Halaman

08 February 2013

JKKK raikan 30 anak kampung yang berjawatan profesional

Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 30 anak jati penghuni Perumahan Awam Seberang Jertih, di sini yang memegang pelbagai jawatan penting sebagai profesional akan diraikan dalam satu majlis Malam Penghargaan Transformasi Anak Bangsa yang akan diadakan di Dataran Rumah Awam Seberang Jertih pada 9 Februari.

Program anjuran Pejabat Penyelaras DUN Jertih dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam bertujuan memberi penghargaan kepada mereka yang berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Setiausaha JKKK Rumah Awam Seberang Jertih, Wan Mohamad Ibrahim berkata, pihaknya mengambil masih enam bulan membuat kajian terhadap sosio ekonomi dan pendidikan anak penghuni yang menetap di perumahan itu sejak 25 tahun lalu.

Katanya, haasil pendidikan yang berkualiti berikutan bimbingan ibu bapa dan bantuan kerajaan ramai anak penduduk memegang jawatan penting dalam bidang kedoktoran, jurutera, pensyarah dan akauntan.

Menurutnya, kejayaan itu mendorong pihak JKKK dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada ibu bapa serta anak mereka dalam program berkenaan.dalam pelbagai kmerjaya.

Beliau berkata, program pertama seumpama itu diharap dapat membangkitkan semangat dan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai kejayaan melahirkan anak yang cemerlang Idris yang juga

Pengerusi MARA akan merasmikan program itu dan menyampaikan sijil dan plug kepada mereka yang terpilih dalam program itu.

Pesara tentera minta ahli sertai koperasi

Oleh; Esah Abdullah

Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) telah mewujudkan Koperasi PVTTB dan akan digerakkan secara lebih aktif tahun ini.

Yang Dipertua PVTTB, Encik Alias Abdul Razak berkata, setakat ini keahlian persatuan hampir 2,000 orang dan berharap mereka dapat menyertai koperasi yang diwujudkan khusus untuk kepentingan masa depan mereka.

“Daripada jumlah berkenaan hanya separuh yang menyertai koperasi dan berharap lebih ramai berbuat demikian,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, perancangan hala tuju koperasi adalah untuk mencari aset kekal yang dapat memberi pulangan kepada ahli-ahli dalam tempoh jangka masa panjang.

“Kita masih dalam peringkat perbincangan bentuk projek yang akan kita masuk nanti yang pasti akan memberi manfaat kepada ahli,” katanya.

Selain itu, pihak persatuan juga sedang mengesan pesara tentera yang uzur , mengidap penyakit kronik dan sebagainya untuk dibantu melalui dana kerajaan negeri.

Katanya, angka yang ada bukan jumlah sebenar kerana masih ramai pesara yang belum berdaftar sebagai ahli dan meminta rakan-rakan dan jiran berilah kerjasama mengesan atau memaklumkan kepada persatuan.

“Saya akui memang sukar mengesan di mana mereka berada tanpa kerjasama rakan-rakan seperjuangan serta orang ramai kerana ada yang telah bersara sejak 10 tahun lalu,” katanya.
 

Promosi Kuala Berang Sebagai Bandar Bawah Tasik Sempena TMT 2013

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Keindahan alam semulajadi di kawasan Kuala Berang yang turut menempatkan Tasik Kenyir, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, wajar dipromosi sebagai 'Bandar Di Bawah Tasik' sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Tasik Kenyir telah menenggelamkan beberapa buah kampung dan juga hutan. Banyak haiwan liar telah diselamatkan semasa pembinaan empangan ini.

Pembinaan empangan ini telah mewujudkan pulangan ekonomi kepada penduduknya yang majoritinya adalah petani. Secara tidak langsung, penduduk di sini dapat menaikkan taraf sosial masing-masing.

 Kedatangan pelancong ke sini yang terkenal dengan jagung manisnya telah menaikkan nama bandar Kuala Berang di mata pihak luar yang sebelum ini dikenali sebagai 'bandar mati'.

Sejak darii tu Kuala Berang di kenali dengan jolokan nama Bandar Bawah Tasik.. Tasik ini terdiri daripada 340 buah pulau di tengah tasik, 14 air terjun, beberapa jeram serta sungai, gua & Tasik Kenyir sememangnya menyimpan ribuan khazanah alam yang berharga.

Tasik Kenyir dan hutan belantara di sekelilingnya menjadi rumah bagi lebih daripada 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies pokok dan tumbuhan termasuk 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.Kajian terkini mendapati terdapat kira-kira 300 spesies ikan air tawar membiak di dalam Tasik Kenyir..

.Tasik Kenyir juga merupakan pintu masuk ke taman negara..

Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata beliau telah mencadangkan kepada Kementerian Pelancongan supaya menonjolkan keistimewaan dan keunikan Kuala Berang.

"Jika kita berada di Tasik Kenyir, sebenarnya kita sedang berada di atas puncak gunung dan menyebabkan Kuala Berang yang terdiri daripada puluhan kampung terletak nun jauh di bawah, sekali gus menjadikan keadaan ini unik dan istimewa," katanya kepada Teganu Kita ketika di temui baru-baru ini.

Beliau menggesa penduduk Kuala Berang turut mempromosikan pekan itu dengan cara masing-masing sama ada melalui lisan atau laman sosial.


Rakyat diminta jangan bazir undi

Oleh: Suriati Ali

 Rakyat negeri ini diminta tidak mensia-siakan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan cara memilih kerajaan yang benar-benar berwibawa demi memastikan kesinambungan proses pembangunan di Terengganu.

 Ketua Penerangan Umno Terengganu, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya kerajaan yang dipilih benar-benar berwibawa dan dipimpin oleh mereka yang berkebolehan serta berpengalaman.

 “Sebab itu, kita perlukan sebuah kerajaan yang lebih memfokuskan kepada agenda rakyat dan kerajaan yang pandai serta bijak merancang sesuatu pelan berkesan dalam menjaga perihal pembangunan rakyat.

“Jika rakyat memilih dan mengundi mana-mana parti tidak pasti ke mana hala tuju dan hanya pandai menabur janji melalui manifesto `khayalan’ undi mereka dianggap membazir ,” katanya kepada Teganukita.

 Katanya, semua jentera parti Umno Terengganu terutama peringkat bahagian dan negeri sudah bersedia menghadapi PRU Ke-13 walaupun diadakan dalam tempoh terdekat.

 “Pihak kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi demam PRU Ke -13 dengan menyusun semuanya termasuk daripada aspek gerak kerja peringkat cawangan, peti undi, DUN, bahagian dan negeri.

 “Pihaknya sudah nampak persefahaman antara semua barisan kepimpinan sama ada peringkat bahagian mahupun negeri,” katanya.


 

Terengganu miliki padang bola sepak sintetik bernilai RM1.1 juta

Oleh: Noraini Jusoh

Padang bola sepak sintetik atau padang rumput tiruan bernilai RM1.1 juta telahpun siap dibina di Kampung Tok Jiring sekaligus menjadikan Terengganu negeri pertama memilikinya.
Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, projek padang bola sintetik merupakan model baru bagi pembangunan infrastruktur bola sepak negara.

Katanya, dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta bagi membina dua padang bola sepak sintetik di setiap negeri.

"Kampung Tok Jiring dipilih sebagai lokasi pertama di Terengganu untuk membina padang bola sintetik dan antara projek peringkat awal.

"Sekiranya berjaya, secara berperingkat semua padang sekolah dan awam di negara ini akan diganti dengan padang sintetik,” ujarnya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat padang bola sepak sintetik di Kampung Tok Jiring, baru-baru ini.

Katanya, padang bola sepak sintetik dalam Parlimen Kuala Nerus itu juga telah menepati piawaian minimum Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Berbanding padang rumput biasa dimana kos pembinaannya sekitar RM500,000 kos untuk membina padang bola sepak tiruan agak mahal iaitu antara RM1.1 dan RM1.7 juta setiap satu.

"Walau bagaimanapun, proses penyelenggaraannya tidak memerlukan kos tambahan dan lebih menjimatkan sehingga mampu bertahan sehingga lapan hingga 10 tahun,” ujarnya.

 Menurut beliau, padang bola sepak sintetik juga menggunakan teknologi tinggi dimana sistem perparitan telah dibina dibawah padang tersebut yang dapat mengalirkan air sekiranya hujan.

 

MB lalui jadual padat di Kemaman esok (9 Februari)

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, bakal melalui jadual yang padat di Kemaman, esok (9 Februari).

Bermula jam 9 pagi beliau akan menyertai program gotong royong memasang atap tiga kediaman penduduk di Kampung Yak Yah, Kijal.

Selepas itu, Menteri Besar akan melawat kediaman salah seorang penduduk kampung itu yang uzur. Beliau turut mengambil kesempatan lawatan ke kampung itu untuk meninjau rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin, sebelum bertolak ke Sungai Mas, Padang Kubu, bagi menghadiri majlis perkahwinan salah seorang penduduk di kampung berkenaan.

Pada jam 3 petang, Dato’ Seri Haji Ahmad akan hadir ke Program Raja Dam peringkat DUN Kijal di perkarangan Pejabat DUN Kijal.

Sejurus itu, beliau dijadualkan merasmikan Kejohanan Piala Veteran Umno anjuran Penyelaras Pemuda Umno DUN Kijal serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal di Padang Bukit Kuang.

Pada sebelah malamnya, beliau akan hadir ke Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina 2013 di Parking Lot, Hadapan Muzium Kemaman di Bandar Chukai.


07 February 2013

Pusat Khidmat Rakyat sempena Jelajah Anak Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

`Rakyat Service Centre’ (RSC) sempena program Jelajah Anak Malaysia (JAM) yang diadakan di perkarangan pasar raya Hock Kee Seng, Gong Badak, dua hari bermula hari ini, dijangka menjadi lokasi tumpuan ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh 16 agensi kerajaan.

RSC yang menyediakan kaunter perkhidmatan melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya, Jabatan Kesihatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Pendaftaran Negara, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Majlis Amanah Rakyat, Tekun Nasional, Majlis Kerajaan Tempatan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Job Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Pengerusi Gabungan Generasi Muda (G2M), Encik Mohd Shahar Abdullah, berkata pihaknya mensasarkan kira-kira 5,000 penduduk khususnya dari Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan mengunjungi RSC .

“Jika sebelum ini kita merasakan hanya kerajaan dan kementerian sahaja yang dapat mengatur satu karnival yang dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat. Bagaimanpun anak muda bersama badan bukan kerajaan (NGO) juga mampu menganjurkan Rakyat Service Centre menerusi 16 kaunter perkhidmatan dan pameran oleh enam agensi.

“Kita mahu mahu anak muda sebgai agen transformasi kepada rakyat, juga mampu menghubungkan agensi dan kementerian yang dekat di hati rakyat,” katanya di sidang akhbar di Pejabat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), hari ini.

Encik Mohd Shahar yakin dengan sambutan baik bakal diterima di Terengganu berdasarkan perkembangan di empat lokasi RSC sebelum ini, iaitu di Sungai Siput, Perak (2 hingga 3 Februari); Balik Pulau, Penang (3 hingga 4 Februari) dan Jerai, Kedah (4 hingga 5 Februari).

Katanya, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara umpamanya, menerima sambutan amat menggalakkan apabila 300 hingga 400 pengunjung mendapatkan perkhidmatan untuk menukar kad pengenalan baru menyebabkan pihak berkenaan terpaksa melanjutkan masa perkhidmatan sehingga dua jam kemudian.

Selepas Terengganu, pihaknya akan mengadakan RSC di Pekan, Pahang (8 hingga 9 Februari); Sembrong, Johor (9 Februari); Hulu Langat, Selangor (12 hingga 13 Februari) dan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur (13 hingga 14 Februari).

Jelajah Anak Malaysia anjuran mahasiswa, belia dan NGO di bawah G2M dengan bertemakan transformasi rakyat bakal menjelajah ke 35 lokasi seluruh negara bermula di Putrajaya 30 Januari lalu, berada di Terengganu sebagai lokasi kelapan program dua hari satu malam mereka.

Penggerak program yang terdiri daripada 200 mahasiswa dan belia NGO akan berkampung di setiap destinasi bagi melaksanakan pelbagai acara kemasyarakatan seperti RSC, Suara Rakyat, KAM1 Prihatin, Rakyat Cergas, Jelas Rakyat, santai Rakyat dan Kuliah Rakyat.


Peniaga yakin KUT mampu beri impak positif

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman 

 “Jutaan terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kerana turut memberi peluang kepada Ety Batik bagi mempromosi dan menjual pelbagai produk Terengganu di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT).

 “Peluang seumpama itu dianggap cukup bernilai dan berazam akan mengusahakan perniagaan batik ini sebaik mungkin supaya produk seperti batik, songket dan sutera terus tersohor dikalangan pelancong,” katanya Pemilik Ety Batik, Nor Hayati Kamaldin, 26.

 Nor Hayati antara 70 usahawan tempatan yang bakal berniaga di KUT di Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu. Sebahagian kesil pengusaha sudah mula berniaga dan selebihnya dijangka memasuki ruang niaga masing-masing antara Mac hingga April ini selepas sipa kerja-kerja pengubahsuaian.

Pemilik Lieos Technolgy Sdn Bhd Puan Afiza Khalit, 33, berkata dia tidak akan mensia-siakan peluang yang ditawarkan YPU kerana menyedari KUT mampu memberi impak positif kepada perniagaannya.

 “KUT cukup unik kerana pelbagai kemudahan bakal ditempatkan termasuk hotel, pusat rekreasi keluarga, pawagam, pusat boling dan gelanggang futsal.

 “Saya percaya, apabila siap sepenuhnya kelak, KUT mampu menjadi lokasi tumpuan pelancong setiap kali mengunjungi Terengganu di mana sebelum ini hanya tertumpu kepada pasar payang,” katanya.

 Katanya, syarikatnya kini masih dalam proses mengubahsuai dan menambahbaik lot perniagaan di lokasi itu, supaya nampak lebih menarik dan teratur.

“Walaupun terpaksa mengeluarkan belanja hingga ratusan ribu untuk tujuan itu, saya berasakan diri ini tetap beruntung beruntung kerana terpilih berniaga di KUT,” katanya.

 

Kewujudan KUT, buat peniaga gembira

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman 

 Pendekatan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menwujudkan Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) bernilai RM21 juta di Kubang Jela, Manir nyata mengembirakan golongan peniaga dan penduduk setempat.

 Ia bakal menjadi pemangkin kewujudan pusat pertumbuhan baru di kawasan itu dengan kedudukannya yang strategik berhampiran jalan baru menghubungkan Losong, Kubang Jela, Jeram dan Gemuruh.

 Bangunan tiga tingkat itu akan menempatkan 70 usahawan tempatan khususnya dalam industri kraf seperti batik dan songket serta produk berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik, berkata kompleks ini bakal beroperasi seperti sebuah 'mall' dan dapat membantu pengusaha tempatan dari segi penjenamaan dan pemasaran produk mereka.

"Inisiatif ini diharapkan dapat membantu usahawan tempatan dalam menangani masalah mendapatkan premis yang sesuai untuk mereka serta meningkatkan daya maju.

“Gunakan peluang yang diberi ini sebaik mungkin kerana ia mampu memberi pulangan lumayan kepada peniaga jika bijak memikat pelanggan,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Katanya, sebilangan pengusaha yang memulakan perniagaan pada pertangahan tahun lalu mula menampakkan hasil kerana mampu memperoleh pendapatan bulanan yang agak lumayan.

“Ini diakui pemilik Al Bakry T' Cafe yang menawarkan hidangan nasi Arab. di mana kini dapat mengutip hasil jualan harian kira-kira RM1,000 sehari,” katanya.

 

Bukan Pas kuat, tapi rakyat tidak kenang budi : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembangkang berjaya menawan kerusi Dewan Undangan Negeri Manir (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) sejak lima penggal lalu, bukan kerana wakil rakyat Pas berjaya memenuhi kehendak rakyat di kawasan itu, bagaimanapun akibat wujudnya `gunting dalam lipatan’ di kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno sendiri, kata Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

“Ada golongan yang mendapat habuan dan nikmat daripada apa yang sudah kerajaan BN laksanakan selama ini tetapi tidak mensyukuri nikmat itu.

“ Kebanyakan mereka mendapat kesenangan kerana dasar dan apa yang dilakukan oleh BN dan Umno, namun atas sebab satu dua perkara yang mereka tidak puas hati, mereka bertindak mensabotaj parti sendiri serta tidak mengundi calon BN pada PRU,” katanya.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berkata demikian ketika berucap di Majlis Jentera Jalinan Rakyat Wanita dan Penggerak Kemad DUN Manir, di Dewan Komuniti DUN Manir, baru-baru ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata BN mampu menawan semula kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti sekiranya semua pengundi di kawasan itu di kalangan mereka yang tahu bersyukur dengan apa yang sudah mereka nikmati dan perolehi selama ini.

 Antara usaha Pegawai Pembangunan DUN (PPD) berkenaan, Encik Yusof Awang Hitam, yang tidak pernah dilaksanakan di kawasan lain, menurut Menteri Besar adalah Klinik Rawatan Masyarakat Yusof Awang Hitam yang menyediakan rawatan secara percuma kepada penduduk kawasan itu, tanpa mengira latar belakang politik.

“Saya bercakap dengan Perdana Menteri (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin) sebelum ini, saya secara peribadi tidak pernah melihat seorang yang bukan wakil rakyat, dilantik sebagai PPD bekerja begitu kuat dan melaksanakan macam-macam kemudahan untuk penduduk kawasannnya.

“Malah, sepanjang saya menjadi Menteri Besar dan Exco, saya tidak pernah tahu mengenai kawasan yang menyediakan khidmat seperti itu (Klinik Rawatan Masyarakat). Maknanya beliau mengambil inisiatif untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Apa lagi yang orang Manir mahukan, kecuali jika masyarakat di sini sememangnya dilahirkan sebagai golongan yang tidak mengenang hati budi orang lain,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang gagal dan tidak pernah melakukan sebarang pembangunan dan kemudahan untuk penduduk kawasan itu walaupun majoriti pengundi memihak parti itu pada setiap kali PRU lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, tiada sebab lagi penduduk Manir berterusan memilih Pas yang gagal memperjuangkan nasib mereka, malah PRU13 adalah penentu terbaik untuk penduduk DUN itu supaya mengenang jasa kerajaan BN bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan bantuan kebajikan dapat terus disalurkan kepada mereka.