Halaman

21 March 2013

435 murid Tahun Empat DUN Sura terima e-Book

Oleh: Noraini Jusoh

Dengan misi mahu membuat lonjakan hebat terhadap penguasaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), langkah demi langkah digerakkan bagi mengubah lanskap pendidikan di Terengganu.


Selaras dengan hasrat tersebut, kerajaan negeri meneruskan pemberian e-Book kepada murid Tahun Empat di seluruh negeri ini bagi membantu murid-murid menguasai bidang ICT dengan lebih baik.


Bertempat di Dewan Utama majlis Perbandaran Dungun, Dungun, wajah gembira murid, guru dan ibu bapa dirakamkan apabila seramai 435 murid dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menerima agihan e-Book secara percuma, semalam.

Lebih bermakna, penyampaian daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said itu ditunggu-tunggu murid tahun empat dari enam buah sekolah di DUN berkenaan.



Daripada jumlah itu, 16 penerima daripada Sekolah Pendidikan Khas; Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dungun (84); SK Pusat Dungun (119), SK Bandar Dungun (62), SK Sultan Omar (124) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa (30).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato' Zaabar Mohd Adib serta Pegawai Pembangunan DUN Sura, Datuk Wira Rosli Mat Hassan. 

 

Kursus aritmetik kunci kejayaan

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

“Kursus aritmetik mental yang diikuti Anis semasa kecil merupakan salah satu faktor kejayaan anak saya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012,” kata Puan Ratna Nainy, 45, ibu kepada Anis Raihan Asmadi, 18, yang merupakan seorang daripada 19 pelajar cemerlang negeri ini yang berjaya memperolehi semua A+ dalam keputusan SPM kali ini.

Kursus aritmetik mental merupakan latihan intensif untuk mengembangkan minda kanak-kanak dalam mempelajari matematik khususnya dengan cara yang betul dan cepat terbukti membantu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan  Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek itu meraih keputusan cemerlang 11A+ bagi semua mata pelajaran yang diambilnya.



Anak sulung empat beradik itu melahirkan rasa bersyukur kepada Allah s.w.t atas kejayaan yang diperoleh dan menyifatkan kejayaan itu bukan miliknya tetapi pinjaman daripada Allah s.w.t semata-mata.

"Saya turut terhutang budi kepada ayah dan ibu serta guru di SMKA Sheikh Abdul Malek, guru tuisyen serta datuk dan nenek selain rakan-rakan yang banyak memberi bantuan dan dorongan selama ini.



"Petua belajar yang selalu saya amalkan ialah belajar setiap malam dan habiskan silibus yang diajar guru manakala dari sudut rohani saya selalu lakukan solat Taubat dan Hajat setiap malam serta tidak lupa berdoa kepada Allah s.w.t kerana doa adalah senjata untuk berjaya,” ujarnya ketika ditemui Teganukita ketika megambil keputusan SPM di sekolah tersebut, hari ini.

Anis Raihan yang merupakan pelajar aktif dalam aktiviti kokurikum juga seorang pemidato terhebat di sekolah serta mewakili negeri ke pertandingan di sekolah luar Terengganu, bercita-cita menjadi seorang peguam seperti ayahnya, Encik Asmadi Awang, 46, seterusnya berhasrat untuk meneruskan legasi di firma guaman milik ayahnya suatu hari nanti.

"Kata-kata motivasi yang sering diberikan oleh ayah dan ibu turut menambah semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan dalam SPM,” katanya.

Sementara itu, Puan Ratna berkata, beliau tidak meletakkan harapan yang tinggi dan redha setiap ketentuan Ilahi  dengan apa sahaja keputusan peperiksaan yang bakal diterima cahaya matanya itu, bagaimanapun dengan kecemerlangan berkenaan, mereka sekeluarga sangat bersyukur dan berbangga walaupun sebelum ini Anis merekod 10A dan 1B dalam peperiksaan percubaan SPM.

"Dari kecil Anis sudah diserapkan dengan motivasi, malah mampu membaca serta menunjukkan potensi sejak sekolah rendah dan apabila di peringkat menengah sudah pandai berusaha sendiri,” katanya yang merupakan Juruhias Dalaman.

Tambah beliau, kejayaan yang diperoleh anaknya turut dibantu pihak kementerian dengan mengadakan kelas tambahan di sekolah dan kestabilan ekonomi di negeri ini.



Kejayaan Anis Raihan turut dikongsi sahabatnya Syafiqah Yusof,18, yang memperoleh keputusan 11A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil dan turut dinobatkan antara 19 pelajar cemerlang bagi seluruh  Terengganu.

 







Penduduk Hulu Besut dapat jalan baru menghubungi Hulu Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak 

Lebih 30,000 penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman Hulu Besut, akan mendapat kemudahan jalan raya yang lebih besar apabila projek pembinaan laluan Keruak ke Gunung Bongsu, Hulu Terengganu siap sepenuhnya pada 2014.

Jalan berkenaan juga akan memendekkan waktu perjalanan penduduk sekitar daerah Besut yang akan pergi ke utara melalui Ipoh,Perak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pembinaan jalan fasa pertama sejauh10 kilometer berharga RM106 juta kini pada tahap 38 peratus siap.

Katanya, pembinaan fasa berikutnya membolehkan pengguna jalan raya dari Besut ke Tasik Kenyir seterusnya ke Gua Musang dan Perak, akan menjimatkan waktu perjalanan berbanding sekarang yang menggunakan laluan Kuala Terengganu atau Gua Musang.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian pelaksanaan projek pembinaan jalan Keruak-Gunong Bongsu,Hulu Terengganu, di Kampung Belaoh, Hulu Besut.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Dr Abdullah Md Zin, ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Jabio Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ibrahim Mohamad.

Pembinaan jalan berkenaan satu lagi projek Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan hadiah istimewa kepada penduduk daerah Besut.

Kerajaan sedia beri nama jalan kepada dua wira Negara


 Oleh: Mohammad Ishak


Kerajaan Terengganu sedia menimbang untuk memberikan nama jalan kepada dua Wira Negara dari Besut yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu, Sabah.

Menteri Besar,Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sebagai permulaan beliau sudah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof dan ADUN Jabi Ramlan Ali, mencari jalan yang sesuai di kawasan masing-masing untuk menamakan dua perwira berkenaan.

Perwira terbabit ialah Superintendan Ibrahim Lebar dari Kampung Jabi dan Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dari Kampung Kubang Ikan, Besut kedua-duanya terbunuh dalam serangan oleh pengganas di Lahat Datu.

Menteri Besar berkata, cadangan memberikan nama jalan kepada dua wira berkenaan sebahagian daripada tanda kenangan dan memperingati jasa mereka terhadap Negara.


Terdahulu Ahmad turut mengunjungi rumah dua keluarga berkenaan untuk menyampaikan bantuan kerajaan negeri kepada balu anggota keselamatan itu.

Dalam kunjungan itu, Menteri Besar menyampaikan cek RM50,000 kepada ibu Allahyarham Zulkifli, Khatijah Ismail, 64 di rumahnya di Kampung Kubang Ikan dan balu Allahyarham Ibrahim, Rosiah Dahlan, 50,di rumah keluarganya di Kampung Jabi, Setiu.

Hadir sama dalam majlis penyerahan cek berkenanan ialah ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Jabi, Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintandan Kamaruddin Mohd Zakaria.




Terengganu kekal momentum cemerlang SPM 2012

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Terengganu mengekalkan momentum kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  apabila merekodkan peningkatan dari segi kualiti pelajar yang memperolehi semua A+ bagi keputusan peperiksaan tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.



Berdasarkan keputusan yang diumumkan hari ini, pelajar yang memperolehi semua A+  atau cemerlang tertinggi dalam semua mata pelajaran meningkat empat orang kepada 19 orang berbanding 15 orang pada 2011.



Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) , Encik Hashim Mohd Zin, berkata prestasi calon yang memperolehi semua A turut meningkat dengan 513 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (2.46 peratus) berjaya mencapai keputusan itu, berbanding 408 calon (1.95 peratus) pada tahun sebelumnya.

 “Seramai 19 orang calon sekolah KPM (0.09 peratus) berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding 15 orang (0.07 peratus) pada 2011.

 “Saya ingin menegaskan bahawa bukanlah suatu yang mudah bagi mencapai calon gred cemerlang tertinggi ini melainkan dengan disiplin, tekad, semangat dan komitmen serta sokongan moral semua pihak akan mampu melahirkan pelajar sebegini,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, hari ini.

Encik Hashim berkata, enam sekolah menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.25 dan ke bawah. Sekolah berkenaan, Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu (1.49), SM Imtiaz Besut (1.67), SM Sains Kuala Terengganu (1.79), SM Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (2.06), SM Sains Hulu Terengganu (2.07) dan SM Imtiaz Kuala Terengganu (2.23).

 “Selain itu, prestasi mata pelajaran turut membanggakan apabila 33 daripada 73 mata pelajaran yang diambil calon SPM menunjukkan peningkatan berdasarkan Gred Purata Mata pelajaran (GPMP).

“Bagi kategori cemerlang, sebanyak 23 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus ( gred cemerlang A+, A atau A-), sementara 20 mata pelajaran menunjukkan prestasi stabil iaitu peningkatan atau penurunan kurang daripada tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-), manakala 29 mata pelajaran menurun prestasinya melebihi tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-),” katanya.

Seramai 22,274 calon menduduki SPM 2012 berbanding 22,702 orang pada 2011 di 183 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.






TPM ke Terengganu esok

Oleh: Suriati Ali

 Rakyat Terengganu, khususnya penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat secara langsung dengan pelbagai program sambutan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sudah tidak sabar menunggu kehadiran pemimpin nombor dua negara itu, esok (Jumaat).

Lebih 40,000 penduduk terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang diatur sempena Lawatan Kerja Sehari YAB Timbalan Perdana Menteri bersama isteri Puan Seri Norainee Abd Rahman di negeri ini.

Beliau dan isteri akan menaiki pesawat khas dari TUDM Subang dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 12.30 tengahari.


Timbalan Perdana Menteri dan rombongan dijadualkan menunaikan solat Jumaat dan solat hajat untuk anggota keselamatan Malaysia di Masjid Kampung Petai Bubus, Kuala Terengganu sebelum hadir Majlis Jamuan Bersama Rakyat.

 Selesai majlis itu, beliau akan melawat seorang pesakit strok yang juga warga emas, Tuan Kamariah Tuang Dalang yang tinggal di kampung sama.

Pada sebelah petang pula, Tan Sri Muhyiddin akan hadir pada Himpunan Rakyat 1Malaysia yang diadakan di padang bola Rhu Rendang, Marang, kira-kira jam 3 petang.

 Kira-kira 20,000 orang dijangka hadir di majlis itu, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Seri Haji Mazlan Ngah; ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional dan pemimpin negeri.

 

Terengganu HT mampu beraksi cemerlang

Oleh: Suriati Ali 



Kerajaan negeri yakin pasukan baru, Terengganu Hockey Team (Terengganu HT) mampu beraksi cemerlang dalam Liga Hoki Malaysia, di Kuala Lumpur, bermula 22 Mac ini, walaupun pertama kali bersaing antara kelab-kelab hoki ternama lain di Malaysia dalam liga itu.



 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya percaya pasukan itu mampu mencipta nama kerana pernah meraih dua kejayaan manis iaitu menjadi juara Sukan Malaysia 2012 dan johan Hoki Piala Tun Razak edisi ke-50 baru-baru ini.

 “Kelebihan lain, pemain Terengganu HT terdiri daripada sembilan atlet Sukan Malaysia ( Sukma) dan enam pemain Kebangsaan, semua itu dianggap permulaan serta kelebihan terbaik untuk melangkah ke liga berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis memperkenalkan Pasukan Terengganu HT, di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Burok, malam tadi.



Sebelum itu, Dato’ Ahmad mewakili Pasukan Pejabat Menteri Besar berjaya mempamerkan beberapa aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan antara Terengganu HT.

 Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Presiden Terengganu HT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Pada sama sama, kerajaan negeri menyerahkan replika cek RM1.3 juta sebagai simbolik menjadi penaja bagi pasukan itu, Penaja lain, Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (Ladang Rakyat) menyerahkan sejumlah RM600 ribu dan Commercial Ventures Enterprise (CVE Sports) menaja jersi dan pengangkutan.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju menggunakan khidmat dua permain import profesional dari mana-mana negara seperti Australia dan Korea sebagai langkah memantapkan lagi Terenggannu HT .

Katanya, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri dan beberapa pihak berkaitan lain untuk mencari dan memilih mereka yang diyakini sesuai. .

 “Apabila sudah ada permain import, kita boleh guna khidmatnya pada kejohanan akan datang, langkah ini pasti mampu memantapkan lagi pasukan sedia ada,” katanya .

 








Kerajaan teruskan program hantar guru keluar negara

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan meneruskan program penghantaran guru keluar negara untuk lawatan sambil belajar sebagai menghargai jasa mereka mendidik anak bangsa serta mengharumkan nama negeri di mata luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tahun ini 30 orang lagi guru yang pelajarnya cemerlang dalam UPSR dan PMR lalu diberi peluang melawat keluar negara.

“Hari ini saya bangga dengan para guru yang telah berjaya mendidik generasi pelajar yang mampu menjulang kejayaan sekali gus telah mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya di majlis Apresiasi UPSR dan PMR Terengganu Anjung Ilmu di Wisma Darul Iman.

Katanya, kini dunia luar tidak lagi memandang sebelah mata kepada anak-anak Terengganu yang mampu mengukir nama dipersada antarabangsa dalam bidang akademik.

 “Kejayaan anak-anak kita hari ini adalah di atas pengorbanan para guru yang tidak mengenal erti jemu mendidik dan memberi tusyen di luar waktu sekolah bagi memastikan kejayaan anak didik masing-masing,” katanya.

Beliau turut mengingatkan warga pendidik di negeri ini tidak terlibat dengan mesej-mesej negatif yang mengaitkan peristiwa pencerobohan di Lahad Datu Sabah.

 “Para guru perlu dapatkan maklumat yang betul sebelum membuat sesuatu andaian serta hargai pengorbanan pasukan keselamatan kita yang sedang mempertahankan keamanan negara,” katanya.

Katanya, berfikirkan secara logik akal sebelum mengeluarkan kenyataan dan apa yang dilakukan warga pendidik turut mempengaruhi anak murid mereka.
 

20 March 2013

10,000 penduduk Besut sertai Walk For Peace



Oleh: Mohammad Ishak 

Kira-kira 10,000 penduduk daerah Besut menyertai program berjalan kaki (Walk For Peace) sebagai tanda sokongan terhadap anggota pasukan keselamatan negara yang berjuang mempertahankan bumi Sabah.

Program anjuran Pejabat Daerah Besut dengan kerjasama UMNO Bahagian Besut mendapat sambutan luar dugaan apabila penduduk pelbagai peringkat dan keturunan menyertai acara berjalan kaki sebagai tanda sokongan terhadap pasukan keselamatan yang sedang berjuang di Lahad Datu.

Acara berjalan kaki bermula dari Dataran Jertih Souq ke Dataran Merdeka Kampung Raja sejauh 11 kilometer bermula jam 5 petang dan sampai ke distinasi kira-kira jam 6.45 petang.

Program diketuai Ketua UMNO Bahagian Besut,Dato’ Seri Idris Jusoh turut disertai wakil-wakil rakyat lain termasuk pegawai kanan kerajaan daerah Besut.

Semangat peserta jelas kelihatan ketika menyertai acara berjalan kaki dan berjaya menamatkan perjalanan tanpa sebarang halangan.

Sempena dengan program itu pelbagai pertubuhan sukarela, pihak sekolah, jabatan kerajaan turut menyampaikan sumbangan derma kepada Tabung Wira Lahad Datu yang diserahkan kepada Idris.

Sepanjang perjalanan dari tempat permulaan hingga ke destinasi terakhir konvoi kenderaan memperdengarkan lagu-lagu patriotik diikuti dengan nyanyian oleh peserta secara spotan.

Umno guna strategi terang dan serang bagi hadapi PRU13

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Umno akan menggunakan strategi terang dan tentang bagi menghadapi parti-parti pembangkang sepanjang kempen pilihan raya umum Ke-13 (PRU13) bagi memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato’ Ahmad Maslan, berkata penceramah parti itu diminta menyerang perkara-perkara tidak elok yang dilakukan pihak pembangkang supaya rakyat dapat mengetahui keburukan pihak lawan selama ini dalam kempen mereka.

“Selama ini kita (penceramah Umno) hanya menceritakan kebaikan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa menyentuh keburukan yang dilakukan pembangkang.

“Bagaimanapun, dalam kempen kali ini kita akan ceritakan keburukan mereka supaya rakyat dapat menilai mana yang lebih baik antara pihak kerajaan dan pembangkang,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada penceramah Umno di Terengganu Equestrian Resort petang ini.



Hadir sama di majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Ketua Penerangan Umno Terengganu.

 Dato’ Ahmad berkata, penceramah Umno perlu lebih agresif pada pilihan raya ini kerana pihak pembangkang akan menggunakan apa jua cara bagi memburuk-burukkan kerajaan.

 Katanya, dalam kempen PRU13 ini juga penceramah Umno akan mendedahkan segala janji-janji manis parti pembangkang kepada rakyat yang gagal mereka tunaikan selama ini.

 “Pada masa yang sama kita juga akan menjelaskan kepada rakyat semua kebaikan yang telah Kerajaan BN laksanakan untuk rakyat di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau yakin strategi baru yang akan digunakan Umno pada pilihan raya kali ini akan membuahkan hasil yang positif dan mampu merealisasikan hasrat BN mendapat majoriti dua pertiga.

 “Di Terengganu kita meletakkan sasaran menang 100 peratus kerusi Parlimen di samping menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU13,” katanya.