Halaman

19 February 2013

TSG yakin capai sasaran terbaik

Oleh: Suriati Ali

 Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) menyusun perancangan teliti bagi memastikan tujuh pelumba bersedia memenuhi sasaran kedudukan terbaik kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

 Pelumba yang bakal mengalas tugas itu adalah Mohd Harrif Salleh,25, Mohd Shahrul Mat Amin, 24, Mohammad Saufi Mat Senan, 23, Mohd Nor Umardi Rosdi, 27, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, 21, Mohd Zamri Salleh, 30 dan Mohd Saiful Anuar Aziz, 27.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, TSG memberi tumpuan terhadap kecergasan pelumba sebelum menyusun perancangan terakhir menjelang perlumbaan yang masuk edisi ke-18 bermula 20 Februari hingga 3 Mac depan.

Menurut beliau, pasukan lumba basikal profesional yang ditubuhkan kerajaan negeri pada April tahun 2011 itu telah menyertai 27 kejohanan sepanjang tahun 2011 termasuk 13 kejohanan di luar negara.

 “Apabila memasuki tahun 2012, pelumba TSG menyertai latihan intensif di Terengganu dan memasuki kem latihan di Chiang Mai, Thailand selama tiga bulan..

 "Apa yang penting ketika ini adalah memastikan tahap kecergasan pelumba berada di tahap yang baik supaya dapat dipertingkatkan lagi menjelang bermulanya LTdL,” katanya.

 

Tunai tanggungjawab, jika mahu litar lumba

 Oleh: Suriati Ali

“Berita yang diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said untuk membina sebuah litar perlumbaan motosikal di Terengganu dianggap hadiah paling istimewa, terutama bagi golongan belia.

“Saya berjanji akan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin pada pilihan raya nanti supaya apa yang diumumkan Dato’ Seri Haji Ahmad itu tertunai, selain mampu meneruskan kerja kebajikan dan pembangunan lain,” kata Muhammad Hafiz Tajuddin, 22 kepada Teganukita.

Pemuda dari Kampung Ladang, Naqiuddin Majid, 25, dia berharap rakyat Terengganu, terutama golongan belia memilih calon terbaik pada pilihan raya nanti, jika mahu apa yang dijanjkan itu menjadi kenyataan.

Pada Majlis Santai Menteri Besar Bersama Skuad Sukarelawan Bermotor di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, baru-baru ini, Menteri Besar ada memberitahu Kerajaan negeri bercadang membina sebuah litar perlumbaan motosikal bernilai kira-kira RM30 juta di kawasan seluas 30 ekar pada tahun depan.

 “Kos pembinaan kompleks itu akan dimasukkan dalam bajet negeri 2014. Buat masa sekarang kerajaan negeri masih mengenal pasti lokasi bersesuaian di sekitar Kuala Terengganu termasuk satu kawasan di Batu Rakit dan Lembah Bidong di Setiu.

 “Ada cadangan supaya ia dibina di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan tanah sudah ada. Tapi, memandangkan jaraknya agak jauh dari sini, kerajaan merasakan lokasinya tidak sesuai,” katanya.

 

Pengundi muda berpihak kepada BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemuda Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin dengan kecenderungan pengundi muda untuk memihak kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti berdasarkan kepada gerak kerja secara agresif yang dilaksanakan parti itu bagi mendekati dan membela nasib golongan berkenaan.

Pengerusinya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata komponen bongsu parti BN itu melaksanakan pelbagai usaha dan program bagi meraih sokongan pengundi muda khususnya di kalangan yang baru pertama kali mengundi.

“Kita dari dulu menjangkakan penambahan pengundi muda disebabkan inisiatif dan kesedaran di kalangan mereka sendiri untuk mengundi.

 “Strategi Pemuda BN dari peringkat awal lagi untuk mendekati dan menambat hati mereka khususnya di kalangan yang baru mengundi dengan melaksanakan pelbagai pendekatan seperti kursus, sukan, program agama dan riadah,” katanya di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemuda BN Bahagian dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Encik Saiful yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri berkata, Pemuda BN Terengganu turut memperkenalkan pelbagai produk baru yang relevan dengan perkembangan semasa dan memenuhi keperluan golongan itu termasuk Bantuan Lesen 1Malaysia dan juga Karnival Kerjaya Belia BN 2013  (22 hingga 23 Februari ini).

Selain itu, beliau juga yakin sokongan lebih daripada separuh 10,722 pengundi di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari negeri ini kepada parti itu berdasarkan sambutan dan respon positif golongan berkenaan menerusi gerak kerja Pemuda dan Puteri BN.

 “Lebih daripada separuh penuntut IPTA menunjukkan bacaan sikap ke arah menyokong parti BN. Saya juga melihat kecenderungan pengundi muda terutama yang kali pertama mengundi untuk menyokong kita kerana isu yang melanda pembangkang serta keyakinan golongan itu kepada parti BN yang terbukti mampu membela nasib mereka,” katanya.

Menurutnya, jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun adalah seramai 343,938 orang atau 54.60 peratus daripada keseluruhan pengundi di Terengganu yang berjumlah 629, 869 orang sehingga suku ketiga tahun lalu.


Teganukita 73

500 hadir majlis penyampaian Sijil Silat Spelet Minangkabau

Oleh : Amirullah Othman 

Seramai 500 orang hadir di majlis Perasmian Penutup serta Penyampaian Sijil Silat Spelet Minangkabau dan Boxing Kampung Terbakang di Kampung Tebakang, semalam.

Program ini dirasmikan oleh Senator Haji Abdul Rahman Bakar Ahli Dewan Negara merangkap Pegawai Pembangunan Parlimen Marang.

Turut hadir di majlis itu Encik Amirullah Othman Pengerusi Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu; Encik Mohd Sulaiman, Pengerusi JKKK Kampung Tebakang, EncikMohd Abdul Rahman, Pengerusi Persatuan Belia Setiapakat, Encik Abdul Karim Ibrahim Setiausaha Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Marang serta mahaguru-mahaguru Persilatan.

Selain itu, program ini turut diserikan dengan jaguh-jaguh persilatan jemputan dari Johor, Durian Mas dan Pasir Puteh (persembahan rajawali).

Silat Spelet Minangkabau dan Boxing Kampung Tebakang telah bermula dari 9 November 2012 hingga 16 Februari 2013 yang disertai oleh anak-anak muda dari Kampung Tebakang dan sekitarnya.

Sebelum merasmikan majlis tersebut, Dato’ Haji Abdul Rahman melawat dua warga emas Kampung Tebakang yang dikenali sebagai Haji Din, berusia 73 tahun yang menghidapi penyakit paru-paru berair dan MakNgahTeh, 82, menghidap penyakit lumpuh.

 

Semarak Kasih tunjang keluarga bahagia

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Antara peserta yang mengikuti Program Pasca Perkahwinan Semarak Kasih di Telemong, baru-baru ini.
Seramai 200 peserta dari pelbagai peringkat usia menghadiri Program Pasca Perkhawinan “ Semarak Kasih “ peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong baru-baru ini. Program berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu ( YPK).

Sasaran utama YPK terdiri daripada golongan pasangan yang telah berkhawin, peserta program Pinjaman Jaya Diri ( PJD) dan juga ibu tunggal.

Program ini telah diadakan secara berperingkat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam parlimen Hulu Terengganu sebanyak empat siri di mana DUN Telemong merupakan program terakhir yang diadakan.

Menurut Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Hulu Terengganu, Cik Rahida Udin, setakat pelaksanaan program pasca perkhawinan yang dijalankan telah berjaya menarik ramai golongan untuk menyertainya kerana mereka berpendapat program ini dapat memberi impak yang besar dalam kehidupan berumahtangga serta berkeluarga.

“Antara objektif pasca perkhawinan ialah memperkukuhkan hubungan antara suami dan isteri, menanam sikap kecaknaan dalam diri pasangan di kalangan ahli keluarga serta untuk menyemarakkan perasaan cinta dan kasih sayang yang berterusan antara suami dan isteri,” kata Rahida ketika ditemui Teganukita.

Program tersebut turut diselitkan dengan ceramah kekeluargaan oleh Y.Bhg Tuan Haji Kamalrudin Omar, Penasihat Agama kepada YAB Menteri Besar Terengganu.


18 February 2013

Puteri UMNO Hulu Besut lafaz taat setia kepada parti


Hasmadi (bersongkok) sambil diperhatikan Zahari Mat ketika menerima surat pengistiharan lafaz ikrar Puteri Umno Hulu Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Walau apa yang terjadi Puteri UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, tetap setia dan akan bersama pemimpin dan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU13) tidak lama lagi.

Begitulah lafaz suara Puteri Umno DUN Hulu Besut dalam program Setia Kawan dan Makan Malam anjuran Penyelaras Puteri Umno Hulu Besut, di sebuah restoran terkemuka di Jertih, malam tadi.

Program yang mengumpul 60 petugas dan pengendali komputer mewakili 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) itu bertujuan memantapkan lagi jentera pilihan raya khususnya tenaga kerja Puteru Umno.

Mewakili ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, Naib Pengerusi Penyelaras DUN,Hasmadi Hassan menerima surat taat setia daripada wakil Puteri berkenaan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu, Zahari Mat yang juga penyelaras program.

Berucap pada majlis itu Hasmadi berkata, Puteri boleh memainkan tanggungjawab berkesan untuk mendekati pengundi muda dengan mendampingi golongan berkenaan sambil menyampaikan maklumat parti.

Katanya, kerjasama dan jalinan mesra yang ditunjukkan oleh ahli Puteri kawasan berkenaan mampu menarik minat golongan pengundi baru menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tidak lama lagi.

Lebih 5,000 dijangka kunjungi Karnival Kerjaya Belia BN 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 5,000 golongan muda dijangka akan mengunjungi Karnival Kerjaya Belia Barisan Nasional (BN) 2013 peringkat Negeri Terengganu 2013, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, sepanjang dua hari bermula 22 Februari ini.

Karnival kerjaya anjuran Pemuda BN Terengganu dengan kerjasama Pemuda BN Malaysia bakal dilancarkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sempena program Jelajah Janji Ditepati di lokasi yang sama, 23 Februari ini.

Pengerusinya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata karnival kerjaya yang pertama kali dilaksanakan di Terengganu itu bakal menempatkan 80 majikan dari pelbagai sektor pekerjaan termasuk peindustrian, pembuatan, pertanian, pelancongan, minyak dan gas serta beberapa agensi kerajaan.

“Di samping itu, bukan hanya majikan yang turut serta dalam karnival itu, agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan SME Bank juga akan terlibat kerana mereka bukan sahaja menawarkan pekerjaan, malah menyediakan peluang latihan dan kemudahan pinjaman.

“Objektif utama semua majikan yang terdiri daripada 60 syarikat dan agensi luar Terengganu, manakala 20 lagi yang berpusat di Terengganu itu adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kepada anak muda di negeri ini,” katanya kepada pemberita di Pejabat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda BN Bahagian dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Encik Saiful yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri berkata, hasil kejayaan penganjuran karnival kerjaya 2011 dan 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) , Sekretariat BN Youth Job Fair mengambil pendekatan bagi menganjurkan program yang sama sebagai kesinambungan kejayaan itu.

Katanya, sambutan baik terhadap program itu sebelum ini, selain permintaan di kalangan golongan muda di di Terengganu supaya ia dilaksanakan di negeri ini menyebabkan Pemuda BN Terengganu merealisasikan hasrat golongan itu dalam usaha memastikan masalah pengangguran dapat diatasi segera.

“Para pengunjung terutama mereka yang belum mempunyai pekerjaan atau berhasrat menukar kerjaya lain sebagaimana yang disediakan dalam karnival itu boleh membawa resume dan dokumen peribadi boleh terus menemui majikan yang terdapat di karnival itu.

 “Pemohon akan di bawa untuk menjalani sesi temuduga, peluang kerjaya dan `career talk’ yang disampaikan oleh pakar motivasi dari Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, program yang sama turut diadakan di Kedah (31 Januari hingga 1 Februari), diikuti Terengganu dan kemudiannya di Tawau, Sabah pada 2 hingga 3 Mac ini.

 

Rundingan dengan penceroboh Lahad Datu diteruskan - Zahid

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha memujuk kumpulan bersenjata dari Filipina yang menceroboh Lahad Datu, Sabah, supaya meninggalkan kawasan itu sedang giat dijalankan.

Beliau tidak menolak kemungkinan pencerobohan sekumpulan warga Filipina ke kawasan pesisir pantai Lahad Datu, Sabah didalangi rakyat negara ini yang sengaja ingin negara jadi huru hara.

Beliau berkata ia membabitkan rundingan bersama pasukan polis manakala pihak tentera membantu dari segi operasi pemantauan.

Dalam kejadian Selasa lalu, dilaporkan lebih 100 anggota kumpulan lengkap bersenjata dan berpakaian celoreng tentera mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.

Menurutnya, dalang itu hanya ingin ambil kesempatan dengan memperlihat seolah-olah masalah keselamatan dan pertahanan sistem negara longgar, dan tidak mustahil situasi itu berhubung-kait dengan matlamat politik serta perangkap politik.

“Saya fikir, mereka tentu tidak bertindak sendirian jika tiada dalang di belakangnya. Malah, dalang itu mungkin bukan dari Filipina, tetapi berkemungkinan dari dalam negara ini sendiri yang ingin melihat keadaan negara aman damai ini bertukar huru-hara.

 “Keadaan di sana (Lahad Datu) terkawal. Pihak polis telah lakukan operasi sepenuhnya bersama-sama tentera. Sehubungan itu juga, diharapkan kita dapat sanggah apa yang ditulis dalam blog media sosial yang pro pembangkang mengatakan mereka ini pengganas.

 “Sebaliknya mereka ini dipercayai sekumpulan nelayan dari Selatan Thailand yang mengatakan mereka pewaris keturunan Raja Sulu. Usaha memujuk mereka meninggalkan Lahad Latu diharap mencapai hasil kerana kita tidak mahu berlaku pertumpahan darah.

 “Kita juga telah jelaskan jangan termakan pujuk mereka yang ada di dalam. Kumpulan ini juga bukan tentera dan kenyataan terperinci mengenai perkara ini akan dikeluar Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Pihak keselamatan akan cuba sebaik mungkin menyelesaikan masalah itu melalui perundingan, bukan pertumpahan darah, katanya kepada pemberita selepas pelancaran jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Hulu Terengganu ,semalam.

 

TUDUHAN BOHONG DI BANGGOL PERADONG KONON KERAJAAN ROMBAK PASAR PAYANG DAN HALAU PENIAGA- SEBENARNYA KERAJAAN HENDAK BINA PASAR PAYANG BARU YANG LEBIH SESUAI DAN SELAMAT.

Oleh: Ruslan bin Abdul Rahman

Seorang penceramah yang baru menyertai Pas dan beristerikan seorang artis telah membuat pembohongan dengan berkata bahawa kerajaan negeri, di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu runtuhkan Pasar Payang dan menghalau peniaga.

Beliau berkata, dalam ceramahnya di perhimpunan Pas kelmarin di Banggol Peradong, dekat sini.

Sebenarnya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu membina semula Pasar Payang dengan bentuk baru yang lebih sesuai dan selamat.

Pasar Payang yang merupakan pusat jualan pelbagai barangan tradisional terkenal di Terengganu bakal berubah wajah apabila ia digantikan dengan pasar baru empat tingkat yang berhawa dingin, tidak lama lagi.

Dengan bentuk baru yang lebih selesa, ia akan boleh menarik lebih ramai pelancong lagi mengunjungi pasar itu.

Dan adalah tidak benar, kerajaan tidak akan membenar penjualan di situ, tetapi diberi tempat yang lebih selesa.

Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran Pasar Payang, tahun ini. Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dimulakan, semua peniaga di Pasar Payang akan dipindahkan ke tapak sementara di Pulau Warisan.

Bermakna tempat perpindahan perniagaan sementara juga disediakan, sehingga menunggu pembinaan baru Pasar Payang siap - itulah faktanya.

“Projek ini melibatkan pelaburan masuk sebanyak RM400 juta ke negeri Terengganu dan akan dilaksanakan oleh syarikat swasta yang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan penghujung tahun ini,” katanya.

Oleh itu, tuduhan penceramah yang diwar-warkan bakal calon dalam pilihanraya itu adalah suatu pembohongan yang nyata.