkan aktiviti pelancongan di kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi, ia juga bertujuan memperkenalkan Terengganu sebagai sebuah destinasi pelancongan menarik,” ujarnya.


Katanya, satu majlis sidang media akan diadakan pada 28 Januari, jam 8 malam bertempat di Permai Hotel, Kuala Terengganu bagi mengulas lanjut program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang penganjuran TBW 2013 kali ini.

 

Kelab Titans Muda SMKSS dapat sentuhan T-Team

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam kesibukan mengharungi Liga Super yang baru membuka tirainya, T-Team sempat meluangkan masa melancarkan Kelab Titan Muda di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Seramai 70 pelajar ahli Kelab Titan Muda yang pertama ditubuhkan di sekolah itu berkesempatan beramah mesra dengan ketua jurulatih, Peter James Butler dan semua pemain Titans serta berpeluang mendapat pendedahan mengenai kemahiran bola sepak di samping dapat menyertai perlawanan persahabatan.

Jurulatih berbangsa Inggeris itu berkata, tugas T-Team bukan saja mencari kemenangan di stadium semata-mata, malah mereka juga bertanggungjawab mencipta kemenangan di luar stadium bersama komuniti setempat.

“Masa depan bola sepak negara ini bukan di stadium tapi sebenarnya terletak di atas padang sekolah dan padang bola di kampung juga.

 “Pihak sekolah sudah mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Titan Muda dan kami akan membantu mereka memenuhi hajat mereka dan mungkin satu hari nanti, ahli kelab ini juga yang akan menyarung jersi T-Team ataupun pasukan lain,” katanya.

Butler mengaku hatinya tersentuh melihat kesungguhan pelajar Tingkatan Satu hingga Lima SMKSS untuk mengetahui lebih lanjut lagi apa yang berlaku dalam satu kelab bola sepak profesional.

 “Saya tidak terkejut jika ada ahli kelab ini berjaya menjadi pemain profesional dalam sedikit masa lagi kerana hampir semua ahli kelab sudah memiliki kemahiran bermain bola sepak.

 “T-Team akan memberi bantuan kepada kelab supaya mereka mempunyai kelebihan menyertai pertandingan peringkat sekolah ataupun kejohanan lebih tinggi”, katanya.


Penyampaian hadiah ADC Kebangsaan diadakan di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan 2012 dijangka diadakan di Terengganu pada 2 Februari depan.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka akan mengumumkan kampung yang berjaya menjadi johan dalam Pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan pada hari berkenaan.

Majlis diadakan di Dataran Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu itu dijangkakan dibanjiri 15,000 orang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negara dan masyarakat tempatan.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW), Dato’ Ibrahim Mohamad telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa induknya di kampung berkenaan baru-baru ini bagi membincangkan susun atur program serta memastikan ia berjalan lancar.

Hadir sama Ketua Pengarah Risda, Dato’ Haji Wan Mohammad Zuki; Setiausaha KPLBW, Encik Ahmad Zubir Abd. Ghani; Pengarah Risda negeri Haji Zakaria Mat Zin; Pengarah Kemas negeri, Puan Nor Hazelina Hashim dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Dato’ Ibrahim yang meninjau kawasan tapak majlis yang bakal berlangsung bulan depan itu berpuas hati dan dapat menampung kunjungan ribuan orang daripada seluruh negara.

Terdapat 13 buah kampung mewakili negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak terpilih menyertai Pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan 2012 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di mana penghakiman berakhir pada Oktober lalu.

Menurut Pengerusi Panel hakim, Encik Mohd Ali Sebran setiap kampung yang terpilih mewakili negeri ke pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan akan disenaraikan untuk menerima dana pembangunan di bawah program Desa Lestari yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentang bajet 2013.

 “Sama ada menang atau tidak kampung yang tersenarai ke pertandingan ini akan menerima dana berkenaan mengikut kesesuaian projek yang diperlukan masyarakat setempat,” katanya.

Lapan aspek yang dinilai untuk anugerah ini ialah ekonomi; pertanian dan penternakan ; teknologi maklumat (ICT); pendidikan; kebersihan dan kesihatan; keceriaan dan keindahan; kerohanian dan sivik serta kepimpinan.