Halaman

26 January 2013

Pusat rawatan asma HSNZ setaraf lima bintang

Oleh; Esah Abdullah

Sesuai diberi taraf perkhidmatan lima bintang sebagai  gambaran keselesaan Pusat Rawatan Asma Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang dinaiktaraf dan mula beroperasi 14 Januari lalu.

Gelaran ini diberi oleh seorang bapa Encik Md Razif Abdullah 36, daripada Kampung Chendering ketika ditemui dibilik rawatan kecemasan menemani anaknya Nosratina Maisarah, 9, yang sedang menerima rawatan.

Katanya, beliau sangat menghargai usaha kerajaan menyediakan tempat khas khusus untuk pesakit asma menerima rawatan kelas pertama dalam keadaan selesa dan santai termasuk boleh menonton televesyen serta tempat keluarga menunggu pesakit.

“Saya yakin pesakit yang datang membuat rawatan di sini dapat merasakan kelegaan dan tidak stress serta cepat sembuh sama seperti anak saya yang seronok bila diajak ke hospital,’ katanya yang bertugas di Pejabat Daerah Kuala Terengganu.

Sementara itu adik Nosratina Maisarah mengidap penyakit asma sejak setahun lalu tersenyum bila didekati dan tidak merasa gerun bila alat pencegah asma dipasang di mukanya.

“Saya suka datang ke sini dapat tidur di kerusi empuk ini sambil tengok TV, doktor dan jururawat pun baik dengan saya,” katanya tersenyum malu.

Jabatan Kecemasan dan Trauma HSNZ telah dinaiktaraf sejak Julai 2009 dengan kos RM14.93 juta beserta peralatan bernilai RM5 juta

Ia menempatkan empat zon utama iaitu zon kritikal (merah) enam bilik, zon separa kritikal menempatkan 10 katil, zon tidak kritikal iaitu wad kecemasan (8 katil) dan wad pemerhatian (8 katil) serta bilik rawatan asma (enam buah kerusi rawatan).

Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Dr Anwa Sulaiman berkata, semua perlatan di jabatan kecemasan dilengkapi peralatan termoden masaka kini yang diimport daripada Australia, German dan Jepun.

Pengusaha homestay tawar harga menarik sempena TMT 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Pengusaha Homestay Teluk Ketapang menawarkan pakej menarik pada harga yang berpatutan dalam usaha membantu kerajaan negeri menggamit lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusinya, Encik Md Azmi Aziz berkata, harga yang ditawarkan pengusaha inap desa Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir tidak membebankan pengunjung yang ingin merasai sendiri kehidupan di sebuah perkampungan nelayan terkenal di negeri ini.

Katanya, kini 45 pengusaha homestay yang berdaftar di kampung itu ada yang menawarkan pakej serendah RM50 semalam bagi memberi peluang kepada pengunjung menikmati suasana perkampungan yang masih mengekalkan identiti tradisional masyarakat Melayu.

Menurutnya, dalam tempoh lima tahun mempromosikannya, para pengusaha mampu berbangga kerana kedatangan pelancong ke homestay yang terletak di pesisir pantai itu sangat menggalakkan.

"Tahun lalu seramai 1,000 pelancong luar negara serta 5,000 pelancong tempatan telah memilih Homestay Teluk Ketapang sebagai destinasi penginapan mereka semasa bercuti di Terengganu.

"Justeru, tahun ini saya menjangkakan 50 peratus penambahan pengunjung akan berlaku ekoran pelbagai program yang bakal dilaksanakan di negeri ini sempena (TMT) 2013,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, para pengunjung boleh melalui sendiri pengalaman menarik yang dijanjikan para pengusaha homestay seperti menyusuri kehidupan sebagai nelayan, mempelajari seni warisan dan kebudayaan masyarakat Melayu serta mempelajari dialek Terengganu yang tidak mungkin dijumpai di tempat lain.

 

UKOM anjur Diskusi Bersama Penulis Buku “Kafirkah Aku”


Unit Komunikasi Negeri (UKOM) akan menganjurkan program Diskusi Bersama Dengan Cikgu Zainon atau C.N Al- Afgani yang merupakan penulis buku “Kafirkah Aku”, pada 29 Januari ini, (Selasa) di Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud.

Penulis buku yang mengulas mengenai Amanat Haji Hadi itu merupakan bekas orang kuat Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, tetapi kini amat menyesal dengan segala tindak-tanduknya dalam Pas.

Beliau yang kini telah kembali ke pangkal jalan akan mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku dalam Pas, termasuk isu kafir mengkafir akibat amanat berkenaan.

Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong, berkata pihaknya akan mengajurkan majlis tersebut dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Yayasan Islam Terengganu.

Persuruhjaya JHEAT, Dato’ Rozali Salleh akan menyampaikan ucaputama pada majlis itu manakala Haji Shamsuddin menjadi moderator diskusi yang bertajuk “Dilema dan ranjau perjuangan Islam di Malaysia.”.

Kira-kira 3,000 orang termasuk pendakwah di bawah Yayasan Islam Terengganu, Imam, bilal dan Ahli jawatankuasa Masjid seluruh negeri akan hadir di majlis tersebut.

UKOM turut menjemput orang ramai, khususnya mereka yang mencari kebenaran hadir pada majlis itu bagi mendapatkan penjelasan secara ‘first hand’ daripada Cikgu Zainon yang sebelum ini sanggup melakukan apa saja kerana terlalu taksub dengan Amanat Hadi.

Klimaks daripada tindakan membuat tuli mempercayai pemimpin Pas itu beliau sanggup berhenti sebagai guru semata-mata untuk membantu perjuangan Pas.


Terengganu kaya dengan khazanah warisan

Oleh: Suriati Ali

 `Tema Negeri Cantik, Budaya Menarik’ terjemahan tepat yang boleh diungkap kepada negeri Terengganu yang sememangnya kaya dengan kepelbagaian warisan, hasil kraftangan, seni, budaya dan khazanah alam semulajadi.

 Negeri yang cukup tersohor dengan nasi dagang, keropok lekor, songket, sutera, tembaga dan batik pasti menjadi bualan dan buah tangan pelancong setiap kali mengunjungi Terengganu.

 Permandangan semulajadi dan lokasi indah yang dimiliki Terengganu termasuk Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir kini semakin menjadi rebutan beberapa syarikat filem tempatan dan luar negara sebagai lokasi pengambaran.

Keindahan pulau, pantai dan air terjun yang masing-masing berada di tujuh daerah di Terengganu pasti menjadi buruan pelancongan untuk diabadikan sebagai kenangan terindah bersama teman atau keluarga.

Langkah kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan memperkenalkan puluhan program dan destinasi terkenal dijangka mampu memberi kesan positif kepada ekonomi rakyat dan negeri.

Jika 3.8 juta pelancong mengunjungi Terengganu tahun lalu, manakala sasaran 3.9 juta pelancong pada tahun ini, pastinya berjaya jika semua semua pihak khususnya penggiat pelancongan berganding bahu menjayakan misi dan visi yang dikehendaki.

 

25 January 2013

36 bayi permata Maulidur Rasul lahir di HSNZ

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 36 bayi yang lahir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bergelar ‘Bayi Permata Maulidur Rasul’ apabila lahir pada 12 Rabiul Awal bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Rata-rata ibu bayi bertuah tersebut menyatakan perasaan gembira dan bersyukur kerana melahirkan anak pada hari kebesaran umat Islam, dimana seluruh negara menyambut Maulidur Rasul, semalam.
 
Ketika umat Islam sibuk mengadakan pelbagai persiapan bagi memperingati hari kelahiran baginda Rasulullah s.a.w. detik jam 7.33 malam kelmarin, seorang bayi lelaki seberat 2.6 kilogram yang merupakan bayi pertama lahir pada 12 Rabiul Awal selamat dilahirkan di hospital berkenaan.

Ibu bayi terbabit, Nurul Syazira Che M.Azmi, 24,(gambar) nyata gembira dengan kelahiran anak keduanya yang lahir pada detik bersejarah iaitu pada tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Nurul Syazira yang merupakan seorang suri rumah dan isteri kepada Mohd Syukri Hairudin, 26, berazam membesarkan anaknya dengan memberikan pendidikan yang sempurna supaya anaknya menjadi insan yang berguna apabila dewasa nanti.

"Tidak dapat digambarkan perasaan saya apabila anak yang dijangka lahir pada 31 Januari lahir awal seminggu dan lebih menggembirakan selain lahir pada12 Rabiul Awal tarikh kelahirannya juga sama dengan tarikh lahir saya.

"Saya bersyukur dengan anugerah ini dan akan menjaganya sebaik mungkin,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Haji A. Rahman Mokhtar, di wad bersalin HSNZ, semalam.



Dalam lawatan itu, Dr Haji A. Rahman turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri dalam bentuk wang tunai dan hamper kepada ibu yang melahirkan anak sempena hari Maulidur Rasul.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Anwa Sulaiman seramai 20 bayi lelaki dan 16 bayi perempuan dilahirkan sempena Maulidur Rasul tahun ini di HSNZ.

 



Pusat Minda Besut Seminar Pembangunan Kerjaya

Oleh: Mohammad Ishak

Pelajar lepasan SPM dan remaja di daerah Besut berpeluang menyertai Seminar Kerjaya yang menyaksikan pelbagai profesion menarik untuk golongan berkenaan.

Seminar sehari yang akan berlangsung pada 1 Februari di Bangunan Baitul Ehsan, Jertih, membuka peluang kepada pelajar untuk mengetahui bidang kerjaya yang mereka minanti atau sesuai untuk diterokai.

Antara kerjaya menarik yang dianjurkan oleh pihak terbabit ialah, kewartawanan, fotografi, perubatan, pelancongan dan pengurusan bank.

Pengerusi Pusat Minda Besut, Toh Puan Seri Kamariah Che Zakaria berkata, pihaknya sudah menyediakan panel penceramah dalam bidang berkaitan untuk seminar yang pertama kali dianjurkan oleh pusat berkenaan.

Katanya, seminar itu bertujuan memberi kefahaman dan kemahiran kepada peserta terutama pelajar lepasan SPM serta remaja yang berminat dalam kerjaya berkaitan.

Menurutnya, pihak penganjur mengenakan caj RM15 kepada setiap peserta yang ingin berkongsi pengalaman sepanjang seminar itu berlangsung.

Menurutnya, mereka yang berminat menyertai seminar itu boleh mendaftarkan diri di Pusat Minda Besut di Bangunan Umno Bahagian Besut pada hari seminar diadakan.

Beliau berharap, pelajar dan remaja daerah itu merebut peluang menyertai seminar itu kerana ia amat berguna dan memberi manfaat kepada semua peserta.

Promosi Tasik Kenyir di luar negara

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan Terengganu akan mula mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama di negeri ini di luar negara bagi tujuan menarik pelancong asing ke tasik berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata mengikut perancangan Tasik Kenyir akan mula beroperasi sebagai kawasan bebas cukai pada Ogos tahun depan.

“Oleh itu, amat sesuai promosi Tasik Kenyir di luar negara dimulakan sekarang ini, sekali dengan promosi Tahun Melawat Terengganu 2013,’ katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, semalam.

Pada tahun ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi mempromosi pelancongan di Tasik Kenyir.

Manakala peruntukan RM44.4 juta pula disediakan bagi membiayai projek infrastruktur seperti membangunkan dan menambahbaik kemudahan awam di pulau-pulau peranginan termasuk Pulau Bebas Cukai Tasik Kenyir.

Bagi tujuan itu, katanya, pegawai-pegawai yang berkaitan akan dihantar ke negara-negara tertentu bagi mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan keluarga yang menawarkan pakej menarik.

“Pada peringkat awal ini kita menghantar pegawai untuk membuat promosi kerana pemimpin kerajaan sedang menumpukan kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum,” katanya.

Dato’ Abdul Rahin berkata, promosi Tasik Kenyir perlu dilakukan lebih awal bagi membolehkan ia dikenali di kalangan agen-agen pelancongan dan pusat-pusat penerangan pelancongan di luar negara.

“Kita perlu ada satu ‘blue print’ untuk Tasik Kenyir bagi memudahkan usaha-usaha menarik pelancong ke situ selepas semua projek infrastruktur untuk pelancongan di situ,” tambahnya.

Mengenai TMT 2013, beliau berkata, pihaknya sedang berkerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi mempromosikan Terengganu di seluruh negara.


PPNT sedia bantu kerajaan negeri jayakan TMT 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) bersedia memberikan komitmen dan sepenuh sokongan kepada kerajaan negeri dalam merealisasikan dan menjayakan TMT 2013.

Pengerusinya, Haji Wan Supian Dato’ Wan Ishak berkata, pihaknya bersedia membantu Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 mengadakan program atau aktiviti bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

"Sebagai ejen pelancongan, pihak kami sedia untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam membantu kerajaan negeri mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.

"Sebagai contoh, PPNT telah bekerjasama dengan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menganjurkan seminar dan bengkel bagi membangunkan produk-produk pelancongan sedia ada dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, sempena TMT 2013 juga, pihaknya memohon kerjasama kerajaan negeri menghidupkan kembali ‘Payang Walk’ yang merupakan salah satu produk pelancongan yang boleh dibangunkan.

"Pihak kami tiada masalah mengurus tadbir ‘Payang Walk’ tetapi memerlukan kerjasama kerajaan negeri kerana ia merupakan produk baru yang mungkin mengambil sedikit masa untuk mendapat tempat dihati pengunjung,” katanya.

 

300 peserta sertai Tebu Mountain Challenge 2013

Kira-kira 300 peserta, termasuk dari luar negara akan menyertai Tebu Mountain Challenge 2013 yang bertujuan mempromosikan lokasi pelancongan di kawasan tersebut, pada 23 Februari depan.

Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Negeri Terengganu, Mohd Khairul Abu Bakar, berkata pada tahun ini program tersebut akan melibatkan penyertaan dari luar negara, selari dengan Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan promosi melalui web-site bagi menarik penyertaan dari luar negara bagi menambah daya tarikan terhadap lokasi pelancongan di sekitar daerah Besut dan Setiu.

Selain Gunung Tebu, lokasi pelancongan di kawasan itu ialah Hutan Lipur Lata Belatan, Lata Tembakah, La Hot Spring dan beberapa kawasan perkelahan pesisir pantai.

Beliau berkata, antara objektif program berkenaan ialah mempelopori aktiviti sukan lasak dan riadah di kalangan rakyat tempatan dan luar Terengganu.

Pada tahun 2010 seramai 180 peserta menyertai program itu dan jumlahnya meningkat kepada 250 penyertaan pada tahun lalu.

“Pihak kami menyediakan hadiah lumayan kepada peserta luar negara dan dalam negeri yang menyertai program anjuran kerajaan negeri ini,” katanya.

 

Puteri UMNO Hulu Terengganu sedia hadapi PRU13

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Di seluruh negara, jentera gerak gempur pilihan raya UMNO sudah mula digerakkan oleh para pemimpin parti bagi memastikan anggota-anggota sayap UMNO bersiap siaga pada tahap yang efisien bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU 13).

Puteri perlu bekerja keras menarik lebih ramai ahli baru dan seterusnya memastikan mereka menjadi pengundi bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu.

Bagi ahli Puteri, inilah masa terbaik untuk mematangkan diri dalam politik sebelum mereka beranjak kepada Wanita UMNO satu hari nanti serta mampu memikul tanggungjawab tersebut dan sentiasa bersemangat menjayakan perjuangan parti dalam mengangkat martabat bangsa.

Inilah perjuangan yang telah dipertaruhkan oleh Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Hulu Terengganu,Puan Zurina Abdul Rahman semenjak Puteri UMNO ditubuhkan.

”Saya yakin program-program politik yang dijalankan oleh Puteri mampu mengenal pasti dan menarik lebih ramai orang muda untuk bersama-sama UMNO dan BN.

Perang politik hari ini bukan lagi berbentuk tradisional atau kerahan tenaga tapi sekarang ia lebih kepada perang idea dan pendapat, serta bagaimana kita menangani isu-isu yang diutarakan pihak lawan. Kita mahu hasilkan ahli Puteri yang berkualiti, bukan setakat ramai dari segi bilangan sahaja,” kata Zurina ketika ditemui Teganukita baru-baru ini selepas bengkel jentera pilihanraya Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu..

Zurina berkata, dengan lahirnya ahli-ahli Puteri yang mampu berkomunikasi dan bijak mengutarakan pendirian parti, banyak isu yang dimainkan pembangkang akan dapat ditangkis dengan mudah terutama melalui media baru

Menurut beliau, perlu ada usaha untuk membetulkan semula kenyataan berunsur fitnah dalam blog-blog yang tidak bertanggungjawab itu.

Ada pendapat yang menyatakan jika kita layan pemilik blog, ia bermakna kita memberi kredibiliti (kepada penulis blog) kerana ada pihak yang memberikan maklum balas.

Namun pada masa yang sama terdapat juga pandangan yang menyatakan dengan tidak memberikan maklum balas, pemilik blog akan mengeluarkan lebih banyak kenyataan yang tidak betul,” katanya.

Zurina turut menegaskan, revolusi teknologi maklumat di negara ini sepatutnya adalah untuk mendidik masyarakat dan mengurangkan jurang maklumat antara penduduk, bukannya mendedahkan orang ramai dengan fitnah seperti yang terdapat dalam sesetengah blog.