Halaman

10 April 2013

Pengumuman calon BN dijangka hari ini


Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka mengumumkan senarai calon Barisan Nasional (BN) dalam satu taklimat tertutup yang dinamakan 'Perjumpaan Bersama YAB Pengerusi BN' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Menurut sumber, pengumuman senarai calon itu bakal memecahkan tradisi BN yang selama ini menyaksikan senarai calon diumumkan dua hari sebelum, atau dua hari selepas tarikh penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, taklimat itu akan dihadiri oleh kira-kira 2,000 pemimpin terdiri daripada ketua, timbalan ketua, naib ketua dan tiga ketua sayap bahagian komponen BN di seluruh negara serta para penyandang kerusi Parlimen parti itu.

"Dalam perjumpaan Najib dengan kumpulan G6 ini, beliau dijangka turut mengumumkan senarai calon BN kerana melalui pengumuman awal ini, barisan pimpinan boleh melihat reaksi calon terpilih, calon diketepikan serta reaksi ketua-ketua bahagian semua komponen.

"Ini bagi memperkemaskan jentera parti serta memuaskan hati pimpinan serta ahli di peringkat akar umbi yang tertunggu-tunggu senarai calon yang diluluskan Najib selaku Pengerusi BN," katanya.

Dato’ Seri Mohd Najib baru-baru ini menjelaskan pengumuman calon BN pada kali ini akan dibuat awal daripada biasa bagi mendapatkan maklum balas pemimpin terlibat mengenai pencalonan mereka.

Selain itu, kata beliau, pengumuman awal berkenaan juga membolehkan pimpinan BN melihat reaksi para penyokong di kawasan Parlimen masing-masing, seterusnya memberi ruang pimpinan BN membuat perubahan jika calon terpilih tidak diterima di sesuatu kawasan.


Dato' Seri Dr Abdullah Md Zin reda..



Oleh: Mohammad Ishak

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Katanya, sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan beliau reda dan sedia menerima apa sahaja dan akan patuth kepada parti. Abdullah bekas Ahli Parlimen Besut selama dua penggal pernah menjawat jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kawasan Parlimen Besut mempunyai 71,969 pengundi adalah antara yang paling selamat kepada BN Terengganu berbanding kawasan lain.

Katanya, selepas dua penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen beliau gembira kerana daerah Besut terus maju dan membangun seiring dengan tempat lain di negeri ini.

Abdullah yang juga bendahari UMNO Bahagian Besut berkata, kepemimpinan parti di bahagian itu tidak menghadapi masalah untuk menentukan bakal calon kerana semua mereka sedia memberi kerjasama dan sokongan kepada sesiapa sahaja yang terpilih.

Difahamkan , desas desus mengenai beliau yang tidak dicalonkan semula bagi kerusi Parlimen Besut tersebar luas apabila Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua UMNO bahagian itu, bakal dicalonkan untuk kerusi Parlimen Besut pada PRU13.

Kuala Nerus membangun di bawah BN

Oleh: Noraini Jusoh

Salah satu kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang akan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam masa terdekat diharap ada kaitan dengan daerah baru Kuala Nerus dan membawa khabar gembira kepada penduduk daerah ini, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Menurut beliau, setakat ini usaha untuk merealisasikan kewujudan daerah baru itu sedang dalam pelaksanaan dan kerja-kerja infrastruktur dijangka siap pada tahun ini.

"Kerja-kerja perparitan telah dibuat dan dijangka siap bulan Jun nanti manakala kerja-kerja tapak dalam perbincangan dengan pihak yang berkaitan.

"Pada tahun 2014, bangunan-bangunan pejabat akan mula dibina dan jabatan-jabatan kerajaan akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun,” ujarnya.

Belia berkata demikian pada sidang media Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Pejabat Parlimen Kuala Nerus, semalam.

Tambah beliau, apabila daerah baru Kuala Nerus dibuka secara rasmi, pada peringkat awal mana-mana anak tempatan yang bekerja di luar dan ingin pulang berkhidmat di Kuala Nerus akan dipertimbangkan.

"Daerah baru ini juga akan membuka banyak peluang kepada mereka yang belum bekerja dan sedang mencari pekerjaan,” katanya.

Katanya, Kuala Nerus mempunyai banyak tarikan antaranya Pulau Duyong, Bukit Jong, Jeram Tokong serta Keropok Lekor Bukit Tok Beng.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) katanya, beliau yakin Kerajaan BN bakal menawan kembali satu-satunya Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Tunggal yang kini di bawah pembangkang.

"Saya yakin, dengan segala program dan pembangunan yang kerajaan buat di kawasan tersebut, BN boleh menang di Bukit Tunggal dan kembali menjadi milik Kerajaan BN dan Umno selepas PRU13 nanti,” katanya.

 

09 April 2013

Terengganu agih RM7.5 juta kepada mangsa banjir

Oleh: Kamarudin Mat Akib 



Kerajaan Terengganu membelanjakan kira-kira RM7.5 juta bagi memberi bantuan sagu hati kepada semua mangsa banjir di seluruh negeri ini,

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata semua mangsa banjir di negeri ini diberi sagu hati RM500 bagi setiap keluarga bagi meringankan bebanan mereka.

Sebelum ini, setiap keluarga sudah diberikan wang tunai RM500 sumbangan daripada Kerajaan Pusat dan diagihkan kepada semua mangsa banjir selepas musim bah baru-baru ini.

Ini bermakna setiap keluarga yang terlibat dengan banjir di negeri ini menerima wang sagu hati berjumlah RM1,000.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kira=kira 15,000 keluarga di seluruh negeri ini terlibat dengan banjir dengan daerah Kemaman menjadi bilangan mangsa banjir yang paling ramai.

“Sehingga ini kita sudah beri wang sagu hati kepada hampir semua mangsa banjir. Hanya sebilangan kecil mangsa banjir di daerah Kemaman saja yang belum terima bantuan,” katanya.



 Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampanian Bantuan Kepada Mangsa Banjir Daerah Kemaman (Fasa 1 & 2 DUN Kijal) di Dewan Dato’ Seri Amar, Cukai, petang ini.

 Hadir sama isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Besar berkata, mangsa banjir yang belum menerima bantuan itu akan mendapat habuan mereka dalam tempoh terdekat ini.









INGAT DOK LAGI: HUKUM HUDUD 0.0001 DARI HUKUM ISLAM. DALAM AL-QURAN TAK SEBUT NEGARA ISLAM- KATA PRESIDEN PAS.

Oleh: Langtelipot 

Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata hukum hudud bukan sesuatu yang menjadi keutamaan walaupun ia akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara, lapor Akhbar Sinar pada 9 Mei 2012.

Haji Hadi berkata demikian dalam ceramah Pra Bubar Parlimen, di Kuala Berang, Terengganu. Haji Hadi juga pernah berkata:

Hukum Hudud adalah merupakan sebahagian kecil dari hukum syariah. Ia satu aspek 0.0001 daripada hukum Islam. 

Haji Hadi berkata demikian sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu dalam satu dialog bersama kakitangan Sekolah Menengah Agama Marang, pada 6 Mac 2000 sebagaimana laporan akhbar pada 7 Mac 2000.

Dalam Al Quran tak sebut Negara Islam: Menurut Dato’ Seri Abdul Hadi, parti itu akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama 'negara Islam'.

Katanya, “Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.

“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya ketika ditanya dalam satu sidang media selepas menyampaikan ucap tama dalam muktamarnya ke-57, pada Jun 2011 lalu.

Katanya lagi, tema negara berkebajikan – yang turut terdapat dalam agama lain – juga merupakan satu persamaan yang perlu didahulukan.


 

PAS-PKR DAH MULA BERGADUH REBUT KERUSI: PEMBANGKANG TIDAK YAKIN DAPAT PERINTAH TERENGGANU DALAM PRU 13:

Oleh: Langtelipot 

Bahagian Kedua: 

Pembangkang pada dasarnya tidak yakin akan memerintah Terengganu dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13.

Walau bagaimanapun mereka tetap bertanding dalam pilihan raya untuk tujuan merebut beberapa kerusi sahaja Terengganu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Ketua Setiausaha Politik di Pejabat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Abd Rahman Yusof dalam berkata, paling banyak pembangkang hanya mampu mendapat 8 kerusi sahaja di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

Beliau yang disebut bakal menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Kemaman bagaimana pun berkata, pembangkang tetap bertanding walaupun tidak mampu menubuhkan kerajaan di Terengganu.

Pembahagian kerusi bagi calon-calon pembangkang di Terengganu masih belum selesai kerana masih belum ada persefahaman di antara parti PAS dan PKR Terengganu. Beliau masih meneliti perkembangan politik di Terengganu, mengenai sokongan rakyat.

Baru-baru ini beliau yang juga selaku Timbalan Pengerusi PKR Terengganu, menegaskan pihaknya tetap akan mempertahankan hak Dun Bandar sebagai kerusi milik PKR dan tidak akan sama sekali menyerahkan kepada Pas, sekalipun Pas mendakwa kawasan itu adalah asalnya milik Pas.

Katanya, PKR tidak bersedia untuk melepaskan Dun Bandar itu sekalipun Pas akan menggantikan dengan kerusi di kawasan lain. Beliau merujuk kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman yang mengaitkan jentera akar umbi mahukan calon Pas bertanding di Dun Bandar sebagai kerusi milik asal Pas.

Wakil Pas pernah bertanding dan menang di Dun ini pada tahun 1999. Abd Rahman menyifatkan kenyataan Ariffin Deraman (Pengarah Pilihanraya Pas Terengganu) itu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati lawan.





Debat, pidato lahir pelajar berani berhujah

Oleh; Esah Abdullah

Membina keyakinan diri, meluaskan pengetahuan serta memantapkan kemahiran berkomunikasi antara objektif utama Pertandingan Debat dan PIdato Politeknik Malaysia yang berlangsung selama empat hari di   Terengganu.

Pertandingan julung kali diadakan dan Terengganu terpilih menjadi tuan rumah disertai 24 buah politeknik seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengarah Politeknik Kuala Terengganu, Puan Hajah Radiah Che Su berkata, pertandingan debat dan pidato ini mampu melahirkan golongan pelajar yang berani berhujah serta menguasai elemen kemahiran berkomunikasi.

“Program sebegini juga mampu memupuk semangat patriotisme terutama berkaitan perpaduan dan intergrasi nasional serta mempertahankan perpaduan antara kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Perasmian Pertandingan Debat Perdana dan Pidato Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Hotel Permai Kuala Terengganu semalam.

Selain itu program ini mampu menjana daya saing secara positif dan mematangkan pemikiran di kalangan peserta yang terlibat.

 “Saya harap agenda perkongsian bijak ini akan berterusan dari semasa ke semasa dalam usaha memelihara dan memperkukuhkan perpaduan kaum sentiasa dikongsi bersama dengan agensi lain,” katanya.

Dalam pada itu peserta mewakili Politeknik Mukah Sarawak muncul Johan dan Politeknik Sandakan Sabah mendapat naib Johan dalam debat manakala Adik Rohani Suardi daripada Politeknik Premier Engku Omar johan pidato.

 

Sindrom tuduhan tidak berasas Tuan Guru

Oleh: Sutera Biru

Sindrom suka membuat tuduhan tidak berasas terus melanda pemimpin utama Pas. Mursyidul Amnya Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa, Umno membina masjid bukan kerana Islam sebaliknya mahu menjadi kontraktor.

Tuduhan celupar Menteri Besar Kelantan itu turut disusuli dengan kenyataan bahawa program-program berkaitan Islam yang dilakukan Umno juga tidak mendapat pahala kerana parti tersebut menolak Islam.

"Di Kelantan ini banyak mana projek-projek Kerajaan Pusat buat, sepatah pun tidak memberitahu harga sebenar. Tentu ada benda yang tersembunyi, orang Melayu panggil 'sambil menyelam sambil minum air'. Umno pula 'sambil menyelam sambil bekwoh (kenduri)'. Bukan setakat minum sahaja, makan besar,"-kenyataan angkuh beliau sebaik melancarkan Projek Pawah Rusa di Kompleks Perkhidmatan Veterinar, di Kota Bharu, semalam.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya dalam ceramah di Kampung Jambu dekat sini, 3 April lalu, yang mendakwa sembahyang orang Umno idak mendapat pahala kerana mendakwa parti itu menolak dasar Islam

Dakwaan Nik Abdul Aziz itu dibidas banyak pihak terutama golongan ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Pengerusi Biro Agama Nadi Rakyat Malaysia, Rujhan Abd. Rahman dan Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz.

Mengenai dakwaannya itu, Nik Abdul Aziz tetap mempertahankan kenyataan itu dengan menegaskan, orang Umno bermakna orang yang menolak Islam dan sembahyang mereka sememangnya tidak akan memperoleh sebarang ganjaran pahala.

Beliau berkata, orang Melayu sepatutnya menerima Islam dengan sepenuhnya dan menolak Islam bermakna mereka turut menolak Allah s.w.t.

Penyakit yang melanda Tuan Guru Nik Aziz yang sinonim gemar mengeluarkan kenyataan yang menyesatkan pemikiran umat sejak dulu lagi, tidak pernah menghalang usaha Kerajaan Pusat dan Kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional meneruskan agenda membangunkan martabat dan syiar Islam.

 Di Terengganu umpamanya, sudah 13 masjid dibina sejak 2008 hingga Mac 2013 sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin dan usaha memakmurkan umat Islam di negeri Darul Iman.

Pertambahan masjid saban tahun dalam pelbagai reka bentuk dan ciri yang menepati konsep sebagai rumah ibadat itu melambangkan pemerintah yang bertanggungjawab dan bukan sekadar berjanji tetapi terus mengembangkan bidang kerohanian dan agama Islam di segenap pelusuk negeri.

Bukan sahaja masjid yang dibina baru, sebanyak 23 masjid turut dibina semula di kawasan yang sama termasuk Masjid Gong tok Nasek, Kubang Ikan, Kubang Parit, Bukit Besar dan Darat Batu Rakit (Kuala Terengganu).

Manakala di Kemaman masjid yang dibina semula atas kawasan yang sama adalah Masjid Perasing Jaya, Kijal, Kemasik dan Batu 14, selain Masjid Paya Pelandan, Pulau Serai, Kuala Jengal dan Durian Mentangau (Dungun). Di Marang, masjid yang dibina semula di tapak sama, termasuk Masjid Gong Bayor, Lubuk Kawah dan Pulau Perhentian (Besut), serta Pengkalan Berangan, Sentul Patah, Surau Haji Yaakub dan Kelulut (Marang).

Selain menjadi lambang kepada syiar Islam, masjid juga sebagai pusat bagi mengembangkan ajaran-ajaran Islam, pusat perhimpunan yang menyatupadukan umat Islam kerana di rumah Allah itu ibadat dapat dilaksanakan dengan lebih khusyuk dan tawaduk, dapat mengerjakan sembahyang berjemaah, memperolehi ilmu pengetahuan dan menerima nasihat serta pengajaran demi kebaikan dan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat.

Justeru itulah usaha yang mula-mula sekali dibuat oleh Rasulullah s.a.w. semasa baginda berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, ialah mendirikan masjid Quba', iaitu sebuah masjid yang disifatkan oleh Allah di dalam Al-Quran sebagai masjid yang didirikan atas dasar takwa.

Firman Allah, yang bermaksud, `Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa semenjak mula-mula dibina adalah lebih patut engkau mendirikan sembahyang di dalamnya. Di dalam masjid itu terdapat beberapa orang lelaki yang suka supaya dirinya bersih, sedang Allah kasih kepada orang yang bersih.

Firmannya lagi, ertinya, `manakah yang lebih baik, orang yang mendasarkan pembinaan masjidnya atas takwa kepada Allah dan keredhaannya, atau orang yang mendasarkan pembinaan masjidnya di atas tepi jurang yang runtuh sehingga ia jatuh bersama-samanya dalam neraka jahanam ? sedang Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang aniaya.'

 Kemudian tidak lama selepas Rasulullah menetap di Madinah baginda mendirikan sebuah lagi masjid di bandar Madinah yang lebih terkenal dengan Masjid an- Nabawi yang juga disifatkan oleh baginda sebagai `masjid yang telah dibina atas dasar takwa'.

Sebagaimana diterangkan oleh baginda di dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dalam `Syarhu Jamiu At-Tarmizi.'  Memandangkan kepada pentingnya pembinaan masjid dalam perkembangan agama Islam Rasulullah telah menggalakkan umatnya supaya mendirikan masjid di mana sahaja mereka berkampung, sebagaimana yang diterangkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah r.a katanya ; Ertinya Rasulullah s.a.w. menyuruh umatnya mendirikan masjid di tempat-tempat perkampungan dan hendaklah sentiasa dibersihkan dan diharumkan (Ahmad dan Abu Daud dan Al-Tarmizi )

Dalam hadis yang lain pula Rasulullah telah menerangkan kelebihan orang yang mendirikan masjid atau balasan yang akan didapati oleh orang-orang yang mendermakan hartanya untuk mendirikan masjid seperti tersebut di dalam sebuah hadis : Dari Usman r.a katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: `Barangsiapa membina sebuah masjid semata-mata ikhlas kerana Allah Taala nescaya Allah taala akan membinakan untuknya sebuah rumah di syurga."

Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis tersebut jelaslah bahawa seseorang yang hendak membuat amal jariah mendirikan masjid atau mengeluarkan harta sebagai derma mendirikan masjid mestilah dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Seterusnya elakkan diri dari mengandungi niat atau tujuan yang kotor yang tidak diredhai oleh Allah. Sebagaimana firmannya ; Ertinya ;  Di antara mereka terdapat juga orang-orang yang mendirikan masjid untuk mendatangkan mudarat dan kufur, dan mencerai beraikan antara orang-orang yang beriman dan sebagai pengintip kepada orang-orang yang memerangi Allah dan Rasulnya semasa dahulu serta mereka bersumpah dengan katanya, `Tiadalah kami bermaksud untuk memperbuat masjid ini melainkan semata-mata kebaikan 'sedang Allah mengetahui bahawa mereka orang yang bohong. (Surah At-Taubah ayat 107)

 

Kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya bangunkan imej Islam.


Prof Dato' Dr Sidek Baba

Oleh: Mohammad Ishak

Kejayaan Malaysia membangunkan umat Islam dalam pelbagai aspek ekonomi, sosial dan pendidikan tidak perlu dipertikaikan kerana ia sememangnya diiktiraf oleh negara Islam lain.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti mampu membawa imej negara ke tahap yang cemerlang dalam pembangunan beteraskan Islam walaupun tidak melebelkannya sebagai parti Islam.

Bekas Presiden AMIM, Prof Datuk Dr Sidek Baba berkata, adalah salah jika ada pihak menuduh kerajaan BN tidak Islamik sebaliknya pelbagai projek pembangunan berteraskan Islam sudah dilaksanakan.

Katanya, penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tabung Haji adalah contoh besar yang dibangunkan kerajaan untuk umat Islam negara ini.

Dr Sidek pernah menjawat jawatan Timbalan Rektor UIAM berkata, beliau sendiri turut terbabit dalam beberapa penubuhan institusi Islam kesal dengan tomahan pemimpin pembangkang yang memperlekehkan usaha kerajaan untuk membangun Islam.

“Jika tidak ada usaha oleh pemimpin BN sudah tentu rakyat khasnya umat Islam tidak akan menikmti kemudahan yang disediakan seperti sekarang,” katanya dalam wacana dengan kakitangan kerajaan daerah Besut semalam.

Beliau berkata, usaha terbaru kerajaan ialah membina sebuah Universiti Al Quran bertaraf antarabangsa yang akan dibina di tempatkan di Kuala Lumpur

Pembinaan universiti pertama seumpama itu di dunia dijangka dilaksanakan pada 2014 di kawasan seluas 180 hektar.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberi tanggungjawab untuk membina universiti itu yang akan membuka peluang kepada pelajar hafiz dari dalam dan luar negara.

Beliau yang juga ahli lembaga pengarah universiti itu berkata, berikutan penubuhan universiti itu labih ramai pelajar lepasan hafiz akan berpeluang mendalami Al Quran secara khusus.

Katanya, penubuhan IMTIAZ dan MRSM Ulul Albab yang ada di Terengganu sekarang bakal mencetuskan fenomena baru dalam pendidikan Islam apabila mereka diberi peluang melanjutkan pelajaran di s ebuah universiti khusus untuk mengaji Al Quran.

Golongan jumud, artis jadi aset penting Pas

Oleh: Sutera Biru

Usaha menarik lebih ramai penyokong memihak kepada parti yang kononnya dibentuk bagi memperjuangkan dasar Islam, menyebabkan Pas sanggup menolak ilmuwan agama yang berakhlak mulia dan ikhlas memartabatkan agama Allah itu, sebaliknya mengutamakan golongan jumud menguasai parti itu.

Golongan baru berjinak dengan agama, termasuk di kalangan artis yang baru berhijrah ke arah lebih baik dan bergelar `ustaz dan ustazah segera’ menjadi taruhan pembangkang bagi menarik sokongan pengundi.

Menurut seorang penceramah bebas, Ustaz Abu Sufian Shafei, trend yang semakin menjadi-jadi itu menyebabkan golongan intelektual, ilmuwan dan berpendidikan tinggi sanggup menghabiskan masa memuja `Ustazah Abby Abadi’ yang lantang berceramah di pentas, walhal umum mengetahui tahap ilmu agama yang ada pada artis itu.

“Ketika dia bagi ceramah, muslimah Pas dari Universiti al-Azhar boleh mendengar ceramah mereka, sedangkan golongan ilmuwan dan cerdik pandai itulah sepatutnya berada di pentas untuk sampaikan ilmu kepada manusia seperti Abby. Ini terbalik, artis pula menyampaikan ceramah kepada mereka. ”

"Malah, Abby boleh pula menuduh, `Umno dan BN musuh Allah’ (dalam akaun Twitternya, baru-baru ini). Sedap dia sahaja mengeluarkan kenyataan sedemikian. Adakah dia ada ilmu mengenai perkara itu. Sedangkan ada hadis melarang dalam Sahih Bukhari, `Barangsiapa memanggil seseorang itu dengan panggilan kafir serta musuh Allah, jika orang tidak seperti itu, maka panggilan itu akan kembali kepada mereka.

 Dalam hadits yang lain, Rasulullah bersabda:

 عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالْفُسُوقِ وَلَا يَرْمِيهِ بِالْكُفْرِ إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Dari Abu Dzar r.a berkata, beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,”Tidaklah seseorang menuduh orang lain dengan kata fasiq, dan menuduhnya dengan kata kafir, kecuali tuduhan itu akan kembali kepada si penuduh jika orang yang tertuduh tidak seperti yang dituduhkan. [Hadis Riwayat Bukhari]

Sepanjang pemerintahan Umno dan BN, tidak dinafikan dasar memelihara dan menegakkan syiar Islam oleh pemimpin terserlah apabila syiar dan syariat Islam terus dimartabatkan dari pelbagai sudut seperti pembinaan masjid, mewujudkan institusi keagamaan, menyemarakkan program agama di seluruh pelusuk kampung, daerah dan negeri, malah kebebasan berdakwah dan giat mewujudkan institusi kewangan serta pelaburan berasaskan Islam.

Kenyataan yang keluar dari Abby itu sebagai satu lagi kesinambungan dari kenyataan-kenyataan kepimpinan Pas yang cuba mengelirukan umma Islam. Pas sememangnya sudah lama menjadi ejen mewujudkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini dengan pelbagai kenyataan dan fatwa yang bertentangan dengan dalil al- Quran dan as-Sunnah, demi untuk kepentingan dan survival cita-cita politik mereka.

Oleh sebab itulah, Pas masih membuka pintu seluas-luasnya kepada golongan artis seperti Abby dan rakan seperjuangannya, Bob Lokman bagi menarik perhatian orang ramai ke pentas ceramah mereka.Bagaimanapun, kadangkala isu yang disampaikan itu menjelaskan lagi kedangkalan pemikiran artis terbabit.

Menurut Ustaz Abu Sufian lagi, antara tanda-tanda Allah s.w.t mahu menghancurkan satu kelompok, Allah akan menghantar orang yang buruk akhlak dan bodoh dalam kelompok ini.

 “Jika dulu, mereka mendoakan supaya menghancurkan jemaah Umno. Tapi doa itu kini berbalik kepada mereka sebagaimana doa mereka itu. Orang ada ilmu agama semua beransur-ansur lari meninggalkan Pas.

 “Yang ganti ilmuwan Pas adalah di kalangan artis seperti Bob Lokman yang dilihat cerah masa depan jika terus bersama Pas,” katanya lagi.

Dalam satu ceramahnya, dua tahun lalu umpamanya, Bob mengeluarkan kenyataan yang melucukan sekaligus membuktikan betapa cetek ilmu yang ada pada penceramah yang kian diminati pengikut Pas itu apabila mempersoalkan faedah pembinaan jalan raya kepada orang ramai.

“Macam hari ini, contoh.. apabila ada sahaja pilihan raya, diaorang (Kerajaan BN) buat semua jalan raya. Pantau habis semua jalan kereta api..sebetul-betulnya di mana kepentingan jalan raya kepada kita sangat, tak kan hari-hari kita jalan, pagi petang siang malam? Takkan kita tidak boleh masuk lubang sikit, tak kan nak lurus saja jalan… ?’’- Bob Lokman, Kerdau, Pahang.

Menurut Ustaz Abu Sufian lagi, Bob Lokman yang mempersoalkan kepentingan jalan raya kepada manusia dan sebaiknya mengelak daripada menggunakan kemudahan awam berkenaan sudah jelas membuktikan rendah ilmu pemikiran artis berkenaan, selain tidak memiliki ciri glokal sebagai pembela kebajikan ummat.

“Golongan beginilah cerah masa depan dalam Pas, cakap begitu (kenyataan melucukan) pun di pentas ceramah ada orang beritahu saya boleh bayar hingga RM2,000,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mendedahkan terdapat beberapa artis tempatan telah menjadi ejen bagi memujuk kalangan rakan artis untuk menyertai parti-parti pembangkang sebagai usaha meningkatkan pengaruh.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, artis-artis yang menjadi ejen pembangkang tersebut merupakan artis yang kecewa dalam industri dan berjuang tanpa mempunyai latar belakang dan asas agama yang kukuh.

Katanya, Seniman menyedari mengenai perkara itu setelah menerima aduan daripada kalangan artis sendiri yang berasa tidak senang dengan tindakan artis-artis propembangkang tersebut.

 "Saya dapati ramai artis telah tertipu dan menyesal kerana terpedaya dengan taktik yang digunakan oleh artis-arti propembangkang berkenaan. Setakat ini, Seniman hanya mampu bersikap neutral dan menasihati mereka," katanya.

Zed Zaidi berkata, modus operandi artis-artis propembangkang itu ialah menghasut dan mengajak rakan-rakan artis untuk datang mendengar ceramah agama, sebaliknya program tersebut sebenarnya berupa ceramah politik.

 "Sasaran artis-artis propembangkang ini adalah golongan artis yang baharu memakai hijab, saudara baharu dan artis-artis yang mula mendampingi agama Islam," katanya.

Antara artis yang aktif berpolitik di pentas pembangkang ialah Bob Lokman, Yassin, Hairi Othman, Abby Abadi, Aishah, Abu Bakar Omar, Dayangku Intan dan Farah Asyikin.

Zed Zaidi mengakui, habuan wang ringgit merupakan faktor artis-artis tersebut menyertai parti politik pembangkang dan mereka menjadi buta mata berbanding menegakkan agama Islam dan memartabatkan Melayu.