Halaman

22 January 2013

Peruntukan RM20j untuk aktiviti, promosi TMT

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan aktiviti, galakan dan promosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) menerusi Sekretariat TMT 2013.

 Daripada jumlah itu, sebanyak RM8 juta dibelanjakan bagi mempromosi pelancongan di Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata sebanyak RM44.4 juta pula diperuntukkan bagi projek infra seperti membangunkan dan menambahbaik kemudahan awam di pulau-pulau peranginan termasuk Pulau Bebas Cukai Tasik Kenyir.

“Menerusi peruntukan tambahan itu, selain melaksanakan projek infra dan penambahbaikan di Pulau Bebas Cukai Tasik kenyir, kita juga membelanjakan bagi tujuan perlindungan dan pemuliharaan sungai, penyelenggaraan dan perkhidmatan pengurusan sampah-sarap di pulau peranginan yang terdapat di seluruh negeri.

“Banyak jeti yang mengalami kerosakan akibat kesesakan bot yang berlabuh pada musim tengkujuh lalu. Antara jeti berkenaan adalah Pulau Redang yang sedang diselanggara oleh Jabatan Kerja raya dan jeti Pulau Bidong akan diperbaiki tidak lama lagi,” katanya baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Datuk Abdul Rahin berkata dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Pulau Bidong yang dipengerusikan oleh beliau bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah minggu lalu memutuskan supaya penjagaan dan pemuliharaan pulau itu diketuai Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu dan Coral Malaysia.

Katanya, pihaknya juga mahu pulau yang pernah menjadi kem pelarian Vietnam itu hanya dibuka kepada pengunjung secara lawatan harian bagi mengekal dan memulihara alam semula jadi dan artifak sejarah di kawasan berkenaan daripada pencemaran serta dan kemusnahan.

“Selain meluluskan kerja pembersihan yang sedang berjalan sekarang, jawatankuasa juga bersetuju unutk membangunkan pusat maklumat pelancong di pulau itu pada tahun ini.

“Kita akan memastikan Pulau Bidong terjaga dari segi alam semula jadinya dan dibangunkan mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, perbelanjaan bagi membangunkan pulau itu tidak termasuk dalam peruntukan RM10 juta bagi membangun dan menguruskan pulau-pulau peranginan seperti Redang, Perhentian dan Lang Tengah menerusi Wilayah Ekonomi Wilayah Timur (ECER).

Katanya, Pulau Bidong diurus dan dibangunkan menggunaan sumber kewangan dalaman kerajan negeri.


MB agih Bantuan Khas Awal Persekolahan

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga ADUN Kijal telah meluangkan masanya selama tiga hari berturut-turut untuk mengagihkan sendiri Bantuan Khas Awal Persekolahan di sekitar DUN Kijal.



Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Kijal melibatkan seramai 838 murid, Sekolah Menengah Kijal (1,024 murid), Sekolah Kebangsaan Meraga Beris (345 murid), Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong (249 murid), Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang (1,080 pelajar) dan Sekolah Menengah Bukit Kuang (550 pelajar).



Keseluruhan penerima Bantuan Khas Awal Persekolahan di Kemaman seramai 40,000 iaitu 16,797 penerima dari sekolah menengah manakala selebihnya 23,203 murid sekolah rendah.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, Kerajaan Pusat sama sekali tidak pernah berbohong dengan rakyat sepertimana yang selalu didakwa pihak pembangkang.

“Sekarang rakyat boleh menilai sendiri betapa prihatin Perdana Menteri kita dengan pemasalahan rakyat terutama bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan menjelang awal persekolahan,” katanya.

Tambah beliau lagi dengan adanya sokongan yang kuat daripada rakyat dan setia memilih kerajaan sekarang untuk terus menerajui negara kita, tidak mustahil masa depan anak-anak kita akan terus cerah dan terbela sepertimana sekarang.





PPAT anjur Program Pasca Bahasa Inggeris

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) melalui Pusat Bahasa Terengganu akan menganjurkan Program Pasca Bahasa Inggeris sebagai langkah memantapkan penggunaan bahasa itu kepada masyarakat umum, terutama pelajar.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program itu mempunyai dua sesi pembelajaran di mana sesi pertama pada 13 Januari hingga 28 Februari dan kedua bermula 10 Mac hingga 18 April.

 Manakala kelas yang ditawarkan pula mempunyai empat kategori iaitu pendedahan `Malaysian University English Test’ (Muet); English Communication Skill (ECS); Program Bahasa Inggeris Cuti Sekolah dan Bahasa Inggeris Intensif Pasca SPM.

“Apa yang ditawarkan itu bukan saya mempunyai kelebihan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah malah memberi maklumat berguna kepada masyarakat umum, termasuk suri rumah, golongan bekerja dan penuntut universiti.

“Apa yang penting, mereka mahu belajar, selain mempunyai minat untuk membaiki kelemahan penulisan dan penggunaan bahasa itu.

“Semua kategori kelas ditawarkan dikenakan yuran yang berpatutan iaitu semurah RM140 hingga RM450 bagi tempoh pembelajaran selama 40 jam,” katanya.

Katanya, apa yang istimewanya, yuran yang dikenakan itu, termasuk makan tengahari, sarapan pagi serta nota. Kelas bermula antara jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari.

“Penyertaan masih dibuka, setakat ini, kita membuka hanya satu kelas bagi tiap-tiap ketegori, namun jika mendapat sambutan kita bersedia untuk tambah kelas. Setiap kelas hanya dihadkan kepada 20 orang murid kerana lebih praktikal.

“Tenaga pengajar adalah pensyarah jemputan berpengalaman dan juga pernah bekerjasama dengan kita sebelum ini,” katanya.

 PPAT meminta orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti kelas yang tawarkan itu kerana terbukti memberi kesan positif berdasarkan pengalaman dan maklum balas daripada peserta terdahulu. Jika berminat sila hubungi 09-625 4452

 

Tesdec tawar kursus juruteknik perlombongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) bakal menawarkan kursus juruteknik perlombongan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Terengganu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bagi pengambilan pertama yang dijangka bermula Mac hingga April ini, seramai 40 pelajar akan menjalani latihan kemahiran yang memakan masa dua hingga  tiga bulan.

“Tesdec mendapat tawaran daripada Eastern Steel Sdn Bhd supaya melatih pelajar dalam bidang perlombongan itu untuk diserapkan bekerja di syarikat berkenaan sebaik menamatkan latihan mereka.

“Kebolehpasaran kerja di bidang perlombongan amat tinggi dan perkembangan itu menyebabkan kita mahu pelajar mengambil peluang memanfaatkan kursus yang disediakan oleh Tesdec kelak," katanya

Dato' Ahmad Razif berkata, Syarikat Eastern Stell membuka peluang pekerjaan kepada 2,000 orang untuk bekerja di syarikat mereka..

Dato’ Ahmad Razif berkata, kursus juruteknik berkenaan lanjutan daripada program yang dilaksanakan di Kolej Universiti TATI (TATiUC) yang melatih 40 jurutera melalui kerjasama dengan syarikat perlombongan yang berpangkalan di China.


RM5,000 bagi setiap PIBG sekolah DUN Kijal

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan peruntukan RM5,000 bagi setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.



Beliau berharap sumbangan berkenaan mampu memantapkan lagi sistem pembelajaran sekolah-sekolah di kawasan berkenaan, sekaligus menaikkan nama sekolah dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang.

“Walaupun keputusan UPSR baru-baru ini, kita tidak dapat mengekalkan kedudukan kita nombor satu dalam negara, namun itu bukan satu alasan untuk kita semua terus mengalah, sebaliknya kita perlu menebus balik kekalahan kita,” katanya.

Beliau mengumumkan peruntukan tersebut sewaktu berucap di majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar di Dewan Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuang, semalam.

Kehadiran pemimpin nombor satu negeri itu yang julung kali ke sekolah berkenaan yang baru siap, memang dialu-alukan warga sekolah berkenaan.

Seramai 1,630 pelajar diiringi ibu bapa dari dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuang menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 yang diagihkan sendiri oleh Menteri Besar.

Menteri Besar berharap semua pihak berusaha lebih gigih bagi membolehkan Terengganu mengekalkan kecemerlangan dalam semua peperiksaan awam pada tahun ini, termasuk UPSR.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman, Haji Sulaiman Mohamad; Ketua Wanita UMNO Kemaman, YB Senator Hajah Rohani Abdullah, Setiausaha Politik, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Pengarah APMT, Roshali Taha.



LKIM laksana projek penempatan rumah nelayan

Oleh; Esah Abdullah

 Kira-kira 300 nelayan di negeri ini bakal menduduki rumah kediaman lebih selesa apabila projek penempatan semula nelayan miskin dapat dilaksanakan tidak lama lagi.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)cawangan Terengganu, Encik Mohd Saffe Mohd berkata, pihaknya kini sedang mencari lokasi sesuai di Setiu untuk laksanakan projek berkenaan.

“Setakat ini kita sedang berunding dengan kerajaan negeri dan beberapa jabatan kerajaan berkaitan sebagai prosedur pelaksanaan projek terbabit,” katanya dalam sidang media di majlis penyerahan elaun sara hidup bulanan di Perpustakaan Awam Terengganu semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh sekali gus menyampaikan bantuan sara hidup kepada 450 nelayan dalam daerah Kuala Terengganu.

Katanya, LKIM akan sediakan peruntukan untuk membina rumah manakala penyediaan kemudahan infrastruktur perumahan yang lain akan disediakan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, projek penempatan semula nelayan secara berkelompok yang bakal dilaksanakan itu bertujuan memberi peluang kepada golongan nelayan miskin untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

Katanya, negeri ini masih belum mempunyai penempatan khusus untuk golongan nelayan tetapi di Kelantan, seramai 300 nelayan telah berpindah ke kawasan penempatan baharu di Tok Bali pada tahun lalu.

Sehubungan itu, LKIM akan memberi keutamaan kepada nelayan miskin yang masih belum memiliki rumah sendiri, mendiami rumah yang uzur atau menumpang bersama keluarga untuk skim penempatan semula itu.

Tambahnya, kawasan perumahan itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas yang diperlukan manakala keluarga nelayan yang akan berpindah ke situ juga berpeluang menambah pendapatan dengan mengusahakan perniagaan kecil-kecilan berasaskan ikan.

 

710 murid SK Gelugur Kedai terima bantuan

Oleh :Amirullah Othman 

Riak kegembiraan terpancar di wajah ibu bapa dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Gelugur Kedai, pagi semalam, apabila mereka menerima bantuan khas awal persekolahan seperti yang dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Bantuan tersebut disampaikan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, di dewan sekolah berkenaan.

Seramai 710 pelajar mendapat bantuan berkenaan sebanyak RM100 seorang di mana ia bakal digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan mereka.

Dato’ Haji Abdul Rahman dalam ucapannya menyeru kepada para ibu bapa supaya menggunakan bantuan tersebut bagi kegunaan anak masing-masing.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memberi rahmat kepada negara kita Malaysia dan Negeri Terengganu serta pemerintah seperti Kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk negara.

“Oleh yang demikian wajarlah untuk kita berterima kasih kepada kerajaan yang memerintah dengan memberikan undi kepada Barisan Nasional dalam PRU 13 nanti,” katanya.

Katanya, Kerajaan BN memang menitikberatkan pelajaran anak-anak apabila sentiasa mengeluarkan peruntukan yang besar untuk pelajaran dan sistem pembelajaran yang terbaik di negara kita di mana banyak sekolah baru dibina pada setiap tahun bagi menempatkan pelajar di seluruh negara.


21 January 2013

Teganukita 72


SATU berjaya turun kadar NRW setiap tahun

Oleh; Esah Abdullah

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) berjaya mengurangkan kadar kehilangan air tak terakaun (NRW) kepada 35.78 peratus tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong berkata walau pun kadar itu masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 32 peratus namun penurunan berlaku setiap tahun iaitu 39.39 peratus (2010) dan 36.39 peratus (2011).

“Kadar NRW menunjukkan tred yang semakin menurun hasil usaha dan tindakan yang dilakukan seperti mengganti paip-paip jenis asbestos carnent (AC) khususnya di kawasan yang mengalami kebocoran kritikal,” katanya dalam sidang media di majlis Perasmian Hari Kualiti SATU di Wisma Darul Iman.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah SATU Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya,usaha lain turut dilakukan dengan menukarkan meter pengguna yang berusia lebih tujuh tahun serta menubuhkan unit khas NRW di samping aplikasi sistem teknologi maklumat untuk kawalan paras tangki.

Menurutnya, SATU juga telah melantik juru perunding untuk menjalankan kajian bagi mengenalpasti punca masalah tekanan air rendah khususnya di daerah Kuala Terengganu.

“Langkah segera juga diambil bagi mengatasi laluan paip yang kebocoran berulang dan kritikal yang diganti dengan paip lebih berkualiti serta mempunyai daya ketahanan tinggi,” katanya.

Menurutnya, SATU menerima peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM10 juta (2011-2012) bagi menangani isu-isu berkaitan dengan NRW termasuk mengantikan paip bocor serta penukaran meter pengguna.

Sementara itu seramai 49 orang kakitangan SATU telah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang (2010-2011) dan 63 orang kakitangan bersara (2011-2012) diraikan pada majlis itu.

Setiap penerima anugerah cemerlang menerima wang tunai RM1,000, sebuah jam tangan, medal dan sijil manakala setiap pesara menerima sebuah jam tangan, senaskah tafsir al-Quran dan sijil.

 

Program hospitaliti penuhi kebolehpasaran kerja bidang pelancongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berhasrat memperkenalkan Kursus Pelancongan dan Hospitaliti bagi menghasilkan graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja yang semakin tinggi di sektor itu pada masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata dua pusat pengajian iaitu Kolej Universiti Tati (TATiUC) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) akan memainkan peranan mewujudkan program yang dapat menepati kebolehpasaran kerja sebagaimana perkembangan semasa itu.

“Berdasarkan maklumat daripada kajian yang dibuat Jabatan Pembangunan Kemahiran, terdapat dua profesion yang mendapat permintaan tinggi ( pasaran kerja) pada masa kini, iaitu bidang pelancongan dan juga pembangunan, di mana pembangunan seperti kerja pembinaan. Maka, kita akan memberi fokus kepada dua bidang berkenaan

“Dari segi pelancongan, lebih-lebih lagi Terengganu menjadi hab pelancongan negara kita, maka kita akan mewujudkan peluang kepada pelajar mengikuti program yang dapat memenuhi permintaan ke arah itu,” katanya baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan yang melibatkan tiga pihak, iaitu antara portfolio Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, portfolio Pelancongan, Kebudayaan , Kesenian dan Warisan negeri serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengadakan usahasama untuk melaksanakan kursus hospitaliti dalam masa terrdekat.

“Kita sedang berbincang untuk mengadakan kursus hospitaliti di Riyaz Heritage & Spa Resort, Pulau Duyung sekiranya termeterai perjanjian antara tiga pihak berkenaan.

“Kursus itu dijangka akan laksanakan dalam masa terdekat untuk memenuhi keperluan Terengganu sebagai hab pelancongan negara ini, sekali gus menyokong usaha menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan utama pelancong yang akhirnya menyumbang kepada ekonomi negeri ,” katanya.