Halaman

10 April 2013

Insentif untuk pasangan muda bukti BN peka

Oleh: Aida Abd Rahman

Wang bantuan RM1,000 kepada pasangan muda yang pertama kali berkahwin dan RM500 kepada pasangan menimang cahaya mata pertama yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat negeri ini mencerminkan keprihatinan pemimpin untuk meringankan bebanan golongan yang kurang berkemampuan. 

Seorang remaja, Norhamizah Jusoh, 22, dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, berkata insentif yang tidak disangka itu, mampu memberi galakan kepada pasangan muda supaya menamatkan zaman solo di jalan yang diredhai Allah.

“Sudahlah pelbagai bantuan lain disediakan kerajaan negeri dan Pusat sebelum ini, sperti dana raya dan juga Bantuan Rakyat 1Malaysia, insentif tambahan khas kepada pasangan baru berkahwin itu membuktikan kerajaan membela nasib rakyat dari segenap aspek.

 “Inilah kerajaan yang benar-benar menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dan bukan sekadar menguar-uarkan dalam manifesto tetapi gagal melaksanakannnya sebaik mendapat mandat mentadbir seperti yang sudah dilakukan pembangkang,” katanya.

Seorang peniaga, Nor Fazlina Zakaria, 30, pula melihat tawaran kerajaan itu amat rasional pada masanya memandangkan taraf sosio ekonomi yang semakin meningkat dan memerlukan perbelanjaan lebih tinggi khususnya untuk pembiayaan perubatan dan pelajaran.

“Bantuan sedemikian dapat menampung perbelanjaan dan meringankan bebanan golongan yang berpendapatan rendah dan keluarga yang susah.

“Malah, saya juga berharap ia mampu menjadi insentif tahunan untuk rakyat supaya manfaatnya  dapat dirasai secara berterusan di bawah kerajaan yang peka dan bertanggungjawab ini,” katanya.

Insentif itu antara kandungan manifesto tambahan BN Terengganu yang akan diumumkan Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


Satu undi jadi penentu

Oleh; Esah Abdullah

“Hanya tuan dan puan yang dapat menentukan Barisan Nasional (BN) terus menerajui negara pada masa akan datang,” kata Haji Khazan Che Mat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit di majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pergerakan Pemuda dan Puteri DUN di Dataran Bestari Batu Rakit.

Beliau yang juga Ahli Exco Kerajaan negeri mengingatkan semua jentera parti perlu bekerja keras bagi memastikan kesinambungan agenda kerajaan membela rakyat mendapat mandat besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Katanya, buatlah pilihan yang tepat demi memastikan masa depan generasi muda terus gemilang bersama sebuah kerajaan yang stabil dan telus.

 “Kita mengharapkan sebuah kerajaan yang kukuh dari segi ekonomi dan keamanan sentiasa terjamin dan hanya BN yang mampu menyediakan semua itu,” katanya.

Katanya, letakkan kepentingan parti melebihi kepentingan calon, kerana calon boleh datang dan pergi tetapi kehilangan kuasa BN mengakibatkan kehilangan kuasa orang Melayu.

 “Satu undi menjadi penentu jatuh bangun sebuah negara, jadi jangan kerana guruh dilangit air ditempayan dicurahkan, jangan kerana janji manis pembangkang kita nafikan nikmat yang sedang melingkari kehidupan hari ini,” katanya.

 

Manifesto BN diterima dan disambut baik

 Oleh: Suriati Ali 

 Umum mengetahui, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah pun melancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU13), bertemakan ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’,.

 Jelas segala kandungan yang diumumkan itu diterima dan disambut baik segenap lapisan masyarakat kerana yakin apa yang dijanjikan itu akan dikota dan semestinya terlaksana.

 Pada tahun 1995, manifesto BN berbunyi Berwawasan, Adil dan Efisien, 1999 pula berbunyi Malaysia Bebas, Sepadu dan Maju, 2004 (Cemerlang, Gemilang dan Terbilang) dan 2008 iaitu pada PRU12 bertemakan Selamat, Aman dan Makmur. Kesemuanya dirangka sebaik mungkin bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Bagaimanapun, manifesto PRU13 ini diangkat sebagai terbaik dalam sejarah oleh sesetengah pemerhati politik kerana sifatnya yang lengkap, padat dan paling penting, berasaskan senario kehidupan sebenar rakyat serta perkembangan dunia.

 Ketua Pemuda Perhubungan Umno Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata manifesto BN kali ini dikatakan berpijak di bumi nyata atau realistik. Katanya, pada masa sama memberi keyakinan dan keazaman kepada rakyat untuk bersama-sama berdiri di belakang BN dalam usaha kita membina sebuah negara yang lebih baik.

“Tema ini juga dilihat sebagai gambaran keikhlasan kepimpinan, bersifat yakin tetapi merendah diri, tekad berusaha namun tetap berserah kepadaNya. “Ini kerana, realitinya dunia telah berubah bukan sahaja daripada segi landskap tetapi juga dari segi politik.

 “Segalanya bukan lagi rahsia dan semuanya boleh didapati di hujung jari. Malah, jatuh bangun sesebuah negara kini tidak lagi bergantung kepada rakyat dan kerajaannya semata-mata tetapi kedaulatan negara boleh dicerobohi tanpa perlu pun mengangkat senjata,” katanya. 

Tanpa meminggirkan sesiapa dan mana-mana aspek kehidupan, manifesto BN dijangka mampu mengukuhkan lagi negara ini dari segi ekonomi, sosial dan politik.

 Apa yang BN perlukan kini hanyalah sokongan padu rakyat untuk menjadikan ‘sebuah negara yang lebih baik’, satu realiti. Melihat dari sambutan terhadap manifesto ini, kita yakin bahawa sokongan padu, bukanlah satu masalah besar bagi BN.

 

Pengumuman calon BN dijangka hari ini


Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka mengumumkan senarai calon Barisan Nasional (BN) dalam satu taklimat tertutup yang dinamakan 'Perjumpaan Bersama YAB Pengerusi BN' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Menurut sumber, pengumuman senarai calon itu bakal memecahkan tradisi BN yang selama ini menyaksikan senarai calon diumumkan dua hari sebelum, atau dua hari selepas tarikh penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, taklimat itu akan dihadiri oleh kira-kira 2,000 pemimpin terdiri daripada ketua, timbalan ketua, naib ketua dan tiga ketua sayap bahagian komponen BN di seluruh negara serta para penyandang kerusi Parlimen parti itu.

"Dalam perjumpaan Najib dengan kumpulan G6 ini, beliau dijangka turut mengumumkan senarai calon BN kerana melalui pengumuman awal ini, barisan pimpinan boleh melihat reaksi calon terpilih, calon diketepikan serta reaksi ketua-ketua bahagian semua komponen.

"Ini bagi memperkemaskan jentera parti serta memuaskan hati pimpinan serta ahli di peringkat akar umbi yang tertunggu-tunggu senarai calon yang diluluskan Najib selaku Pengerusi BN," katanya.

Dato’ Seri Mohd Najib baru-baru ini menjelaskan pengumuman calon BN pada kali ini akan dibuat awal daripada biasa bagi mendapatkan maklum balas pemimpin terlibat mengenai pencalonan mereka.

Selain itu, kata beliau, pengumuman awal berkenaan juga membolehkan pimpinan BN melihat reaksi para penyokong di kawasan Parlimen masing-masing, seterusnya memberi ruang pimpinan BN membuat perubahan jika calon terpilih tidak diterima di sesuatu kawasan.


Dato' Seri Dr Abdullah Md Zin reda..



Oleh: Mohammad Ishak

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Katanya, sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan beliau reda dan sedia menerima apa sahaja dan akan patuth kepada parti. Abdullah bekas Ahli Parlimen Besut selama dua penggal pernah menjawat jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kawasan Parlimen Besut mempunyai 71,969 pengundi adalah antara yang paling selamat kepada BN Terengganu berbanding kawasan lain.

Katanya, selepas dua penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen beliau gembira kerana daerah Besut terus maju dan membangun seiring dengan tempat lain di negeri ini.

Abdullah yang juga bendahari UMNO Bahagian Besut berkata, kepemimpinan parti di bahagian itu tidak menghadapi masalah untuk menentukan bakal calon kerana semua mereka sedia memberi kerjasama dan sokongan kepada sesiapa sahaja yang terpilih.

Difahamkan , desas desus mengenai beliau yang tidak dicalonkan semula bagi kerusi Parlimen Besut tersebar luas apabila Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua UMNO bahagian itu, bakal dicalonkan untuk kerusi Parlimen Besut pada PRU13.

Kuala Nerus membangun di bawah BN

Oleh: Noraini Jusoh

Salah satu kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang akan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam masa terdekat diharap ada kaitan dengan daerah baru Kuala Nerus dan membawa khabar gembira kepada penduduk daerah ini, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Menurut beliau, setakat ini usaha untuk merealisasikan kewujudan daerah baru itu sedang dalam pelaksanaan dan kerja-kerja infrastruktur dijangka siap pada tahun ini.

"Kerja-kerja perparitan telah dibuat dan dijangka siap bulan Jun nanti manakala kerja-kerja tapak dalam perbincangan dengan pihak yang berkaitan.

"Pada tahun 2014, bangunan-bangunan pejabat akan mula dibina dan jabatan-jabatan kerajaan akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun,” ujarnya.

Belia berkata demikian pada sidang media Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Pejabat Parlimen Kuala Nerus, semalam.

Tambah beliau, apabila daerah baru Kuala Nerus dibuka secara rasmi, pada peringkat awal mana-mana anak tempatan yang bekerja di luar dan ingin pulang berkhidmat di Kuala Nerus akan dipertimbangkan.

"Daerah baru ini juga akan membuka banyak peluang kepada mereka yang belum bekerja dan sedang mencari pekerjaan,” katanya.

Katanya, Kuala Nerus mempunyai banyak tarikan antaranya Pulau Duyong, Bukit Jong, Jeram Tokong serta Keropok Lekor Bukit Tok Beng.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) katanya, beliau yakin Kerajaan BN bakal menawan kembali satu-satunya Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Tunggal yang kini di bawah pembangkang.

"Saya yakin, dengan segala program dan pembangunan yang kerajaan buat di kawasan tersebut, BN boleh menang di Bukit Tunggal dan kembali menjadi milik Kerajaan BN dan Umno selepas PRU13 nanti,” katanya.

 

09 April 2013

Terengganu agih RM7.5 juta kepada mangsa banjir

Oleh: Kamarudin Mat Akib 



Kerajaan Terengganu membelanjakan kira-kira RM7.5 juta bagi memberi bantuan sagu hati kepada semua mangsa banjir di seluruh negeri ini,

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata semua mangsa banjir di negeri ini diberi sagu hati RM500 bagi setiap keluarga bagi meringankan bebanan mereka.

Sebelum ini, setiap keluarga sudah diberikan wang tunai RM500 sumbangan daripada Kerajaan Pusat dan diagihkan kepada semua mangsa banjir selepas musim bah baru-baru ini.

Ini bermakna setiap keluarga yang terlibat dengan banjir di negeri ini menerima wang sagu hati berjumlah RM1,000.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kira=kira 15,000 keluarga di seluruh negeri ini terlibat dengan banjir dengan daerah Kemaman menjadi bilangan mangsa banjir yang paling ramai.

“Sehingga ini kita sudah beri wang sagu hati kepada hampir semua mangsa banjir. Hanya sebilangan kecil mangsa banjir di daerah Kemaman saja yang belum terima bantuan,” katanya.



 Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampanian Bantuan Kepada Mangsa Banjir Daerah Kemaman (Fasa 1 & 2 DUN Kijal) di Dewan Dato’ Seri Amar, Cukai, petang ini.

 Hadir sama isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Besar berkata, mangsa banjir yang belum menerima bantuan itu akan mendapat habuan mereka dalam tempoh terdekat ini.









INGAT DOK LAGI: HUKUM HUDUD 0.0001 DARI HUKUM ISLAM. DALAM AL-QURAN TAK SEBUT NEGARA ISLAM- KATA PRESIDEN PAS.

Oleh: Langtelipot 

Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata hukum hudud bukan sesuatu yang menjadi keutamaan walaupun ia akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara, lapor Akhbar Sinar pada 9 Mei 2012.

Haji Hadi berkata demikian dalam ceramah Pra Bubar Parlimen, di Kuala Berang, Terengganu. Haji Hadi juga pernah berkata:

Hukum Hudud adalah merupakan sebahagian kecil dari hukum syariah. Ia satu aspek 0.0001 daripada hukum Islam. 

Haji Hadi berkata demikian sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu dalam satu dialog bersama kakitangan Sekolah Menengah Agama Marang, pada 6 Mac 2000 sebagaimana laporan akhbar pada 7 Mac 2000.

Dalam Al Quran tak sebut Negara Islam: Menurut Dato’ Seri Abdul Hadi, parti itu akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama 'negara Islam'.

Katanya, “Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.

“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya ketika ditanya dalam satu sidang media selepas menyampaikan ucap tama dalam muktamarnya ke-57, pada Jun 2011 lalu.

Katanya lagi, tema negara berkebajikan – yang turut terdapat dalam agama lain – juga merupakan satu persamaan yang perlu didahulukan.


 

PAS-PKR DAH MULA BERGADUH REBUT KERUSI: PEMBANGKANG TIDAK YAKIN DAPAT PERINTAH TERENGGANU DALAM PRU 13:

Oleh: Langtelipot 

Bahagian Kedua: 

Pembangkang pada dasarnya tidak yakin akan memerintah Terengganu dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13.

Walau bagaimanapun mereka tetap bertanding dalam pilihan raya untuk tujuan merebut beberapa kerusi sahaja Terengganu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Ketua Setiausaha Politik di Pejabat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Abd Rahman Yusof dalam berkata, paling banyak pembangkang hanya mampu mendapat 8 kerusi sahaja di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

Beliau yang disebut bakal menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Kemaman bagaimana pun berkata, pembangkang tetap bertanding walaupun tidak mampu menubuhkan kerajaan di Terengganu.

Pembahagian kerusi bagi calon-calon pembangkang di Terengganu masih belum selesai kerana masih belum ada persefahaman di antara parti PAS dan PKR Terengganu. Beliau masih meneliti perkembangan politik di Terengganu, mengenai sokongan rakyat.

Baru-baru ini beliau yang juga selaku Timbalan Pengerusi PKR Terengganu, menegaskan pihaknya tetap akan mempertahankan hak Dun Bandar sebagai kerusi milik PKR dan tidak akan sama sekali menyerahkan kepada Pas, sekalipun Pas mendakwa kawasan itu adalah asalnya milik Pas.

Katanya, PKR tidak bersedia untuk melepaskan Dun Bandar itu sekalipun Pas akan menggantikan dengan kerusi di kawasan lain. Beliau merujuk kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman yang mengaitkan jentera akar umbi mahukan calon Pas bertanding di Dun Bandar sebagai kerusi milik asal Pas.

Wakil Pas pernah bertanding dan menang di Dun ini pada tahun 1999. Abd Rahman menyifatkan kenyataan Ariffin Deraman (Pengarah Pilihanraya Pas Terengganu) itu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati lawan.





Debat, pidato lahir pelajar berani berhujah

Oleh; Esah Abdullah

Membina keyakinan diri, meluaskan pengetahuan serta memantapkan kemahiran berkomunikasi antara objektif utama Pertandingan Debat dan PIdato Politeknik Malaysia yang berlangsung selama empat hari di   Terengganu.

Pertandingan julung kali diadakan dan Terengganu terpilih menjadi tuan rumah disertai 24 buah politeknik seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengarah Politeknik Kuala Terengganu, Puan Hajah Radiah Che Su berkata, pertandingan debat dan pidato ini mampu melahirkan golongan pelajar yang berani berhujah serta menguasai elemen kemahiran berkomunikasi.

“Program sebegini juga mampu memupuk semangat patriotisme terutama berkaitan perpaduan dan intergrasi nasional serta mempertahankan perpaduan antara kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Perasmian Pertandingan Debat Perdana dan Pidato Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Hotel Permai Kuala Terengganu semalam.

Selain itu program ini mampu menjana daya saing secara positif dan mematangkan pemikiran di kalangan peserta yang terlibat.

 “Saya harap agenda perkongsian bijak ini akan berterusan dari semasa ke semasa dalam usaha memelihara dan memperkukuhkan perpaduan kaum sentiasa dikongsi bersama dengan agensi lain,” katanya.

Dalam pada itu peserta mewakili Politeknik Mukah Sarawak muncul Johan dan Politeknik Sandakan Sabah mendapat naib Johan dalam debat manakala Adik Rohani Suardi daripada Politeknik Premier Engku Omar johan pidato.