Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya melahirkan graduan berteraskan kreativiti dan inovasi serta mampu memenuhi keperluan negara dalam sektor perindustrian.
Naib Canselornya, Prof Dr Yahya Ibrahim berkata, kejayaan dua pensyarah Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Kejuruteraan UniSZA mewakili negara ke pameran i.Saloni Milan Itali April lalu sangat membanggakan.
“Shahrul Anuwar Mohamed Yusof dan Addy Putra Md Zulkifli merupakan antara lima pereka muda Malaysia yang terpilih untuk mempersembahkan rekaan produk mereka di sana,” katanya di majlis Pelancaran dan Bengkel Pertandingan Reka Bentuk Perabot Mobili Peringkat Zon Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr Jalaluddin Harun dan Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Kejuruteraan UniSZA, Prof Ir Dr Mohd Rizon Juhari.
Katanya, program yang ditaja oleh MTIB dan di urus oleh Arcradius Consultant itu berpeluang mempamerkan produk rekaan masing-masing di ruang Satellite untuk pereka muda bawah 35 tahun dengan penyertaan 2,500 syarikat dari seluruh dunia.
“ Baru-baru ini juga kumpulan pelajar dari Fakulti Reka Bentuk, Inovasi dan Teknologi meraih tempat pertama, ketiga dan saguhati pada NST-Peugeot Car Designe Competition,” katanya.
Katanya dengan kemenangan itu, mereka dibawa melawat ke Pusat Reka Bentuk Peugeot, Velizy, Perancis serta diberi peluang menjalani latihan internship di NAZA.
Prof Dr Yahya mengucapkan jutaan terika kasih kepada MTIB memilih UniSZA sebagai lokasi kedua MTIB menganjurkan bengkel dan pertandingan reka bentuk bagi mencari bakat muda untuk mewakili negara ke pameran perabot antarabangsa di Itali tahun depan.
Katanya, menyedari kepentingan itu UniSZA kini menubuhkan Pusat Reka Bentuk dan Multimedia di bawah Fakulti Reka Bentuk Inovasi dan Teknologi yang berfungsi sebagai agen penggerak aktiviti berkaitan.
“Ia akan membantu industri pembuatan khususnya usahawan yang berada disekitar pantai timur serta boleh dimanfaatkan oleh sektor pendidikan khususnya sekolah rendah dan menengah,” katanya.