Halaman

18 June 2013

Dua gelanggang futsal berbumbung bakal dibina

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat sentiasa meyokong penuh usaha memperkasa dan menggalakkan aktiviti sukan dalam kalangan belia di negeri ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Rusli Yusoff berkata, bagi menggalakkan lagi pembangunan sukan di Terengganu, kerajaan Pusat melalui Kementerian Belia dan Sukan menyalurkan sejumlah peruntukan bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung di Hulu Terengganu dan Kemaman.

"Pembinaan dua gelanggang futsal berbumbung berkenaan yang bernilai RM500,000 setiap satu dijangka akan bermula Ogos ini.

"Sehingga kini, Kementerian Belia dan Sukan telah membina 170 gelanggang futsal di seluruh Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara 2013 Sidang 1, Peringkat Negeri Terengganu di Prinzpark Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Rusli, bagi tujuan pembangunan dan mengurus aktiviti sukan, sebanyak 111 Gelanggang Futsal 1 Malaysia disediakan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu melalui Rancangan Malaysia Ke-9, Rancangan Malaysia ke-10 dan peruntukan 1 Gelanggang 1 Mukim.

"Malah, di Kemaman dan Besut ada Kompleks Rakan Muda serta tambahan kompleks sukan komuniti di Besut,” ujarnya.

Katanya, dengan segala kemudahan yang disediakan kerajaan ini diharap dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja dan digunakan sebaik mungkin oleh mereka sebagai tempat beriadah.

 

Kerajaan sedia RM8.5 juta untuk usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memperuntukkan RM8.5 juta (1999-2012) bagi tujuan pinjaman kepada golongan usahawan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud berkata pelbagai program telah dilaksanakan bagi membantu usahawan mengembangkan bidang yang diceburi.

“Antaranya menyediakan kemudahan pinjaman kepada usahawan yang memerlukan modal pusingan, menyediakan premis kilang dan perniagaan, pembangunan produk seperti pembungkusan dan perlebelan serta program promosi produk,” katanya.

YB Roslee (BN-Bukit Besi) berkata demikian ketika menjawab soalan YB Haji Muhammad Pehimi Yusof (BN-Jerteh) pada Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Katanya, turut disediakan latihan teknikal dan latihan pengurusan, melaksanakan program pembangunan perniagaan di bawah Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang melibatkan usahawan desa yang tinggal di kampung-kampung.

Tambahnya, bimbingan dan khidmat nasihat diberi keutamaan kepada usahawan untuk memberi peluang mereka meneroka lebih jauh dalam bidang yang diceburi.

“Beberapa skim diwujudkan bagi membantu mereka iaitu skim pinjaman tanpa faedah, pinjaman kecil, sahabat penjaja Melayu, pinjaman peniaga pasar malam dan pinjaman khas untuk mendapatkan kanopi,” katanya.

 Menurutnya, kerajaan menyediakan segala kemudahan untuk rakyat terutama masyarakat di luar bandar agar mendapat kehidupan lebih baik termasuk menceburkan diri dalam bidang usahawan sama kecil atau besar dan peluang itu tidak harus persiakan .
 

Kerajaan berjaya bawa masuk 19 industri baru

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan berjaya membawa masuk 19 industri baru ke Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan berjumlah hampir 4,000.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, kerajaan juga berusaha untuk mempercepat serta memudahkan bagi mana-mana syarikat mendapat tapak di negeri ini demi kepentingan rakyat.

“Contohnya jika kawasan yang dipohon itu tidak melebihi 10 hektar ia akan mendapat kelulusan yang cepat , perlu diberi taklimat pelaburan yang ingin dibuat serta diperakui oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri setelah mendapat keputusan penelitian dan kajian oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri.

 “Kalau ia  melebihi 10 hektar akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mendapat kelulusan kemudian jika berjaya tawaran bayaran premium akan dikeluarkan serta kebenaran untuk pembinaan kilang dan sebagainya,” katanya.

Dato’ Haji Tengku Putera (BN-Kuala Berang) berkata demikian ketika menjawab soalan YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) pada Sidang Dewan Undangan Negeri  yang meminta penjelasan jumlah industri baru yang dibawa masuk ke kawasan industri Teluk Kalong serta peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha ke arah mempercepat perkara berkaitan kelulusan sesuatu permohonanan tapak industri termasuk menyediakan Pusat Sehenti (One Stop Centre) bagi memastikan setiap pelabur yang datang terus mendapat tempat di sini. Menjawab soalan tambahan dari wakil yang sama,

Dato’ Haji Tengku Putera berkata, sebanyak 8,887 peluang pekerjaan dalam industri  pada 1999-2004 (ketika Pas memerintah) manakala bagi tempoh 2008 hingga Mei 2013 sebanyak 23,477 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan.
 

Adun Pas uji speaker baru DUN Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti pembangkang menguji Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong, yang baru dilantik dua hari lalu, pada sidang dewan hari ini, dengan cara membelakangkan arahan beliau.



Syed Azman Syed Nawawi (Pas-Batu Buruk) secara terang-terang membelakangkan arahan Mohd Zubir yang meminta beliau duduk ketika cuba membentangkan usul khas untuk kepentingan umum dan perlu disegerakan dan dibahaskan pada sidang dewan tersebut.

Beberapa wakil rakyat Pas lain, termasuk Abdul Wahid Endut, terus bangun dan bercakap walaupun pihak pengurusan mematikan alat pembesar suara di dalam dewan bagi menenangkan keadaan.

Bagaimanapun, dengan memberi nasihat supaya ahli-ahli dewan beradab dan berhemah semasa sidang dewan berlangsung, Mohd Zubir berjaya mengawal keadaan dan menangguhkan sesi dewan pada sebelah pagi dan menyambung semula selepas rehat setengah jam.

Kekecohan yang dilakukan wakil pembangkang tersebut secara tidak langsung memperlihatkan ketidaksopanan mereka ketika berada di dalam dewan yang mulia.

Haji Mohd Zuber yang juga bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), mengangkat sumpah jawatan tersebut, Ahad lalu.

Beliau yang juga bekas Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Syed kemudiannya menolak usul yang dibentangkan oleh Syed Azman kerana ia bukan merupakan usul yang perlu disegerakan.

 







ADUN BATU BURUK DEGIL TIDAK AKUR YDP

Laporan terus oleh Ruslan Abdul Rahman. 

Adun Batu Buruk, YB Dr. Syed Azman Syed Nawawi cuba membelakangkan arahan Yang Dipertua Dewan berkaitan usul khas untuk kepentingan umum dan perlu disegerakan.

Yang Dipertua memberitahu dewan berhenti rehat pada jam 10.30 pagi setelah sessi soal jawab, tetapi Adun Batu Buruk tetap bangun membaca usul yang didakwanya penting dan perlu disegerakan iaitu berkaitan stadium runtuh dan beberapa kejadian lain.

Beberapa Adun bangun membantah termasuk Adun Jabi, YB Mohd Iskandar Jaafar atas sikap Adun Batu Buruk, bahkan wakil kerajaan (exco) YB Haji Nawi Mohamad (Adun Hulu Besut) turut bangun membantah supaya Yang Dipertua Dewan menangguh dewan ikut tertib persidangan sebagaimana ditetapkan.


Akhirnya Yang Dipertua Dewan menangguhkan dewan dan selepas rehat, dewan disambung semula.


Sent from Yahoo! Mail on Android 


 

ISU PORTFOLIO AGAMA DIPERJELASKAN

Laporan terus oleh Ruslan Abdul Rahman. 



Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said memberitahu dewan bahawa walaupun tidak disebut portfolio Agama Islam tetapi Exco berkaitan perkara itu ada iaitu di bawah ExcoTugas tugas Khas sepertimana juga di peringkat Persekutuan iaitu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Adun Ajil, YB Ghazali Taib sebelum itu bangun memberitahu dewan bahawa beliau adalah Exco yang menjalankan tugas tugas berkaitan hal ehwal agama Islam.

Beliau menjawab soalan asal Adun Wakaf Mempelam Mohd Abdul Wahid Endut.

Adun Wakaf Mempelam bangun menyatakan sepatutnya Exco Agama itu dipegang oleh orang yang tahu hal ehwal agama dan Adun.

Ajil menjelaskan beliau ada asas pendidikan agama termasuk di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin yang dulu, Universiti Malaya dan lain lain hingga membuat wakil Wakaf Mempelam terperangkap kerana silap maklumat.

YB Ghazali menyatakan kepada Adun Wakaf Mempelam jangan bersikap angkuh dan sombong mempertikaikan kewibawaan orang lain.

Sent from Yahoo! Mail on Android

 

Lebih ramai pengusaha batik diseru mendaftar sebagai ahli PBM

Oleh: Noraini Jusoh

Dalam usaha memartabatkan industri batik negara, Persatuan Batik Malaysia (PBM) menyeru lebih ramai pembatik dan pengusaha batik seluruh negeri mendaftar sebagai ahli persatuan.


Pengerusinya, Dato’ Leela Mohd Ali berkata, selain memperjuangkan hak pengusaha batik persatuan ini juga berperanan sebagai medan pertemuan dan perbincangan setiap ahli dan banyak faedah lain yang dapat dikongsi.

"Setakat ini, PBM yang ditubuhkan pada tahun 2006 hanya mempunyai 102 ahli sahaja, walau bagaimanapun suara persatuan ini telah mula didengar.

"Sebagai contoh, pihak Kastam dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menjemput PBM untuk menghadiri mesyuarat serta sesi perbincangan dan perundingan mengenai batik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-7 Persatuan Batik Malaysia yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud di Kompleks Kraf Noor Arfa Batik, semalam.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri juga telah mengiktiraf dan menyokong PBM dengan menyumbang RM20,000 melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) awal tahun ini.

Katanya, beliau yakin PBM mampu berjuang untuk pembatik dan pengusaha batik dari pelbagai aspek jika ramai lagi menyertai persatuan ini kerana bilangan ahli akan menjadi tanda ukur status perwakilan.

"Suara persatuan akan lebih didengar dan dilayan jika persatuan dilihat dan diterima sebagai satu badan yang mewakili pengusaha batik dan pembatik,” ujarnya.

 

YDP MINTA AHLI DEWAN BANYAK SABAR

LAPORAN SIDANG DUN: 

Oleh Ruslan Abdul Rahman terus dari lokasi: 


Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri YB Haji Mohd Zubir Embong memulakan ucapan dengan meminta ahli ahli dewan supaya mematuhi peraturan peraturan tetap dewan.

Beliau menyeru supaya ahli ahli dewan mengutamakan kesabaran yang tinggi sewaktu berbincang dan bermesyuarat selaras dengan ajaran agama Islam.

Seterusnya beliau harap hubungan silaturrahim ditingkatkan di antara satu sama lain dan damaikanlah sebarang pertelingkahan yang wujud.

Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini bermula jam 9 30 pagi dengan bacaan doa oleh Yang Dipertua, diikuti soal jawab soalan lisan.

Soalan dimulakan oleh YB Wan Hakim Wan Mokhtar, Adun Air Putih, diikuti YB Pehimi Yusof Adun Jerteh.

Semua ahli ahli dewan hadir pada hari ketiga sidang penggal pertama Dewan Undangan Negeri ke 13.

Sent from Yahoo! Mail on Android

 

17 June 2013

Kerajaan negeri komited pertahankan industri batik

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri sentiasa menyokong industri batik kerana ia adalah salah satu identiti tarikan pelancong ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud berkata, Terengganu merupakan antara negeri yang terkenal dalam penghasilan batik bermutu dan 15 orang daripada 102 ahli Persatuan Batik Malaysia merupakan anak Terengganu.

"Sebagai usaha meningkatkan industi batik di Terengganu, kerajaan negeri giat mengadakan program inkubator dalam melahirkan pelapis usahawan batik.

"Usaha ini adalah berterusan untuk mengekalkan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang banyak mengeluarkan batik di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-7 Persatuan Batik Malaysia di Kompleks Kraf Noor Arfa Batik, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga banyak mengadakan pameran dan program di luar negara dalam mengembangkan industri batik untuk menembusi pasaran global.

"Ini adalah komitmen kerajaan negeri dalam memastikan negeri Terengganu memperkasakan industri batik serta kraf lain,” ujarnya.

Katanya, pengusaha batik Terengganu khususnya diseru agar terus mempertahankan industri batik kerana ia adalah warisan turun temurun.

"Saya yakin pengusaha batik akan sedaya upaya membuat inovasi dalam penghasilan batik dan teknik agar ia sejajar dengan tuntutan semasa dan fesyen terkini,” ujarnya.

Katanya, Persatuan Batik Malaysia yang lebih tujuh tahun ditubuhkan diharap mampu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan pertemuan dan perbincangan dalam memartabatkan industri batik.

 

Perhebatkan aktiviti beridentiti negeri untuk tarik pelancong – Sultan Terengganu

Oleh; Esah Abdullah 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin memuji usaha kerajaan negeri dalam merancakkan sektor pelancongan dan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 perlu diperhebatkan lagi dengan aktiviti yang beridentiti negeri untuk menarik kedatangan pelancong.

Titah baginda, kerajaan negeri perlu mencari satu mekanisme supaya sektor pelancongan mampu membuka peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat.

 “Beta percaya dengan ‘Aku Janji Kerajaan’ bagi menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab pelancongan utama negeri yang akan menjadi kenyataan pada 2014 dan ini sudah tentu mampu menarik dan menggamit kehadiran pelancong ke negeri ini khususnya ke Tasik Kenyir,” .

Sultan Terengganu bertitah demikian di Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ketiga Belas di Wisma Darul Iman hari ini.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat berkenaan.

“Beta juga suka mengingatkan bahawa pembangunan Tasik Kenyir perlulah dibuat secara kerjasama dengan agensi swasta supaya tidak membebankan kerajaan dalam usaha membangunkan tasek itu,” titah Baginda.

Sultan Mizan Zainal Abidin juga mengucap tahniah kepada kerajaan negeri kerana memberi tumpuan yang bersungguh-sungguh bagi menyediakan kemudahan asas kepada golongan berpendapatan rendah malah dasar kerajaan yang mensasarkan 10,000 buah rumah mampu milik (2009-2012) telah tercapai serta lima tahun ke hadapan dengan jumlah yang sama.

“Beta menyeru kerajaan menggunapakai kaedah yang boleh mempercepatkan pembinaan rumah-rumah ini dengan penglibatan pihak swasta atau syarikat perumahan di bawah kendalian kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang boleh dijadikan rakan kongsi bagi membina lebih banyak rumah mesra rakyat,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan Zainal Abidin sukacita kerana banyak kejayaan yang dicapai oleh kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di mana slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ benar-benar diterjemahkan ke dalam sistem pentadbiran negeri.

“Urusan pentadbiran yang bersifat mesra rakyat telah memberi keselesaan apabila mereka berurusan dengan agensi kerajaan, malah kurangnya karenah birokrasi menjadikan sesuatu perkara berkaitan pemasalahan cepat diselesaikan,” titah Baginda.

Sultan Terengganu juga gembira apabila kerajaan terus memberi penekanan kepada pembangunan fizikal secara keseluruhannya dan telah terbukti dengan pembangunan ‘Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di Tanjung dan Ladang di mana langkah tersebut amat bertepatan bagi pembangunan bandar ini di samping turut memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat di kawasan sekitar.