Halaman

19 June 2013

Setiu jadi pembekal solar terbesar dalam negara

Oleh; Esah Abdullah

Daerah Setiu bakal menjadi pembekal dalam industri solar terbesar di negara ini apabila projek yang bernilai RM38.5 juta itu bila beroperasi kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, projek industri solar di Sungai Bari Langkap itu telah diluluskan kepada Syarikat Synergy Generated Sdn Bhd.

“Industri solar merupakan sumber baru dan industri ini akan menjadi pembekal solar terbesar di negara ini,”. ,” katanya pada Sidang Undangan Negeri semalam.

Dato’ Haji Tengku Putera (BN-Kuala Berang) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Sabri Mohd Noor (BN-Langkap) mengenai perkembangan terkini industr i solar di Setiu serta peluang pekerjaan yang wujud hasil pelaburan tersebut.

“Saya sangat yakin industri ini menjadi asas kepada pembangunan keseluruhannya serta sumber daripada solar ini merupakan perkara baru di negara kita,” katanya.

Katanya, Langkap merupakan kawasan baru yang perlu dimajukan sebagai sumber negeri dan tempias juga kepada masyarakat tempatan.

“Kerajaan turut bercadang membuka peluang kepada pelabur bertapak di kawasan indusrti Sungai Bari dan Saujana Setiu dan memberi jaminan menyegerakan urusan berkaitan kelulusan tapak dan sebagainya dalam usaha menarik pelabur ,” katanya.

Katanya, semua kawasan industri yang terdapat di negeri ini sebenarnya memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dengan pembangunan lestari disetiap daerah.
 

PAS MANIPULASI TITAH

Oleh: Lang Telipot 

Perbuatan pihak Pas memanipulasi titah DYMM Sultan Terengganu dan menogok tambah apa yang tidak dititah oleh Tuanku amat ketara dan ia pula dilapor secara yang tidak tepat oleh blog pro pembangkang.

Dalam laporan itu kononnya Sultan Terengganu bertitah meminta pihak kerajaan supaya kerajaan negeri membuang sentimen kepartian dalam memberi bantuan kepada rakyat.

Ini bermakna parti Pas melalui para pemimpinnya cuba mencemarkan nama Sultan Terengganu untuk kepentingan mereka.

Apa yang disebut oleh Tuanku dalam teks titah di muka surat 18 ialah: “Oleh itu, kita menyeru Ahli Ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, pemimpin pemimpin sektor swasta dan NGO serta semua golongan masyarakat megeratkan hubungan antara satu sama lain tanpa mengira fahaman politik dan bekerjasama untuk mengharungi cabaran cabaran yang bakal ditempohi kelak”.

Muka surat 20: “Penuh rasa hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengambil kira ideologi politik masing masing”.

Oleh itu tidak timbul soal derhaka kepada Sultan seperti dilaporkan dibangkit oleh Adun Pas Chukai.

Sila bandingkan dengan laporan dan manipulasi laporan blog pembangkang (harakahdaily) dengan teks titah yang sebenar sebagaimana berikut: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negeri diseru mentaati titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahu semua pihak membuang sentimen kepartian dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

Adun Chukai, Hanafiah Mat memberitahu, selepas Pilihan raya Umum ke-13 lalu, JKKK telah berhelah dan tidak mahu menandatangani borang-borang permohonan rakyat dengan alasan kononnya mereka tidak ada kuasa lagi.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata, apabila ditanya kepada pihak JKKK mengapa berbuat demikian diberitahu tidak mempunyai kuasa.

"Saya paling ramai orang mengadu, JKKK tak mahu tandatangan.

Bila saya tanya, dia (JKKK) kata MB tak beri untuk tandatangan dan dia (JKKK) sebut lagi, dia tak ada kuasa.

"Jadi saya juga minta MB Ahmad Said supaya dengar perintah (titah) sultan hari ini, jangan menderhaka," ujarya dipetik Buletin Online.

Sultan Mizan sewaktu bertitah merasmikan pembukaan penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) kali Ke-13 di Wisma Darul Iman kelmarin menyeru semua pihak bekerjasama tanpa mengira fahaman politik.

Harakahdaily sebelum ini melaporkan, Presiden PAS yang juga Adun Rhu Rendang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, titah tuanku itu harus diberi perhatian kerana selepas PRU13 Mei lalu, wujud diskriminasi terhadap rakyat kerana faktor politik.




Sidang DUN:KTNZ mampu tingkat ekonomi negeri

Oleh: Suriati Ali

Pengerusi Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi YB Roslee Daud memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) di Kampung Tanjung Bunut, Manir yang dibina dengan kos RM4.6 juta itu mampu meningkatkan ekonomi negeri.

 Katanya, pada masa sama langkah itu mampu menarik kedatangan peminat songket dan batik dari dalam dan luar negara.

 “KTNZ juga akan menjadi pusat informasi berkaitan perkembangan dan pembangunan tekstil tenun songket bersepadu selain pusat penyelidikan serta menyalurkan khidmat profesional berkaitan seni dan teknologi bertaraf antarabangsa,” katanya ketika menjawab Ridzuan Hashim (Teluk Pasu-Pas).

Menurutnya, pembinaa KTNZ dibawah kendalian Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) turut menyediakan kursus kemahiran tertentu yang mengambil masa setahun setengah.

 “Pengambilan peserta disasarkan kepada golongan remaja dan penduduk setempat, buat permulaan seramai 10 peserta sedang mengikuti kursus yang ditawarkan. .

 “Matlamat utama, YPU menyasarkan seramai 30 hingga 40 pelajar dapat mengikuti kursus di situ pada setiap sesi. Pelatih bakal menerima elaun sebanyak RM450 sebulan daripada YPU,” katanya.

 Katanya, penubuhan institut yang setanding dengan Institut Kraftangan serta sijil yang diiktiraf Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan itu mampu membuka peluang pekerjaan kepada pelatihnya apabila tamat kursus di situ nanti.

 Selain itu, pelatih IKSNZ juga bakal ditawarkan pekerjaan di KTNZ serta boleh menceburkan diri dalam mana-mana bidang berkaitan termasuk menjadi usahawan songket dan batik di seluruh negara.

 


Pengisian program bakti remaja dikaji semula

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Belia Negeri Terengganu menyarankan pengisian Program Bakti Remaja yang menyediakan dana untuk diagihkan kepada belia negeri ini yang belum berkahwin dan berumur dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun dengan menelan belanja kira-kira RM30 juta setahun dikaji semula.

Pengerusinya, Mat Yusof Mat Ali berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini, sokongan golongan belia kepada kerajaan memerintah dilihat sangat mengecewakan.

"Kerajaan negeri telah melaksanakan satu pelaburan yang cukup besar tetapi impaknya terhadap kerajaan amat mendukacitakan.

"Justeru, pendekatan baru terutama dalam pembinaan modul Program Bakti Remaja perlulah lebih telus dan mendapat perkongsian idea semua pihak termasuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Majlis Belia Negeri, dan pihak-pihak lain yang berkaitan demi menjamin kelangsungan belia yang cemerlang dan setia kepada negara tercinta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara 2013 Sidang 1, Peringkat Negeri Terengganu di Prinzpark Hotel, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, sebagai salah satu pendekatan atau transformasi, pihak kerajaan mestilah mendengar, memahami serta memperhalusi suara anak muda yang sangat memerlukan perhatian.

"Malah, pendekatan program yang dijalankan untuk golongan belia hendaklah sesuai dengan kehendak golongan berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, persatuan-persatuan belia juga mesti diaktifkan dan diperkasakan selain mengutamakan kualiti dan bukannya kuantiti persatuan.

 

ADUN WAKAF MEMPELAM TAK HADIR SIDANG

Laporan terus dari lokasi Ruslan Abdul Rahman.

Persidangan dewan undangan negeri ini hari terakhir pada hari ini dimulakan seperti biasa dengan sesi soal jawab soalan lisan. 

Sebelum itu Speaker dewan Haji Mohd Zubir Embong memulakan tugas dengan bacaan doa dan surah al fatihah. Pada masa ini Adun Jertih memulakan pertanyaan soalan lisan berkaitan sektor pelancongan. 

YB Exco berkaitan, Dato Mohd Jidin Shafie menjelaskan bahawa pembangunan sektor pelancongan terutama di Tasik Kenyir akan membuka peluang pekerjaan terutama untuk generasi baru. 

Serikandi adakan kursus protokol dan etika sosial

Oleh: Esah Abdullah 

Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) mengadakan Majlis Hi-Tea bersama Yang Dipertua Serikandi dan Kursus Asas Protokol dan Etika Sosial kepada ahli dan isteri wakil-wakil rakyat negeri ini  di Hotel Primula Resort Kuala Terengganu.


Kursus diadakan bersempena dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri yang bermula 16 hingga 19 Jun dan isteri wakil-wakil rakyat boleh mendapat ilmu di samping beramah mesra antara ahli baru dan lama.

Yang Dipertuanya, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, kursus yang berlangsung tiga hari berakhir semalam (18 Jun) itu banyak memberi manfaat kepada ahli sama ada yang baru pertama kali menyertainya atau sebaliknya.

“Sesi suaikenal turut diadakan kerana terdapat sembilan orang ahli baru iaitu isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh, Jabi, Batu Rakit, Langkap, Pengkalan Berangan, Bukit Besi, Ajil dan Parlimen Setiu dan Hulu Terengganu yang merupakan wakil rakyat baru menang pada PRU baru-baru ini.

“Saya harap ahli-ahli mengambil sikap saling menyokong dan sama-sama menyumbang buah fikiran untuk memperbaiki Serikandi ke arah yang lebih maju lagi,” katanya ketika berucap di Majlis Hi-Tea bersama yang Dipertua Serikandi di Puncak Gamelan Hotel Primula Resort, Kuala Terengganu.

Katanya, perjumpaan kali pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 ini antara lain untuk mengeratkan ikatan silatulrahim antara ahli baru dan lama serta berterima kasih kerana telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Adalah lebih baik kita berpakat secara lebih berhemah serta mengukuhkan ikatan kemesraan antara ahli walaupun ada dikalangan kita, suami tidak lagi bergelar wakil rakyat tetapi masih menjadi ahli Serikandi,” katanya.

To’ Puan Seri Hajah Norliza seterusnya mengajak semua isteri wakil rakyat bergiat aktif melaksanakan aktiviti yang boleh mendekatkan diri kepada masyarakat serta menyertai program suami masing-masing turun padang untuk merasai denyut nadi rakyat.

 Beliau turut memaklumkan bahawa Serikandi akan menyertai Program tahunan Isteri Wakil-wakil rakyat BN Se Malaysia di Johor Bharu pada Oktober depan dan akan mengambil bahagian dalam pertandingan badminton dan boling.

“Saya meminta semua ahli memberi kerjasama untuk menjayakan program itu serta membantu menaikkan imej Serikandi dengan menyertai latihan dua acara sukan berkenaan bagi memastikan kita mampu menyahut cabaran pasukan lain,” katanya.
 

Sidang DUN: Wakil rakyat harus penuhi tuntutan rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiap wakil rakyat yang sudah dipilih oleh rakyat bagi mewakili harapan dan hasrat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, seharusnya memainkan peranan secara bijaksana bagi memastikan rakyat dapat menikmati manfaat dan peluang untuk mengubah taraf hidup ke arah lebih baik.

YB Haji Muhammad Pehimi Yusof (BN-Jertih) berkata demikian selaras dengan titah Sultan Terengganu,  Sultan Mizan Zainal Abidin mengenai pembangunan yang perlu diteruskan dalam memastikan rakyat memperolehi faedah untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

 “Semasa kempen PRU13 baru-baru ini juga pelbagai isu berbangkit termasuk isu Kalimah Allah. Dari isu itu, Umno dari awal lagi begitu tegas dan konsisten bahawa Kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain termasuk Kristian kerana kepercayaan ketuhanan dalam Kristian adalah tidak menyamai dengan Agama Islam.

“Saya rasa amat bersyukur apabila dimaklumkan Majlis Syura Ulama Pas bahawa kalimah ini tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa kerana tidak menepati kehendak makna sebenar daripada kalimah ini,” katanya ketika sesi perbahasan sidang Dun, petang semalam.

YB Haji Muhammad Pehimi juga menjelaskan bahawa tidak boleh bahasa asing diterjemahkan kepada Kalimah Allah termasuk kalimah God atau Lord daripada mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah juga tidak dibolehkan kerana salah dari segi makna serta tidak menepati kehendak sebenar, sekali gus boleh membawa kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Ia hendaklah dicegah dan tidak silap saya demikian juga kenyataan rasmi oleh majlis Syura Ulamak pas yang bermesyuarat pada 12 Januari 2013 yang lalu.

“Seperkara lagi berkait, saya rasa agak sensitif sedikit, iaitu berkait `seluar dalam’ saya rasa tidak perlu panjangkan isu berkenaan , tetapi saya berharap kawan-kawan yang menjadi mangsa terhadap isu itu mengambil inisiatif untuk membuat penyiasatan agar masalah ini tidak berlarutan dan menjadi masalah kepada mereka yang terbabit,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti masing-masing dipilih oleh rakyat berdasarkan keputusan PRU13 lalu supaya akur dan menerima keputusan itu sebagai ketentuan Allah s.w.t.

 “Terima kasih dan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan seluruh petugas termasuk pegawai dan kakitangannya yang menjayakan proses demokrasi pada PRU13 baru-baru ini. Saya yakin mereka menjayakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan amanah.

"Bagi mereka yang masih tidak berpuas hati, kita semua dibenarkan utuk menghantar petisyen ke mahkamah, jangan gunakan kaedah yang tidak dibenarkan seperti turun ke jalan raya, mengadakan sebarang perhimpunan yang menyalahi perundangan negara,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua Adun bahawa perjuangan mereka semata-mata kepada agama, bangsa dan negara, yang menjadi pegangan dari dulu hingga kini, bagaimanapun cara perjuangan itu kemungkinan  dibezakan dengan kaedah masing-masing.


18 June 2013

Sidang DUN: Pembangkang mohon `kuasa' mereka diiktiraf

Oleh: Aida Abd Rahman

Wakil rakyat pembangkang yang kini mula merasai kehilangan `kuasa’ memohon kerajaan negeri supaya mengiktiraf tandatangan mereka dalam sebarang urusan dengan penduduk yang memohon bantuan kerajaan, pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), petang ini.

YB Satiful Bahri Mamat (Pas-Paka) dalam perbahasannya turut menyentuh mengenai tidak perlu melalui `kesulitan ’ mendapatkan tandatangan bagi proses permohonan mendapatkan bantuan pendidikan dan pengajian menerusi Yayasan Terengganu (YT).

Beliau berkata, memadai setiap permohonan terus merujuk kepada YT tanpa pengesahan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), sebagaimana kelaziman.

“Saya merasakan kita kurangkanlah karenah birokrasi. Saya masih ingat zaman pemerintahan (1999-2004) pelajar yang mendapat tawaran universiti, buat diploma dan sebagainya tidak payah mendapat tandatangan Yang Berhormat dan Adun tetapi terus kepada Yayasan Terengganu,” katanya.

Sebelum itu, YB Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) juga menyuarakan perkara yang sama dan memohon kerajaan menjelaskan dasar yang digunapakai berhubung sah laku tandatangan wakil rakyat pembangkang.

 “Sebelum saya terlupa, mengenai tandangan Yang Berhormat, kita pada bulan lepas, saya bertanya apakah tandatangan YB dari pembangkang sah dan laku yang terpaksa diterima oleh agensi kerajaan yang memerlukan tandatangan YB.

 “Dengan jelas YAB Menteri Besar menjawab, ya. Sah dan laku mesti diterima termasuk YB pembangkang. Adakah dasar ini sudah berubah ataupun baru ini tidak diterima tandatangan YB kerana wakil rakyat belum akngkat sumpah lagi, yang mana satu, jadi nak minta penjelasan,” katanya.

Sementara itu , YB Ariffin Deraman (Pas-Alor Limbat) yang turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu juga menyentuh isu tandatangan yang didakwanya kini banyak menyusahkan dan dianggap sebagai diskriminasi.

“Kami tidak kisah pun mengenai tandatangan ini tidak dapat tandatan pun tidak mengapa, tetapi penduduk yang mahukan tandangan kami (wakil rakyat) untuk mendapat bantuan kerajaan dan sebagainya," katanya.

Beliau juga memberitahu penduduk yang menemuinyanya menyifatkan tindakan tidak mengiktiraf tandatangan wakil rakyat pembangkang sebagai satu dendam oleh kerajaan Barisan Nasional.

Sementara itu, YB Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi) menyifatkan senario yang sama juga sebagaimana yang berlaku di Kelantan, apabila Kerajaan Pas negeri itu turut tidak mengiktiraf tandatangan daripada wakil rakyat BN selaku pembangkang.



Sidang DUN: Wujud perpaduan, elak perpecahan

Oleh: Suriati Ali 

 Masyarakat di negara ini khususnya di Terengganu sewajarnya mengamalkan perpaduan yang ada seperti yang menghebahkan melalui pelbagai saluran bagi mewujudan semangat tolenrasi dan hidup bermaufakat.

Dalam sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), YB Iskandar Jaafar (Jabi-BN) berkata, cukup senang mengamalkan perpaduan itu, ia tidak perlu mengeluarkan wang ringgit ataupun tenaga, sebaliknya hanya perlu patuh kepada perlembagaan dan undang-undang.

“Jika ada sesuatu masalah atau perasaan tidak puas hati kepada mana-mana pihak dan pemimpin, kita perlu bersemuka secara baik atau melalui saluran yang betul, bukannya bertindak mengadakan demontrasi jalanan.

 
“Pendekatan itu mampu memecah-belahkan perpaduan yang ada, bak umpama, jika rumah kita didatangi ular, kita boleh panggil Jabatan Pertahanan Awam, dan jika kaki anak kita tersangkut pada tangga bergerak, boleh panggil Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, itu saluran yang betul,” katanya

 Katanya, perkara-perkara yang disebutkan tadi memerlukan kepada sifat rendah hati, berfikiran terbuka dan lapang dada dimana memerlukan masa panjang untuk berubah dan bukannya dalam tempoh sehari dua.

“Bagaimanapun , sifat ini wajar diterapkan dalam diri supaya semangat perpaduan dapat dipupuk secara beransur-ansur dan dibina secara baik-baiknya,” katanya,

"Umum mengetahui Terengganu kini memiliki modal insan yang berkualiti hasil daripada sikap cakna kepimpinan Barisan Nasional yang mementingkan bidang pendidijkan.

 “Kejayaan pelajar dalam semua peperiksaan umum telah membuka mata banyak pihak di serata negeri, mereka datang untuk mengetahui kaedah yang digunakan Terengganu.

“Sudah sampai masanya untuk kita memikirkan bagaimana cara terbaik bagi mendidik pelajar supaya terus cemerlang di masa hadapan dan bukannya memilih salah sehingga tercicir untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

 “Perkara keciciran mungkin berlaku disebabkan kurangnya pemantau berbanding mereka diawal bangku sekolah rendah dan rendah,” katanya. .

 

Sidang DUN: Wujud kursus khas kepada graduan kurang cemerlang

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan Terengganu diminta mewujudkan kursus khas dalam tempoh tiga hingga enam bulan kepada graduan kurang cemerlang sebagai persediaan menjejakkan kaki di alam pekerjaan.

 YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih-BN) dalam sesi perbahasan pada Sidang Undangan Negeri hari ini, berkata langkah itu cukup penting bagi memantapkan kebolehan yang ada, termasuk berkaitan kaedah penggunaan dan komunikasi Bahasa Inggeris, Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang diperlukan mana-mana industri.

 “Kebanyakan majikan syarikat ternama di dalam mahupun luar negara, kini tidak lagi memandang kepada kelayakan setakat diploma mahupun ijazah, sebaliknya mereka lebih gemar kepada pengalaman, kebolehan dan kelayakan di peringkat lebih tinggi.

“Saya gemar menyuara dan menyampaikan hasrat ini, supaya pihak berkaitan dapat memberi penekanan lebih awal dan sebolehnya melatih anak-anak sejak di awal usia,” katanya.

 Katanya, dia kesal dengan keadaan segelintir pelajar terutama yang dapat melanjutkan pelajaran, bersikap sambil lewa ketika menuntut ilmu dan mendapat markah peperiksaan hanya sekadar lulus `cukup cukup makan’.

 “Apabila keadaan ini berlaku, cukup sukar bagi seseorang pelajar itu untuk memiliki pekerjaan yang diimpikan bagi membantu keluarga,” katanya.

 Wan Abdul Hakim turut menyarankan supaya Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di Terengganu supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum menawarkan bidang tertentu kepada pelajar. Katanya, ada anak-anak kita lulus cemerlang dalam bidang yang diambil, disebabkan ruang pekerjaan dalam tertentu yang ditawarkan agak terhad, akan berlaku pengangguran.

 “Saya percaya dengan adanya kajian ini, kita boleh kurangkan kebergantuangan kepada bidang tertentu saja, selain mampu mengelak kerisauan di kalangan graduan,”katanya.