Halaman

24 June 2013

PPKKT sasar nilai jualan RM3j

Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Terengganu (PPKKT), yang bergiat aktif dalam bidang perniagaan makanan ternakan haiwan, menyasarkan nilai jualan mencecah RM3 juta sepanjang tahun ini berbanding RM2.1 juta tahun lepas.

Pengurus Besarnya, Ku Bakar Ku Omar berkata peningkatan sasaran itu adalah berikutan sambutan yang semakin meningkat ahli PPKKT dan juga individu terhadap barang-barang yang diedarkan oleh pertubuhan itu.

Ku Bakar berkata PPKKT, yang merupakan pengedar ternakan sejak 15 tahun lepas di pantai timur, menyasarkan menjual kira-kira 350 tan metrik makanan haiwan.

"PPKKT mengedar makanan haiwan pelbagai jenama kepada pelanggan tetap, yang terdiri daripada PPK serta petani," katanya sambil menyatakan PPKKT melantik 15 hingga 20 individu dan PPK sebagai pengedar di Terengganu.

Ku Bakar berkata input bekalan ladang seperti baja dan racun merupakan satu lagi cabang perniagaan PPKKT, dengan unjuran kira-kira RM400,000 tahun ini, dengan tumpuan utama peralatan fertigasi di kalangan usahawan berkenaan.

Katanya mereka menghasilkan lebih 30 tan metrik melon sehingga musim menuai berakhir awal bulan ini.


JPNT anjur Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, pada 30 Jun ini.

Pengarah JPBNT, Puan Azizah Awang, berkata program tahunan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM7,800 dengan tempat pertama bakal menerima RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga (RM800), manakala empat hadiah saguhati setiap kumpulan masing-masing menerima RM500.

“Pertandingan ini berkonsepkan penceritaan dan sketsa secara berkumpyulan mengenai kenegaraan seperti sejarah negara, pahlawan yang menentang penjajahan dan perjuangan tokoh negara terdahulu. “Sebanyak tujuh kumpulan yang mewakili setiap daerah di negeri ini akan menyertai pertandingan yang diadakan buat kali kesebelas itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Beliau berkata, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia ini bertujuan menggalakkan masyarakat menyampaikan pandangan serta pendapat mereka mengenai peristiwa bersejarah sebagai usaha pendidikan berterusan yang boleh dimanfaatkan bagi proses pembinaan negara dan jati diri bangsa.

Selain itu juga, JPNT berharap program ini mampu memupuk serta menyuburkab semangat integrasi nasional antara kaum, budaya, agama dan kepercayaan menerusi renteran sejarah serta perjuangan tokoh negara semasa berjuang memerdekakan negara bagi membina negara serta bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Katanya, majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari.

Sehubungan itu, orang ramai terutama mereka yang tinggal di daerah Hulu Terengganu dan kawasan sekitar dijemput memeriahkan program itu.


Pencetus ilmu sejarah harus dinamik, jalankan penyelidikan semula : SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Bukan mahu mengajar itik berenang, tetapi pencetus ilmu sejarah harus sentiasa dinamik dalam melaksanakan penyelidikan dan seterusnya menyebarkan penemuan baru yang diperolehi untuk perkongsian sejagat, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi Ke-29 di Dewan Al-Farabi, Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Dato' Razali Ismail, Batu Rakit, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Arkib Negara, Puan Daresah Ismail dan Pengarah IPG kampus berkenaan, Encik Ghulam Sarber Mobarak Ali. Lebih 1,000 peserta dari kalangan sejarahwan, ahli-ahli akademik, guru-guru sejarah serta para pelajar tingkatan enam yang mengambil subjek sejarah menyertai program itu. 

“Begitu juga mengenai penulisan awal Terengganu, perlu ada penambahbaikan dari semuber sejarah yang abru berasaskan penemuan `Bewah Man’ di samping kajian yang lebih mendalam terhadap maklumat yang terkandung pada Batu Bersurat Piagam Terengganu.

“Pencetus ilmu dalam apa jua jurusan boleh kita anggap tidak berjaya sekiranya ilmu itu tidak berkembang berpaksikan penemuan-penemuan baru yang dihasilkan,” katanya.

 Menurutnya, penemuan demi penemuan baru diperolehi termasuk di Terengganu, terdapat penemuan rangka manusia terawal di Gunung Bewah yang kita sebut sebagai `Bewah Man’, selain dari bukti kedatangan Agama Islam yag dikatakan lebih awal ekoran bukti catatan terdapat di Batu Bersurat Terengganu.

Beliau berkata sejarah merupakan rentetan peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa lampau ang seharusnya menjadi pedoman serta bahan rujukan dalam menghasilkan keputusan untuk membina negara, bangsa yang lebih gemilang pada masa depan.

Katanya, sehingga kini, kita berdepan dengan ratusan artifak malahan ribuan dokumen sejarah peninggalan manusia terdahulu yang memerlukan kajian serta penyelidikan yang lebih mendalam.

“Manusia seluruh dunia sudahpun mengetahui sejarah mereka, budaya mereka menerusi peninggalan manusia terdahulu. Maknanya bahan dan dokumen sejarah ini menjadi penting sebagai penentu kepada tingkatan tamadun dunia manusia.

 “Oleh kerana tuntutan penulisan sejarah sesebuah bangsa itu sangat penting kesahihan faktanya, maka keterbegantungan kita menjadi punca ilmu juga dipelbagaikan,” katanya.

Justeru itu, Dato’ Mazlan berkata pencetus ilmu dan sejarahwan meneroka bidang arkeologi untuk menambah bukti dan keyakinan manusia bahawa sejarah itu adalah benar-benar terjadi, bukan sesuatu yang direka atau ditokok-tambah.


AHMAD SAID CABAR PEMBANGKANG BUKTIKAN DI MANA KERTAS UNDI DIKIRA DALAM GELAP ATAU ‘BLACKOUT’

"Pembangkang tolong buktikan di mana kejadian 'blackout'
terjadi semasa pengiraan undi dijalankan semasa

PRU13." - Dato Seri Haji Ahmad Said.
Oleh: Ruslan Abdul Rahman 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mencabar pihak pembangkang membuktikan di mana kejadian ‘blackout’ semasa pengiraan undi dijalankan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Dato’ Seri Haji Ahmad menyifatkan pembangkang berbohong untuk menimbulkan keraguan rakyat terhadap sistem pilihan raya di negara ini dan cuba memberi gambaran yang buruk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan PRU.

Katanya, dakwaan pembangkang meleset sama sekali apabila mengatakan ‘blackout’ berlaku di Bentong sewaktu proses pengiraan undi dijalankan, apabila wakil rakyat DAP yang menang di kawasan itu sendiri menafikannya.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Ketari, Lee Chin Chen menafikan dakwaan berlaku gangguan elektrik di pusat penjumlahan undi Dewan Sultan Ahmad Shah. Bentong pada malam 5 Mei lalu.

Penafian itu sekaligus membuktikan dakwaan berkenaan yang dilemparkan tidak berasas sama sekali dan dipercayai mahu menghasut rakyat kononnya berlaku penipuan dalam PRU13.

YB DAP itu menang setelah menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wong Choo Yak dengan majoriti 4,243 undi.

Beliau juga melahirkan rasa pelik mengapa dakwaan disebarkan melalui media sosial kononnya berlaku ‘blackout’.

Oleh itu, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta rakyat supaya tidak percaya kepada dakyah dan berita palsu yang dibawa oleh pihak tertentu untuk menimbulkan isu kononnya BN menang kerana ‘blackout’ sedangkan hakikatnya rakyat majoriti di kawasan-kawasan pilihan raya masih yakin kepada BN untuk memerintah.

Beliau berkata tindakan mengadakan perhimpunan Blackout 505 adalah merugikan negara dan mengancam kestabilan negara dan harap rakyat tidak mudah terpedaya dan terikut-ikut dengan perbuatan hendak memusnahkan negara melalui kekacauan.


PARA PENIAGA PASAR KEDAI PAYANG JANGAN PERCAYAKAN DAKYAH PEMBANGKANG

Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menasihatkan para peniaga di pasar Kedai Payang tidak terpengaruh dengan dakyah pihak pembangkang yang menggambarkan seolah-olah mereka akan terpinggir bila pasar baru itu dibina nanti.

“Bukankah kerajaan telah memberi jaminan bahawa para peniaga di situ termasuk yang berniaga ikan dan sayur boleh meneruskan perniagaan mereka dengan lebih selesa dan bersih,” katanya sewaktu menjadi tetamu Radio Terengganu (Terengganu FM), semalam.

 “Saya sendiri telah menemui Persatuan Penjaja dan menjelaskan perkara itu dan permintaan mereka untuk memastikan pasar basah tetap boleh berroperasi di situ pun saya telah persetujui,” jelasnya.

Peniaga boleh meneruskan perniagaan mereka dengan lebih selesa dan bersih apabila pasar baru dibina nanti.
Oleh kerana itulah, saya telah memaklumkan kepada pihak pemaju untuk mengubahsuai semua pelan bangunan pasar itu bagi memenuhi permintaan peniaga ikan dan sayur di pasar itu.

Katanya, tanah seluas kira-kira hanya 4 ekar di situ telah kita berikan kepada pemaju untuk membangunkan hotel bertaraf lima bintang (500 bilik) di dalam bandar serta apartment dan pembinaan pasar baru Kedai Payang yang lebih sempurna, termasuk 400 lot parkir, lot kedai yang lebih luas, ciri-ciri keselamatan yang terb aik untuk kedai emas khususnya, kebersihan dan pengasingan pasar basah dengan kedai barangan kain, songket, tembaga dan lain-lain agar tidak mengeluarkan bau yang mencemarkan.

Jadi katanya, kerajaan dapat menjimatkan wang dengan memajukan secara berkenaan dan adalah tidak benar dan suatu fitnah yang mengatakankerajaan negeri mengeluarkan kontrak bernilai RM400 juta dikeluarkan untuk kontraktor luar Terengganu membangunkan pasar itu.

Malahan, katanya lot kedai yang lebih banyak diwujudkan, berhawa dingin dan tangga bergerak akan menaikkan lagi taraf Pasar Kedai Payang sesuai dengan masa dan zaman ini.

“Saya mendapat sunggutan dari pelancong dan pelanggan di pasar berkenaan yang rimas dan panas waktu membeli belah, berpeluh-peluh dan amat tidak selesa, jadi sebagai pihak kerajaan semua perkara itu perlu diberi perhatian, “ katanya.

Beliau menyatakan, sewa yang dikenakan tidaklah membebankan para peniaga walaupun disediakan hawa dingin dan keselesaan.

Penulis difahamkan, pembangkang sering menakut-nakutkan peniaga kononnya sewanya beribu-ribu bila berhawa dingin menyebabkan peniaga bimbang dan cemas.

Pembangkang juga menakut-nakutkan kononnya peniaga yang sedia ada tidak berpeluang lagi berniaga membuatkan peniaga yang sedia ada terlalu bimbang kehilangan tempat berniaga di situ.

Menteri Besar berkata, pihaknya akan mempastikan tiap peniaga dapat satu lot perniagaan sahaja dan tidak boleh bertindak menjual harta milik kerajaan itu atau disewakan pula kepada orang lain dan sebagainya yang banyak berlaku.

Katanya, pembinaan akan dibuat secepat mungkin dan sebuah pasar sementara untuk penempatan menunggu pasar baru siap akan dibina oleh pemaju di Pulau Warisan, tidak jauh dari tempat itu.

Mengenai tuduhan bahawa, pembinaan pasar baru itu akan menghapuskan warisan, Dato’ Seri Ahmad menjelaskan pasar itu dibina tahun 1967, asal pasar Kedai Payang ialah di Kampung Tanjung sebenarnya.

Jadi tidak timbul soal warisan kerana perpindahan dan pembinaan semula pasar dari Kampung Tanjung ke situ pun merupakan suatu transformasi di zaman dahulu dan selepas itu pada tahun 1983 pun pasar itu dibina semula bangunannya.

“Pasar itu telah melalui berbagai proses perpindahan dan pembinaan semula beberapa kali, jadi mengapa sekarang bila kita bina semula ini baru hendak dibangkitkan soal warisan sedangkan terdahulu perkara yang sama dilakukan juga,” tegasnya.

Bahkan beliau berjanji pasar itu akan dibina mengikut senibina warisan , bahkan akan dimasukkan juga ‘Jam Besar’ sebagai sebahagian pasar berkenaan sebagaimana tahun 1967 dan disambungkan melalui jejambat ke pasar Bazar Warisan di kaki Bukit Puteri.


TERUSKAN PENERANGAN DAN JELASKAN ISU DARI SEKARANG, KATA AHMAD RAZIF

Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ketua Penerangan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar kecil) berkata, jentera penerangan Umno perlu memulakan persiapan menjelaskan isu yang dimanipulasi oleh pembangkang dari sekarang sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke- 14.

 “Walaupun kita baru sahaja selesai menghadapi pilihanraya umum, tetapi nampaknya pihak pembangkang terus menerus memalsukan maklumat dan membuat dakyah, maka adalah menjadi tugas kita untuk menjelas dan memberikan penerangan tentang perkara yang sebenar,” katanya dalam satu perjumpaan dengan sebahagian dari jentera penerangan Umno selepas pilihan raya umum ke 13 di Kuala Terengganu malam kelmarin.

Dalam majlis itu, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri bersama-sama Setiausaha Penerangan Umno Negeri YB A.Latiff Awang (Exco Kerajaan Negeri) dan jentera penerangan mewakili jentera penerangan Barisan Nasional (BN) Pilihanraya memotong kek, meraikan kemenangan BN menubuhkan kerajaan negeri Terengganu.

Katanya, walaupun BN memperolehi 17 kerusi dan pembangkang 15 kerusi, tetapi sebenarnya perjalanan pentadbiran kerajaan adalah seperti biasa dan yang tidak boleh dipinda hanyalah undang-undang tubuh kerajaan negeri, itu sahaja.

“Segala perkara yang lain, pengurusan dan pembangunan untuk rakyat, kewangan dan sebagainya adalah sebagaimana biasa sama seperti 32-0 juga,” jelasnya dalam majlis berkenaan.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana lima orang dari anggota penerangan Umno telah terpilih sebagai Ahli Yang Berhormat pada kali ini iaitu beliau sendiri selaku Ketua Penerangan, YB Haji Mohd.Zubir Embong (Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu) selaku Timbalan Ketua Penerangan, YB A.Latiff Awang (Adun Pengkalan Berangan merangkap Exco Kerajaan Negeri) adalah Setiausaha Penerangan, YB Mohd Iskandar Jabi (Adun Jabi) adalah Setiausaha Penerangan Pemuda Umno Negeri dan YB Haji Bazlan Abdul Rahman (Adun Batu Rakit) adalah Setiausaha Penerangan Umno Bahagian Setiu.

Dato’ Haji Ahmad Razif juga gembira, Terengganu juga mempunyai tentera siber yang turut memainkan peranan menyebarluaskan maklumat menggunakan media baru sesuai dengan golongan muda dan pertengahan yang banyak akses kepada media tersebut.


23 June 2013

PBT harus tingkatkan mutu perkhidmatan : MB


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka dan peka kepada keperluan rakyat termasuk menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran.

"Saya masih tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di semua PBT di negeri ini dan berharap semua kakitangan PBT memainkan peranan mereka dalam menjaga persekitaran mereka cantik dan bersih.

"Kebanyakan PBT melantik kontraktor untuk mengekalkan kebersihan kawasan mereka masing-masing, tetapi penyeliaan perlu dilakukan lebih kerap bagi memastikan kerja pembersihan dilakukan dengan baik," katanya pada Majlis Makan PBT dan penyampaian hadiah di Marang, malam tadi.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga mengingatkan beberapa kakitangan PBT yang gagal melaksanakan tugas dengan baik boleh berdepan dengan tindakan dipindahkan ke jabatan lain sebagai amaran bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.


JEREBU: TERENGGANU AKAN IKUT ARAHAN PUSAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan mengikut pemantauan yang selaras dengan kementerian di peringkat pusat dalam menangani masalah jerebu.

Katanya, apa juga arahan dari pihak kerajaan pusat kepada kerajaan negeri berkaitan masalah ini akan kita patuhi dan laksanakan, sama ada membabitkan penutupan premis dan apa jua pengisytiharan berkaitan.

“Kita akan ikut standard yang ditetapkan serta arahan-arahan berkaitan dengannya dari pihak kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Radio Terengganu (TFM) di RTM Terengganu tengahari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga turut meninjau keadaan jerebu di sekitar bandar Kuala Terengganu dari atas Bukit Pak Apil, bersebelahan bangunan RTM Terengganu.

Jerebu merupakan fenomena atmosfera yang berlaku apabila debu, asap dan zarah pencemaran lain mengaburi kejelasan langit.

Fenomena ini biasanya terjadi jika zarah, debu dan asap berkumpul pada hari yang kering. Zarah-zarah kecil ini berkumpul di parasrendah atmosfera dan akan mengaburi pandangan dan mungkin menyebabkan masalah pernafasan.

Jerebu tebal juga dikenali sebagai asbut. Antara sumber utama jerebu ialah kebakaran hutan, kebakaran gambut, pembakaran terbuka serta asap perindustrian dan kenderaan. Dilihat dari jauh (seperi dari kapal terbang), jerebu biasanya kelihatan sedikit keperangan.

Namun dari dekat, ia berwarna putih seperti asap. Ia boleh mendatangkan gejala penyakit batuk-batuk, gatal kulit dan menganggu kesihatan mata dan hidung.

Difahamkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar Kuala Terengganu mencapai paras 350 yang agak merbahayakan kesihatan.

Orang ramai juga diminta lebih berhati-hati dalam menangani masalah jerebu untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing.

 

Kerajaan biayai RM12.4j untuk pelajar bidang perubatan

Menteri Besar dan isteri bersama penerima peruntukan Yayasan Terengganu untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan hampir RM12.4 juta kepada 231 pelajar anak negeri ini untuk mengikuti kursus perubatan di Rusia pada tahun ini.

Peruntukan yang disediakan menerusi Yayasan Terengganu (YT) bagi mengikuti tempoh pengajian selama enam tahun di beberapa universiti termasuk 'Volgograd State Medical University', 'Russian National Research Medical Univerisity' dan 'I.M Sechenov First Moscow State Medical University'.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri berharap pelajar terlibat memanfaatkan peluang dengan kemudahan pembiayaan itu dengan belajar lebih tekun dan memperoleh keputusan cemerlang sekali gus dapat menyumbang semula kepada negeri ini.

 "Kira-kira 70 peratus pelajar anak negeri ini yang mengikuti pengajian di Rusia dalam bidang perubatan ialah golongan perempuan dan saya harap apabila mereka tamat belajar nanti mereka dapat berkhidmat di mana-mana hospital dalam negara kita.

 "Ini kerana, menjadi hasrat kita mahu menyediakan hospital pertama yang menawarkan rawatan doktor wanita kepada pesakit wanita dan doktor lelaki untuk pesakit lelaki. Oleh itu, dengan program ini kita harap impian itu dapat dicapai tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Tawaran Biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Program Berkembar (United Kingdom) dan Kejuruteraan (Jerman) serta Penyampaian Wang Pendahuluan Kepada Pelajar Perubatan Tajaan YT Ke Rusia Sesi 2013/2014 di Hotel Primula Kuala Terengganu, semalam.


Turut hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib serta Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof.

Di majlis itu, seramai 41 orang pelajar perubatan YT ke Rusia Sesi 2013/2014 menerima wang pendahuluan diri selama enam bulan sebanyak RM17,503 setiap seorang merangkumi elaun sara hidup, penempatan, buku, alat perkakas dan pakaian panas.

Turut dirai, seramai empat pelajar cemerlang yang menjadi penerima pertama kali Biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin manakala lima pelajar menerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Program Berkembar (United Kingdom) dan lapan pelajar lagi di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Kejuruteraan Automatif (Jerman).

Dalam pada itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut mengingatkan kepada pelajar dari Terengganu yang melanjutkan pelajaran di luar negara di bawah tajaan kerajaan negeri supaya menghindari dari tidak terjebak dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan masa depan.


UMT giat bangunkan perpustakaan digital dengan kerjasama Apple

PROF DATUK DR IBRAHIM
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui kepakaran anak tempatan sedang giat membangunkan program perpustakaan digital dengan kerjasama Apple, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo.

Beliau berkata UMT membangunkan program itu sejak tiga tahun lalu dan kini sedang menambah baik program tersebut dengan mempelbagaikan beberapa lagi program yang boleh diakses untuk kegunaan pelajar UMT selain pengunjung lain dari luar UMT termasuk pelajar sekolah.

"UMT ada program khas tranformasi perpustakaan digital yang pastinya lebih mudah untuk pelajar UMT membuat rujukan dengan teknologi iBook daripada Apple," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini Ahad.

Katanya pelajar bukan sahaja akan berpeluang membuat rujukan dengan lebih mudah, malah mereka juga boleh mendapatkan lebih banyak maklumat dari sumber rujukan dari luar negara melalui akses perpustakaan digital itu.

Menurutnya UMT juga sedang membangunkan satu protal pembelajaran untuk membolehkan pelajar berkomunikasi secara maya dengan guru mereka melalui beberapa media sosial seperti e-mel, facebook dan twitter.

"Kaedah interaktif ini dilihat lebih menarik kepada pelajar bukan sahaja dalam konteks pembelajaran, malah juga boleh mendidik mereka cara berkomunikasi selain kaedah pembelajaran konvensional," katanya.