Halaman

06 February 2013

120 keluarga bakal duduki rumah baru

Oleh: Amirullah Othman 



Seramai 120 keluarga yang bakal terpilih mendapat rumah baru di Perumahan Rumah Pangsa Cerong Binjai, Chendering, akan menduduki rumah mereka tidak lama lagi.

Menteri, Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said hadir pada beramah mesra dengan penduduk berkenaan dan  majlis penyerahan kunci rumah PPRT di kampung berkenaan, malam tadi.



Turut hadir di majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Dato Wan Salleh; Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato’ Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dan Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh.

Menteri Besar berkata, pembinaan rumah pangsa berkenaan menjadi bukti Kerajaan Barisan Nasional menjaga kebajikan rakyat dan menunaikan janjinya kepada penduduk tempatan.

“Untuk penggal ini sahaja di zaman pentadbiran saya sebagai Menteri Besar, kerajaan telah memperuntukan lebih RM800 juta untuk membina rumah kediaman kepada seluruh rakyat Terengganu,” katanya.

Salah seorang yang menerima kunci rumah PPRT tersebut ialah Puan Azlah Jaafar, anak kepada salah seorang Konstabel Polis yang merupakan pejuang di Bukit Kepong dahulu.

Kesemua penduduk adalah berasal dari Kampung Pantai Pandak, Chendering yang berpindah ke Flat Desa Keluarga milik Yayasan Pembangunan Keluarga, pada bulan Mei 2007.

Rumah pangsa yang dibina terdiri daripada 10 lot dan setiap lot mengandungi 12 unit rumah, menjadikan keseluruhan 120 unit rumah.

Setiap unit rumah mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, satu dapur dan satu ruang tamu.Keadaan yang cukup selesa telah menarik minat dan terpancar sinar kegembiraan pada setiap peserta yang bakal menduduki rumah tersebut.









05 February 2013

Pengguna jalaraya diminta sentiasa berwaspada

Oleh: Suriati Ali 

Pengguna jalan raya diminta supaya sentiasa mengambil cakna soal keselamatan dengan tidak melakukan perkara yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

 Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata jangan biarkan kepulangan kita ditangisi akibat kemalangan sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina ini, tetapi pastikan kepulangan kita disambut gembira oleh ahli keluarga.

 “Kebanyakan kemalangan berlaku adalah akibat kecuaian pengguna jalanraya itu sendiri, oleh sebab itu ia perlulah diberi kesedaran dan dididik dari peringkat awal tentang perlunya memandu dan menggunakan jalanraya secara berhemah.

“Anggota polis akan memantau dan mengawasi para pengguna di lokasi-lokasi terpilih sempena Ops Sikap tersebut untuk memastikan pengguna jalan raya memandu mengikut peraturan dan tidak memandu secara merbahaya,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai megagihkan lebih 1,000 cederahati kepada pengguna jalan raya sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina dan Ops Sikap II, di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Dato' Jamshah Mustapa dan  Timbalan Jabatan Pengangkutan Jalan Hashim Borhan.

 Dato’ Yahya turut memberitahu, kempen ini secara tidak langsung membuktikan masalah keselamatan jalan raya adalah antara agenda penting dalam pembangunan negeri apabila kerajaan mengutamakan kebajikan dan keselamatan penduduk dalam mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

 


Terima kasih kerajaan BN

Oleh; Esah Abdullah



“Saya terharu dan bersyukur kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah melupakan orang seperti kami,” kata pesara tentera Encik Zakaria Ngah, 62, dari Seberang Takir yang ditemui di majlis Penyerahan Cek RM1,000 kepada Pesara Tentera Tidak Berpencen di Wisma Darul Iman hari ini.

Beliau yang pernah bertugas selama 10 tahun dalam angkatan tentera kini berkerusi roda kerana diserang angin ahmar tiga tahun lalu itu ditemani salah seorang anak daripada enam beradik.

 “Terima kasih kepada kerajaan yang sangat perihatin kepada nasib kami di mana sebelum ini saya juga terima Bantuan Rakyat IMalaysia (BRIM) dan dana raya daripada kerajaan negeri,” katanya sambil mengesat air mata.

Encik Zakaria yang turut mengidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang itu tetap tabah menjalani kehidupan bersama isteri yang juga sedang uzur.

“Saya akan gunakan duit ini untuk persekolahan anak-anak,” kata Puan Ramlah Mat Sat, 45, balu kepada pesara tentera Allahyarham Jali Abdul Rahman dari kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Suaminya meninggal dunia November tahun lalu dan meninggalkan lima orang anak berusia antara sembilan hingga 21 tahun dan tiga daripadanya masih di bangku sekolah.

Puan Ramlah yang bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mengambil cakna kebajikan rakyat sepertinya.

Bagi Raja Mat Raja Muda, 62, yang berkhidmat dalam tentera selama 18 tahun amat berbesar hati dengan pemberian one-off ini kerana dapat meringankan beban keluarga.

Beliau yang berasal dari Kampung Pak Katak, Kuala Nerus berkata, usaha kerajaan ini memberi kelegaan golongan pesara yang tidak berpencen sepertinya yang rata-rata bekerja sendiri dengan pendapatan tidak seberapa serta ada yang tidak bekerja kerana uzur.

Haji Mustafa Husin, 72, turut menyokong apa yang disuarakan rakan-rakan lain yang terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga.

“Pemberian hari ini amat bermakna bagi kami biar pun hanya sekali dan diharap ada lagi sumbang serupa pada masa akan datang bagi meringankan beban kami,” katanya.

Pada majlis itu, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyampaikan bantuan one-off sebanyak RM1,000 seorang kepada 975 pesara dari daerah Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

 

JR kerah tenaga rampas DUN Manir

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 364 wanita yang bertindak sebagai jentera Jalinan Rakyat (JR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir nekad untuk bekerja habis-habisan bagi merampaskan semula kawasan itu daripada pembangkang.

Menurut Ketua Wanita Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Fatimah Hamat, jentera JR di DUN itu sudah bersiap-siaga sejak dulu lagi bagi mengembalikan DUN berkenaan yang sudah lima penggal bergelap di bawah Pas kepada BN.

“Sudah lima kali pilihan raya nampaknya DUN Manir masih juga kekal bawah Pas. Kita tidak pernah serik untuk bekerja keras kerana JR akan emmastikan segala gerak kerja yang kita lakukan yang mendekati pengundi hingga akar umbi terus memberi kesan dan mendatangkan hasil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti," katanya.

Sehubungan itu, kata Datuk Fatimah yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Negeri Terengganu, semua JR di 26 cawangan di DUN Manir bersedia mengerah tenaga dan sebahagian besar mereka sanggup bekerja siang dan malam bagi mengembalikan DUN itu kepada BN pada PRU13 nanti.

“Semua JR kalau boleh minta izin suami supaya boleh terus bekerja untuk parti tanpa mengira waktu. Kata orang biar dapat `lesen besar’ supaya kita mencapai sasaran pucuk pimpinan dan hasrat Pergerakan Wanita Umno Malaysia.

 “Saya yakin lambat laun usaha yang kita laksanakan akan memberi hasil dan faedah kepada semua, kerana kita amat berperanan sebagai jentera yang bertemu lebih ramai rakyat di setiap kawasan. Malah, kita juga dapat mengesan pemilih yang masih belum berdaftar untuk didaftarkan sebagai pengundi pada pilihan raya nanti,” katanya.

Menurutnya, JR juga mampu mengenalpasti setiap permasalahan rakyat di peringkat akar umbi bagi untuk membolehkan bantuan disampaikan dengan lebih berkesan oleh pemimpin dan wakil rakyat BN.

 

Pasar Kedai Payang bakal berubah wajah

Oleh: Esah Abdullah

Pasar Payang yang merupakan pusat jualan pelbagai barangan tradisional terkenal di Terengganu bakal berubah wajah apabila ia digantikan dengan pasar baru empat tingkat yang berhawa dingin, tidak lama lagi.

Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran Pasar Payang, tahun ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dimulakan, semua peniaga di Pasar Payang akan dipindahkan ke tapak sementara di Pulau Warisan.

“Projek ini melibatkan pelaburan lebih RM400 juta dan akan dilaksanakan oleh syarikat swasta yang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek RM1,000 secara one-off kepada Pesara Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Hal Ehwal Veteran ATM, Dato’ Zulkifli Mazlan dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Terengganu, Encik Alias Razak serta 975 orang bekas tentera dari daerah Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

“Projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun manakala kerja-kerja menyiapkan pasar sementara di Pulau Warisan memakan masa antara empat hingga enam bulan,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja memindahkan peniaga di Pasar Payang hanya boleh dilakukan apabila pasar sementara siap dan berharap peniaga bersabar kerana kerajaan akan menyediakan ruang niaga yang lebih selesa kepada mereka.

Katanya, kerajaan akan memilih satu antara tiga syarikat yang memohon mengendalikan projek berkenaan dan akan memilih yang terbaik bagi melancarkan perjalan projek berkenaan.

Menurutnya, nama Pasar Kedai Payang akan dikekalkan kerana ia sudah sinonim dengan pelancong dan pelawat ke negeri ini dan semua lot kedai akan dilengkapi dengan penghawa dingin bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung di situ.

Begitu juga dengan kemudahan tempat letak kereta akan ditambah menjadikan 400 petak kesemuanya bagi memudahkan orang ramai yang datang ke pasar berkenaan.

Menteri Besar kemudiannya menyerahkan cek RM1,000 seorang kepada 975 orang bekas tentera dari Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan kuala Nerus membabitkan kos keseluruhan RM975,000.

Kuala Nerus kekal milik BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Majoriti pengundi di Kuala Nerus menolak pemimpin yang gagal menunaikan tanggungjawab ketika Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang lalu, sekali gus memberi peluang cerah untuk Barisan Nasional (BN) menguasai empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi parlimen pada PRU13 nanti.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata satu kerusi parlimen serta tiga kerusi DUN, iaitu Seberang Takir, Teluk Pasu serta Tepoh kekal kepada BN, manakala DUN Bukit Tunggal yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya lalu dengan hanya majoriti 300 undi juga akan dirampas semula.

“Kerajaan BN sudah bekerja lima tahun, kita bukan bekerja untuk rakyat hanya ketika PRU13 semakin hampir. Sepanjang masa kita sudah bersiap-sedia. Malah, sehingga kini kita akan memastikan jentera kita boleh berjalan lancar.

 “Insya-Allah, kita yakin mampu merampas semula DUN Bukit Tunggal. Ini berdasarkan sambutan yang diberikan oleh masyarakat setempat bukan sahaja dalam program pembayaran bantuan, malahan maklum balas yang diterima bahawa mereka sudah sedar bahawa mereka dalam kerugian kerana memilih wakil rakyat yang tidak dapat membantu mereka,” katanya ketika sidang media di Rumah Media Kelab wartawan Terengganu (Kawat), di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, semalam (5 Februari).

 Dato’ Mohd Nasir berkata, wakil rakyat pembangkang bukan setakat gagal menunaikan peranan sebagai pemimpin kawasan, malah tidak mampu membawa suara dan rungutan rakyat di kawasan itu ke peringkat atasan termasuk di persidangan DUN.

Menurut Dato’ Mohd Nasir , pembukaan daerah baru Kuala Nerus yang kemungkinan bakal diisytihar secara rasmi selepas PRU13 juga antara pembangunan yang mampu membangkit semangat seluruh masyarakat di Kuala Nerus untuk bekerja lebih keras bagi memastikan keseluruhan DUN dan Parlimen itu dikuasai BN.

 “Dengan pengisytiharan daerah baru Kuala Nerus dapat menyuntik semangat orang Kuala Nerus bekerja lebih keras bagi memberi lima kerusi, empat DUN dan satu parlimen) kepada BN untuk merealisasikan sebuah daerah baru.

“Saya difahamkan juga peruntukan pembangunan disalurkan bagi peringkat awal untuk menyiapkan pelan pembangunan daerah Kuala Nerus,” katanya.



TAHUN ULAR DISAMBUT MERIAH DI KAMPUNG CINA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Sambutan Tahun Baru Cina bagi masyarakat Cina di Terengganu, khususnya bandar Kuala Terengganu amat meriah pada kali ini. Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw berkata program utama akan berlangsung pada 7, 8 dan 9 Februari, bagaimana pun program gotong-royong bersih kawasan kampung Cina yang bersejarah itu telah berjalan sejak seminggu lalu.

Beliau juga memberitahu Pengarang Teganukita bahawa bantuan hari raya (sambutan Tahun Baru Cina) dari pihak kerajaan negeri telah pun disalurkan beberapa hari yang lalu.

Mewakili kaum Cina Terengganu, beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan kepada Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberi perhatian kepada rakyat termasuk kaum Cina di negeri ini.

Ketua Pemuda MCA Terengganu, Toh Seng Cheng memberitahu, Menteri Besar Terengganu bersama Dato’ Bandar Kuala Terengganu sendiri akan hadir menemui penduduk kampung Cina pada Jumaat 8 Februari depan.

“Pertandingan menghias rumah juga diadakan dengan penyertaan lebih 50 buah, itu merupakan kegiatan kita setiap kali menyambut tahun baru di sini,” katanya.

Beliau juga berkata, ramai pemuda dan pemudi dari kampung itu yang telah berhijrah ke tempat lain akan ‘pulang kampung’ sempena tahun baru, kali ini Tahun Ular Air.

Oleh itu katanya, bagi memeriahkan lagi suasana, pihaknya mengadakan pertunjukan kereta moto, pertunjukan pentas dan sebagainya.

Malah katanya, persembahan ‘tukar wajah’ atau topeng (Bian Lian) dari seorang guru jemputan dari negara Chuan turut diadakan sebagai acara yang paling istimewa untuk disaksikan sama oleh Menteri Besar.

Pada 9 Februari diadakan sambutan ambang raya dan ‘count down’ bersama para pelancong yang juga ramai hadir ke kampung berkenaan.

 

Bantuan RM50,000 untuk aktiviti Pekida

Oleh: Noraini Jusoh



Kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan sebanyak RM 50,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida) Terengganu bagi membantu pertubuhan tersebut menjalankan aktiviti, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.


Beliau mengumumkan perkara tersebut semasa berucap pada Program Ramah Mesra Menteri Besar Terengganu Bersama Ahli Pekida di Dewan Besar Wisma Darul Iman, malam tadi.



Kira-kira 3000 ahli Pekida seluruh Terengganu hadir pada majlis yang julung kali diadakan itu.

Pengerusi Pekida Kuala Terengganu, Encik Ahmad Shukri Abdullah berkata, perjuangan Pekida adalah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

"Sebelum ini, Pekida banyak mengadakan aktiviti seperti kerja-kerja amal dengan menggunakan sumber kewangan sendiri yang disumbangkan oleh ahli-ahli yang prihatin.

"Dengan adanya bantuan daripada kerajaan negeri, saya percaya lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan oleh Pekida,” ujarnya ketika berucap di majlis tersebut.

Katanya, sehingga kini Pekida mempunyai seramai 3527 ahli berdaftar di Terengganu.

 

80 ahli Pas keluar parti, sokong Umno

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 80 penyokong Pas dari Kampung Jerong Seberang dan Kampung Bukit Chempedak, Marang, keluar dari parti itu dan memohon untuk menyertai Umno kerana kecewa dengan tindakan pemimpin Pas yang gagal membela nasib penduduk di negeri ini.



Mereka menyerahkan borang keahlian Umno masing-masing kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada Majlis Selamat Tinggal Pas (STP) di kediaman Seri Iman, malam tadi.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, berkata perjuangan Pas kini semakin tidak relevan kerana sanggup bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP demi kepentingan politik mereka.

"Perjuangan Pas kini jauh terpesong dan bertentangan dengan maksud PAS iaitu ‘Parti Islam Semalaysia’ kerana mereka sanggup menggadaikan kesucian agama Islam untuk kepentingan peribadi semata-mata.

"Pas juga menuduh Umno dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan undang-undang penjajah sedangkan kita juga belajar agama seperti mereka, justeru sekiranya mereka betul-betul memperjuangkan agama Islam tidak sepatutnya mereka menuduh sebegitu” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

 Beliau berkata, semakin banyak jasa Umno dan BN yang ditabur kepada rakyat semakin banyak tentangan daripada pihak pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan kerajaan.

"Ini jelas menunjukkan sifat sebenar mereka yang iri hati dengan kepimpinan kerajaan sekarang, justeru saya berharap penyokong Pas sedar akan hal ini dan lebih ramai yang akan menyertai Umno dan BN kelak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Umno Kampung Jerong Seberang, Encik Nasir Mamat berkata, tercetusnya program (STP) BN Di Hatiku adalah atas kesedaran bekas penyokong Pas di dua kampung terbabit untuk mengembalikan parlimen Marang ke tangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Kecenderungan bekas-bekas penyokong Pas tersebut untuk menyokong Umno dan BN timbul apabila melihat kepimpinan Menteri Besar yang sentiasa mengutamakan rakyat,” katanya.

 

FITNAH TERHADAP BAJU CHEONGSAM TRADISI KAUM CINA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Sememangnya budaya fitnah menjadi cara politik pembangkang. Terbaru mereka memfitnah kononnya gambar Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak pada ‘bunting’ sempena ucapan selamat Tahun Baru Cina berpakaian ‘cina mati’.

Ia kononnya dikaitkan dengan perkara yang negatif dan membawa keburukan, suatu kepercayaan yang amat bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri yang menuntut umat Islam agar tidak percaya kepada pekara-perkara sial dan seumpamanya.

Penulis membuat kajian dan mendapatI baju berwarna merah yang dipakai oleh Dato’ Seri Najib itu adalah baju tradisi kaum Cina yang dipanggil ‘changshan’ bagi kaum lelaki dan ‘cheongsam’ bagi wanita.

Baju changsan (cheongsam) ini sudah terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa. Nama “Cheongsam” itu sendiri bererti “pakaian panjang”.

Ia mudah digayakan dan nyaman,sesuai dengan bentuk tubuh bangsa Tionghoa khususnya. Model leher tinggi, lengkung leher baju tertutup, dan lengan baju pendek, sedang atau panjang, bergantung kepada musim dan cita rasa.

Memiliki kancing di sisi kanan, bagian dada longgar dan dibelah dari sisi. Kecantikan lain dari Cheongsam adalah dapat dibuat dari berbagai bahan dan memiliki kepelbagaian panjang, dapat digunakan secara santai atau resmi.

Juga menampilkan kesederhanaan dan keanggunan, kemewahan dan kerapian. Menurut kaum Cina pakaian itu boleh memakainya di acara-acara santai atau formal, termasuk di musim perayaan. Tidak hairanlah pakaian ini disukai tidak hanya di China tetapi juga di negara-negara lain di dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Baru,Kuala Terengganu, Eng Hing Lam menafikan sama sekali pakain cheongsam (changshan) itu baju ‘cina mati”.

“Ini adalah baju tradisi kita kaum Cina, semua tahu, semua boleh pakai terutama bagi golongan yang berusia amat meminatinya,” kata beliau.

Ketika ditemui di bandar Kuala Terengganu semalam (4 Februari), beliau dukacita dengan tindakan blog dan facebook pembangkang yang mengada-adakan perkara yang tidak betul itu.