Halaman

18 February 2013

Puteri UMNO Hulu Besut lafaz taat setia kepada parti


Hasmadi (bersongkok) sambil diperhatikan Zahari Mat ketika menerima surat pengistiharan lafaz ikrar Puteri Umno Hulu Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Walau apa yang terjadi Puteri UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, tetap setia dan akan bersama pemimpin dan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU13) tidak lama lagi.

Begitulah lafaz suara Puteri Umno DUN Hulu Besut dalam program Setia Kawan dan Makan Malam anjuran Penyelaras Puteri Umno Hulu Besut, di sebuah restoran terkemuka di Jertih, malam tadi.

Program yang mengumpul 60 petugas dan pengendali komputer mewakili 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) itu bertujuan memantapkan lagi jentera pilihan raya khususnya tenaga kerja Puteru Umno.

Mewakili ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, Naib Pengerusi Penyelaras DUN,Hasmadi Hassan menerima surat taat setia daripada wakil Puteri berkenaan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu, Zahari Mat yang juga penyelaras program.

Berucap pada majlis itu Hasmadi berkata, Puteri boleh memainkan tanggungjawab berkesan untuk mendekati pengundi muda dengan mendampingi golongan berkenaan sambil menyampaikan maklumat parti.

Katanya, kerjasama dan jalinan mesra yang ditunjukkan oleh ahli Puteri kawasan berkenaan mampu menarik minat golongan pengundi baru menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tidak lama lagi.

Lebih 5,000 dijangka kunjungi Karnival Kerjaya Belia BN 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 5,000 golongan muda dijangka akan mengunjungi Karnival Kerjaya Belia Barisan Nasional (BN) 2013 peringkat Negeri Terengganu 2013, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, sepanjang dua hari bermula 22 Februari ini.

Karnival kerjaya anjuran Pemuda BN Terengganu dengan kerjasama Pemuda BN Malaysia bakal dilancarkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sempena program Jelajah Janji Ditepati di lokasi yang sama, 23 Februari ini.

Pengerusinya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata karnival kerjaya yang pertama kali dilaksanakan di Terengganu itu bakal menempatkan 80 majikan dari pelbagai sektor pekerjaan termasuk peindustrian, pembuatan, pertanian, pelancongan, minyak dan gas serta beberapa agensi kerajaan.

“Di samping itu, bukan hanya majikan yang turut serta dalam karnival itu, agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan SME Bank juga akan terlibat kerana mereka bukan sahaja menawarkan pekerjaan, malah menyediakan peluang latihan dan kemudahan pinjaman.

“Objektif utama semua majikan yang terdiri daripada 60 syarikat dan agensi luar Terengganu, manakala 20 lagi yang berpusat di Terengganu itu adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kepada anak muda di negeri ini,” katanya kepada pemberita di Pejabat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda BN Bahagian dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Encik Saiful yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri berkata, hasil kejayaan penganjuran karnival kerjaya 2011 dan 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) , Sekretariat BN Youth Job Fair mengambil pendekatan bagi menganjurkan program yang sama sebagai kesinambungan kejayaan itu.

Katanya, sambutan baik terhadap program itu sebelum ini, selain permintaan di kalangan golongan muda di di Terengganu supaya ia dilaksanakan di negeri ini menyebabkan Pemuda BN Terengganu merealisasikan hasrat golongan itu dalam usaha memastikan masalah pengangguran dapat diatasi segera.

“Para pengunjung terutama mereka yang belum mempunyai pekerjaan atau berhasrat menukar kerjaya lain sebagaimana yang disediakan dalam karnival itu boleh membawa resume dan dokumen peribadi boleh terus menemui majikan yang terdapat di karnival itu.

 “Pemohon akan di bawa untuk menjalani sesi temuduga, peluang kerjaya dan `career talk’ yang disampaikan oleh pakar motivasi dari Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, program yang sama turut diadakan di Kedah (31 Januari hingga 1 Februari), diikuti Terengganu dan kemudiannya di Tawau, Sabah pada 2 hingga 3 Mac ini.

 

Rundingan dengan penceroboh Lahad Datu diteruskan - Zahid

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha memujuk kumpulan bersenjata dari Filipina yang menceroboh Lahad Datu, Sabah, supaya meninggalkan kawasan itu sedang giat dijalankan.

Beliau tidak menolak kemungkinan pencerobohan sekumpulan warga Filipina ke kawasan pesisir pantai Lahad Datu, Sabah didalangi rakyat negara ini yang sengaja ingin negara jadi huru hara.

Beliau berkata ia membabitkan rundingan bersama pasukan polis manakala pihak tentera membantu dari segi operasi pemantauan.

Dalam kejadian Selasa lalu, dilaporkan lebih 100 anggota kumpulan lengkap bersenjata dan berpakaian celoreng tentera mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.

Menurutnya, dalang itu hanya ingin ambil kesempatan dengan memperlihat seolah-olah masalah keselamatan dan pertahanan sistem negara longgar, dan tidak mustahil situasi itu berhubung-kait dengan matlamat politik serta perangkap politik.

“Saya fikir, mereka tentu tidak bertindak sendirian jika tiada dalang di belakangnya. Malah, dalang itu mungkin bukan dari Filipina, tetapi berkemungkinan dari dalam negara ini sendiri yang ingin melihat keadaan negara aman damai ini bertukar huru-hara.

 “Keadaan di sana (Lahad Datu) terkawal. Pihak polis telah lakukan operasi sepenuhnya bersama-sama tentera. Sehubungan itu juga, diharapkan kita dapat sanggah apa yang ditulis dalam blog media sosial yang pro pembangkang mengatakan mereka ini pengganas.

 “Sebaliknya mereka ini dipercayai sekumpulan nelayan dari Selatan Thailand yang mengatakan mereka pewaris keturunan Raja Sulu. Usaha memujuk mereka meninggalkan Lahad Latu diharap mencapai hasil kerana kita tidak mahu berlaku pertumpahan darah.

 “Kita juga telah jelaskan jangan termakan pujuk mereka yang ada di dalam. Kumpulan ini juga bukan tentera dan kenyataan terperinci mengenai perkara ini akan dikeluar Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Pihak keselamatan akan cuba sebaik mungkin menyelesaikan masalah itu melalui perundingan, bukan pertumpahan darah, katanya kepada pemberita selepas pelancaran jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Hulu Terengganu ,semalam.

 

TUDUHAN BOHONG DI BANGGOL PERADONG KONON KERAJAAN ROMBAK PASAR PAYANG DAN HALAU PENIAGA- SEBENARNYA KERAJAAN HENDAK BINA PASAR PAYANG BARU YANG LEBIH SESUAI DAN SELAMAT.

Oleh: Ruslan bin Abdul Rahman

Seorang penceramah yang baru menyertai Pas dan beristerikan seorang artis telah membuat pembohongan dengan berkata bahawa kerajaan negeri, di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu runtuhkan Pasar Payang dan menghalau peniaga.

Beliau berkata, dalam ceramahnya di perhimpunan Pas kelmarin di Banggol Peradong, dekat sini.

Sebenarnya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu membina semula Pasar Payang dengan bentuk baru yang lebih sesuai dan selamat.

Pasar Payang yang merupakan pusat jualan pelbagai barangan tradisional terkenal di Terengganu bakal berubah wajah apabila ia digantikan dengan pasar baru empat tingkat yang berhawa dingin, tidak lama lagi.

Dengan bentuk baru yang lebih selesa, ia akan boleh menarik lebih ramai pelancong lagi mengunjungi pasar itu.

Dan adalah tidak benar, kerajaan tidak akan membenar penjualan di situ, tetapi diberi tempat yang lebih selesa.

Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran Pasar Payang, tahun ini. Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dimulakan, semua peniaga di Pasar Payang akan dipindahkan ke tapak sementara di Pulau Warisan.

Bermakna tempat perpindahan perniagaan sementara juga disediakan, sehingga menunggu pembinaan baru Pasar Payang siap - itulah faktanya.

“Projek ini melibatkan pelaburan masuk sebanyak RM400 juta ke negeri Terengganu dan akan dilaksanakan oleh syarikat swasta yang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan penghujung tahun ini,” katanya.

Oleh itu, tuduhan penceramah yang diwar-warkan bakal calon dalam pilihanraya itu adalah suatu pembohongan yang nyata.

 

Ramai ahli Pas patah semangat

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Isu penggunaan kalimah Allah telah mematahkan semangat juang ahli-ahli dan penyokong Pas di negeri Terengganu untuk menggerakkan jentera pilihan raya parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).



Lebih parah, dilaporkan beberapa pemimpin Pas peringkat cawangan di kawasan kubu kuat Pas di Marang, tempat Presiden parti itu, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, secara terbuka melahirkan hasrat untuk menutup markas mereka dalam masa terdekat jika isu berkenaan tidak ditangani.

Mereka dikatakan terkilan dengan sikap Presiden Pas yang seolah-olah cuba bermain politik dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi masyarakat bukan Islam.

“Ahli-ahli dan pengikut Pas mahu Haji Hadi membuat kenyataan terbuka bahawa Pas menyokong penuh berhubung larangan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam,” kata satu sumber parti tersebut.

Sumber itu berkata, ahli dan penyokong Pas tidak mahu Abdul Hadi hanya sekadar bersandiwara menyokong larangan penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam di depan orang Pas tetapi bila berada dengan pemimpin DAP, dia setuju kalimah berkenaan turut digunakan oleh bukan Islam.

Teganukita difahamkan berhubung isu itu juga ramai ahli Pas sudah menghubungi ketua-ketua cawangan Umno di Marang untuk melahirkan hasrat mereka keluar Pas dan menyertai Umno.

Mereka tidak rela Islam dipergunakan oleh pemimpin Pas bagi kepentingan politik, terutama dalam soal berpakat dan bersengkokol dengan DAP bagi melawan Umno.

Banyak pihak yakin lebih ramai ahli Pas akan keluar parti itu dalam tempoh terdekat ini kerana tidak puas hati dengan tindak tanduk pemimpin Pas yang jelas menggunakan Islam untuk kepentingan individu tertentu saja.

Mereka mahu Pas kembali kepada perjuangan asalnya iaitu menegakkan negara islam tanpa mengira mereka mendapat sokongan atau sebaliknya.

“Tidak ada gunanya tinggal dalam Pas jika matlamat perjuangan sudah berubah hinggakan sanggup bermusuh dengan saudara seagama (Umno), sebaliknya berbaik-baik dengan orang-orang kafir (DAP),” kata sumber berkenaan.



IPG Kampus Dato’ Razali Ismail anjur Kejohanan Sukan

Oleh: Noraini Jusoh

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar bagi sesi 2013/2014 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu akan menganjurkan Kejohanan Merentas Desa dan Pelancaran Bulan Sukan IPG 2013 di institut terbabit pada 24 Februari ini.


Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian merangkap Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar institusi terbabit, Muhamad Arif Mohd Zain berkata, Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Encik Ghulam Sarver Mobarak Ali dijangka menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

"Program anjuran bersama dengan Jabatan Pendidikan Jasmani itu akan melibatkan kira-kira 1200 peserta yang terdiri daripada pensyarah, guru pelatih dan pelajar Sekolah Kebangsaan Institut Perguruan Kuala Terengganu bagi menyertai acara merentas desa di kawasan sekitar kampus.

"Sempena kejohanan itu juga, majlis pelancaran bulan sukan yang bermula awal Februari sehingga Mac nanti turut diadakan di mana pelbagai acara menarik bakal berlangsung seperti kejohanan ragbi Piala Pengarah, liga bola sepak, kejohanan olahraga tahunan dan karnival sukan kolej kediaman,” ujarnya ketika ditemui Teganukita, hari ini.

Katanya, tujuan program tersebut diadakan bagi menyahut seruan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam memartabatkan sukan selaras dengan slogan 1Murid 1Sukan.

"Fokus utama program adalah sebagai pendedahan awal kepada guru pelatih dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan selain melahirkan guru pelatih yang sihat rohani dan fizikal,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan penglibatan pelajar sekolah diharap program separuh hari yang bermula seawal jam 7 pagi sehingga 1.15 petang itu akan menjadi satu titik permulaan kepada guru pelatih untuk menjadi seorang pendidik yang berwibawa dan dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

 

Proses baik pulih Stadium Sultan Mizan dalam pelaksanaan

Kerja membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin
sedang dalam pelaksanaan.
Oleh: Noraini Jusoh

Proses membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sedang dalam pelaksanaan dan kerja-kerja membaikinya setakat ini bersandarkan kepada dua pakej yang melibatkan peruntukan awal sebanyak RM15 juta.

Datuk Za'abar
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata, kedua-dua pakej tersebut dijalankan secara serentak.

"Bagi pakej pembukaan semula bumbung stadium yang lebih kecil yang tidak terlibat dalam runtuhan tiga tahun lepas melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta kerana daripada kajian graviti yang dibuat bumbung tersebut juga didapati tidak selamat.

"Manakala, kerja-kerja bagi pakej membaiki bumbung utama yang terlibat dengan runtuhan pula melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta berikutan kerja-kerja tersebut agak rumit dan memakan masa kerana ia perlu menyiapkan 306 rasuk dalam pelbagai bentuk dan saiz yang melibatkan tempat duduk utama,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita pada Majlis Bantuan ‘One-Off’ Banjir Negeri Terengganu 2012/2013 Peringkat Daerah Dungun di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, baru-baru ini.

Katanya, kerja-kerja bagi pakej membuka semula bumbung stadium telah selesai hampir 50 peratus.

Menurut beliau, setelah kerja-kerja awal tersebut selesai, proses pemilihan bumbung akan dibuat dengan memberi keutamaan kepada pemilihan reka bentuk yang tidak membebankan struktur yang sedia ada.

Tambah beliau, kedua-dua pakej itu termasuk juga kerja-kerja pendawaian elektrik, mekanikal serta membaiki padang supaya sekurang-kurangnya sebagai permulaan padang tersebut boleh digunakan pada siang hari untuk aktiviti-aktiviti tertentu.

 

Golongan muda perlu setia pada BN

 Oleh: Suriati Ali 

Golongan muda di Terengganu perlu menolak pemimpin-pemimpin yang suka mencetuskan huru-hara, menimbulkan propaganda dan persepsi tanpa disokong bukti serta fakta kukuh hingga menyebabkan fitnah terhadap pihak lain.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata banyak kategori pemimpin yang perlu ditolak antara lain, mereka yang tidak memiliki kepakaran dalam bidang yang dipimpin dan pandai menabur janji.

“Mana mungkin seseorang yang tidak memiliki kepakaran akan berjaya dalam bidang yang dipimpinnya, justeru itu, orang muda perlu bijak menilai siapa pemimpin yang akan mereka pilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke13 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Santai Menteri Besar Bersama Skuad Sukarelawan Bermotor di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Presiden Pertubuhan Permotoran Bersatu Malaysia (Rider United), Encik Wazi Abdul Hamid.

 Program itu dihadiri lebih 1,600 Skuad Sukarelawan Bermotor termasuk Kelab Motor 69,71 dan 99 serta dimeriahkan dengan kehadiran ikon Riders United seperti Zizan Razak, Intan Ladyana dan Sari Yanti..

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Pengerusi BN Terengganu, berkata kerajaan sudah beri macama-macam kepada rakyat pelbagai kaum dan peringkat umur.

“Kepada golongan muda, pihak kami bercadang akan membina sebuah litar perlumbaan motosikal bernilai kira-kira RM30 juta di kawasan seluas 30 ekar pada tahun depan.

“Jika mahu perkara itu menjadi realiti dan ingin lebih banyak lagi kemudahan dan bantuan lain, jangan lupa setia dan sokong BN pada pilihan raya nanti,” katanya.

 

Zoo Kemaman Produk Fitnah Pembangkang

Oleh FAUZI MOHD

“PAS terpaksa tabur fitnah kerana takut kalah pilihanraya” – Itu reaksi Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berhubung pelbagai dakwaan liar pihak pembangkang menjelang pilihanraya umum ke-13.


Beliau membidas fitnah yang dimainkan pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya kos pembelian makanan untuk haiwan di Mini Zoo Kemaman terlalu tinggi.

Menjawab tuduhan itu, pembukaan produk pelancongan itu bukanlah sesuatu yang merugikan Kerajaan Negeri dan rakyat kerana sehingga kini hasil kutipan tiket yang diperolehi sudah melebihi RM2 juta sejak ianya dibuka pada April 2009.



“Yang terbaru pada bulan lepas pembangkang dakwa rakyat Terengganu dianak tirikan sebab kata mereka Kerajaan beri Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat hanya RM500 setahun tetapi bagi harimau di Zoo Kemaman makan RM450 sehari.

“Saya tanya Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) kos yang dibelanjakan untuk memberi makan lima ekor harimau di zoo itu hanya RM150 hingga RM180 sehari, bukan RM450 seperti didakwa” katanya.



Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian BR1M 2.0 kepada lebih 2,000 penerima di Bandar Cheneh Baru, Kemaman hari ini. Hadir sama, ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman.

Mengulas lanjut, Dato’ Seri Ahmad berkata, sehingga akhir tahun lepas Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman berjaya mencatatkan jumlah pengunjung lebih 400,000 orang.

“Sepanjang cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini sahaja jumlah pengunjung yang datang berjumlah lebih 10,000 orang. Adakah ini dikatakan sebagai membazir dan tidak berfaedah?

“Tidak lama lagi, zoo berkenaan akan mempunyai tarikan baru iaitu zirafah yang diberikan secara percuma oleh Zoo Melaka,” jelas beliau.


Bantuan Bukan Untuk Pancing Undi

Oleh FAUZI MOHD



Penerima bantuan yang sisalurkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) diharap tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang menuduh ianya bertujuan untuk memancing undi semata-mata.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sebaliknya bantuan atau sumbangan berterusan itu bagi meringankan beban mereka yang dibelenggu masalah kenaikan harga barang dan bencana alam.

“Bantuan ini merupakan cara berkesan menangani masalah rakyat selain pemberian bantuan subsidi. Ia tanda keprihatinan kerajaan kepada golongan memerlukan di seluruh negeri, termasuk penduduk pelbagai kaum demi menjaga kebajikan mereka agar dapat hidup lebih selesa.

“Kita juga tidak pernah pilih kasih ketika menyalurkan bantuan ini, tidak kira sama ada mereka penyokong pembangkang atau sebaliknya asalkan mereka layak,” katanya.



Katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan wang tunai RM500 kepada 2,058 mangsa banjir dari DUN Chukai di Dewan Seri Amar, Kemaman hari ini.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman.