Halaman

20 March 2013

MB gembira prestasi STPM Terengganu meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said meluahkan rasa gembira dan bangga dengan peningkatan prestasi pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) seluruh Terengganu berbanding 2011.

Terengganu merekod pencapaian 96.01 peratus (2012) berbanding 95.34 peratus pelajar yang mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil STPM pada tahun sebelumnya.

“Malah, dengan pencapaian 96.01 peratus itu, membolehkan Terengganu mengatasi pencapaian nasional yang merekod 94.44 peratus.

 “Seramai 15 pelajar berjaya memperolehi 4.00 flat (empat prinsipal A) berbanding hanya empat pelajar tahun lalu. Daripada 442 orang mendapat 4.00 flat seluruh negara, 15 daripada mereka adalah dari Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Menteri Besar turut memberitahu, prestasi Sijil Pelajaran Malaysia seluruh Terengganu yang akan diumumkan serentak seluruh negara esok, juga membanggakan berikutan pencapaian keseluruhan A meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Dalam laporan sebelum ini, Terengganu terus mencatat peningkatan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila 2, 861 atau 96.01 peratus daripada 2,980 calon peperiksan itu tahun lalu mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil.


Kerajaan BN kota janji, BR1M diteruskan

Menteri Besar bersama SUK Terengganu (depan) keluar daripada bilik mesyuarat exco sebelum mengadakan sidang akhbar.
Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti mengotakan janji menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat secara berterusan termasuk pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said.

“Kerajaan Terengganu dan rakyat negeri ini mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri kerana meneruskan BR1M untuk tahun berikutnya.


“Ini menjadi tradisi kita apabila sekali kita beri, kita tidak akan berhenti dan berterusan. Sebagaimana bantuan Dana Raya (bantuan kerajaan negeri), apabila sudah diagihkan kita akan terus mengagihkannya kepada golongan yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Dato’ Seri haji Ahmad berkata, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI) menyebabkan kerajaan tidak berdepan dengan masalah bagi meneruskan bantuan itu.

“Apa yang lebih penting, keyakinan rakyat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Menteri Besar  yang juga Pengerusi BN Negeri Terengganu berkata demikian sebagai mengulas keputusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengumumkan kerajaan akan meneruskan BR1M sebagai inisiatif tahunan kepada rakyat yang berkelayakan, malam tadi.

 Pengumuman itu dibuat pada akhir ucapan pembentangan laporan tahunan Program Transformasi Negara 2012 yang mengandungi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Auditorium Perdana Angkasapuri.


OUM tawar kursus usahawan bertaraf diploma

Oleh; Esah Abdullah

Uiniversiti Terbuka Malaysia (OUM) menawarkan kursus bimbingan bertaraf diploma bagi bidang pemasaran dan asuhan awal kanak-kanak.

Pengerusi OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuar Ali berkata, kursus akan dijalankan pada setiap hujung hujung minggu mengambil masa 10 bulan yang akan diadakan di Kompleks Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT).

“Pengambilan pertama dijangka akan dibuat mulai Jun depan,” katanya kepada pemberita di majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara YPU dan OUM di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran.

Majlis MoA itu disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Dato’ Haji Mohamad Awang Tera manakala YPU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Haji Azmi Razik.

Katanya, setiap kursus akan memilih 25 peserta dan mereka yang terpilih akan mendapat tajaan daripada Mara,” katanya.

Menurutnya, program ini pertama kali diadakan di negeri ini dan mereka yang berminat boleh membuat permohonan dengan YPU.

 

TPM lawat Terengganu Jumaat ini

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (gambar) akan melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu, Jumaat ini (22 Mac).

Beliau dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman akan menaiki pesawat khas dari TUDM Subang dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 12.30 tengahari.

Timbalan Perdana Menteri dan rombongan dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Petai Bubus, sebelum hadir Majlis Jamuan Rakyat.

Selesai majlis itu, beliau akan hadir di Himpunan Rakyat 1Malaysia yang diadakan di padang bola Rhu Rendang, Marang, kira-kira jam 3 petang.

Kira-kira 30,000 orang dijangka hadir di majlis itu, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional dan pemimpin negeri.

DEMO PEMBANGKANG TIADA SAMBUTAN, KEHADIRAN TIDAK SAMPAI SERIBU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Noraini Jusoh

Pembangkang menerima tamparan hebat hari ini 20 Mac 2013, apabila demonstrasi di depan Wisma Darul Iman yang dianjurkan tidak mendapat sambutan ramai.

Pihak penganjur yang cuba menghimpun orang ramai sejak malam tadi dengan membuat khemah untuk tidur di tepi stadium tetapi malangnya kehadiran didapati kurang dari seribu iaitu hanya beberapa ratus orang sahaja.

Kelibat pemimpin utama Pas juga tidak kelihatan, kemungkinan beberapa orang wakil rakyat Pas sudah menyedari tiada sambutan menyebabkan mereka mengambil keputusan tidak hadir bersama pengikut mereka.

Tindakan sebahagian penyokong Pas dan pembangkang memanjat pagar Wisma Darul Iman dan merosakkan lanskap di depan pusat pentadbiran kerajaan negeri itu juga adalah suatu tindakan yang tidak bertamadun sama sekali.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato’ Haji Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dengan niat yang baik datang menemui penyokong Pas itu untuk mendengar dan menerima apa yang hendak disampaikan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Menteri Besar dan Ahli-ahi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sedang bermesyuarat mingguan pada waktu itu.

Tindakan membuat halangan di pintu masuk utama juga menyebabkan orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan di pusat pentadbiran itu tidak dapat masuk ke Wisma Darul Iman, malah pegawai serta kakitangan yang ada urusan tugas di luar terpaksa membatalkan tugasan.

Sampah sarap dan sisa sisa makanan dibuang di merata-rata sejak malam tadi di atas lanskap dan hiasan berdekatan juga telah menampakkan betapa pengikut pembangkang ini tidak disiplin dan tidak mempunyai akhlak yang baik.

 

Kerajaan lanjut tempoh bayar cukai tanah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memutuskan untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah kepada penduduk negeri ini selama dua bulan lagi dari 31 Mei kepada 31 Julai 2013.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebelum ini penduduk tempatan perlu menjelaskan bayaran cukai tanah mereka sehingga 31 Mei atau dikenakan denda jika pembayaran dilakukan selepas tarikh itu setiap tahun.

 “Sebagaimana tahun-tahun lalu, mesyuarat exco membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh pembayaran cukai tanah tanpa denda bagi 2013.

“Biasanya cukai tanah hendaklah dibayar sehingga 31 Mei setiap tahun, tetapi menjadi tradisi tidak lama dulu kita lanjutkan sampai 31 Julai. Maknanya kita beri tempoh dua bulan lagi menyebabkan mereka tidak perlu membayar denda (jika bayaran selepas 31 Mei),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah .

Menteri Besar berkata,  keputusan melanjutkan tempoh itu bagi menggalakkan dan memberi peluang kepada ramai penduduk Terengganu menjelaskan cukai serta mengelak dari didenda sekiranya lewat membayar mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, kadar cukai tanah di Terengganu amat rendah berbanding negeri lain, malah ada yang hanya dikenakan kadar serendah RM2 hingga RM5 setahun sahaja.

 “Sehingga kini, hanya 60 hingga 70 peratus penduduk menjelaskan cukai tanah di Terengganu. Kita paling murah dan tidak menaikkan kadar cukai sejak dulu lagi. Hanya RM3 , RM5 pun masih ada. Malah, RM2 pun ada.

“Macam di Kuala Lumpur satu lot tanah berapa ratus ringgit cukai tanah yang perlu bayar. Bagaimanapun, itu pun masih ramai penduduk Terengganu tidak menjelaskannya dan kita minta supaya mereka membayar cukai tanah masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Terengganu mampu memungut hasil cukai tanah sehingga RM28 juta setahun jika seluruh rakyat menjelaskan cukai berkenaan.

“Sebab itu kita tidak boleh hanya mengharapkan cukai pintu dan cukai tanah. Kerajaan terpaksa bantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Macam di Kuala Lumpur, PBT dapat kumpul cukai tanah RM100 juta lebih, selain Shah Alam, Kelang, Ampang Jaya, semua dapat kumpul RM100 juta.

 “Kita di (PBT) Setiu tidak sampai RM100,000 setahun. Hendak bayar gaji Yang Dipertua pun tidak mampu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos (pentadbiran) berkenaan,” katanya.


Pangsapuri Ladang Gemilang beri keselesaan kepada penghuni

Oleh: Suriati dan Aida Abd Rahman 

 Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato' Wan Hisham Wan Salleh kesal dengan sikap pemimpin Pas yang menyatakan pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang, Kuala Terengganu mendatangkan pelbagai masalah kepada penghuni.

 “Tidak guna puak pembangkang memutarbelitkan keistimewaan pangsapuri itu melalui mana-mana saluran tanpa usul periksa. “Cuba terang kepada saya, apa yang tidak puas hati tentang pembinaan itu, saya boleh jelaskan semuanya berdasar fakta,” katanya.

Katanya, mereka perlu sedar kerajaan bina pangsapuri itu untuk keselesaan kerana sebelum ini kebanyakan penghuni terpaksa tingggal berhimpit di rumah daif yang dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

 “Kita bina pangsapuri itu lengkap dengan dua kemudahan lif di mana terdapat satu lif besar dan kecil. “Jika mereka menyatakan jenazah sukar diturunkan dan terpaksa dikendong, itu hanya kenyataan bohong dan penipuan yang sengaja diwujudkan,” katanya.

 Katanya, berkaitan harga sewa RM300 sebulan yang dikatakan mahal itu adalah tidak benar. , ia jauh lebih murah kerana mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

 “Kalau harga sewa sebenar tentulah RM700 atau RM800 sebulan, mereka yang tidak bermampuan dan cukup syarat diberikan pula subsidi bayaran sewa rumah itu.

 “Apabila penghuni itu membayarnya secara teratur dan berdisplin sepanjang tiga tahun, ia layak memohon untuk menukar syarat rumah kepada sewa beli,” katanya.

 Katanya, kerajaan terpaksa meletakkan peraturan seumpama itu bagi mengelak pemilik memberi sewa dan menjualnya kepada orang lain atau penduduk luar.

 

19 March 2013

Penyokong Pas mula beralih angin pada PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Semakin ramai penyokong Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu cenderung memilih Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang berdasarkan kepada sambutan yang ditunjukkan golongan itu dalam siri ceramah BN di kawasan itu kebelakangan ini.

Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh, berkata pihaknya yakin respon positif sekumpulan penyokong pembangkang itu membuktikan kebangkitan dan aliran peralihan sokongandi kalangan rakyat yang mula sedar kepincangan dalam Pas.

“Peralihan sokongan itu terbukti apabila dalam program anjuran BN seperti siri ceramah walaupun secara kecil-kecilan bukan sahaja dihadiri penyokong kerajaan, malah penyokong Pas juga sudah mula menunjukkan minat mereka.

 “Mereka sudah datang secara perlahan-lahan dan menunjukkan mereka mula membuka mata untuk menyokong BN. Malah, mereka juga semakin memahami fakta sebenar sebalik isu semasa menerusi ceramah yang kita laksanakan dari semasa ke semasa ,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Dato’ Wan Hisham berkata, trend semasa memperlihatkan penghijrahan sokongan yang berlaku secara senyap mahupun terbuka itu adalah disebabkan kekuatan BN sendiri yang terbukti benar-benar memperjuangkan kebajikan rakyat.

Beliau turut tidak menolak majoriti daripada kira-kira 20,000 pengundi berdaftar di DUN itu akan memihak BN dan mengembalikan kerusi itu kepada kerajaan pada PRU13 nanti.

“Kita berlaku adil dalam pengagihan kebajikan walaupun menyedari mereka penyokong Pas. Berdasarkan perkembangan positif itu, kita yakin BN akan menguasai DUN Ladang semula pada PRU nanti,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja penyokong pembangkang, kira-kira 4,000 hingga 5,000 pengundi baru mendaftar juga dilihat lebih cenderung menyokong BN pada PRU13 nanti berikutan golongan itu menikmati pelbagai manfaat terutama bantuan berkonsepkan 1Malaysia.

 

Ayamazz buka peluang kepada usahawan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Haji Uzir Abdul Samad
Rakyat Terengganu yang berminat menceburi bidang keusahawanan tidak harus melepaskan peluang untuk menerokai perniagaan berasaskan makanan segera apabila Ayamazz Sdn Bhd bakal menawarkan peluang keemasan kepada mereka.

Ayamazz Sdn Bhd telah melantik Jati Bestari Sdn Bhd untuk memasar dan mempromosikan Ayamazz Roti Impit termasuk promosi, pengiklanan serta membuka lebih banyak kios Ayamazz Roti Impit di seluruh negara termasuk di negeri ini.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melalui Koperasi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (KOPUTERA) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jati Bestari Sdn Bhd bagi projek Ayamazz Roti Impit, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jati Bestari Sdn Bhd, Haji Uzir Abdul Samad berkata, tiga pakej ditawarkan kepada usahawan yang berminat memulakan perniagaan Ayamazz Roti Impit.

"Pakej pertama ialah mini kiosk yang bernilai RM28,000, kedua kioks bernilai RM118,000 dan ketiga mini van bernilai RM128,000 dengan segala alat kelengkapan.

"Latihan dan nasihat turut diberikan kepada usahawan selain pemantauan dari semasa ke semasa,” ujarnya.


Ayamazz Roti Impit menawarkan program pelesenan pada kos berpatutan kepada semua warganegara Malaysia untuk memulakan perniagaan.

Ayamazz Roti Impit atau ‘Frank Buns’ adalah snek berasaskan konsep grab-and-go. Ia disediakan dalam tiga pilihan iaitu keju, cendawan dan lada hitam, Roti Impit disediakan dengan mengukus frankfurter dan roti serta dituang dengan sos Chillimayo yang direka khas.

Haji Uzir berkata, pihaknya merancang untuk meneroka pasaran terbuka secara agresif tahun ini dengan menyasar membuka 100 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

 

Puteri Umno makin rancak turun padang

Oleh: Gelombang biru 

 Pergerakan Puteri Umno Terengganu semakin rancak turun padang untuk bertemu rakyat di seluruh Terengganu bagi mengeratkan hubungan, sekali gus memperkemaskan strategi sebelum menghadapi ‘perperangan’ pilihan raya umum akan datang.

 Ketua pergerakan itu, Puan Nordiana Dato’ Shafie, berkata pada masa sama, pihaknya dapat mengesan setiap masalah rakyat serta menyelesainya dengan kaedah terbaik, selain menyakinkan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang mampu membela nasib rakyat.

 “Program seumpama ini menjadi peluang terbaik bagi mendengar isi hati dan pandangan mengenai sesuatu perkara seterusnya dilaksanakan demi kebaikan bersama.

“Rakyat kini sudah bijak menilai mana parti yang boleh diharap atau parti yang hanya pandai berceramah dan menabur janji ,” katanya Menurutnya, dia percaya undi populariti BN akan terus meningkat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berbanding 56 peratus PRU pada 2008.

 “Keyakinan itu berdasarkan sokongan pengundi muda di samping tindakan keluar parti ramai penyokong pembangkang khususnya Pas di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

 “Jelas beliau pembangkang di negeri ini cukup terdesak dan bangkrap isu untuk berdepan BN sehingga sanggup memperbodohkan ahli mereka sendiri terhadap beberapa program yang diadakan UMNO termasuk program Selamat Tinggal Pas.

 "Selain ketandusan isu mereka cuba menenangkan penyokong mereka yang lain setelah ramai ahli mereka bertindak keluar parti", katanya.