Halaman

09 June 2013

UniSZA lahir graduan berteraskan kreativiti dan inovasi

Oleh; Esah Abdullah 

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya melahirkan graduan berteraskan kreativiti dan inovasi serta mampu memenuhi keperluan negara dalam sektor perindustrian.

Naib Canselornya, Prof Dr Yahya Ibrahim berkata, kejayaan dua pensyarah Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Kejuruteraan UniSZA mewakili negara ke pameran i.Saloni Milan Itali April lalu sangat membanggakan.

“Shahrul Anuwar Mohamed Yusof dan Addy Putra Md Zulkifli merupakan antara lima pereka muda Malaysia yang terpilih untuk mempersembahkan rekaan produk mereka di sana,” katanya di majlis Pelancaran dan Bengkel Pertandingan Reka Bentuk Perabot Mobili Peringkat Zon Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr Jalaluddin Harun dan Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Kejuruteraan UniSZA, Prof Ir Dr Mohd Rizon Juhari.

Katanya, program yang ditaja oleh MTIB dan di urus oleh Arcradius Consultant itu berpeluang mempamerkan produk rekaan masing-masing di ruang Satellite untuk pereka muda bawah 35 tahun dengan penyertaan 2,500 syarikat dari seluruh dunia.

“ Baru-baru ini juga kumpulan pelajar dari Fakulti Reka Bentuk, Inovasi dan Teknologi meraih tempat pertama, ketiga dan saguhati pada NST-Peugeot Car Designe Competition,” katanya.

Katanya dengan kemenangan itu, mereka dibawa melawat ke Pusat Reka Bentuk Peugeot, Velizy, Perancis serta diberi peluang menjalani latihan internship di NAZA.

Prof Dr Yahya mengucapkan jutaan terika kasih kepada MTIB memilih UniSZA sebagai lokasi kedua MTIB menganjurkan bengkel dan pertandingan reka bentuk bagi mencari bakat muda untuk mewakili negara ke pameran perabot antarabangsa di Itali tahun depan.

Katanya, menyedari kepentingan itu UniSZA kini menubuhkan Pusat Reka Bentuk dan Multimedia di bawah Fakulti Reka Bentuk Inovasi dan Teknologi yang berfungsi sebagai agen penggerak aktiviti berkaitan.

“Ia akan membantu industri pembuatan khususnya usahawan yang berada disekitar pantai timur serta boleh dimanfaatkan oleh sektor pendidikan khususnya sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Pendapatan industri kayu negara mencecah RM20 bilion

Oleh; Esah Abdullah 

Industri kayu dinegara ini telah menunjukkan peningkatan dalam pendapatan eksport dari RM10.5 bilion (1992) kepada RM20.20 bilion tahun lalu (2012).

 Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr Jalaluddin Harun berkata, peratusan sumbangan daripada nilai eksport industri kayu mencecah 2.8 peratus daripada jumlah eksport negara tahun lepas.

“Industri perkayuan kini berada pada fasa transisi dengan memfokuskan eksport kepada produk nilai tambah seperti kayu kumai, tanggam dan perabot,” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran dan Bengkel Pertandingan Reka Bentuk Perabot Mobili Peringkat Zon Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahya Ibrahim dan Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Kejuruteraan UniSZA, Prof Ir Dr Mohd Rizon Juhari.

Katanya, jika dilihat secara purata sumbangan eksport produk nilai tambah untuk lima tahun kebelakangan ini adalah sebanyak 45 peratus berbanding dengan jumlah eksport perkayuan negara.

Menurutnya, usaha perlu berterusan untuk mencapai sasaran pada 2020 kepada komposisi eksport produk nilai tambah 60 peratus berbanding produk primer seperti yang disasarkan dalam Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP).

“Pada masa ini negara kita berada pada kedudukan kelapan pengeksport terbesar perabot dunia dan ketiga di Asia, di mana destinasi eksport perabot negara menjangkau lebih dari 160 buah negara,” katanya.

Katanya, eksport perabot Malaysia untuk lima tahun kebelakangan ini telah menunjukkan prestasi agak mendatar dengan anggaran purata perolehan sebanyak RM6.5 bilion setahun dan NATIP telah mensasarkam untuk mencapai pendapatan eksport sebanyak RM16 bilion pada 2020.

Tambahnya, salah satu cabaran industri perabot adalah keperluan untuk beralih kepada pengeluaran perabot reka bentuk sendiri (ODM) serta usaha membangunkan jenama sendiri (OBM).

Pada masa sekarang katanya, hampir 70 peratus eksport perabot adalah tergolong di bawah kategori pengeluaran perabot berdasarkan reka bentuk yang dibekalkan oleh pihak pengimport (OEM).

“Kajian menunjukkan keuntungan bagi pengeksport produk OEM pada kadar tujuh hingga 11 peratus manakala pulangan dari keluaran ODM boleh meningkat kepada 12 hingga 15 peratus dan produk OBM pula boleh meraih keuntungan mencecah hampir 30 hingga 40 peratus,” katanya.

 

Penjawat awam harus tingkatkan prestasi kerja

Oleh: Noraini Jusoh

Semua penjawat awam harus berazam dan beriltizam untuk meningkatkan prestasi kerja bagi memenuhi aspirasi dan hasrat negeri melahirkan modal insan yang seimbang tercapai.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, kualiti ialah satu nilai yang sentiasa berubah mengikut arus pergerakan masa.

"Usaha kita untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan sebagai penjawat awam hendaklah secara berterusan dan tidak terhenti apabila mencapainya.

"Selain memberi perkhidmatan yang berkualiti kita juga haruslah mempunyai kewibawaan dan nilai integriti yang tinggi dalam setiap urusan atau tugasan yang diamanahkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Maidam Tahun 2013 di Pusat Pentadbiran Islam Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh.

Katanya, budaya kerja kelas pertama perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam dan seharusnya tidak ada kompromi dalam soal integriti kerana perkara ini amat penting untuk dititikberatkan pada setiap peringkat dalam perkhidmatan kerajaan.

Tambah beliau, penjawat awam perlu mengamalkan Tonggak 12 yang menggariskan 12 nilai murni yang sememangnya dapat mengekang daripada melakukan sebarang penyelewengan dan perlanggaran peraturan seperti penyalahgunaan kuasa, ketidakcekapan, pembaziran dan amalan negatif lain yang boleh melemahkan dan memberikan imej negatif kepada perkhidmatan awam.

"Sebagai penjawat awam, marilah bersama-sama kita membentuk Perkhidmatan Awam Negeri yang cemerlang demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang kita cintai,” katanya.

 

81 peniaga pasar lama Jertih berpindah ke Jertih Souq


Peniaga Pasar Baru Jertih kini berniaga lebih selesa

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 81 peniaga barangan kering dan basah yang sebelum ini berniaga di Pasar Lama Jertih telah mula berpindah untuk menjalankan perniagaan mereka di bangunan baru di Jertih Souq di sini sejak beberapa hari lalu.

Yang Di Pertua Majlis daerah Besut, Ibrahim Mohamad berkata mereka yang diarah berpindah itu membabitkan peniaga ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan serta peniaga kuih-muih yang kesemuanya sudah memulakan perniagaan di bahagian bawah bangunan Jertih Souq di sini.

Katanya, pemindahan tersebut dilakukan memandangkan struktur pasar lama sementara yang mereka duduki untuk berniaga lebih 12 tahun lalu itu sudah tidak selamat lagi setelah ianya dibina ekoran kebakaran besar yang berlaku di situ sebelum itu.

Menurutnya, kini peniaga dapat menjalankan perniagaan mereka dengan lebih selesa lagi kerana ianya bukan saja lebih luas malah mempunyai kemudahan tempat letak kereta yang banyak bagi memudahkan pelanggan dan orang ramai membeli belah di situ.

“ Bangunan pasar sementara yang dikosongkan itu akan dirobohkan dan rancangan bagi membina pasar yang lebih moden sedang dirancang di situ”, katanya kepada media disini hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedang melakukan kerja-kerja penambahbaikan bagi memastikan para peniaga dapat berniaga dengan lebih selesa dan dapat menambah pendapatan.

Sultan Mizan berkenan berangkat menyampaikan hadiah Kejuaraan Motocross Asia

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: Suriati Ali 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada pemenang pusingan kedua Kejuaraan Motocross Asia FIM 2013 di trek perlumbaan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli beramah dengan peserta pertandingan.
Hadir sama Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Rozi Mamat.

 Kejohanan yang melibatkan tujuh kategori perlumbaan termasuk empat
daripadanya kejohanan Motocross AAM Malaysia, bermula Khamis lepas (6 Jun) melibatkan hampir 150 peserta dari Filipina, Thailand, Indonesia, Guam, China, Jepun, Iran dan Malaysia.

Kejohanan kali kedua diadakan di Terengganu itu mendapat pengiktirafan FIM dan AAM melibatkan hadiah keseluruhan hampir RM30,000..

 Ia anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kelab Sukan Bermotor Maju Selangor dan Wilayah Persekutuan.

 Katanya, kategori pertama yang dipertandingkan mengikut pasukan dan individu ialah kategori Kelas 1 MX125-2 lejang 125cc dan 4 lejang 250cc serta Kelas 2 MX 85cc dan 4 lejang 150cc, yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai AS$7,750 (RM23,521) tempat pertama hingga ke-10.

 

Pelumba cilik negara raih juara kategori Asian MX85

Muhammad Daud, 14 tahun, menjadi kebanggaan
negara apabila muncul juara kategori Asian MX85.
- Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: SuriatI Ali 

 Pelumba cilik negara Muhammad Daud Mohd Kassim, 14 berjaya mengharumkan nama negara
apabila berjaya meraih juara kategori Asian MX85, dalam pusingan kedua Kejuaraan Motocross Asia FIM 2013 di trek perlumbaan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

 Anak kelahiran Rompin, Pahang itu menewaskan dua pencabarnya Mark Reggie Flores dari Filipina dan Jacques Gunawardena (Sri Lanka) yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

 Muhammad Daud yang juga pelajar Sekolah Agama Rompin, berkata keadaan cuaca yang terlalu panas tidak mematahkan semangat untuk terus bertarung bagi meraih juara bersama pelumba-pelumba lain yang dianggap sangat hebat.

"Kejuaraan ini adalah yang istimewa buat saya kerana ini adalah pencapaian tertinggi saya sehingga peringkat Asia," katanya yang berjaya membawa pulang hadiah keseluruhan wang tunai US$200.


Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyampaikan hadiah

Hadir sama Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji  Mazlan Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Rozi Mamat.

Manakala pelumba Thailand, Jugkrit Suksripaisan yang mempamerkan tunggangan meyakinkan muncul juara kategori Asian MX2.

Dengan kemenangan itu, pelumba kelahiran Ayutthaya yang menunggang motocross jenis Honda mengutip mata tertinggi dalam kedua-dua saingan perlumbaan yang masing-masing perlu ditamatkan dalam masa 20 minit dengan tambahan dua pusingan, sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai US$1,000 (RM3,090).


Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh pelumba Jepun, Tomoya Suzuki (US$800) dan pelumba Iran, Ali Borzouzadeh (US$700).

 Suksripaisan, 17, ketika ditemui selepas perlumbaan menyifatkan pencapaian itu antara tunggangannya yang terbaik setakat ini selain dibantu keadaan cuaca yang panas terik untuk memecut laju menewaskan 14 peserta lain.

"Cuaca panas benar-benar membantu saya. Saya berasa cukup yakin untuk memecut di atas trek malah ketika melakukan 'lap'," katanya.

Bagi kateogori Asian Veteran pula, pelumba Filipina Reigin Royce Leongson muncul juara manakala Stanley Yasuhiro (Guam) dan Marciano San Andres (Filipina) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

 Kejohanan yang melibatkan tujuh kategori perlumbaan termasuk empat daripadanya kejohanan Motocross AAM Malaysia, bermula Khamis lepas melibatkan hampir 150 peserta dari Filipina, Thailand, Indonesia, Guam, China, Jepun, Iran dan Malaysia.

 

Menara tinjau ditambah tingkat keselamatan di pulau peranginan

Dato'  Mohd Jidin menaikkan sotong torak ketika
mencandat di perairan Terengganu. - Gambar oleh
Mohd Yahya Muda.
Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu akan mempertingkatkan aspek keselamatan pelancong di pulau peranginan seluruh Terengganu dengan membina lebih banyak menara tinjau di kawasan yang menjadi tumpuan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Dato’ Mohd Jidin Shafie berkata pembinaan menara tinjau itu akan memudahkan tugas memantau persekitaran, sekali gus menjamin keselamatan pelancong ketika bercuti di pusat peranginan berkenaan.

"Kita sudahpun melakukan perbincangan dengan beberapa agensi yang terlibat bagi merealisasikan usaha itu kerana ia diharap dapat memberi tindakan awal kepada pelancong selain melihat pergerakan bot dan mengesan lebih cepat jika berlaku sebarang bencana.


"Setakat ini kita mempunyai dua menara masing-masing di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, di mana mungkin kita akan menambah beberapa lagi menara di pulau itu," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di pulau-pulau negeri ini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM), Encik Kamarruddin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu 2013, Mohd Fathil Abd Ghani.

Dato’ Mohd Jidin turut menggalakkan pengusaha resort di Terengganu supaya menempatkan pengawal keselamatan yang terlatih untuk mengawal keselamatan pengunjung khususnya yang gemar melakukan aktiviti berenang dan mandi-manda di pesisir pantai.



Menurutnya, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan JTLM Terengganu dan beberapa agensi lain bagi mewujudkan satu lokasi untuk bot-bot berlabuh.

“Lokasi bot berlabuh perlu diasingkan daripada kawasan tempat mandi dan aktiviti snorkeling bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. "Sekarang ini, kita boleh lihat bot-bot yang membawa pelancong ini tidak berlabuh di tempat yang khusus, jadi perkara itu harus diselesaikan segera kerana mereka meletakkan bot berhampiran jeti resort dan di situ jugalah pelancong melakukan aktiviti selaman atau mandi yang sebenarnya boleh mendatangkan bahaya," katanya.

 

Candat sotong ke peringkat antarabangsa

Oleh: Suriati Ali

 Hampir setiap malam bermula April lalu hingga ke akhir Jun, kawasan perairan Terengganu khususnya berhampiran Pulau Kapas, Pulau Redang, Marang dan Penarik pasti diterangi sinaran lampu bagaikan satu pesta. Ramai yang pernah melihatnya ketika menyusuri laluan pesisir pantai negeri itu.

 Ada yang mengetahui dan tidak kurang juga tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku di tengah-tengah laut sepanjang malam. Candat sotong, itulah fenomena di sebalik ratusan cahaya lampu yang dipasang pada bot-bot bersaiz kecil dan sederhana untuk menarik perhatian sotong.

 Bermula dari matahari terbenam hingga ke fajar menyingsing. Kesempatan itu, Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu, di Pulau Kapas, menganjurkan Program Mencandat Sotong Bersama Media, baru-baru ini.

Seramai 52 petugas media daripada pelbagai agensi termasuk, Unit Komunikasi Negeri, Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al Hijrah menyertai program sehari berkenaan.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata program mencandat sotong akan dipromosi ke peringkat antarabangsa sebagai satu lagi produk pelancongan negeri ini. Katanya, pihaknya merancang membawa petugas media dari luar negara merasai sendiri pengalaman mencandat sotong dalam usaha mempromosinya sebagai produk pelancongan.

 “Pendekatan itu bagi meningkatkan lagi industri pelancongan berasaskan eko pelancongan Terengganu sekali gus mewujudkan peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan.

 "Seperti kita semua tahu, aktiviti mencandat sotong dari April hingga Jun ini sudah jadi macam satu pesta dan ia bukan lagi sumber pendapatan nelayan semata-mata, sebaliknya satu lagi cabang pelancongan negeri.

 "Jadi tahun depan, kita akan cuba dapatkan media dari Eropah, Jepun dan Korea untuk sama-sama merasai pengalaman mencandat sotong di sini dan apabila pulang, mereka akan mempromosi aktiviti berkenaan kepada rakyat negara itu melalui media masing-masing," katanya.

 Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, komunikasi dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie; Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian, Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, A Latiff Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman.

 Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, destinasi Pulau Kapas amat berpotensi untuk terus dimajukan bagi aktiviti mencandat dan ia boleh dimasukkan sebagai sebahagian pakej dengan kadar harga berpatutan bagi menarik pelancong.

 "Saya dapati Pulau Kapas paling dekat dengan pantai. Justeru, ia boleh dijadikan sebahagian pakej sama termasuk tempat persinggahan, lokasi mencandat dan mengelilingi pulau. "Ia akan memberi rezeki tambahan kepada nelayan, pengusaha chalet dan ramai lagi yang terbabit sekali gus meningkatkan ekonomi negeri," katanya.

 

06 June 2013

MTIB anjur pertandingan reka bentuk perabot mobili

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menganjurkan Pertandingan Reka Bentuk Perabot Mobili 2013 Peringkat Zon Timur di Dewan Auditorium, Perpustakaan UniSZA Kampus Gong Badak Kuala Trengganu 9 Jun ini.

Pensyarah Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Kejuruteraan UniSZA, Nor Ziratul Aqma Norzaman berkata, setiap pemenang dalam pertandingan ini berpeluang untuk mempamerkan prototaip rekaan mereka di pameran i-Saloni di Milan Itali pada 2014.

“Objektif utama pertandingan ini adalah untuk menggalakan aktiviti penghasilan perabot ODM/OBM dan kreativiti pereka muda di bawah 35 tahun,” katanya.

Katanya, selain dari pereka muda di bawah 35 tahun terdapat pertambahan kategori baru dalam pertandingan tahun ini iaitu turut di buka kepada pengusaha atau pihak industri.

Sempena dengan pertandingan itu katanya, turut diadakan bengkel Mobili dibeberapa lokasi strategik diseluruh negara termasuk di Uitm Shah Alam dan kali ini diadakan UniSZA sebagai mewakili Zon Pantai Timur.

Sehubungan itu katanya dua pensyarah daripada UniSZA yang berjaya dalam pertandingan itu tahun lalu iaitu Shahrul Anuwar Mohamed dan Addy Putra Md Zulkifli terpilih ke Milan, Itali tahun ini.
 

Kerajaan negeri sambut baik langkah memperkasa pentadbiran Islam negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri menyambut baik langkah memperkasa pentadbiran Islam negeri dan bersetuju dengan penstrukturan semula Institusi Pentadbiran Hal Ehwal Islam Negeri yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, setakat ini kerja-kerja penstrukturan semula Maidam telah mencapai tahap 75 peratus dengan pergabungan jabatan-jabatan berkaitan di bawah Maidam.

"Melalui penstrukturan ini, lapan jabatan bergabung di bawah pentadbiran Maidam iaitu Jabatan Baitulmal, Dakwah Pendidikan dan Pengurusan Masjid, Hal Ehwal Fatwa dan Adat Melayu, Pembangunan Keluarga dan Penguatkuasaan, Kehakiman Syariah, Undang-Undang dan Pendakwaan, Pengurusan Halal dan Teknikal,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Maidam Tahun 2013 di Pusat Pentadbiran Islam Negeri Terengganu, hari ini.

Katanya, secara kasarnya penstrukturan tersebut telah siap cuma menunggu pihak Maidam menyelesaikan secara menyeluruh berkaitan hal penempatan jabatan dan kakitangan yang ditugaskan di bawah jabatan-jabatan yang telah ditentukan.

"Kerajaan negeri menanti pihak Maidam menyelesaikan secara menyeluruh penstrukturan ini untuk di bawa ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mendapatkan kelulusan dari segi penjawatan daripada kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Katanya, pergabungan tersebut diharap dapat melancarkan urusan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini dan tidak berlaku percanggahan kerja antara jabatan di bawah Maidam.

Mengulas mengenai APC bagi meraikan kakitangan Maidam yang menunjukkan kesungguhan kerja yang tinggi sepanjang 2012, Dato’ Haji Mazlan berkata, anugerah tersebut perlu sebagai pembakar semangat kepada penerima anugerah dan seluruh warga Maidam untuk terus menonjolkan kecemerlangan pada masa akan datang.

"Perkhidmatan cemerlang perlu menjadi budaya kepada penjawat awam dan mereka yang telah diamanahkan oleh kerajaan dan rakyat ini perlu sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam setiap tugasan yang dilakukan,” ujarnya.

Difahamkan, seramai 90 kakitangan Maidam yang terdiri daripada 50 lelaki dan 32 perempuan menerima wang tunai RM1000 dan sijil penghargaan pada majlis APC tersebut.