Halaman

31 March 2013

BN mampu tadbir negara

Oleh: Suriati Ali

Hanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mampu menjaga keamanan negara dan kestabilan politik, berdasarkan sejarah pentadbirannya sejak dulu hingga kini. 

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsudin Sulong, berkata masyarakat dan pengundi di negeri ini perlu mengambil iktibar daripada kehancuran negara-negara lain seperti Syiria, Lubnan, Iraq, Palestin, Afganistan dan beberapa lagi negara Arab yang lain akibat politik yang tidak stabil, mereka berperang sesama sendiri. 

“Percayalah tuan-tuan jika bukan BN yang memerintah negara ini selepas PRU-13, kita semua tidak akan dapat keluar rumah dengan aman, walaupun untuk ke masjid atau ke kubur kerana parti lain tidak mampu untuk menjaga keamanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik bersama Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Hotel Tanjong Vista , semalam.

 Hadir SamaKetua Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Terengganu, Haji Zubir Embong Haji Shamsuddin turut memberitahu, parti Pas pula hanya pandai memecahbelahkan rakyat dan menghasut mereka supaya menentang kerajaan.

 “Tindakan yang dilakukan oleh Pas ini merupakan satu sikap yang bertentangan dengan lunas-lunas agama Islam. Orang Pas lebih rela memberi sokongan kepada DAP yang terang-terang anti-Islam. Jadi buat apa lagi kita nak sokong Pas,” katanya.

 

30 March 2013

Kerajaan iktiraf peranan wanita

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan wanita dalam menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negeri dan Negara di samping berjaya mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peranan seorang isteri begitu mencabar lebih-lebih lagi isteri wakil rakyat yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat.

“Seorang isteri mampu menaikkan populariti seorang suami dan begitu juga sebaliknya,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Katanya, beliau yakin Serikandi mempunyai agenda penting untuk ahli-ahlinya melengkapkan diri membantu tugas suami masing-masing untuk berbakti kepada masyarakat.

“Saya harap Serikandi akan terus main peranan membantu golongan tidak bernasib baik di negeri ini dan kerajaan akan sentiasa menyokong usaha yang dilakukan demi kebaikan semua,” katanya.


   Pada majlis itu,Serikandi telah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai RM5,000 kepada balu dua orang anggota keselamatan dari negeri ini yang terkorban dalam peristiwa di Lahad Datu.

Sehubungan itu 17 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita berjumlah RM34,000 antaranya Persatuan Pandu Puteri, Persatuan Ibu Tunggal, Perkumpulan Wanita (WI), Persatuan Anggota dan Kakitangan Wanita Penjawat Awam Kerajaan Negeri (Puspanita) dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) yang masing-masing menerima RM2,000.

Turut mendapat perhatian Serikandi ialah lapan buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seluruh negeri yang masing-masing menerima RM1,000. Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya telah menyampaikan sumbangan berkenaan.

 








Sandiwara : dulu Sauk, kini Lahad Datu

Oleh FAUZI MOHD 

Parti pembangkang mempotretkan insiden pencerobohan dan kejadian tembak-menembak di Lahad Datu, Sabah hingga mengorbankan anggota keselamatan negara sebagai satu sandiwara kerajaan.

Apa yang tercetus pada fikiran sebahagian pemimpin pembangkang mengenai kejadian ini sama dengan kejadian yang pernah berlaku suatu ketika dahulu iaitu pemberontakan kumpulan Al-Maunah pada 2 Julai 2000 Bukit Jenalek, Perak.

Ketika itu, sekumpulan anggota Al-Maunah yang berpakaian tentera melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah pada waktu subuh 2 Julai 2000 dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan.

Kumpulan tersebut kemudiannya mendirikan pangkalan rahsianya di kawasan hutan berhampiran perkampungan Bukit Jenalik di Sauk, Perak.

Menurut laman web mereka ketika itu, al Maunah merupakan singkatan kepada Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah. Laman web organisasi tersebut dikenali sebagai Al-Ma’unah dalam singkatan, sebuah pertubuhan yang terlibat dalam ilmu persilatan yang turut menggunakan tenaga dalaman dan mempelajari ilmu perubatan tradisional Islam.

Pada subuh 2 Julai itu, Mohamed Amin Mohamed Razali telah mengetuai 29 orang ahli kumpulan Al-Ma’unah termasuk seorang pegawai berpangkat Mejar dari Tentera Darat Malaysia telah melancarkan operasi untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia.

Mereka berpakaian pegawai kanan tentera dan berlagak melakukan pemeriksaan mengejut ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, Perak.

Mereka menipu pegawai kem tersebut dengan alasan ingin mengadakan pemeriksaan mengejut, kononnya ingin membuat pemeriksaan kecemasan ke atas jumlah semua peluru yang disimpan di dalam kem tersebut.

Atas pelbagai tekanan yang diberi oleh Amin dan konco-konconya serta diyakinkan dengan kehadiran tiga kenderaan Pajero menggunakan nombor pendaftaran tentera yang bermula dengan huruf ‘Z’, anggota tentera di dua kem tersebut berjaya diperdayakan di mana mereka berjaya masuk ke dalam kem.

Kumpulan tersebut akhirnya berjaya membawa memuatkan pelbagai jenis senjata ke dalam tiga Pajero berkenaan. Mereka melarikan sejumlah besar senjata api dan imunisasi, iaitu 97 laras raifal M16, dua laras raifal Steyr AUG, empat senjata Mesingan Kegunaan Am (GPMG), enam laras mesingan ringan, lima pelancar bom tangan M203, 182 kelopak M16, lapan laras tambahan mesingan kegunaan am, tiga laras tambahan mesingan ringan, 26 bilah pisau benet, 9,095 butir peluru berkaliber 5.56mm dan 60 butir kartus peluru bom tangan berkaliber 40mm.

Kumpulan ini kemudiannya menyembunyikan diri di dalam hutan Bukit Jenalik, Sauk, negeri Perak. Amin mengagih-agihkan semua senjata yang dilarikan itu kepada orang-orangnya untuk dilatih. Bunyi tembakan yang jarang didengar oleh penduduk kampung hasil daripada tembakan senjata api tersebut telah menarik perhatian polis.

Kumpulan tersebut membuat persediaan untuk menjayakan rancangan mereka, termasuk mengumpul bekalan makanan dan membawanya ke dalam pengkalan mereka di Bukit Jenalik.

Bekalan makanan yang diperolehi itu hanya cukup untuk tiga bulan sahaja. Mereka juga turut memperolehi senjata lain seperti parang dan senjata senapang panah untuk menjayakan misi mereka. Sepasukan polis dihantar mengepung Bukit Jenalik untuk menyekat pergerakan mereka.


Sejumlah anggota pasukan keselamatan dihantar untuk menyusup masuk ke dalam perkhemahan Al-Ma’unah. Walau bagaimanapun, dua anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah Ahmad dan Koperal Detektif Sanghadevan, serta penduduk kampung Jaafar Puteh dan seorang anggota komando ATM, Truper Matthews anak Medan, telah dijadikan tebusan oleh Al-Ma’unah. Dalam radio komunikasi yang digunakan oleh kumpulan itu, mereka memaklumkan bahawa mereka akan menyerang Kuala Lumpur sekiranya tuntutan ke atas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan dalam masa 24 jam tidak dipenuhi.

Jaafar ditangkap ketika beliau sedang meneliti dusun duriannya. Pagi itu mereka berjaya memperdayakan anggota tentera yang berkawal di situ dan melarikan 148 senjata menggunakan tiga unit kenderaan pacuan empat roda jenama Pajero.

Malangnya dalam keadaan negara terkejut dengan insiden ini, Pas dengan selamba dan tanpa perasaan mendakwa ini merupakan sandiwara kerajaan Barisan Nasional untuk memburukkan gerakan Islam dan meraih sokongan politik.

 Mereka mendakwa adalah mustahil untuk sebuah kem dirompak. Mereka juga mempertikaikan bahawa jumlah senjata yang diumumkan dirompak tidak mungkin dapat dimuatkan dalam tiga buah pajero seperti yang didakwa.

Kes ini mengakibatkan anggota Komando Truper Matthews anak Medandua dan Detektif Shangavedan terbunuh.

Namun biar pun dua orang anggota keselamatan terkorban, Pas masih mendakwa insiden Sauk merupakan sandiwara.

Mereka mencabar kerajaan membuktikan tiga buah Pajero tersebut boleh memuatkan semua senjata yang didakwa dirompak.

Kerajaan akhirnya mengadakan lakonan semula bagi memaparkan kejadian sebenar sewaktu perundingan dilakukan antara pihak tentera dengan kumpulan Al-Maunah dan juga demonstrasi bagi membuktikan senjata-senjata tersebut boleh dimuatkan ke dalam Pajero terbabit.

 Demontrasi yang diadakan di Kementerian Pertahanan selepas kejadian di Sauk menunjukkan beratus-ratus senjata berkenaan boleh diangkut ke dalam kenderaan Pajero dalam masa empat minit sahaja.

Namun, ada pemimpin Pas berkata, tindakan kerajaan melakonkan semula kejadian itu bagi membuktikan sejumlah senjata itu boleh diangkut menggunakan empat kenderaan Pajero juga membuktikan kejadian di Sauk itu sememangnya sandiwara.

Di sini sudah jelas, pembangkang tetap sama memainkan rencah mereka apabila timbulnya isu yang mampu menggugatkan keharmonian negara.

Mereka mudah menuduh kerajaan sengaja menimbulkan sandiwara walaupun kejadian tersebut mengorbankan nyawa rakyat sendiri tanpa melakukan sebarang kajian dan penyelidikan menyeluruh tentang isu-isu yang berlaku.

Sudah hampir 13 tahun peristiwa Al-Maunah berlalu, sekali lagi pembangkang membangkitkan isu ‘sandiwara’ selepas insiden tembak-menembak terjadi di Lahad Datu.

Namun kali ini, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua pula menuduh insiden Lahad Datu adalah konspirasi UMNO dan sandiwara kerajaan sahaja.

Nampaknya, mereka tetap dengan ideologi mereka sahaja yang mudah menggunakan perkataan sandiwara sedangkan tiada usaha dilakukan pihak berkenaan bagi membantu menyelesaikan isu-isu keselamatan yang timbul.

Mereka tidak peduli anak siapa, bapa siapa atau suami siapa yang terkorban.

Ini semua tidak penting kepada mereka. Yang penting ialah menghasut rakyat membenci kerajaan dan memilih mereka dalam pilihan raya akan datang. Inikah parti yang akan diundi oleh anggota keselamatan dan rakyat biasa?

Terengganu terima tempias FDI

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu adalah negeri ketiga di Malaysia menerima Pelaburan Langsung Asing (FDI) tertinggi tahun lalu, dengan nilai pelaburan RM13.4 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata tahun lalu, kerajaan negeri menerima pelaburan asing bernilai berbilion ringgit, yang pada masa sama menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Kita dan turut terima tempias daripada projek Iskandar Malaysia dan berada pada kedudukan ketiga terbaik ,” katanya ketika berucap merasmikan Terowong Kemajuan jalan Pulau Kambing ke Bukit Kecil, Kuala Terengganu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Haji Shafii Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan asing keseluruhan bernilai RM25 bilion menerusi industri besi waja di Kemaman tahun ini.

Katanya, projek itu termasuklah pembinaan kompleks besi bernilai RM15 bilion dan kilang besi bernilai RM10 bilion, yang turut menyediakan lebih hampir 5,000 peluang pekerjaan.

"Tahun lalu juga, kita terima pelaburan RM3.8 bilion dari syarikat China untuk membuka kilang besi waja kedua di Kemaman.

"Selain itu kita juga menerima pelaburan bernilai RM6 bilion dari syarikat Korea untuk membina taman bio teknologi di Kertih," katanya

Menteri Besar berkata, dengan kerancakan kemasukan FDI ke negeri ini, ia bukan saja menjana ekonomi negeri, tetapi juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutama golongan muda.

Pas tidak layak ganti Umno

Lima lagi sebab yang digariskan dalam buku bertajuk “Ala Balerr!!!” yang mendedahkan mengapa Pas tidak layak menggantikan Umno ialah:

6. Kunci Balai Raya, Halau Murid Tadika – Politik balas dendam Kerajaan Pas tidak kira siapa, kanak-kanak tadika pun jadi mangsa. Kemenangan Pas di Terengganu menjadi ‘habuan’ buat pemimpin hingga kepada penyokong bawahan iaitu mereka boleh tunjuk kepada Umno dan BN bahawa Pas ada kuasa!. Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) di setiap kampung ‘naik toncang’ dengan mengunci balai raya, tempat kanak-kanak tadika belajar. Pelajar dan guru dihalau.

7. Pas Punca MRSM-YT Ditutup - Bagi menutup kegagalan, menjadi kebiasaan Kerajaan Pas menyalahkan Umno dan BN zalim. Isu penutupan MRSM-YT di Dungun dan Besut sebenarnya berpunca daripada pemimpin Pas. Surat bertarikh 19 Disember 2002 mengarahkan MARA mengosongkan premis milik YT di Dungun dan berpindah ke sebuah lagi cawangan MRSM-YT di Besut selewat-lewatnya 5 Januari 2003.

8. Selama 4 tahun, Pas Hanya Bina Satu Rangka Masjid - Kerajaan Pas hanya ada satu pilihan iaitu menyalahkan Umno apabila Masjid Kampung Gemuruh di Tepoh tidak mampu disiapkan, padahal masjid itu terletak bersebelahan dengan masjid lama dan rumah EXCO Kerajaan Pas, Abu Bakar Abdullah.

9. Beri Tanah Kepada Kroni, Orang Kaya – Zaman Kerajaan Pas, tanah yang diagihkan kepada rakyat yang menyokong Umno dirampas dan tanaman dimusnahkan seperti berlaku kepada 15 penduduk di Kampung Alor Serdang, Setiu dan 30 peneroka di Kampung Kubu, Marang. Bagi penyokong Pas, ‘habuan’ dari sebuah kerajaan yang dijaja sebagai adil dan menurut Islam ialah lot-lot tanah kerajaan termasuk tanah yang dikosongkan untuk tujuan pembinaan sekolah, padang ragut dan kawasan riadah oleh Kerajaan BN sebelum ini.

10. Lantik Anak-Beranak Exco Jadi Pengarah –Najman Kamarudin, anak saudara kepada Exco Pas, Dato’ Harun Taib turut dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di empat anak syarikat TDM yang mana Harun merupakan Pengerusi TDM iaitu; TDM Trading Sdn Bhd, TDM Properties Sdn Bhd, TDM Helling Sdn Bhd dan TD Ijarah Sdn Bhd.

Bersambung......

IQT akan dinaik taraf menjadi kolej

Oleh: Noraini Jusoh

Dengan persetujuan kerajaan negeri, Institut al-Quran Terengganu (IQT) akan dinaik taraf menjadi sebuah institusi bertaraf kolej tidak lama lagi.

Pengarahnya, Haji M. Rozi Bidin berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, IQT sedang merangka beberapa program ke arah mencapai status sebuah kolej.

"Pihak pengurusan IQT dengan kerjasama Bahagian Akademik telah mengadakan perbincangan awal dengan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM ) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menjalin kerjasama bagi merealisasikan hasrat itu.

"Hasil perbincangan tersebut adalah positif di mana kedua-duanya bersetuju untuk membantu IQT dan perbincangan lanjut akan diadakan dari semasa ke semasa,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) Pelajar-Pelajar di Institut Al-Quran Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, dalam masa yang sama pihak pengurusan IQT turut mengadakan perbincangan dengan Universiti Islam Madinah dan Universiti Ummul Qurra, Makkah bagi memastikan pelajar-pelajar IQT dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di kedua-dua universiti itu dan hasil perbincangan juga menunjukkan petanda positif.

Menurut beliau, bagi memastikan perjalanan IQT menjadi lebih kemas dan tersusun pada 10 hingga 13 April nanti, pihak pengurusan IQT akan menagdakan lawatan akademik ke Pusat Studi Quran dan Institut Ilmu al-Quran, Jakarta bertujuan melihat sistem pembelajaran di sana untuk dimanfaatkan oleh IQT.

 

Kemudahan di LA Hot Spring ditingkatkan













Oleh: Mohammad Ishak 

Pusat riadah Kolam Air Panas LA di Hulu Besut bakal berubah wajah sebagai destinasi pelancongan menari di daerah Besut apabila pelbagai projek pembangunan yang sedang dilaksanakan siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Kolam Air Panas LA yang menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara kerana keunikkan air panas yang dikatakan mampu mengubati pelbagai penyakit kulit.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, kerja penambahbaikkan pusat itu sedang giad dilaksanakan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

Katanya, Majlis Daerah Besut (MDB) kini membina lapan unit kedai termasuk penginapan berkelompok berharga RM8 juta untuk kemudahan orang ramai.

Menurutnya, pembinaan kemudahan asas itu sebagai tambahan kepada yang sedia ada termasuk jalan masuk utama, tempat letak kenderaan, chalet dan pembinaan kolam takungan air panas.

Abdullah berkata, pusat pelancongan terbabit sememangnya menjadi pilihan pelancong kerana ramai yang berkunjung untuk mencuba berenang dan selain mandi manda dalam kolam air panas.

Katanya, menarik ramai juga pengunjung yang datang berhasrat untuk mengubat penyakit gatal kulit kerana selepas melakukan berendam beberapa kali ada yang mendakwa penyakit berkenaan akan sembuh.

Manifesto PR umpama `gula-gula’

Oleh: Suriati Ali 

 Pergerakan Pemuda Umno Terengganu menyifatkan manifesto yang diumumkan Pakatan Rakyat baru-baru ini tidak masuk akal umpama `gula-gula’ untuk meraih undi rakyat

 Pengerusinya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata ini kerana sehingga sekarang pembangkang masih tidak melaksanakan janji untuk memberi pelbagai faedah dan manfaat kepada rakyat di negeri-negeri yang mereka kuasai selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

 “Janji pembangkang dalam manifesto itu, memberikan pendidikan percuma bermula dari prasekolah sehingga ke menara gading jika menguasai Putrajaya adalah bersifat tidak realistik.


“Jika ikhlas ingin mebantu rakyat, tidak payah tunggu memberikan pendidikan percuma sekiranya menguasai Putrajaya, buat dulu di negeri yang ditadbir mereka bagi membuktikan kesungguhan dan kemampuan, terutama di Selangor dan Kedah,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, banyak janji yang dibuat kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum lepas tidak ditunaikan dan sekarang rakyat mula bangkit menuntut hak mereka di mahkamah.

 Manifesto bertema "Manifesto Rakyat Pakatan Harapan Rakyat" yang dibentang pakatan pembangkang baru-baru ini antara lain berjanji untuk menghentikan serta-merta operasi kilang nadir bumi Lynas dan membatalkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Encik Saiful turut meminta rakyat negeri tersebut agar tidak terpedaya dengan janji manis atau janji `gula-gula’ pembangkang dalam manifesto itu yang pastinya tidak akan ditunaikan selepas memerintah.

"Janji ini bukanlah janji baru tapi janji sama yang muncul setiap kali menjelang pilihan raya umum," katanya

 

29 March 2013

JKR kemuka empat jenis struktur bumbung baru SSMZA

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri hanya menunggu arahan kerajaan negeri untuk membentangkan cadangan pemilihan bumbung baru yang sesuai dan lebih selamat bagi menggantikan bumbung stadium yang runtuh dan terpaksa dirobohkan kerana strukturnya yang memang tidak lagi selamat untuk digunakan.

Pengarahnya, Haji Shafii Mohamad, berkata pihaknya sudah menyediakan contoh empat jenis struktur bumbung baru yang bakal menggantikan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, yang sebahagiannya runtuh, hampir empat tahun lalu.

“Kita sudah bersedia untuk membentangkan kepada kerajaan negeri sebelum kerja pemasangan bumbung baru boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Terowong Kemajuan Jalan Pulau Kambing ke Bukit Kecil yang dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said semalam.

Katanya, setakat ini empat jenis bumbung yang dicadangkan mengambil inspirasi dan contoh daripada beberapa stadium di dalam dan luar negara, termasuk Stadium Putra Bukit Jalil dan Litar Antarabangsa Sepang.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan bumbung baru SSMZA dijangka selesai awal 2015, sekiranya kerajaan negeri bersetuju dan meluluskan projek berkenaan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Dalam pada itu katanya, kerja pembaikan dan pemasangan peralatan baru di stadium itu hanya membabitkan pemasangan bumbung, manakala struktur asas stadium itu disahkan kukuh serta selamat untuk digunakan.

"Asas stadium ini disahkan selamat oleh Unit Pakar dari ibu pejabat JKR Kuala Lumpur dan runtuhan bumbung stadium tidak memberi kesan atau menjejaskan struktur asas bangunan stadium," katanya.

 Beliau berkata, JKR juga akan membaiki beberapa kemudahan asas lain yang terjejas bagi membolehkan stadium itu digunakan, biarpun banyak fasiliti di dalam stadium itu yang rosak termasuk akibat kecurian.

Mengulas perkembangan kerja pembersihan sisa bumbung stadium yang runtuh, Haji Shafii berkata, kerja berkenaan sedang dijalankan oleh kontraktor sama sebelum ini.

 "Setakat ini kerja menurunkan bumbung di tempat duduk sebelah barat sudah 70 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.

Stadium yang menelan belanja RM292 juta itu telah runtuh (2 Jun 2009) sebahagian bumbung di tempat duduk bahagian timur selepas setahun disiapkan, dipercayai akibat kerangka penyokongnya tidak kukuh.

Dalam satu lagi kejadian pada 20 Februari lalu, lapan pekerja yang terbabit dalam kerja menurunkan kerangka bumbung lama di SSMZA cedera selepas bumbung itu runtuh, dipercayai akibat kecuaian pekerja melakukan kerja berkenaan.
 

DUN Kuala Berang tetap milik UMNO/BN

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Walaupun berhadapan serangan bertali arus daripada pembangkang, Puteri UMNO DUN Kuala Berang berkeyakinan tinggi bahawa DUN berkenaan akan terus menjadi milik Barisan Nasiona (BN)l pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13).

Pergerakan itu menyifatkan habar angin menyatakan pembangkang akan merampas kembali DUN tersebut daripada BN dengan apa jua cara, tidak berasas sama sekali.

 Pengerusi Penyelaras Puteri UMNO Dun Kuala Berang ,Puan Nor Asiah Nohd Noor berkata, percaturan politik pembangkang hanyalah bertunjang fitnah dan pembohongan yang merupakan modal yang dipergunakan oleh mereka untuk mendapatkan sokongan rakyat menjelang PRU13.

“Satu demi satu pembohongan oleh mereka terbongkar dan rakyat menyedari akan gelombang fitnah yang di pelopori oleh pihak pembangkang .

"Oleh sebab itu rakyat tidak akan percaya dengan apa yang di lakukan oleh mereka lagi kerana semuanya sudah terbongkar.

“Hasrat pembangkang untuk merampas Dun Kuala Berang hanyalah gimik politik mereka, mereka tidak ada sokongan di sini dan sebab itulah mereka membuat serangan fitnah dan cerita bohong untuk memberi tanggapan buruk masyarakat kepada kerajaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata sedemikian berdasarkan ceramah yang diadakan pembangkang tidak mendapat sokongan kerana yang hadir itu lebih ramai orang luar daripada orang tempatan.

Menurutnya Puteri UMNO Dun Kuala Berang sudah lama menjalankan gerak kerja bukan sahaja membabitkan sistem maklumat tetapi turut memberi penerangan secara berterusan bagi menangkis segala tohmahan dan fitnah yang ditaburkan oleh pihak pembangkang.