Halaman

30 March 2013

Pas tidak layak ganti Umno

Lima lagi sebab yang digariskan dalam buku bertajuk “Ala Balerr!!!” yang mendedahkan mengapa Pas tidak layak menggantikan Umno ialah:

6. Kunci Balai Raya, Halau Murid Tadika – Politik balas dendam Kerajaan Pas tidak kira siapa, kanak-kanak tadika pun jadi mangsa. Kemenangan Pas di Terengganu menjadi ‘habuan’ buat pemimpin hingga kepada penyokong bawahan iaitu mereka boleh tunjuk kepada Umno dan BN bahawa Pas ada kuasa!. Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) di setiap kampung ‘naik toncang’ dengan mengunci balai raya, tempat kanak-kanak tadika belajar. Pelajar dan guru dihalau.

7. Pas Punca MRSM-YT Ditutup - Bagi menutup kegagalan, menjadi kebiasaan Kerajaan Pas menyalahkan Umno dan BN zalim. Isu penutupan MRSM-YT di Dungun dan Besut sebenarnya berpunca daripada pemimpin Pas. Surat bertarikh 19 Disember 2002 mengarahkan MARA mengosongkan premis milik YT di Dungun dan berpindah ke sebuah lagi cawangan MRSM-YT di Besut selewat-lewatnya 5 Januari 2003.

8. Selama 4 tahun, Pas Hanya Bina Satu Rangka Masjid - Kerajaan Pas hanya ada satu pilihan iaitu menyalahkan Umno apabila Masjid Kampung Gemuruh di Tepoh tidak mampu disiapkan, padahal masjid itu terletak bersebelahan dengan masjid lama dan rumah EXCO Kerajaan Pas, Abu Bakar Abdullah.

9. Beri Tanah Kepada Kroni, Orang Kaya – Zaman Kerajaan Pas, tanah yang diagihkan kepada rakyat yang menyokong Umno dirampas dan tanaman dimusnahkan seperti berlaku kepada 15 penduduk di Kampung Alor Serdang, Setiu dan 30 peneroka di Kampung Kubu, Marang. Bagi penyokong Pas, ‘habuan’ dari sebuah kerajaan yang dijaja sebagai adil dan menurut Islam ialah lot-lot tanah kerajaan termasuk tanah yang dikosongkan untuk tujuan pembinaan sekolah, padang ragut dan kawasan riadah oleh Kerajaan BN sebelum ini.

10. Lantik Anak-Beranak Exco Jadi Pengarah –Najman Kamarudin, anak saudara kepada Exco Pas, Dato’ Harun Taib turut dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di empat anak syarikat TDM yang mana Harun merupakan Pengerusi TDM iaitu; TDM Trading Sdn Bhd, TDM Properties Sdn Bhd, TDM Helling Sdn Bhd dan TD Ijarah Sdn Bhd.

Bersambung......

IQT akan dinaik taraf menjadi kolej

Oleh: Noraini Jusoh

Dengan persetujuan kerajaan negeri, Institut al-Quran Terengganu (IQT) akan dinaik taraf menjadi sebuah institusi bertaraf kolej tidak lama lagi.

Pengarahnya, Haji M. Rozi Bidin berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, IQT sedang merangka beberapa program ke arah mencapai status sebuah kolej.

"Pihak pengurusan IQT dengan kerjasama Bahagian Akademik telah mengadakan perbincangan awal dengan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM ) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menjalin kerjasama bagi merealisasikan hasrat itu.

"Hasil perbincangan tersebut adalah positif di mana kedua-duanya bersetuju untuk membantu IQT dan perbincangan lanjut akan diadakan dari semasa ke semasa,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) Pelajar-Pelajar di Institut Al-Quran Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, dalam masa yang sama pihak pengurusan IQT turut mengadakan perbincangan dengan Universiti Islam Madinah dan Universiti Ummul Qurra, Makkah bagi memastikan pelajar-pelajar IQT dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di kedua-dua universiti itu dan hasil perbincangan juga menunjukkan petanda positif.

Menurut beliau, bagi memastikan perjalanan IQT menjadi lebih kemas dan tersusun pada 10 hingga 13 April nanti, pihak pengurusan IQT akan menagdakan lawatan akademik ke Pusat Studi Quran dan Institut Ilmu al-Quran, Jakarta bertujuan melihat sistem pembelajaran di sana untuk dimanfaatkan oleh IQT.

 

Kemudahan di LA Hot Spring ditingkatkan













Oleh: Mohammad Ishak 

Pusat riadah Kolam Air Panas LA di Hulu Besut bakal berubah wajah sebagai destinasi pelancongan menari di daerah Besut apabila pelbagai projek pembangunan yang sedang dilaksanakan siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Kolam Air Panas LA yang menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara kerana keunikkan air panas yang dikatakan mampu mengubati pelbagai penyakit kulit.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, kerja penambahbaikkan pusat itu sedang giad dilaksanakan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

Katanya, Majlis Daerah Besut (MDB) kini membina lapan unit kedai termasuk penginapan berkelompok berharga RM8 juta untuk kemudahan orang ramai.

Menurutnya, pembinaan kemudahan asas itu sebagai tambahan kepada yang sedia ada termasuk jalan masuk utama, tempat letak kenderaan, chalet dan pembinaan kolam takungan air panas.

Abdullah berkata, pusat pelancongan terbabit sememangnya menjadi pilihan pelancong kerana ramai yang berkunjung untuk mencuba berenang dan selain mandi manda dalam kolam air panas.

Katanya, menarik ramai juga pengunjung yang datang berhasrat untuk mengubat penyakit gatal kulit kerana selepas melakukan berendam beberapa kali ada yang mendakwa penyakit berkenaan akan sembuh.

Manifesto PR umpama `gula-gula’

Oleh: Suriati Ali 

 Pergerakan Pemuda Umno Terengganu menyifatkan manifesto yang diumumkan Pakatan Rakyat baru-baru ini tidak masuk akal umpama `gula-gula’ untuk meraih undi rakyat

 Pengerusinya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata ini kerana sehingga sekarang pembangkang masih tidak melaksanakan janji untuk memberi pelbagai faedah dan manfaat kepada rakyat di negeri-negeri yang mereka kuasai selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

 “Janji pembangkang dalam manifesto itu, memberikan pendidikan percuma bermula dari prasekolah sehingga ke menara gading jika menguasai Putrajaya adalah bersifat tidak realistik.


“Jika ikhlas ingin mebantu rakyat, tidak payah tunggu memberikan pendidikan percuma sekiranya menguasai Putrajaya, buat dulu di negeri yang ditadbir mereka bagi membuktikan kesungguhan dan kemampuan, terutama di Selangor dan Kedah,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, banyak janji yang dibuat kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum lepas tidak ditunaikan dan sekarang rakyat mula bangkit menuntut hak mereka di mahkamah.

 Manifesto bertema "Manifesto Rakyat Pakatan Harapan Rakyat" yang dibentang pakatan pembangkang baru-baru ini antara lain berjanji untuk menghentikan serta-merta operasi kilang nadir bumi Lynas dan membatalkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Encik Saiful turut meminta rakyat negeri tersebut agar tidak terpedaya dengan janji manis atau janji `gula-gula’ pembangkang dalam manifesto itu yang pastinya tidak akan ditunaikan selepas memerintah.

"Janji ini bukanlah janji baru tapi janji sama yang muncul setiap kali menjelang pilihan raya umum," katanya

 

29 March 2013

JKR kemuka empat jenis struktur bumbung baru SSMZA

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri hanya menunggu arahan kerajaan negeri untuk membentangkan cadangan pemilihan bumbung baru yang sesuai dan lebih selamat bagi menggantikan bumbung stadium yang runtuh dan terpaksa dirobohkan kerana strukturnya yang memang tidak lagi selamat untuk digunakan.

Pengarahnya, Haji Shafii Mohamad, berkata pihaknya sudah menyediakan contoh empat jenis struktur bumbung baru yang bakal menggantikan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, yang sebahagiannya runtuh, hampir empat tahun lalu.

“Kita sudah bersedia untuk membentangkan kepada kerajaan negeri sebelum kerja pemasangan bumbung baru boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Terowong Kemajuan Jalan Pulau Kambing ke Bukit Kecil yang dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said semalam.

Katanya, setakat ini empat jenis bumbung yang dicadangkan mengambil inspirasi dan contoh daripada beberapa stadium di dalam dan luar negara, termasuk Stadium Putra Bukit Jalil dan Litar Antarabangsa Sepang.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan bumbung baru SSMZA dijangka selesai awal 2015, sekiranya kerajaan negeri bersetuju dan meluluskan projek berkenaan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Dalam pada itu katanya, kerja pembaikan dan pemasangan peralatan baru di stadium itu hanya membabitkan pemasangan bumbung, manakala struktur asas stadium itu disahkan kukuh serta selamat untuk digunakan.

"Asas stadium ini disahkan selamat oleh Unit Pakar dari ibu pejabat JKR Kuala Lumpur dan runtuhan bumbung stadium tidak memberi kesan atau menjejaskan struktur asas bangunan stadium," katanya.

 Beliau berkata, JKR juga akan membaiki beberapa kemudahan asas lain yang terjejas bagi membolehkan stadium itu digunakan, biarpun banyak fasiliti di dalam stadium itu yang rosak termasuk akibat kecurian.

Mengulas perkembangan kerja pembersihan sisa bumbung stadium yang runtuh, Haji Shafii berkata, kerja berkenaan sedang dijalankan oleh kontraktor sama sebelum ini.

 "Setakat ini kerja menurunkan bumbung di tempat duduk sebelah barat sudah 70 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.

Stadium yang menelan belanja RM292 juta itu telah runtuh (2 Jun 2009) sebahagian bumbung di tempat duduk bahagian timur selepas setahun disiapkan, dipercayai akibat kerangka penyokongnya tidak kukuh.

Dalam satu lagi kejadian pada 20 Februari lalu, lapan pekerja yang terbabit dalam kerja menurunkan kerangka bumbung lama di SSMZA cedera selepas bumbung itu runtuh, dipercayai akibat kecuaian pekerja melakukan kerja berkenaan.
 

DUN Kuala Berang tetap milik UMNO/BN

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Walaupun berhadapan serangan bertali arus daripada pembangkang, Puteri UMNO DUN Kuala Berang berkeyakinan tinggi bahawa DUN berkenaan akan terus menjadi milik Barisan Nasiona (BN)l pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13).

Pergerakan itu menyifatkan habar angin menyatakan pembangkang akan merampas kembali DUN tersebut daripada BN dengan apa jua cara, tidak berasas sama sekali.

 Pengerusi Penyelaras Puteri UMNO Dun Kuala Berang ,Puan Nor Asiah Nohd Noor berkata, percaturan politik pembangkang hanyalah bertunjang fitnah dan pembohongan yang merupakan modal yang dipergunakan oleh mereka untuk mendapatkan sokongan rakyat menjelang PRU13.

“Satu demi satu pembohongan oleh mereka terbongkar dan rakyat menyedari akan gelombang fitnah yang di pelopori oleh pihak pembangkang .

"Oleh sebab itu rakyat tidak akan percaya dengan apa yang di lakukan oleh mereka lagi kerana semuanya sudah terbongkar.

“Hasrat pembangkang untuk merampas Dun Kuala Berang hanyalah gimik politik mereka, mereka tidak ada sokongan di sini dan sebab itulah mereka membuat serangan fitnah dan cerita bohong untuk memberi tanggapan buruk masyarakat kepada kerajaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata sedemikian berdasarkan ceramah yang diadakan pembangkang tidak mendapat sokongan kerana yang hadir itu lebih ramai orang luar daripada orang tempatan.

Menurutnya Puteri UMNO Dun Kuala Berang sudah lama menjalankan gerak kerja bukan sahaja membabitkan sistem maklumat tetapi turut memberi penerangan secara berterusan bagi menangkis segala tohmahan dan fitnah yang ditaburkan oleh pihak pembangkang.

SKM Terengganu sumbang lima peratus KDNK

Oleh: Aida Abd Rahman

Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu (SKM) mencatat perolehan RM300 juta sepanjang tahun lalu yang menyumbang sebanyak lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata perolehan itu dijana melalui urus niaga membabitkan 523 koperasi berdaftar seluruh negeri dengan sebahagian besarnya terbabit dalam perniagaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata, angka itu satu jumlah besar sekaligus membuktikan penubuhan koperasi memainkan peranan penting menyumbang kepada ekonomi negara dan negeri.

 "Jumlah perolehan yang dicatat tahun lalu agak baik, sekaligus menyumbang lima peratus kepada KDNK negeri. Sehingga tahun lalu, jumlah ahli koperasi yang mendaftar seramai 236,000 orang dengan modal syer dan yuran sebanyak RM197 juta, manakala aset pula RM407 juta.

"Tahun ini kita sasar untuk menubuhkan sehingga 600 koperasi yang pastinya akan meningkatkan pulangan dan memberi impak positif kepada ekonomi negeri," katanya selepas merasmikan penutupan Seminar Sinergi Transformasi Koperasi Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Sektor Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Muhamad Jaafar Muhayat dan Pengarah SKM Terengganu, Haji Wan Muhamad Sabri Wan Harun.

Dato’ Mohamed berkata, pihaknya turut mensasarkan peningkatan sumbangan koperasi sehingga 10 peratus kepada KDNK negeri menjelang 2020 menerusi tumpuan kepada empat sektor utama yang dilihat mempunyai potensi besar untuk diteroka.

 "Sektor itu termasuk bidang pertanian dan pemakanan, keusahawanan minyak dan gas, hospitaliti dan perhotelan serta kewangan seperti pajak gadai Islam (Ar Rahnu) yang semakin mendapat sambutan berbanding pinjaman konvensional serta mencatat keuntungan tinggi," katanya.

Beliau berkata, semua bidang itu dikenalpasti mampu menjana pulangan lumayan dan setiap koperasi perlu merebut peluang yang ada sekiranya mahu maju serta menghasilkan dividen lebih tinggi kepada setiap ahli. 

"Setakat ini hanya 18 daripada jumlah keseluruhan koperasi negeri ini yang mencatat keuntungan lebih RM1 juta dan lapan koperasi lagi lebih RM5 juta. Selebihnya pula hanya menjalankan urusniaga sekitar RM300,000 hingga RM500,000 setahun," katanya.


Muzium anjur program rampai budaya 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Muzium Negeri Terenganu (LMNT) menganjurkan program 'Rampai Budaya' sepanjang cuti sekolah bermula 23 sehingga 30 Mac ini.

Timbalan Pengarah LMNT, Haji Che Muhamad Azmi Ngah berkata, program itu bertujuan menjadikan Muzium Terengganu sebagai destinasi 'wajib lawat' pada musim cuti persekolahan.

"Program yang diadakan merupakan rangkuman aktiviti demonstrasi, permainan, kuiz, serta persembahan kebudayaan yang diadakan pada satu masa bertempat di pekarangan muzium.

"Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk menyalurkan maklumat berhubung aspek sejarah dan budaya tempatan sekali gus memperkenalkan aktiviti dan tugas pemuziuman," ujarnya.

Katanya, antara aktiviti teras ialah persembahan kebudayaan, demonstrasi awetan manuskrip, awetan mamalia dan permainan tradisional.

Tambah beliau, pengunjung dan pelawat digalak bersama-sama mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang diadakan.

Menurutnya, sepanjang cuti sekolah ini juga Muzium Terengganu akan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, selain menawarkan beberapa pakej lawatan istimewa bagi pengunjung berkumpulan.





Pemuda yakin golongan muda sedar tanggungjawab

Oleh: Suriati Ali 

Pergerakan Pemuda Barisan Nasional Terengganu akan memastikan semua golongan muda di Terengganu akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dalam usaha membantu Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar.

 Jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun adalah seramai 343,938 orang atau 54.60 peratus daripada keseluruhan 629, 869 pengundi di Terengganu sehingga akhir tahun lalu.

 Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata dia yakin golongan itu sedar tanggugjawab masing-masing apabila tiba waktunya kelak bagi memilih parti yang telah banyak berjasa dan pemimpin berkaliber.

 “Pada masa sama , ingatlah pesanan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya jangan ikut nafsu, sebaliknya menggunakan akal ketika memilih kerajaan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan terus memperhebatkan gerakan untuk mendekati golongan muda dalam usaha menyakinkan mereka terhadap BN sebagai peneraju Terengganu dan negara.

 “Program serampang dua mata yang sebelum ini telah dilaksanakan dengan jayanya akan terus dipergiatkan lagi setelah ianya menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

 “Pelbagai program seperti kelab permotoran di setiap Parlimen, program kebajikan, kesukanan serta lain-lain program yang menepati cita rasa golongan muda sedang berjalan lancar.

 “Pendekatan itu penting dalam usaha mendekati anak-anak muda yang merupakan penentu kepada pilihan raya,” katanya.

 Menurutnya, pihaknya mengakui bukan sahaja BN yang akan cuba mendekati golongan tersebut, malah di kalangan parti-parti pembangkang.

 “Sebab itulah, pentingnya program yang menepati cita rasa mereka dan bukannya program syok sendiri. Perkara ini turut diingatkan oleh pucuk pimpinan dan ianya seiring dengan prinsip Pemuda Umno itu sendiri .

 “Maknanya kita bukan sahaja memberi tumpuan terhadap ahli kita, tetapi kumpulan anak-anak muda yang lain,” katanya .

 Encik Saiful Bahri yakin anak-anak muda di Terengganu tetap bersama BN berdasarkan kepada apa yang telah dilaksanakan sebelum ini.

 

Penduduk Manir perlu berubah

Oleh: Suriati Ali

 Umum mengetahui, sudah lima penggal atau hampir 26 tahun, Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berada di bawah jajahan pembangkang (Pas), menyebabkan kawasan itu jauh ketinggalan walaupun berada hampir dengan pusat bandar Kuala Terengganu.

 Biarpun wakil rakyat kawasan itu, Dato’ Harun Taib pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyurat Kerajaan (Exco) ketika Pas memerintah antara 1999 hingga 2004, tiada sebarang pembangunan, kemajuan mahupun pembaharuan dibawakan untuk rakyat di kawasan itu.

 Pemimpin Pas bersikap `lepas tangan’ dan tidak mengambil berat soal kebajikan penduduk setempat sama ada ditimpa musibah dan keuzuran.

Sejak 2008, kerajaan Barisan Nasional (BN) melantik Encik Yusof Awang Hitam sebagai Pegawai Pembangunan DUN Manir sekaligus namanya kini meniti dibibir penduduk di kawasan itu.

Khidmat, Encik Yusof atau hanya mahu dikenali sebagai Pak Usop dikalangan pemimpin setempat, disifatkan sebagai tiada galang ganti di Manir, membuatkan lebih 14,500 pengundi Manir mahu menzahirkan sokongan kepada BN di kertas undi kali ini.

 Sifat mudah mesra, pemurah, suka membantu dan tidak pilih bulu dalam menghulurkan sumbangan mahupun bantuan, menyentuh naluri penduduk Manir. Kreadibiliti Pak Usop tidak boleh dipertikaikan lagi apabila ramai penyokong tegar

Pas di kawasan itu mula meletakkan keyakinan terhadap BN, malah ramai juga dikalangan mereka menyesali perjuangan bersama Pas.

Usaha Encik Yusof membuka klinik atas nama beliau iaitu Pusat Rawatan Percuma Yusof Awang Hitam di Kampung Pulau Bahagia, satu-satunya klinik yang menawarkan khidmat rawatan pakar dan ubatan percuma untuk penduduk kawasan itu serta sekitarnya.

 Kehebatan jentera bukan saja mendapat sokongan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Sai, malah pemimpin nombor satu dan dua negara.

 Ia terbukti apabia Manir beberapa kali menjadi lokasi turun padang Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

 Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir sememangnya cukup bertuah kerana terus mengecapi keselesaan dan pelbagai kemudahan seperti kawasan lain walaupun hampir 26 tahun berada di bawah pimpinan Pas.

 Prasarana seperti masjid, perumahan rakyat, dan pasar baru siap dibina di mana kemudahan awam itu bakal digunakan serta diserahkan kepada penduduk terlibat dalam tempoh terdekat.

 Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata sebanyak 437 unit Rumah Mampu Milik di Kampung Batu Hampar sudah siap dibina dan akan diserahkan penduduk kepada penduduk dalam tempoh terdekat.

 “Pasar Manir yang dibina sejak tahun lalu lalu itu juga sudah beroperasi beberapa bulan lalu bagi menggantikan pasar lama yang tidak tersusun dan usang.

 “Rumah Rehat 1Malaysia dengan kos pembinaan RM200, yang pernah diumumkan Perdana Menteri ketika mengadakan lawatan kerja pada April lalu, sudah didiami 20 pegawai perubatan secara bergilir,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.