Halaman

05 February 2013

TAHUN ULAR DISAMBUT MERIAH DI KAMPUNG CINA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Sambutan Tahun Baru Cina bagi masyarakat Cina di Terengganu, khususnya bandar Kuala Terengganu amat meriah pada kali ini. Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw berkata program utama akan berlangsung pada 7, 8 dan 9 Februari, bagaimana pun program gotong-royong bersih kawasan kampung Cina yang bersejarah itu telah berjalan sejak seminggu lalu.

Beliau juga memberitahu Pengarang Teganukita bahawa bantuan hari raya (sambutan Tahun Baru Cina) dari pihak kerajaan negeri telah pun disalurkan beberapa hari yang lalu.

Mewakili kaum Cina Terengganu, beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan kepada Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberi perhatian kepada rakyat termasuk kaum Cina di negeri ini.

Ketua Pemuda MCA Terengganu, Toh Seng Cheng memberitahu, Menteri Besar Terengganu bersama Dato’ Bandar Kuala Terengganu sendiri akan hadir menemui penduduk kampung Cina pada Jumaat 8 Februari depan.

“Pertandingan menghias rumah juga diadakan dengan penyertaan lebih 50 buah, itu merupakan kegiatan kita setiap kali menyambut tahun baru di sini,” katanya.

Beliau juga berkata, ramai pemuda dan pemudi dari kampung itu yang telah berhijrah ke tempat lain akan ‘pulang kampung’ sempena tahun baru, kali ini Tahun Ular Air.

Oleh itu katanya, bagi memeriahkan lagi suasana, pihaknya mengadakan pertunjukan kereta moto, pertunjukan pentas dan sebagainya.

Malah katanya, persembahan ‘tukar wajah’ atau topeng (Bian Lian) dari seorang guru jemputan dari negara Chuan turut diadakan sebagai acara yang paling istimewa untuk disaksikan sama oleh Menteri Besar.

Pada 9 Februari diadakan sambutan ambang raya dan ‘count down’ bersama para pelancong yang juga ramai hadir ke kampung berkenaan.

 

Bantuan RM50,000 untuk aktiviti Pekida

Oleh: Noraini Jusoh



Kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan sebanyak RM 50,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida) Terengganu bagi membantu pertubuhan tersebut menjalankan aktiviti, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.


Beliau mengumumkan perkara tersebut semasa berucap pada Program Ramah Mesra Menteri Besar Terengganu Bersama Ahli Pekida di Dewan Besar Wisma Darul Iman, malam tadi.



Kira-kira 3000 ahli Pekida seluruh Terengganu hadir pada majlis yang julung kali diadakan itu.

Pengerusi Pekida Kuala Terengganu, Encik Ahmad Shukri Abdullah berkata, perjuangan Pekida adalah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

"Sebelum ini, Pekida banyak mengadakan aktiviti seperti kerja-kerja amal dengan menggunakan sumber kewangan sendiri yang disumbangkan oleh ahli-ahli yang prihatin.

"Dengan adanya bantuan daripada kerajaan negeri, saya percaya lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan oleh Pekida,” ujarnya ketika berucap di majlis tersebut.

Katanya, sehingga kini Pekida mempunyai seramai 3527 ahli berdaftar di Terengganu.

 

80 ahli Pas keluar parti, sokong Umno

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 80 penyokong Pas dari Kampung Jerong Seberang dan Kampung Bukit Chempedak, Marang, keluar dari parti itu dan memohon untuk menyertai Umno kerana kecewa dengan tindakan pemimpin Pas yang gagal membela nasib penduduk di negeri ini.



Mereka menyerahkan borang keahlian Umno masing-masing kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada Majlis Selamat Tinggal Pas (STP) di kediaman Seri Iman, malam tadi.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, berkata perjuangan Pas kini semakin tidak relevan kerana sanggup bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP demi kepentingan politik mereka.

"Perjuangan Pas kini jauh terpesong dan bertentangan dengan maksud PAS iaitu ‘Parti Islam Semalaysia’ kerana mereka sanggup menggadaikan kesucian agama Islam untuk kepentingan peribadi semata-mata.

"Pas juga menuduh Umno dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan undang-undang penjajah sedangkan kita juga belajar agama seperti mereka, justeru sekiranya mereka betul-betul memperjuangkan agama Islam tidak sepatutnya mereka menuduh sebegitu” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

 Beliau berkata, semakin banyak jasa Umno dan BN yang ditabur kepada rakyat semakin banyak tentangan daripada pihak pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan kerajaan.

"Ini jelas menunjukkan sifat sebenar mereka yang iri hati dengan kepimpinan kerajaan sekarang, justeru saya berharap penyokong Pas sedar akan hal ini dan lebih ramai yang akan menyertai Umno dan BN kelak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Umno Kampung Jerong Seberang, Encik Nasir Mamat berkata, tercetusnya program (STP) BN Di Hatiku adalah atas kesedaran bekas penyokong Pas di dua kampung terbabit untuk mengembalikan parlimen Marang ke tangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Kecenderungan bekas-bekas penyokong Pas tersebut untuk menyokong Umno dan BN timbul apabila melihat kepimpinan Menteri Besar yang sentiasa mengutamakan rakyat,” katanya.

 

FITNAH TERHADAP BAJU CHEONGSAM TRADISI KAUM CINA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Sememangnya budaya fitnah menjadi cara politik pembangkang. Terbaru mereka memfitnah kononnya gambar Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak pada ‘bunting’ sempena ucapan selamat Tahun Baru Cina berpakaian ‘cina mati’.

Ia kononnya dikaitkan dengan perkara yang negatif dan membawa keburukan, suatu kepercayaan yang amat bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri yang menuntut umat Islam agar tidak percaya kepada pekara-perkara sial dan seumpamanya.

Penulis membuat kajian dan mendapatI baju berwarna merah yang dipakai oleh Dato’ Seri Najib itu adalah baju tradisi kaum Cina yang dipanggil ‘changshan’ bagi kaum lelaki dan ‘cheongsam’ bagi wanita.

Baju changsan (cheongsam) ini sudah terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa. Nama “Cheongsam” itu sendiri bererti “pakaian panjang”.

Ia mudah digayakan dan nyaman,sesuai dengan bentuk tubuh bangsa Tionghoa khususnya. Model leher tinggi, lengkung leher baju tertutup, dan lengan baju pendek, sedang atau panjang, bergantung kepada musim dan cita rasa.

Memiliki kancing di sisi kanan, bagian dada longgar dan dibelah dari sisi. Kecantikan lain dari Cheongsam adalah dapat dibuat dari berbagai bahan dan memiliki kepelbagaian panjang, dapat digunakan secara santai atau resmi.

Juga menampilkan kesederhanaan dan keanggunan, kemewahan dan kerapian. Menurut kaum Cina pakaian itu boleh memakainya di acara-acara santai atau formal, termasuk di musim perayaan. Tidak hairanlah pakaian ini disukai tidak hanya di China tetapi juga di negara-negara lain di dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Baru,Kuala Terengganu, Eng Hing Lam menafikan sama sekali pakain cheongsam (changshan) itu baju ‘cina mati”.

“Ini adalah baju tradisi kita kaum Cina, semua tahu, semua boleh pakai terutama bagi golongan yang berusia amat meminatinya,” kata beliau.

Ketika ditemui di bandar Kuala Terengganu semalam (4 Februari), beliau dukacita dengan tindakan blog dan facebook pembangkang yang mengada-adakan perkara yang tidak betul itu.

 

388 ahli pembangkang di Besut isytihar keluar parti dan masuk UMNO

Kumpulan 250 ahli Pas bertindak keluar Pas dan menyerahkan borang keahlian Umno kepada Dato' Seri Idris Jusoh, malam tadi. - Gambar oleh Mohammad Ishak.

Oleh: Mohammad Ishak 

Selepas sedar diri mereka diperbodohkan oleh pemimpin pembangkang, kini semakin ramai ahli akar umbi dari Pas dan PKR di daerah Besut bertindak meninggalkan parti berkenaan dan menyertai Umno.

Tamparan paling hebat apabila 388 ahli pembangkang dari empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian Besut, mengistiharkan keluar parti dan menjadi ahli Umno.


Mereka menzahirkan niat suci menyertai Umno apabila menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih sempena program Selamat Tinggal Pembangkang (STP) di Kampung Pengkalan Nyireh, dekat Kampung Raja, malam tadi.

Kemasukan beramai-ramai yang terbesar pernah diadakan itu membuktikan Umno menjadi kepercayaan dan pilihan tepat kepada penyokong Pas dan PKR yang sebelum ini mengakui ditipu dan diperbodohkan oleh pemimpin mereka.

Kumpulan terbabit 250 ahli Pas dari DUN Kota Putera, Kuala Besut (83),Jertih (34) dan Hulu Besut 21 menyerahkan borang kepada Idris sambil disaksikan oleh ADUN kawasan masing-masing.

Ibrahim Mamat
Mereka ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian,Nawi Muhamad ADUN Hulu Besut, Naib Ketua Bahagian,Muhamad Pehimi Yusof (ADUN Kota Putera) dan Setiausaha Bahagian,Dr A Rahman Mokhtar,ADUN Kuala Besut.

Majlis yang turut dihadiri lebih 2,000 jemputan itu mengejutkan pembangkan g kerana ia satu petanda BN Terengganu amat kukuh dan mantap.

Ibrahim Mamat, 56, dari Kampung Lapang Kotak,yang mendahului penyerahan borang kepada Idris berkata beliau sudah 20 tahun bersama Pas dan rela meninggalkan parti itu kerana hilang keyakinan terhadap perjuangan Pas yang sekarang terpesong jauh daripada matlamat menegakan Islam di negara ini.


04 February 2013

Kerajaan negeri perkenal dana usahawan tani

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri bakal memperkenalkan dana usahawan tani bagi membantu para usahawan di negeri ini dalam mengembangkan projek pertanian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Tuan Haji Asha’ari Idris berkata, pelaksanaan dana tersebut akan bermula tahun ini bertujuan membantu golongan usahawan tani yang menjalankan projek berskala besar.

"Usaha membantu petani tidak akan selesai hanya dengan pemberian bantuan kerana dalam melahirkan usahawan tani tidak cukup sekadar dengan pemberian subsidi sahaja.

"Oleh itu, kita akan sediakan tabung pinjaman untuk kemudahan semua petani supaya dapat jayakan projek berskala besar dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah dan Penghargaan kepada Peladang, Penternak dan Nelayan Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2012 dan Kursus Usahawan Peladang di Wisma Peladang Terengganu, hari ini.

Katanya, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu telah menerima peruntukan sebanyak RM920,000 bagi membantu 12 usahawan tani daripada kerajaan pusat.

Menurut beliau, sebagai tanda prihatin terhadap petani di negeri ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menampung peruntukan tersebut bagi menyediakan pinjaman kepada lebih ramai usahawan tani yang berminat menerusi dana usahawan tani.

"Setakat ini, belum ada jumlah peruntukan khusus bagi dana ini dan kita gunakan sumber-sumber dari peruntukan lain.

"Apabila satu peruntukan khas telah diluluskan mungkin peminjam dana usahawan tani tidak akan dikenakan faedah tetapi hanya dicaj kos perkhidmatan sahaja,” katanya.

 

SEKUMPULAN PENYOKONG PAS TERENGGANU BERDEMO BANTAH PIMPINAN PARTI MEREKA YANG JADI ALAT DAP

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Kemarahan penyokong Pas terhadap pimpinan mereka kian merebak berikutan beberapa isu yang menampakkan parti itu dan pemimpinnya tidak bertegas dalam soal Islam dengan pakatan mereka terutamanya DAP.


 Hari ini (4 Februari) sekumpulan lagi penyokong Pas dari Kuala Terengganu yang diketuai oleh Zamri Yaakob telah berhimpun di Dataran Masjid Terapung Kuala Ibai, kira-kira jam 3.20 petang.

Mereka menentang sama sekali tindakan pimpinan parti mereka yang diperalatkan DAP dan bukan Islam dalam PKR kerana berpendapat menjejaskan masa depan umat Islam dan bangsa Melayu.


Zamri berkata, mereka mahu Pas keluar dari pakatan DAP dan PKR segera bagi menyelamatkan bangsa Melayu dan umat Islam.




Beberapa perkara dikemukakan dalam bantahan tersebut , antaranya:

- Mereka ingin tahu apa pendirian Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) dalam Isu kalimah Allah dan minta dibuat kenyataan segera setelah Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan bahawa kalimah Allah hanya untuk orang Islam sahaja dan tidak boleh digunakan oleh agama lain.
- Mereka juga mendesak supaya Majlis Syura Ulamak Pas mengeluarkan hukum, apakah boleh mereka berpakat dan membantu DAP dalam pilihan raya nanti kerana ternyata DAP memusuhi Islam secara nyata.
- Sehingga ini Lim Guang Eng, Karpal Singh dan Anwar Ibrahim masih berdegil dalam isu kalimah Allah, maka kumpulan ini menuntut ketiga-tiga mereka ini segera memohon maaf kepada Pas serta umat Islam.

“Kami sangat berharap pemimpin Pas bersatu hati dan singkirkan barua-barua DAP/PKR dalam Pas. Kami yakin barua-barua itu terdapat dalam Pas” tegas Zamri dalam satu kenyataan yang diedarkan.



Antara kata-kata pada spanduk mereka termasuklah “DAP jangan jadi biadap pada Islam”, “Petualang Pas jangan jadi baru DAP” , “Pimpinan Islam dalam PR wajib halau DAP” dan lain-lain lagi.




UMT berfokus penyelidikan dan inovasi

Oleh; Esah Abdullah

Tahun 2013  menjadi titik permulaan kepada pengukuhan pembinaan asas menjadikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah universiti berfokus kepada penyelidikan dan inovasi dalam ‘sains kelautan dan akuatik’.

 Naib Canselor (NC) UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, semua program dan projek penyelidikan perlu mempunyai hubungan erat dengan pembangunan ekosistem sungai dan tasik.

“Ia meliputi pembangunan kemanusiaan, ekonomi, sumber asli, pemuliharaan warisan tabii, sains gunaan dan pembangunan teknologi khususnya daripada perspektif kesejahteraan komuniti, kesihatan alam sekitar dan penjanaan kekayaan negara.

 “Untuk mengukuhkan ilmu dan kemahiran bakat akademik usaha perlu dilakukan untuk membudayakan gagasan ‘penyelidikan sepanjang hayat melalui penyelidikan fundamental bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang ilmu yang dipelopori,” katanya,

Beliau berkata demikian di majlis Syarahan Tahunan NC 2013 ‘Membina Akademik Berbudaya Cemerlang’ di UMT hari ini.

Katanya, fakulti digalakkan untuk menyediakan dana sokongan tahunan supaya kegiatan ini berlangsung secara berterusan dan pemantauan dilakukan berasaskan kepada penerbitan kertas penyelidikan dalam jurnal berwasit yang relevan dengan bidang kepakaran.

“Kita akan menggalakkan pewujudan kumpulan penyelidikan khas (SIG) untuk menjayakan usaha ini secara berstrategi dan jangka panjang walaupun projek penyelidikan lazimnya diberi tempoh satu hingga tiga tahun,” katanya.

Katanya, kumpulan ini akan dipantau oleh seorang ‘pemimpin penyelidikan’ yang dilantik sebagai peneraju SIG untuk memastikan proses penyelidikan dan pembangunan berkembang segar.

 

KTS capai pensijilan ISO 9001:2008

Oleh: Noraini Jusoh

Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) yang merupakan sebuah hospital swasta terkemuka di Kuala Terengganu telah memperoleh pensijilan ISO 9001: 2008 bagi penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan pada 21 Disember 2012.

Pensijilan tersebut telah dianugerahkan oleh sebuah badan pensijilan bebas terkenal antarabangsa iaitu Moody International Certification (Malaysia) Sdn Bhd dan Moody International Certification LTD.

Dengan pencapaian itu bermakna, proses pengurusan kualiti hospital telah diaudit dan telah memenuhi kehendak sistem pengurusan mengikut piawaian Malaysia dan United Kingdom Accreditation Standard (UKAS).

Sistem pengurusan kualiti KTS yang telah diaudit mengikut piawaian ISO termasuk tanggungjawab pengurusan kualiti, proses tindakan pembetulan dan pencegahan, pengurusan pembekal, audit dalaman dan latihan pekerja.

Sehubungan itu, anugerah tersebut akan disampaikan oleh wakil bagi Moody International Certification LTD kepada Pengerusi KTS, Datuk Hajah Fatimah Hamal dalam satu majlis yang diadakan di KTS pada 5 Febuari ini.

 

Kayu ukur sikap generasi muda : Dato' Sri Shabery

Oleh: Aida Abd Rahman

Tahun Sukarelawan Negara 2013 menjadi kayu ukur kepada sikap rakyat negara ini khususnya golongan muda sama ada mereka menjadi masyarakat yang sekadar menerima sumbangan semata-mata atau turut sama mengembleng tenaga dan masa bagi memberi khidmat menjayakan program kemasyarakatan, kata Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

“Bermula tahun ini dan tahun akan datang sudah tentu ada kaedah bagi mengukur budaya sukarelawan di kalangan masyarakat negara kita. Misalnya Australia terdapat lima juta penduduknya yang mendaftar sebagai sukarelawan dengan merekod 700 juta jam kerja-kerja sukarela pada tahun lalu, sekali gus berjaya berada di tangga pertama mengikuti Indeks Memberi Dunia (WGD).

“Ini dapat dilihat dari masa ke semasa. Kalau tahun ini kita boleh kumpulkan sejuta orang sempena program My Beautiful Malaysia, jika kita himpunkan setiap hari berapa juta orang dan jam yang mampu disumbangkan bagi tujuan sukarela di mana ini perlu kita ukur bagi menentukan sama ada kita termasuk di kalangan orang yang memberi dan bukan sekadar menerima sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam program My Beautiful Malaysia peringkat negeri yang dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam (3 Februari).

Dato’ Sri Ahmad Shabery berkata, Tahun Sukarelawan Negara juga akan menilai tahap sumbangan tenaga, wang ringgit dan masa setiap rakyat selama ini dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dapat mengeratkan hubungan dan kasih sayang sesama manusia, persekitaran serta haiwan.

 “Dengan ilmu pendidikan bukan sahaja mampu menjadikan seseorang itu sebagai jurutera, malahan pendidikan untuk menjadikan seseorang itu insan yang lebih tinggi martabat dan darjatnya serta sudah tentu ketinggian darjat itu hanya dapat dibuktikan menerusi kecintaannya kepada manusia yang lain, kepada alam sekitar dan kepada negara yang tercinta.

 “Aspek penting dalam pembangunan insan dan pembangunan sebuah negara ialah semangat sukarelawan yang diitunjukkan oleh belia dan rakyat negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sambutan luar biasa generasi muda dalam program kemasyarakatan seperti My Beautiful Malaysia itu menunjukkan petanda positif bahawa golongan itu semakin bertanggungjawab dan menghargai sesama manusia serta persekitaran.

“Hari ini mereka tampil ke depan untuk membersih kawasan, menananam pokok, membaiki tempat awam yang selama ini dibiar begitu sahaja dan mereka tidak bertanya mengenai berapa upah serta ganjaran yang akan mereka dapat, tetapi semuanya semata-mata kerana mereka sayangkan negara selain mahu mengindah serta mencantikkan negara ini,” katanya .