Halaman

15 March 2013

PAS Ucap ‘Good Bye’ Kepada Hudud

Oleh FAUZI MOHD

Manifesto Pakatan Rakyat (PR) untuk pilihanraya umum ke-13 yang dilancarkan 25 Februari lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) telah mengguris hati dan meranapkan impian sebahagian penyokong PAS.

Lambang gereja dan salib pada kulit buku manifesto itu barangkali tidak menjadi isu besar kepada PAS, tetapi perihal pelaksanaan hukum hudud langsung tidak disebut walaupun dengan sepatah perkataan.

Ada dua tafsiran mengenai perkara itu sama ada PAS sudah tidak berminat untuk membicarakan soal hudud atau pemimpin parti itu takut memperkatakannya setelah ‘dimandi bunga’ oleh DAP dan PKR.

Tapi sebilangan rakyat lebih percaya, ketidaksediaan PAS mendesak rakan sekutunya, PKR dan DAP memasukkan janji pelaksanaan hudud adalah disebabkan polisi PAS sendiri yang dari awal lagi hanya berminat memanipulasikan undang-undang Islam itu demi meraih kepentingan politik kepartian.

Ini dibuktikan dengan kenyataan pada 14 Disember 2011 oleh seorang pemimpin PAS Kelantan yang juga adalah ADUN PAS Pasir Tumbuh, Ahmad Baihaki Atiqullah yang pernah menegaskan bahawa;- “Keuntungan bagi PAS mungkin di negeri yang ramai orang Melayu tapi di negeri luar seperti Selangor boleh jadi tidak untung. Apabila isu hudud di manipulasi, mungkin ada ‘backfire’ daripada pengundi bukan Islam,” demikian katanya ketika ditemu bual oleh Malaysiakini di Kota Bharu pada hujung tahun 2011.

 Walau dibaca berulang kali kenyataan pemimpin PAS itu, ia tetap membuktikan satu perkara, yakni isu peraksanaan hudud yang sering menjadi zikir politik PAS sejak hampir tiga dekad lalu niat utamanya hanyalah untuk manfaat kepartian sahaja.

Kenyataan Baihaki yang juga Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan ada kebenarannya kerana banyak bukti hudud telah menjadi mainan politik pemimpin PAS.

Ia terbukti di Kedah, sekalipun PAS menguasai negeri itu tetapi tiada perbincangan atau usaha untuk melaksanakan hudud digerakkan Kerajaan PAS. Hatta di Perak sebelum kejatuhan Kerajaan PR, isu hudud menjadi ‘taboo’ bagi pimpinan PAS.

Tapi di sebalik semua itu, di Terengganu isu hudud masih terus dimainkan oleh PAS dan seringkali menjadi bualan hangat penyokong parti itu di facebook, kedai-kedai kopi mahupun ketika mereka melakukan ziarah kempen politik dari rumah ke rumah.

Tidak pernah lekang dari kutukan dan makian penyokong dan pemimpin PAS terhadap Kerajaan Pusat yang ditunjangi UMNO dan BN, kononnya kerana menolak pelaksanaan hudud dan enggan memartabatkan undang-undang Islam.

 Tidak cukup dengan propaganda sedemikian, ditohmah pula yang UMNO lebih mendaulatkan Perlembagaan buatan manusia ataupun kerap digelar oleh penyokong PAS sebagai perlembagaan Lord Reid, perlembagaan penjajah dan jahiliah.

Untuk menampakkan parti itu kelihatan lebih Islamik berbanding UMNO maka pemimpin dan penyokong PAS tetap akan berkata, setelah pakatan itu sampai ke Putrajaya sebuah negara Islam akan tertegak dan Hudud akan dilaksanakan.

Sama ada mereka sedari atau sengaja buat pekak dan bisu, semasa PR melancarkan Buku Jingga yang menjadi Dasar Bersama PR dan ditandatangani sama oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang secara jelas memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa PR berikrar akan mempertahankan Perlembagaan Negara.

Dalam erti kata yang lebih jelas, tiada hudud dalam Pakatan Rakyat. Walaubagaimanapun, masih ramai penyokong PAS yang tidak sedar bahawa pemimpin PAS telah mengucapkan ‘Good Bye’ kepada Hudud.

Kandungan Manifesto Rakyat, Pakatan Harapan Rakyat yang dilancarkan oleh PR dan dipersetujui bersama oleh DAP, PKR dan PAS, langsung tidak menyentuh isu hudud, barangkali sesuai kalau dikatakan manifesto itu ibarat nota selamat tinggal oleh PAS kepada isu perlaksanaan hudud.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Manifesto PR itu juga simbolik pengakhiran propaganda PAS untuk mengubah Perlembagaan Negara sekarang yang dikatakan sekular dan jahiliah.

Ia juga satu kejayaan manis kepada Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana buat pertama kalinya Anwar ‘menepati janji’.

Pada 9 November 2011 sewaktu Anwar berdialog dengan kira-kira 200 orang pemimpin masyarakat Cina dari 65 NGO di Subang Jaya, Selangor, pemimpin yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri itu telah secara terbuka menegaskan janjinya bahawa isu perlaksanaan hudud tiada tempat dalam dasar Pakatan Rakyat.


KTCC kekal sejarah, budaya dan pacu kemajuan Kuala Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembangunan Pusat bandar Kuala Terengganu (KTCC) sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air bukan sahaja akan mengekalkan kegemilangan sejarah serta ketinggian budaya dan tradisi Terengganu, malah memacu Kuala Terengganu maju ke hadapan selaras dengan peredaran zaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Jebasingam Issace John, berkata pembangunan KTCC Mall sebahagian daripada komponen pembangunan KTCC yang melibatkan pusat membeli-belah, sebuah hotel dan ruang perniagaan mewah merupakan satu titik permulaan bagi transformasi bandar Kuala Terengganu.

“Ia selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang antara lain bertujuan melahirkan masyarakat amju, bersatu-padu dan saksama mencapai tahap kehidupan yang tinggi untuk semua rakyat.

 “Pembangunan ini juga akan melonjakkan kedudukan Kuala Terengganu yang sudah dikenalpasti sebagai Gerbang pelancongan bagi Wilayah ECER,” katanya kepada pemberita ketika berucap di Majlis Perasmian Pecah tanah KTCC Mall, di tapak projek bersebelahan lorong Hotel Sumai, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang melancarkan majlis itu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Mohd Adzlan Dagang dan Pengarah Urusan Kumpulan KTCC Mall Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Tang Yeam Soon.

Dato’ Jebasingam berkata, Kuala Terengganu sememangnya kaya dengan warisan sejarah, di aman pembangunan bandar itu sebahagian besarnya tertumpu di sekitar kawasan muara Sungai Terengganu sejak ratusan tahun dulu.

Menurutnya, pembangunan KTCC yang merangkumi KTCC Mall itu bakal memperkayakan lagi warisan sejarah dan tradisi negeri Terengganu.

 “Projek bersepadu KTCC Mall ini sememenagnya amat signifikan kepada warga Kuala Terengganu kerana ianya membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan moden yang serba lengkap, di samping membolehkan mereka merebut peluang pekerjaan dan perniagaan yang akan diwujudkan susulan pembangunan itu,” katanya.

Beliau sebelum itu berkata, pihak ECERDC bertanggungjawab melaksanakan pelbagai projek strategic dan berimpak tinggi di seluruh Terengganu yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat termasuk projek Taman Biopolimer Kertih, Agropolitan Besut-Setiu dan KTCC.


14 March 2013

YPU jalin kerjasama dengan OUM dan Jati Bestari Sdn Bhd

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah menjalin kerjasama dengan dua agensi bagi memantapkan bidang keusahawanan di negeri ini.


Majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara YPU dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik manakala OUM diwakili Presidennya Profesor Emeritus, Tan Sri Anuwar Ali.

Manakala MoU antara Koperasi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (KOPUTERA) dan Jati Bestari Sdn. Bhd ditandatangani Naib Presiden KOPUTERA, Haji Zulkifli Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Jati Bestari Sdn. Bhd, Haji Uzir Abdul Samad.

Kedua-dua perjanjian tersebut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera sempena majlis Perasmian Karnival dan Forum Usahawan 2013 di Dewan Konvensyen, Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, jalinan kerjasama menerusi MoA dengan OUM bagi program pendidikan dan keusahawanan bertujuan menawarkan program atau kursus terutamanya dalam bidang pengurusan perniagaan kepada usahawan yang berminat.

"Kerjasama ini juga bagi memacu dan meningkatkan pembudayaan keilmuan khususnya kepada usahawan dan masyarakat Terengganu,” ujarnya.

Katanya, MoU yang dimeterai pula menandakan satu bentuk kerjasama antara KOPUTERA dan Jati Bestari Sdn Bhd bagi melantik KOPUTERA sebagai pengedar utama produk Ayamazz Roti Impit di negeri ini dan mengenalpasti usahawan yang berpotensi bagi membuka perniagaan tersebut.

 

Tidak melatah dengan kecaman pembangkang : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said tidak berganjak dan melatah dengan kecaman pembangkang yang sentiasa menolak setiap pembangunan yang sedang pesat dilaksanakan di seluruh Terengganu.

 “Apa yang hendak dirisaukan. Mereka (pembangkang) tiada isu. Apabila tiada pembangunan, mereka kata tiada pembangunan.

 “Kalau ada pembangunan mereka akan kata pembangunan yang begitu komprehensif dan sebagainya. Saya pun tidak faham (dengan dakwaan pembangkang). Mereka kata tiada pelabur tapi datang pelabur mereka kata macam-macam (kepada kerajaan),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah tanah Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC)  Mall, di tapak projek bersebelahan lorong Hotel Sumai, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Mohd Adzlan Dagang.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Jebasingam Issace John dan Pengarah Urusan Kumpulan KTCC Mall Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Tang Yeam Soon.

Menteri Besar berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan berhubung dakwaan pembangkang yang meragui kemajuan dan status projek KTCC itu, sebaik sahaja pemindahan penduduk di kawasan terlibat dilaksanakan beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, pembangkang yang ketandusan isu bagi menarik perhatian rakyat supaya membenci Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mencipta isu dengan menjadikan setiap pembinaan kemudahan dan infrastruktur berkenaan sebagai modal politik mereka.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut mengambil contoh isu yang dimainkan pembangkang berhubung pembinaan Pasar Kedai Payang baru yang didakwa golongan itu sebagai tindakan yang boleh melenyapkan identiti dan warisan negeri.

Menurutnya, Kerajaan BN akan mengekalkan keputusan untuk membina pasar baru yang lebih selesa, cantik serta mengekalkan tradisi serta warisan seni bina Terengganu kerana pasar sedia ada itu sudah tidak selamat lagi untuk diduduki.

“Orang yang desperado bercakap, sedangkan mereka membuat demontrasi (isu Pasar Payang) tanpa melibatkan peniaga pasar itu. Kita sudah berjumpa dengan peniaga pasar dan mereka bersetuju dengan pembangunan yang akan kita buat.

 “Mereka yang tidak kena mengena ini mahu menjadikan isu politik. Macam dululah..apabila kali pertama kerajaan negeri memperkenalkan `rotary car park’, tempat letak kereta bertingkat (di Jalan Batas Baru) yang pertama di Malaysia , mereka kata belum sampai masanya, bukan Johor Baharu, bukan Kuala Lumpur, bukan Penang,” katanya.

Tambah beliau, pada peringkat awal, rakyat sememangnya sukar menerima perubahan, bagaimanapun kerajaan negeri akan tetap meneruskan pembangunan sebagai usaha memberi manfaat kepada rakyat pada masa depan.


Kakitangan BERNAS diberi latihan keselamatan pekerjaan



Oleh: Mohammad Ishak 

Kakitangan BERNAS seluruh Negara diberi latihan khas dalam mempertingkatkan tahap keselamatan pekerjaan bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di tempat kerja.

Serentak itu, Program Kesedaran Keselamatan Pekerjaan dijadikan budaya kerja kepada setiap kakitangan syarikat berkenaan.

Satu sesi latihan keselamatan peringkat Zon Timur yang berlangsung di Kompleks Padi dan Beras Bernas Bukit Kenak, dekat Jertih, satu usaha berterusan pihak pengurusan syarikat itu memberi kesedaran kepada kakitangan terbabit.

Program yang dijayakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerja mendedahkan kaakitangan dengan selok belok dan tindakan yang perlu dilakukan jika berlaku sebarang bentuk kemalangan.

Pengurus Besar Kanan,Bahagian Pentadbiran daan Modal Insan BERNAS, Mohammad Nadzuir Ahmad Toee, merasmikan perogarm berkenaan hari ini.

Katanya, pihak BERNAS sentiasa mengambil berat dan memberi keutamaan kepada tahap penjagaan keselamatan terutama kes kebakaran di semua premis dan kilang BERNAS.

Menurutnya,bagi mencapai tahap itu kira-kira 90 peratus pekerja syarikat itu menjadi ahli sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi membolehkan mereka mengetahui selok belok ketika berlaku sebarang kejadian.

Jambatan Bukit Kuang akan dibuka September

Oleh: Suriati Ali

Jambatan Bukit Kuang, Kemaman yang dibina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, menangani masalah banjir dan meningkatkan kegiatan ekonomi menerusi sektor perindustrian akan mula dibuka untuk laluan pengguna pada September depan.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata untuk permulaan jambatan berkenaan akan dibuka dua lorong, bagi memudahkan pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak.

 "Insya-Allah, jambatan Bukit Kuang akan dibuka dua lorong pada September depan, sebelum boleh beroperasi sepenuhnya dengan empat lorong dibuka untuk kemudahan pengguna," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Mengikut perancangan, jambatan empat lorong Bukit Kuang yang dibina dengan kos RM185 juta siap pada September depan, bagaimanapun ia mengalami sedikit kelewatan berikutan keadaan cuaca dan musim tengkujuh yang menjejaskan kelancaran projek.


 Pembinaan jambatan empat lorong sepanjang satu kilometer itu dibuat berikutan keperluan mendesak trafik, selain semakin banyak pelaburan dan kilang baru masuk di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kijal.

Selain itu, jambatan yang dibina lebih tinggi dari biasa iaitu 15 meter itu turut akan memberi ruang kepada kapal dari pelabuhan keluar masuk, dengan jangkaan banyak tanah sekitar Sungai Bukit Kuang akan disewa untuk dijadikan pusat baik pulih kapal dan pusat mengisi minyak serta air.

 Apabila projek jambatan ini siap pada akhir 2013, projek baru yang sudah diluluskan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak di sekitar Bandar Kijal termasuk pembinaan jalan raya empat lorong bagi melancarkan kesesakan lalu lintas akan dimulakan.

 Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mencabut bendera parti politik yang dipasang di kawasan larangan, terutama jambatan bagi mengelak bahaya kepada orang awam.

 "Tidak kira bendera parti politik mana, arahan sudah dikeluarkan kepada PBT supaya Mencabut bendera di kawasan jambatan dan bulatan, terutama yang dipacak menggunakan kayu kerana ia berbahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal," katanya.

 

Kerajaan tubuh Internasional Imtiaz di Besut

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu akan mewujudkan Internasional Imtiaz School (IIS) bertempat di Bukit Keluang, Besut tidak lama lagi dalam usaha menyebarluaskan produk pendidikan negeri di mata dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sekolah itu juga diwujudkan atas permintaan ibu bapa yang berpendapatan tinggi dari dalam dan luar negeri.

“Kita ada menerima permohonan dari dalam dan luar negara termasuk Brunei Darul Salam yang tertarik dengan sistem pembelajaran di Imtiaz dan menyatakan minat menghantar anak mereka,” katanya kepada pemberita di majlis Apresiasi Anjung Ilmu Kecemerlangan UPSR dan PMR 2012 dan Pelancaran Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular (5P2M) di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

Katanya, lima buah sekolah Imtiaz yang ada hanya mampu menampung 400 pelajar setiap tahun sedangkan permohonan yang diterima daripada ibu bapa melebih 2,000.

“Kira-kira 40 peratus daripada permohonan kemasukan ke Imtiaz yang terpaksa ditolak pada setiap tahun melibatkan ibu bapa pelajar yang berpendaptan melebihi RM5,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan fakta tersebut kerajaan negeri berpendapat penubuhan IIS akan memberi peluang kepada ibu bapa berkenaan untuk menempatkan anak mereka di Imtiaz.

Tambahnya, IIS akan menggunakan konsep sekolah swasta di mana ibu bapa akan dikenakan bayaran bagi setiap kemasukan anak-anak mereka di sini namun kadar yang akan dikenakan belum diputuskan.

Kuala Terengganu bakal menjadi bandar ala Dubai

Menteri Besar ketika Majlis Perasmian Pecah Tanah KTCC Mall.
Oleh: Aida Abd Rahman

Pelbagai projek pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) bakal melonjak kedudukan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air sekaligus muncul bandar ala `mini Dubai’ di Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Komponen projek KTCC melibatkan kawasan muara utara dan muara selatan dengan kos RM7 bilion meliputi pusat gaya hidup bersepadu, pusat komersial serta hab pendidikan dan kesihatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata satu daripada projek komersial berimpak tinggi yang bakal dibangunkan di muara selatan KTCC adalah KTCC Mall Sdn Bhd dengan pelaburan bernilai RM1 bilion.

Lakaran artis KTCC Mall
“KTCC Mall akan disiapkan dalam masa tiga tahun, manakala di muara utara pula memakan masa lima hingga 10 tahun untuk bangunkan seluruh kawasan itu dari sekarang.

“Selain itu, kerja pembinaan `KTCC drawbridge’ (jambatan angkat) yang menyambung muara utara dan selatan ini akan ditender pada Jun, diikuti satu lagi projek pembinaan bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) setinggi 30 tingkat yang juga sudah ditutup tendernya.

“Sementara itu, kita turut melantik pemaju bagi pembinaan hotel dan apartment di kawasan ini, di samping kita turut menguruskan projek pelaburan di muara utara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah KTCC Mall, di tapak projek bersebelahan lorong Hotel Sumai, Kuala Terengganu, hari ini.



“Dengan adanya kemudahan boling dan panggung wayang itu , penduduk sekitar terutama dari Kuala Terengganu tidak lagi perlu ke Kemasek (Mesra Mall, Kemaman). Ini menjadi satu lagi alternatif yang baru untuk pengunjung beriadah bersama keluarga termasuk untuk menyertai permainan boling. Malah, kejohanan (boling) juga boleh dilaksanakan di gelanggang itu nanti tanpa perlu ke (pusat boling) Kuantan.

 “Kewujudan pusat beli-belah yang lebih besar dengan tawaran pelbagai barangan berjenama juga dapat mengelak penduduk daripada ke (pusat beli-belah) Kuala Lumpur lagi selepas ini,” katanya.

KTCC Mall merupakan komponen di bawah projek bersepadu KTCC yang dibangunkan ECER di kawasan pesisir pantai Kuala Terengganu dengan keluasan ruang peruncitan 750,000 kaki persegi, Hotel Novotel dilengkapi 250 bilik penginapan dan dua menara yang menempatkan 250 ruang perniagaan mewah secara keseluruhannya.

Bangunan kompleks beli-belah itu dijangka siap pada suku keempat tahun depan, manakala hotel dan ruang perniagaan mewah dijangka siap 2016.

 

RM13 juta bantu 2,000 usahawan

Oleh; Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mengeluarkan bantuan pembiayaan lebih RM13 juta kepada 2,000 usahawan seluruh negeri bagi membantu perniagaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera berkata, kira-kira 1,724 lagi usahawan baru telah dikenalpasti serta berdaftar dengan YPU.

“Kita akan bantu usahawan dari segi pembangunan produk, memberi kemudahan pinjaman mikro, pemantauan dan penilaian terhadap projek-projek usahawan,” katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Karnival dan Forum Usahawan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Padang Hiliran hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik; Presiden Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Pengarah Kanan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Dato’ Dzulkifli Mohmud.

Menurutnya, tiga faktor utama mendorong seseorang individu itu menceburi bidang keusahawanan ialah dasar kerajaan itu sendiri, pendidikan dan latihan formal serta sokongan kerajaan dalam bentuk infrastruktur termasuk kemudahan kewangan.

 “Pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi mempromosi dan memasarkan produk mereka termasuk menyertai pameran perdagangan domestik di Johor, Miri, Kota Kinabalu dan bagi usahawan yang berpotensi tinggi kita bawa ke pameran antarabangsa seperti di Dubai dan Perth,” katanya.

Menurutnya, satu program Peningkatan Kualiti Produk dan Perkhidmatan (PKPP) mula dilaksanakan untuk melahirkan usahawan IKS yang berdaya saing di peringkat domestik dan global.

“Program ini yang dikenali sebagai Program Groom Big (PGB) mampu mempertingkatkan kedudukan sesebuah syarikat peringkat mikro, kecil dan sederhana yang bersedia untuk mengeksport produk dan perkhidmatan hingga ke peringkat global,” katanya.

Pada karnival yang berlangsung tiga hari itu dua kertas kerja turut dibentang bertajuk ‘Usaha YPU Dalam Melahirkan Usahawan Berprestasi Tinggi’ oleh haji Azmi Razik dan ‘Potensi Pasaran Eksport Produk dan Perkhidmatan ke Negara Asean dan Asia Pasifik’ oleh Dato’ Dzulkifli Mahmud.

 

Promosi Kenyir Melalui Kejohanan Bertaraf Antarabangsa

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Kenyir Lake International Triathlon 2013 ( KLIT ) merupakan salah satu usaha berterusan mempromosikan destinasi pelancongan

Tasik Kenyir yang berkonsepkan ‘ Taman Pelancongan Akua –Eko ‘ dengan menjadikan KLIT ini sebagai salah satu elemen serta produk untuk menarik dan meningkatkan bilangan kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir. Penganjuran acara ini dapat mempopularkan lagi Tasik Kenyir bukan hanya sebagai kawasan pelancongan tetapi ianya juga merupakan destinasi pelancongan yang sesuai untuk dijalankan pelbagai aktiviti sukan.

 Penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa ini dapat merealisasikan gagasan 1Malaysia di mana peserta akan bertanding mengikut kategori tanpa mengira bangsa dan negara.

Ini dapat menggalakkan budaya dan amalan hidup sihat bagi melahirkan masyarakat yang cergas dan bersemangat waja.

Salah seorang peserta yang berjaya mendapat pertama dalam kategori wanita 36 tahun ke atas,Patricia Combrink yang berasal daripada Netherlands berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai kejohanan KLIT ini apabila terbaca di laman web.

 “Saya pasti akan datang ke KLIT kerana ianya sungguh mencabar semangat saya sebagai ahli sukan, lebih-lebih lagi ianya di adakan di Tasik Kenyir.

 “Saya sungguh teruja menyertai kejohanan ini apabila saya melalui acara berenang di tasik yang airnya jernih dan bersih,berbasikal dan berlari melalui kawasan yang udaranya bersih serta menyegarkan di samping menikmati panorama yang mengasyikkan.Segala-galanya di Tasik Kenyir...”kata beliau selepas menerima hadiah kemenangan ketika di temui Teganu Kita.