Halaman

06 June 2013

Kerajaan negeri sambut baik langkah memperkasa pentadbiran Islam negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri menyambut baik langkah memperkasa pentadbiran Islam negeri dan bersetuju dengan penstrukturan semula Institusi Pentadbiran Hal Ehwal Islam Negeri yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, setakat ini kerja-kerja penstrukturan semula Maidam telah mencapai tahap 75 peratus dengan pergabungan jabatan-jabatan berkaitan di bawah Maidam.

"Melalui penstrukturan ini, lapan jabatan bergabung di bawah pentadbiran Maidam iaitu Jabatan Baitulmal, Dakwah Pendidikan dan Pengurusan Masjid, Hal Ehwal Fatwa dan Adat Melayu, Pembangunan Keluarga dan Penguatkuasaan, Kehakiman Syariah, Undang-Undang dan Pendakwaan, Pengurusan Halal dan Teknikal,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Maidam Tahun 2013 di Pusat Pentadbiran Islam Negeri Terengganu, hari ini.

Katanya, secara kasarnya penstrukturan tersebut telah siap cuma menunggu pihak Maidam menyelesaikan secara menyeluruh berkaitan hal penempatan jabatan dan kakitangan yang ditugaskan di bawah jabatan-jabatan yang telah ditentukan.

"Kerajaan negeri menanti pihak Maidam menyelesaikan secara menyeluruh penstrukturan ini untuk di bawa ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mendapatkan kelulusan dari segi penjawatan daripada kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Katanya, pergabungan tersebut diharap dapat melancarkan urusan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini dan tidak berlaku percanggahan kerja antara jabatan di bawah Maidam.

Mengulas mengenai APC bagi meraikan kakitangan Maidam yang menunjukkan kesungguhan kerja yang tinggi sepanjang 2012, Dato’ Haji Mazlan berkata, anugerah tersebut perlu sebagai pembakar semangat kepada penerima anugerah dan seluruh warga Maidam untuk terus menonjolkan kecemerlangan pada masa akan datang.

"Perkhidmatan cemerlang perlu menjadi budaya kepada penjawat awam dan mereka yang telah diamanahkan oleh kerajaan dan rakyat ini perlu sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap tugasan yang dilakukan,” ujarnya.

Difahamkan, seramai 90 kakitangan Maidam yang terdiri daripada 50 lelaki dan 32 perempuan menerima wang tunai RM1000 dan sijil penghargaan pada majlis APC tersebut.

 

JANGAN BIADAB..HAYATILAH RUKUN NEGARA JADILAH RAKYAT YANG BERTANGGUNGJAWAB

Oleh: Lang Telipot

Kesedaran sivik adalah penting dalam kehidupan.

Kesedaran sivik atau tata negara merupakan satu usaha menukar nilai hidup kita atau usaha membentuk sifat yang lebih baik bagi kita.

Maksud sivik ialah ilmu tata rakyat. Ilmu bagaimana menjadi rakyat yang sebaiknya. Ia merujuk kepada hubungan individu dengan masyarakat sekelilingnya.

Merujuk juga hubungan dengan negara yang didiami mereka.

Kesedaran sivik bermaksud rasa tanggungjawab yang lahir secara ikhlas dalam menjaga kepentingan awam demi kebaikan bersama.

Pengetahuan sivik terdiri daripada maklumat dan idea asas yang setiap rakyat harus mengetahui serta menggunakannya untuk menjadi warganegara yang bukan sahaja produktif tetapi bertanggungjawab.

Namun kesedaran sivik di kalangan golongan muda hari ini amatlah membimbangkan.

Sesungguhnya, kemelut ini memerlukan strategi dan pelaksanaan yang cekap, konsisten dan efektif.

Pendapat umum ialah usaha membentuk kesedaran sivik ini perlu dimulakan di masa kecil. Kita sedar bahawa jika sesuatu tabiat yang baik telah dipupuk semasa kecil, ia bukan sahaja lebih mudah diamalkan tetapi adalah juga lebih kekal kerana pepatah Melayu pernah berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Oleh hal yang demikian, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak remaja mereka.

Anak-anak yang sedang melalui fasa remaja dalam kehidupan perlu diberi kesedaran tentang kehidupan bernegara dan memahami bahawa negara ini mempunyai sistem dan undang-undangnya.

Hasil dari kurangnya kesedaran sivik, tata negara dan memahami sejarah dan rukun negara, berlakulah peristiwa menghina Yang DiPertuan Agong.

Perbuatan menghina Yang DiPertuan Agong dalam media sosial adalah suatu bukti mereka tiada kesedaran sivik atau tata negara dan tidak memahami sistem negara sendiri.

Individu yang menghina dan melemparkan tohmahan terhadap institusi Raja perlu berdepan tindakan undang-undang tanpa sebarang tolak ansur supaya menjadi pengajaran kepada yang lain.

Siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti identiti sebenar pemilik akaun Facebook, berdasarkan alamat IP sebelum tindakan pendakwaan dilakukan.

Difahamkan siasatan polis turut dibantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memastikan tindakan kepada mana-mana individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebebasan media dibawa ke muka keadilan.

Kenyataan menghina Raja perkara serius dan perlu diambil tindakan tegas supaya rakyat mengambil iktibar terhadap perkara ini. Pelbagai badan bukan kerajaan membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemilik akaun Facebook dipercayai wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Mereka mahu pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan laman sosial dengan menghina institusi Diraja di negara ini. Pihak berkuasa perlu menggunakan segala peruntukan undang-undang bagi memastikan tindakan menghina institusi berkenaan tidak berulang.

Sudah tiba masanya pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap individu, yang menghina institusi Diraja terutama Yang di-Pertuan Agong menerusi laman sosial seperti Facebook.

Tindakan hukuman itu harus dilaksanakan berikutan ia mempunyai unsur hasutan yang boleh memberi impak buruk pada identiti negara.

Mereka yang tidak memahami sistem perlembagaan negara dengan betul dan kerana itu, sewenang-wenangnya mengutuk dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan individu terbabit menghina Yang di-Pertuan Agong dan mana-mana Sultan tidak dapat boleh dimaafkan. Jika dibiarkan ia boleh menyebabkan keadaan menjadi huru hara.

Rakyat perlu mematuhi Rukun Negara dan wajib memahami apa yang terkandung dalam Rukun Negara itu.

Di samping itu, usaha yang berterusan dalam memberi kesedaran sivik atau tata negara perlu dijalankan bagi melahirkan rakyat, khususnya generasi Malaysia akan datang yang bertanggungjawab.

Sama ada di peringkat rumah, sekolah dan institusi masyarakat seluruhnya kesedaran cintakan negara, memahami rukun negara dan bertanggungjawab kepada negara perlu sentiasa dipupuk.

Jangan nasi sudah menjadi bubur baru berfikir hendak atasinya atau jangan sudah tehantuk baru terngadah. Bertindaklah dari sekarang.

 

Pengguna jalan raya wajar peka

Oleh : Suriati Ali 

 Kerajaan negeri meminta orang ramai lebih sensitif serta bertanggungjawab memberi laluan sekiranya berdepan dengan atlet yang sedang menjalani latihan di jalan raya.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Rozi Mamat berkata, pengguna jalan raya dan orang awam di minta lebih peka berhati-hati sekiranya berdepan dengan kumpulan atlet terutama melibatkan atlet sukan berbasikal yang sedang menjalani latihan.

 “Langkah itu cukup penting bagi mengelak kejadian tidak diingini yang menimpa pelatih skuad projek pelapis lumba basikal Terengganu, Mohd Shafik Imran Syahril, 15, tidak berulang,” katanya

. Beliau berkata demikian ketika ditemuipemberita selepas menghadiri Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan seorang atlet lumba basikal daripada Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) maut, manakala dua lagi rakannya cedera selepas terlibat dalam kemalangan di jambatan Kampung Bukit Guntung, Tepoh.

 Dalam kejadian, kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa meninggal dunia selepas mengalamai kecederaan parah di perut, ,manakala dua lagi rakannya hanya cedera ringga.

 YB Rozi turut memberitahu, laluan untuk latihan itu sebenarnya terkawal, malah mangsa mungkin telah biasa melalui trek jalan raya.

 “Dia sebenarnya di bawah kawalan jurulatih tetapi mungkin kejadian ini berlaku secara tidak sengaja kerana berada dalam kumpulan yang ramai iaitu seramai 45 atlet, kejadian berlaku di luar kawalan.

 “Walaupun jalan yang dilalui itu agak sempit, sebenarnya ia tidak berisiko untuk dilalui bagi sesi latihan, mungkin malang tidak berbabu dan tidak boleh dielak. Faktor itu saya minta pengguna jalan raya beri kerjasama,” katanya. YB Rozi berkata, pihaknya berasa sedih berikutan kejadian yang berlaku dan menyifatkan ia meninggalkan kesan mendalam kepada pengiat sukan Terengganu.

 “Takziah kepada keluarga mangsa dan harap mereka rehda serta banyak bersabar walaupun terpaksa menerima hakikat itu sebagai tragedi malang,” katanya.

 

Lawatan ke luar negara sebagai penghargaan

Oleh: Noraini Jusoh

Sembilan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menerima anugerah kepimpinan mahasiswa kategori individu diberi penghargaan khas berupa lawatan ke luar negara setelah berjaya mengharumkan nama universiti dalam pelbagai bidang.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim berkata, selain hadiah berupa wang tunai sebanyak RM200, sebuah trofi dan sijil penghargaan, hadiah istimewa tersebut sebagai pengiktirafan kepada mahasiswa yang telah bergiat aktif menjadi pemimpin dalam mengerakkan aktiviti pelajar di universiti.

"Kejayaan yang dicapai oleh mereka ini diharap dapat menjadi pendorong kepada pelajar lain untuk terus meningkatkan prestasi dalam kepimpinan pada masa hadapan.

"Kepimpinan itu sebenarnya boleh diasah serta dibentuk dan untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya seseorang itu memerlukan iltizam yang cukup tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Anugerah Kepimpinan Mahasiswa/Mahasiswi Sesi 2012/2013 UniSZA di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam, malam tadi.

Katanya, seorang pemimpin harus ikhlas dalam memperjuangkan sesuatu dan perlu mempunyai ilmu serta jati diri yang kuat supaya tidak terpesong dari apa yang diperjuangkan.

Jelas beliau, pemilihan mahasiswa yang dinobatkan sebagai penerima anugerah berdasarkan beberapa kriteria antaranya calon menunjukkan ketrampilan diri, mempunyai ketokohan dan daya kepimpinan yang tinggi, proaktif serta berjaya menaikkan imej universiti.
Difahamkan, mahasiswa yang bertuah itu adalah penerima Anugerah Kepimpinan (Kebudayaan dan Pembimbing Rakan Sebaya), Abdul Aziz Abdullah; (Sukan), Muhamad Syukri Zakaria; (Kebajikan Kolej Kediaman), Aziamy Abdul Aziz; (Persatuan/Kelab), Zainudin Mamat; (Keusahawanan), Muhammad Norsyahidin Abu Hasan; (Sekretariat), Muhamad Amirul Raub; (Badan Beruniform), Ahmad Al-Hafiz Rosli dan Kokurikulum (Bukan Beruniform), Muhammad Hanas Shafie.

 


05 June 2013

UMT tuan rumah PESUMA 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Persidangan Kebangsaan Pentadbiran Sumber Manusia IPTA (PESUMA) 2013 yang julung kali diadakan berlangsung selama dua hari di Primula Beach Hotel, bermula hari ini.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dipilih menjadi tuan rumah kepada persidangan yang melibatkan 200 peserta dari 20 universiti awam di Malaysia bagi membincangkan kertas kerja merangkumi pelbagai topik yang berkisar mengenai pengurusan sumber manusia.

Pengerusi Jawatankuasa Pendaftar-Pendaftar IPTA, Dato’ Wan Azman Wan Omar berkata, perbincangan tersebut meliputi perlantikan staf sehingga kepada proses bagaimana mengurus mereka ke peringkat membangunkan sumber manusia itu sendiri.

"Tujuan persidangan ini lebih kepada mencari kaedah bagaimana merekrut atau melantik petugas terbaik bukan sahaja di dalam negara tetapi usaha kita sudah ke peringkat global.

"Kita sudah bersedia membuka pintu untuk mendapatkan petugas terbaik dari luar negara dan sekiranya mereka sudah bagus kita akan bangunkan menjadi lebih bagus,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan persidangan tersebut, hari ini.

Katanya, persidangan kali ini juga untuk melihat usaha yang boleh dilaksanakan untuk mengekalkan petugas terbaik supaya terus berkhidmat di universiti.

"Universiti merupakan tempat melahirkan pemimpin dan kita sentiasa berdepan orang yang cerdik pandai.

"Jadi sebagai pengurus sumber manusia, kita perlu mengekalkan atau mendapatkan petugas atau kakitangan yang terbaik dan sekiranya perkhidmatan yang kita berikan tidak memenuhi keperluan dan kehendak, saya percaya mereka akan merasa kecewa dan akan beralih ke tempat lain,” ujarnya.

Katanya, amalan yang terbaik sedia ada di universiti-universiti perlu dikongsi untuk memastikan sistem penyampaian yang kita buat berada pada tahap yang tinggi dan kompetetif.

"Justeru, perkhidmatan yang ada sekarang ini perlu mencapai tahap atau standard antarabangsa kerana pelangan kita juga terdiri dari petugas dan pelajar luar negara yang semakin bertambah.

"Saya percaya bahawa mereka akan menilai dan mengukur perkhidmatan yang kita beri berdasarkan kepada apa yang mereka lalui di negara mereka atau pengalaman tempat-tempat lain,” ujarnya.

Katanya, topik yang dibincangkan pada persidangan kali ini sangat signifikan dengan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di peringkat global.

 

Lawatan dua hari ke pulau peranginan seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee dijangka mengadakan lawatan kerja pertama ke pulau peranginan seluruh Terengganu selama dua hari, bermula esok.

Lawatan ke Pulau Bidong, Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Perhentian itu turut disertai seramai 100 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan berkaitan kerajaan (NGO), pengusaha pelancongan Pulau Redang , kakitangan Jabatan Taman laut Malaysia (JTLM) dan pengamal media.

Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata program yang pertama kali seumpama itu dilaksanakan bagi melihat perkembangan dan senario pembangunan pulau dari sudut pelancongan negeri termasuk aspek keselamatan dan pengawasan pelancong.

“Kerajaan negeri mahu meninjau kondisi pembangunan pulau khususnya melibatkan senario berkaitan pelancongan dan juga kawalan keselamatan supaya kejadian kemalangan yang membabitkan pelancong tidak lagi berlaku di pusat peranginan itu.

 “Lawatan secara dekat itu membolehkan semua pihak menangani pelbagai masalah dan isu berkaitan pelancongan sekaligus menerima respon dari penduduk mahupun penggiat pelancongan di semua pulau terlibat,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Sehubungan itu, Encik Ahmad Fathil berkata, peserta program itu dijadualkan bertolak dari Jeti Merang, Setiu, untuk ke Pulau Bidong bermula jam 8 pagi.

 “Sejurus lawatan di sekitar Pulau Bidong, peserta akan ke Pulau Redang, kira-kira jam 9.15 pagi. Exco (Dato’ Mohd Jidin), dijangka tiba di Pusat Taman Laut Pulau Pinang, Pulau Redang, jam 9.30 pagi.

 “Dato’ Mohd Jidin akan menyampaikan ucapan selepas ucapan oleh Timbalan Ketua Pengarah JTLM, Encik Kamaruddin Ibrahim, seterusnya disusuli dengan acara Pelepasan Sukarelawan Penyelam Skuba sempena Program Crown of Thorns dan Reef Clean Up Pulau Redang anjuran JTLM,” katanya.

Katanya, lawatan sekitar Pusat Taman laut akan bermula pada jam 11.30 pagi, disusuli lawatan sekitar Pulau Redang yang dijangka berakhir jam 4 petang.

 Menurutnya, peserta kemudiannya ke Pulau Lang Tengah untuk bermalam di Sari Pacifica, sebelum meneruskan lawatan ke Pulau perhentian, kira-kira jam 7 pagi.

 “Di Pulau Perhentian, peserta akan melawat sekitar Pasir Panjang dan kampung Pulau Perhentian, bermula jam 10 pagi sebelum berhenti rehat untuk solat Jumaat,” katanya.


Jawatan presiden dan timbalan perlu kekal

Oleh: Suriati Ali

 Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato' Haji Ahmad Razif Abd Rahman menyokong cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingankan bagi mengelak perpecahan pada Perhimpunan Agung Umno pada Oktober ini.

 Katanya, gandingan mantap Perdana Menteri Dato’ Seri Haji Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku timbalan presiden Umno adalah yang terbaik untuk menjayakan segala program transformasi parti.

 “Kedua-dua parti itu perlu dikekalkan kerana kepimpinan mereka masih diperlukan untuk memacu Umno ke hadapan dan memenuhi aspirasi Barisan Nasional (BN).

“Berdasarkan pengalaman, setiap kali pertandingan diadakan mesti berlaku perpecahan, kita tidak mahu ini berlaku, jadi saya berharap ia perlu dikekalkan dan tiada pertandingan,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Mingguab Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dato’ Haji Razif turut memberitahu, parti memerlukan barisan kepimpinan yang mantap serta bertanggungjawab bagi meneruskan kelangsungan perjuangan Umno dalam membela nasib rakyat di negara ini.

 

Pelumba pelapis Terengganu maut kemalangan


Malang menimpa seorang pelumba skuad pelapis Persatuan Lumba Basikal Terengganu apabila maut selepas dirempuh lori treler ketika menjalani sesi latihan, di atas jambatan  di Kampung Bukit Guntung, Tepoh, Kuala Terengganu, pada jam 9.30 pagi tadi.

Mangsa, Mohd Syafiq Imran Shahril, 15, dikatakan gagal mengawal basikalnya selepas cuba mengelak rakannya yang terjatuh sebelum dirempuh lori terbabit dari arah bertentangan.

Akibat perlanggaran itu, mangsa dipercayai diseret di bawah tayar kanan lori dan parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dikatakan sedang menjalani latihan bersama 44 rakan skuad yang sama menuju ke Bukit Besi, Dungun sebagai sebahagian daripada latihan untuk menghadapi sebuah kejohanan di Perlis pada 19 Jun ini.

Menurut rakan sepelatih mangsa, Che Ku Mohd Nazimie Che Ku Romli, 19, insiden itu dikatakan terjadi selepas seorang pelumba di hadapan terlanggar lubang sebelum dia yang mengekori di belakang tidak sempat mengelak.

“Tayar basikal kami bergesel dan saya gagal mengawal basikal sebelum terjatuh ke sebelah kanan jalan. Arwah yang berada di belakang cuba mengelak daripada melanggar saya tetapi hilang kawalan dan terjatuh dari basikalnya di tengah jalan.

 “Saya sempat bangun tetapi arwah gagal dan dia dirempuh sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan serta diseret sejauh 1.5 meter.

 “Ketika itu, arwah masih bernyawa sambil merintih kesakitan dan memanggil nama ibu bapanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurutnya, arwah kemudian dikejarkan ke HSNZ dengan ambulan untuk mendapatkan rawatan namun meninggal dunia beberapa minit selepas tiba di hospital itu.

 

Kaki pancing berkampung di Tasik Kenyir

Oleh; Esah Abdullah

Tasik Kenyir sekali lagi akan menjadi tumpuan kaki pancing dari dalam dan luar negara apabila program cabaran memancing Boat On The Road (BOTR) 2013 membuka tirainya pada 14 Jun depan.

BOTR anjuran kerajaan negeri dan Unit Joran Berita Harian itu menyediakan hadiah keseluruhan berjumlah RM73,300 termasuk RM20,000 kepada pemancing yang berjaya menaikkan ikan Arapaima Gigas.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu tengah (Ketengah) Haji Wan Mat Amin Wan Daud berkata sebagai tuan rumah pihaknya sudah bersedia menanti kehadiran peserta sepanjang tiga hari acara berlangsung.

Katanya, berdasarkan pengalamanan penganjuran sebelum ini, acara ini berjaya menarik ramai kaki pancing dari dalam dan luar negara.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kaki pancing sekali lagi ditawarkan ganjaran berjumlah RM20,000 jika berjaya menaikkan ikan Arapaima Giagas yang dipercayai menghuni Tasik Kenyir.

“Penganjuran BOTR ini juga dijangka mampu meningkatkan kehadiran pelancong ke tasik buatan manusia itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelaras BOTR di Pejabat Ketengah, Pengkalan Gawi baru-baru ini.

Katanya, majlis pelancaran dan pelepasan peserta dijangka akan dilakukan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di mana konvoi peserta BOTR memulakan ekspedisi dari Seri Pentas TV3 di Bandar Utama Petaling Jaya pada jam 8 pagi.

 

Kakitangan awam diminta menghormati kerajaan dengan tidak melakukan perkara bertentangan peraturan.



Oleh: Mohammad Ishak

Kakitangan kerajaan diminta sentiasa menghormati profesion masing-masing sepanjang mereka berkhidmat dengan kerajaan dengan tidak melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kementerian atau jabatan masing-masing dengan cara sesuka hati. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kota Putera, Mohd Mahdi Musa berkata mereka sebaliknya perlu menghormati semua pihak terutamanya majikan mereka dengan tidak secara suka hati mencampur adukkan tugasan mereka dengan fahaman politik kerana mereka tertakluk sebagai penjawat awam.

Katanya, kerajaan tidak menganggu pegangan atau faham politik setiap kakitangan kerajaan tetapi sebolehnya ianya mestilah menjadi rahsia kepada mereka tetapi bukan untuk ditunjuk-tunjukkan secara terbuka kepada umum atau apatah lagi dizahirkan soleh-olah untuk mencabar kerajaan sebagai tempat mereka bernaung selama ini.

“Tidak apalah kalau golongan itu mempunyai fahaman politik yang tidak sealiran dengan kerajaan tetapi jangan sekali-kali ianya dizahirkan secara terbuka ,apatah lagi berniat untuk mencabar pulak“, katanya ketika melawat dua orang guru yang diserang penyakit kronik di kawasan Kota Putera di sini hari ini.

Dalam lawatan yang disertai sama Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab Halim Hasan itu, Mohd Mahdi telah menziarahi guru Kolej Vokasional Besut, Haliza Hassan, 39 yang menghidap penyakit kanser payudara di Kampung Gelam Mas dan Mariati Mayah@Alias, 41 seorang guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nering, Jerteh yang menghadapi kerosakan kedua-dua belah buah pinggangnya di Kampung Gong Kepas Dalam.

Mohd Mahdi kesal dengan tindakan guru di sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu yang dikatakan merayakan Sambutan Hari Guru dengan pemimpin pembangkang pada Khamis lalu yang disiarkan dalam laman sosial Facebook.

Menurutnya, sebagai penjawat awam mereka sepatutnya mengutamakan pemimpin dari kerajaan yang memerintah dan bukan dari kalangan pemimpin pembangkang walaupun mereka telah memenangi dalam PRU13 di kawasan sekolah berkenaan.

Beliau berharap satu tindakan perlu diambil bagi memperbetulkan keadaan tersebut oleh Kementerian Pelajaran agar ianya tidak berlaku dan berleluasa di masa depan.