Halaman

13 May 2013

Peluang YB pembangkang berkhidmat untuk rakyat

Oleh: Sutera Biru

Kenyataan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said untuk tidak meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (PPD) di DUN pembangkang, menimbulkan reaksi dan kejutan ramai termasuk di kalangan pemimpin Pas.

Ramai yang menjadi keliru dan kurang faham, sehingga mengganggap Menteri Besar mahu menidakkkan kepentingan dan mengabaikan seluruh rakyat di kawasan pembangkang termasuk yang menyokong Barisan Nasional (BN), sedangkan hanya jawatan PPD serta Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) sahaja yang tidak diwujudkan setakat ini.

Wakil rakyat Pas, seperti Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat, Ariffin Deraman kecewa dengan keputusan itu sambil menyifatkan Dato’ Seri Haji Ahmad sangat beremosi sehingga bertindak demikian.

Malah, mereka juga menuntut supaya Menteri Besar lebih rasional dan bertanggungjawab sebagai seorang pemimpin walaupun berbeza pendapat (fahaman politik).

Dari aspek lain, mereka mahukan Dato’ Seri Haji Ahmad lebih rasional, sedangkan majoriti rakyat yang memenangkan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu pastinya mahukan perkhidmatan dari `Yang Berhormat’ (YB) dan `Yang Berkhidmat’ berkenaan.

Adun Pas dan pakatan rakyat turut mendapat gaji dan elaun sebagaimana Adun BN, oleh itu wajarlah mereka berkhidmat sebagai membalas mandat rakyat yang sudah menyokong mereka sehingga menjadi wakil rakyat.

Malah, Ariffin dalam sidang akhbarnya sebelum ini meminta supaya peruntukan kepada Adun sepatutnya diberi kepada wakil rakyat Pas sepertimana yang disalur kepada PPD sebelum ini.

Pada masa yang sama, pimpinan Pas itu seakan tidak sedar dan tidak pula membaca sejarah terdahulu, bahawa ketika Pas memerintah Terengganu (1999-2004) juga tidak menyalurkan peruntukan itu kepada wakil rakyat BN.

Bukan sahaja di Terengganu, di negeri pimpinan Pas yang lain seperti Kedah dan Kelantan sebelum ini juga tidak disediakan sebarang peruntukan kepada Adun BN.

 "Bukanlah bermakna kami akan mengabaikan rakyat cuma kami akan gunakan kaedah pendekatan lain untuk membantu rakyat seperti melalui pemimpin setempat, pegawai daerah dan agensi kerajaan yang lain. 

"Agenda merakyatkan pentadbiran dan pembangunan akan diteruskan kerana kita mahu semua rakyat menerima limpahan hasil kemajuan Terengganu yang semakin pesat untuk tempoh beberapa tahun akan datang dengan kualiti perkhidmatan awam yang terbaik," kata Menteri Besar, di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Bagaimanapun, di sidang akhbar itu juga, Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu bahawa kerajaan negeri belum memuktamadkan keputusan sama ada tidak meneruskan PPD dan PPP itu pada masa depan.

 “Jika kerajaan tidak mahu mewujudkan jawatan itu, kita ada kaedah dan saluran lain yang diamanahkan untuk memikul tanggungjawab termasuk melalui agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Majlis Daerah dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

 “Apabila difikirkan balik, ia tidak adil bagi kerajaan, kita yang bersusah payah mewujudkan pembangunan, menjaga kebajikan dan merencanakan pendidikan, wakil rakyat Pas hanya makan gaji, sepatutnya mereka yang pikul tanggungjawab itu, sebab rakyat sudah memberi kepercayaan kepada mereka,” katanya.

Contoh yang jelas sebelum ini juga boleh dilihat di DUN Rhu Rendang, Manir dan Wakaf Mempelam, apabila tiada pembangunan dan kebajikan dilaksanakan oleh wakil rakyat Pas, sedangkan mereka dibayar gaji.

Ramai rakyat di kawasan berkenaan walaupun dari penyokong Pas sendiri mengadu pada wakil PPD dan bukan kepada wakil rakyat Pas yang dipilih majoriti pengundi kawasan terbabit.

Sebagai wakil rakyat, walaupun dari Pas yang dibayar gaji dengan duit rakyat ini perlu melaksanakan tanggungjawab yang diberi bukan meletakkan tanggungjawab seratus peratus kepada YB BN, sedangkan mereka hanya pandai bercakap dan berceramah semata-mata.

Rakyat sudahpun memilih YB di kalangan Pas dan rakyat sudah tentu mahu melihat YB berkenaan memainkan peranan yang lebih untuk membantu rakyat di kawasan mereka sebagai memberi ruang kepada semua wakil rakyat berkenaan melaksanakan tugas di DUN masing-masing.

Dari situ rakyat dapat menilai sendiri keupayaan dan prestasi wakil rakyat pilihan mereka sama ada dapat menunaikan janji dan amanah sebagai YB.

Berhubung keputusan kerajaan negeri yang tidak akan membina rumah mampu milik di kawasan pembangkang, perkara itu harus diterima secara terbuka oleh semua pihak memandangkan itu janji yang diuar-uarkan Menteri Besar sebelum PRU13 lagi.

 “Saya berjanji untuk menyediakan 1,000 rumah mampu milik di DUN Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Rhu Rendang, sekiranya BN berjaya mendapat mandat rakyat di kawasan itu. Begitu juga di kawasan pembangkang yang lain. Itu semua kita akan laksanakan sekiranya kita berjaya menawan semula semua DUN itu pada PRU13 nanti,” katanya dalam beberapa ucapan sebelum ini.

Walaupun BN kalah di 15 kawasan DUN, tetapi Aku Janji Tambahan BN Terengganu tetap dijalankan di negeri ini untuk kesinambungan kesejahteraan rakyat dan menjadikan Terengganu maju pada 2020.


Turunkan bendera atau wang deposit tidak dikembalikan-MBKT

Oleh; Esah Abdullah

Semua pihak yang terlibat dalam pemasangan kain rentang, poster dan bendera parti politik pada pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini diminta menurunkannya dengan kadar segera.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Encik Samiun Salleh berkata, mengikut peraturan sedia ada, semua parti dikehendaki menurunkan poster dan lambang parti dalam tempoh dua minggu selepas hari pengundian.

“Mohon kerjasama dari semua pihak yang terlibat supaya dapat menurunkan kain rentang, poster dan bendera parti politik dalam tempoh 14 hari selepas hari membuang undi pada 5 Mei lalu,” katanya.

Katanya, peringatan awal ini khusus kepada parti politik yang bertanding agar dapat mengambil tindakan segera dalam waktu terdekat ini atau wang deposit sebanyak RM5,000 bagi Parlimen dan RM3,000 bagi Dun tidak akan dipulangkan.

 “Saya yakin dan percaya mereka juga telah sedia maklum akan peraturan tersebut, namun MBKT memberi peringatan sekali lagi, dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian wang deposit mereka tidak akan dipulangkan,” katanya.

Katanya, peruntukan akta sedia ada, semua parti politik hendaklah menurunkan poster, bendera dan kain rentang dengan segera sebelum tamat tarikh yang ditetapkan.

Langkah tersebut katanya adalah perlu bagi memastikan kebersihan serta pemandangan di sekitar kawasan bandar ini sentiasa terpelihara memandangkan pilihan raya telah berakhir dan kembali pada keadaan asal.

Sementara itu dalam tinjauan Teganukita hari ini, masih kelihatan bendera dan poster parti sekitar bandaraya ini yang belum diturunkan sepenuhnya.

“Semoga dalam waktu berbaki tujuh hari lagi itu akan dimanfaatkan oleh parti-parti yang terlibat agar wang deposit mereka tidak hilang akibat kecuaian sendiri,” katanya.

 

Kakitangan kerajaan diminta contohi pesara


Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh menunjukkan potret yang beliau terima dari PPKM Cawantan Terengganu.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kakitangan kerajaan yang masih berkhidmat diminta mencontohi rakan mereka yang bersara kerana masih setia dan menyokong dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Tan Sri Wan Mahmood Pawang Teh berkata, sikap kakitangan kerajaan sekarang berbanding masa dahulu amat jauh berbeza kerana mereka patuh dan setia kepada pemerintah.

Katanya, kakitangan kerajaan mudah terpengaruh dengan pemimpin poliik pembangkang dan menerima apa sahaja yang dicakapkan oleh pemimpin terbabit.

Sebaliknya, kata beliau, kakitangan kerajaan era lapan puluhan begitu bersemangat untuk mengekalkan tampuk pemerintahan kerana di situlah tempat mereka bernaung dan bekerja.makan gaji.

Menurutnya, perkembangan tidak sihat seperti yang berlaku sekarang akan melemahkan jentera kerajaan kerana banyak terdapat duri dalam daging yang mampu menumbangkan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau memuji pesara kerajaan yang bernaung di bawah PPKM kerana mereka begitu bersemangat untuk membantu kerajaan walaupun sudah bersara dari perkhidmatan awam.

“Pesara yang menjadi ahli persatuan memberi sokongan dan mandat  kepada kerajaan malah mereka turut mengundi Bariusan Nasional (BN) pada PRU13 lalu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke 21 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Terengganu, semalam.

Katanya, persatuan itu yang kini mempunyai hampir 100,000 ahli seluruh negara akan tetap menyokong dasar yang diperjuangan kerajaan terutama mempertahankan maruah Bangsa Melayu, Agama Islam dan Institusi Raja Melayu.

Beliau yang rangka menghadari mesyuarat agung PPKM.seluruh Negara mendapat maklumat pesara kerajaan banyak menyokong kerajaan kerana mereka tahu sebelum ini merekalah yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan sehingga mencapai kemajuan sekarang.

Wan Mahmood berharap, ahli PPKM yang seda ada akan terus memberi sokongan dan sedia menjadi mata dan telinga kerajaan berdasarkan pengalaman yang ada ketika menjawat pelbagai jawatan dalam jabatan masing-masing.

Tanpa PPD, masih ada kaedah lain salur bantuan

Dato' Seri Haji Ahmad Said memasukkan kad perakam waktu sebaik tiba di Tingkat 16, Wisma Darul Iman untuk memulakan tugas sebagai Menteri Besar. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri tetap tidak akan menyalurkan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen di kawasan pembangkang biarpun mengetahui ada desakan berbuat demikian daripada pihak itu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tindakan itu dianggap rasional, kerana ketika pemerintahan pembangkang, perkara sama juga berlaku.


 “Sewaktu pemerintahan pas 1999 hingga 2004, ada atau tidak, mereka bagi peruntukan kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN). Negeri pembangkang sebelum pilihan raya lalu, seperti Kelantan, Kedah, Selangor, dan Pulau Pinang, peruntukan tetap tidak diagihkan.

 “Tidak logik pula apabila kita memerintah, peruntukan akan diagihkan kepada wakil rakyat Pas, jika diagihkan, boleh diumpamakan menghulurkan senjata untuk menikam kepimpinan BN,” katanya.


 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetik perakam waktu sempena hari pertama bertugas, di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. 

Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, Dato' Noorbahri Baharuddin Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan) Dato' Haji Mat Razali Kassim.


Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu langkah untuk tidak mewujudkan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (PPD) dan Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) masih di peringkat cadangan dan belum memuktamadkan keputusan itu.

 “Jika kerajaan tidak mahu mewujudkan jawatan itu, kita ada kaedah dan saluran lain yang diamanahkan untuk memikul tanggungjawab termasuk melalui agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Majlis Daerah dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

 “Apabila difikirkan balik, ia tidak adil bagi kerajaan, kita yang bersusah payah mewujudkan pembangunan, menjaga kebajikan dan merencanakan pendidikan, wakil rakyat Pas hanya makan gaji, sepatutnya mereka yang pikul tanggungjawab itu, sebab rakyat sudah memberi kepercayaan kepada mereka,” katanya.

 Menteri Besar juga yakin sekiranya PPD dan PPP diwujudkan di kawasan pembangkang, wakil rakyat di kawasan itu tidak akan berkhidmat untuk rakyat yang memilih mereka pada pilihan raya umum lalu.

“Rakyat boleh menilai sendiri prestasi wakil rakyat di kawasan mereka sepanjang empat hingga lima tahun akan datang, sebaliknya kerajaan negeri pula tidak akan mengabaikan rakyat dengan berterusan memberi perkhidmatan yang terbaik.” katanya.

 

Ketengah anjur Festival Kenyir

Oleh: Noraini Jusoh

Sebagai salah satu usaha mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan kerjasama kerajaan negeri akan menganjurkan Festival Kenyir selama lima hari bertempat di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir bermula 16 Mei depan.

Menurut jurucakap Ketengah, seramai 35,000 pengunjung dijangka akan datang ke Tasik Kenyir dalam tempoh tersebut seterusnya memeriahkan festival yang menghidangkan pelbagai acara menarik.

"Antara objektif penganjurannya ialah untuk mempromosikan Tasik Kenyir sebagai sebuah destinasi pelancongan yang mempunyai kemudahan dan keistimewaan seperti keindahan alam semulajadinya yang mampu memukau pelancong dalam dan luar negara.

"Penganjuran festival ini juga bertujuan untuk memberi maklumat awal kepada pelancong tentang produk pelancongan baru antaranya Kenyir Island Hopping (KIH) dan cadangan Pulau Bebas Cukai yang dijangka beroperasi pada Ogos 2014,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pelbagai acara menarik boleh dinikmati pengunjung sepanjang festival ini berlangsung antaranya karnival upin dan ipin, pertunjukan luncur udara, demostrasi bot kawalan jauh, serta paint ball.

"Pameran kereta klasik dan auto show, sukan rakyat, pertandingan bot berhias, memancing pinggir tasik dan pelbagai acara menarik yang lain juga bakal menanti pengunjung,” ujarnya.

Tambah beliau, pengunjung juga berpeluang meninjau keindahan pemandangan Tasik kenyir melalui udara dengan kemudahan “Helicopter Ride’ yang disediakan sempena penganjuran festival ini.

Katanya, festival Kenyir kali ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan artis-artis terkenal seperti Najwa latif, Azlan Typewriter, Saleem dan ramai lagi.

 

PAS JANGAN ‘DOUBLE STANDARD’

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama pegawai kanan dan juga kakitangan Pejabat Menteri Besar mengaminkan doa sebelum masuk pejabat memulakan tugas. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dalam sidang akhbar sempena memulakan tugas di Pejabat
Menteri Besar hari ini berkata, biarlah wakil wakil rakyat Pas juga berkhidmat kepada rakyat yang memilih mereka.

Dato' Seri Haji Ahmad Said mengadakan sidang akhbar.
Katanya, Umno semasa menjadi pembangkang di Terengganu begitu juga walaupun tidak menjadi kerajaan tetap berkhidmat kepada rakyat.

Misalnya kata Dato’ Seri Ahmad, sewaktu menghadapi banjir beliau sendiri bawa bot dan memikul beras serta makanan untuk dibawa kepada mangsa-mangsa banjir.

Dalam sidang akhbar pagi ini di Pejabat Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad menjawab turut menjawab gesaan Pas supaya peruntukan disalur kepada wakil rakyat Pas oleh kerajaan negeri Terengganu dengan berkata : dulu Pas pernah memerintah Terengganu kenapa tidak buat begitu kepada wakil rakyat BN yang jadi pembangkang.

Begitu juga di Kelantan Pas juga menjadi kerajaan kenapa tidak buat perkara itu, di Kedah juga pada penggal yang lepas, kenapa perkara yang dicadangkan itu tidak dilaksanakan.

Gesaan itu dibuat oleh Adun Alor Limbat, Ariffin Deraman dalam kenyataan yang disiarkan oleh blog pembangkang.

“ Itulah realiti politik yang sama sama kita terimalah”, kata Dato' Seri Ahmad. Oleh itu, Pas janganlah mengamalkan sikap ‘double standard”.



12 May 2013

YPU ingin lahir usahawan jutawan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) ingin melahirkan usahawan jutawan pada masa depan berdasarkan kemajuan dan pembangunan masa kini memungkinkan usahawan dapat mengembangkan rangkaian perniagaan masin-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, contohnya melalui sahabat usahawan yang diwujudkan YPU serta melalui ypu e-mall yang menyediakan kaedah jualan secara dalam talian.

“Terengganu satu-satu negeri di negara ini mewujudkan YPU untuk melahirkan usahawan yang boleh dibanggakan dalam pelbagai sektor,” katanya.

Katanya, YPU akan meneruskan program membudayakan semangat sikap ingin maju dengan mengambil iktibar dan pengalaman usahawan berjaya di negara ini dengan menjemput beberapa tokoh usahawan untuk menyampaikan motivasi.

“Di samping usaha keras, usahawan perlu mencari formula bagaimana untuk menembusi halangan dalam dunia perniagaan untuk membolehkan mereka mendaki ke puncak kejayaan,” katanya.

Katanya, mereka perlu rajin berdamping dengan orang yang telah berjaya serta mengambil iktibar bagaimana kepayahan yang dilalui sebelum berjaya membina empayar perniagaan mereka.

“Saya harap mereka tidak ‘berkira’ untuk melabur wang kerana kita akan mengenakan sedikit bayaran bagi mendapatkan tempat dalam setiap program bersama usahawan yang kita anjurkan,” katanya.

Menurutnya ada perkara yang boleh diberi percuma dan ada program yang memerlukan bajet agak besar untuk melaksanakannya.
 

Sertai koperasi untuk kepentingan masa depan

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 2,000 ahli Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) diminta menyertai koperasi yang diwujudkan khusus untuk kepentingan masa depan mereka.

Yang Dipertua PVTTB, Encik Alias Abdul Razak berkata, koperasi PVTTB akan digerakkan secara lebih aktif tahun ini dan berharap lebih ramai ahli menyertainya.

 “Daripada jumlah berkenaan hanya separuh yang menyertai koperasi dan berharap lebih ramai berbuat demikian,” katanya.

Katanya, perancangan hala tuju koperasi adalah untuk mencari aset kekal yang dapat memberi pulangan kepada ahli-ahli dalam tempoh jangka masa panjang.

 “Kita masih dalam peringkat perbincangan bentuk projek yang akan kita masuk nanti yang pasti memberi manfaat kepada ahli,” katanya.

Selain itu, pihak persatuan juga sedang mengesan pesara tentera yang uzur , mengidap penyakit kronik dan sebagainya untuk dibantu melalui dana kerajaan negeri.

Katanya, angka yang ada bukan jumlah sebenar kerana masih ramai pesara yang belum berdaftar sebagai ahli dan meminta rakan-rakan dan jiran berilah kerjasama mengesan atau memaklumkan kepada persatuan jika bertemu mereka.

 “Saya akui memang sukar mengesan di mana mereka berada tanpa kerjasama rakan-rakan seperjuangan serta orang ramai kerana ada yang telah bersara sejak 10 tahun lalu,” katanya.

 

Muka baru berazam laksana tanggungjawab

Oleh: Suriati Ali

Tiga muka baru yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu berazam akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin mengikut keperluan portfolio masing-masing sekali gus meletakkan Terengganu sebagai negeri membangun dan maju.

 Kepercayaan pucuk pimpin negeri tidak akan disia-siakan dengan meneruskan perjuangan serta agenda kerajaan supaya apa yang terkandung dalam manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.

 Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, A. Latif Awang menyifatkan pelantikan beliau merupakan mandat kepimpinan kerajaan supaya dapat menabur bakti kepada rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

 "Ini juga bagi memenuhi agenda yang dijanjikan sebagai manifesto kerajaan negeri selain untuk meneruskan manifesto Kerajaan Pusat supaya rakyat Terengganu dapat menikmati pembangunan yang disediakan kerajaan.

"Saya juga dapati Terengganu mempunyai terlalu banyak potensi dan kelebihan yang perlu kita bangunkan termasuk dalam bidang ekonomi, sumber manusia, pembangunan sosial selain meningkatkan fasiliti demi kepentingan rakyat," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Rakyat (Adun) Pengkalan Berangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib, beliau yakin berupaya membangunkan lagi bidang pendidikan di negeri ini berdasarkan strategi serta perancangan yang bakal dilaksanakan.

 "Kalau (bidang) pelajaran, memang bidang saya, 26 tahun (pengalaman) saya dalam bidang pendidikan, termasuk di peringkat pengajian tinggi pun saya terlibat dalam pelajaran.

 "Menteri Besar sudah maklumkan saya perlu bina satu pasukan sebagai penasihat bagi melaksanakan kerja saya dalam bidang pendidikan serta lain-lain bidang berkaitan," jelasnya.

 Ditanya mengenai persediaan beliau melaksanakan tanggungjawab berkaitan hal ehwal agama yang diserap di bawah tugas-tugas khas, Ghazali berkata, setakat ini, beliau sedang merangka pasukan yang dianggotai tokoh-tokoh agama sebagai panduan.

 Bagi Adun Bukit Besi, Roslee Daud pula, beliau berjanji akan cuba sedaya upaya menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

 Roslee dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri.

"Saya berterima kasih kepada penyokong dan pucuk pimpinan BN kerana meletakkan saya bertanding di kerusi DUN Bukit Besi dan seterusnya membawa kemenangan kepada BN.

 "Sehubungan itu, apabila disenaraikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, saya akan cuba sedaya upaya mengambil tanggungjawab yang telah diamanahkan ini," katanya.

 Roslee memenangi kerusi DUN Bukit Besi dalam PRU-13 selepas menewaskan calon Pas, Roslan Ismail dengan majoriti 2,558 undi.

 

PAS YANG PENDENDAM BUKANNYA BN ATAU UMNO

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Terbaru Ahli Dewan Undangan Negeri, Adun Batuk Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menyifatkan dendam kalau tak bantu kawasan kalah.

Akan tetapi tahukah kita bahawa yang dendam itu bukannya Umno dan Barisan Nasional, tetapi adalah Pas Terengganu.

Semua orang tahu semasa Pas berkuasa di Terengganu, antara langkah-langkah balas dendam yang mereka lakukan termasuklah:-

- Penerima zakat orang fakir dan miskin yang disyakki sokong Umno dinafikan hak...seramai 45 000 tidak diberikan bantuan zakat fitrah semasa raya tahun 1999, sebaik Pas menang di Terengganu

- Penerima bantuan kebajikan masyarakat yang sokong Umno dipotong membabitkan 1492 orang miskin, ibutunggal warga emas dsb.

- Imam bilal yang sokong Umno dipecat.

- Kanak-kanak tabika Kemas dihalau kerana Kemas sokong Umno.

- Elaun guru al-Quran yang sokong Umno dipotong melibatkan 2 048 orang semuanya

- Imbuhan Hafiz dan Hafizah Al Quran ditamatkan termasuk Hajah Rogayah yang pro Umno

- menghapuskan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semua ketua kampung lantikan BN dipecat digantikan dengan Ketua Kampung dan JSR.

Malah banyak lagi senara-senarai perbuatan dendam Pas ....bermakna yang dendam itu pemimpin Pas bukannya Umno/BN.