Laporan ekslusif dari Roslan Abdul Rahman:
“Saya ibunya, saya yang melahirkan dia. Di kampong Nail inilah saya yang melahirkan Tengku Zaihan, “ kata Nik Yah binti Mat Daud, bonda kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.
“Jadi, saya hendak betulkan kalau ada pihak yang cuba menfitnah terhadap anak kami,” kata Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah bersama-sama dengan isterinya Nik Yah Mat Daud ditemui editor di rumahnya tengahari ini.
“Saya masih ingat, zaman kanak-kanak Tengku Zaihan suka bermain air di muara sungai Nail ini dan selalu dipantau oleh penduduk di kampong ini, bimbang keselamatan dirinya, maklumlah air di muara sungai bahaya juga,” ibunya Nik Yah mengenangkan masa Tengku Zaihan kanak-kanak dulu.
Masa itu, Cheku Abdul Rahman dan isterinya Nik Yah tinggal di Kg Nail . Cheku Abdul Rahman seorang guru agama yang disegani dan penulis puisi tempatan serta ahli sejarah yang dikenali ramai.
“Janganlah kerana anak saya jadi calon BN, sampai difitnah sebegitu rupa.
Takkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali lebih tahu dari ibu dan bapa Tengku Zaihan.
PAS memulakan kempen hari pertama dengan mempertikaikan pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang didakwa bukan anak tempatan.
Malah serangan peribadi terhadap Tengku Zaihan juga membabitkan dakwaan kononnya pemilihannya sebagai calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut tidak mendapat restu pemimpin tempatan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau dimaklumkan bahawa Tengku Zaihan tidak dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Besut.
"Calon BN ini kurang dikenali oleh masyarakat setempat. Ada yang kata beliau tidak dilahirkan di sini...cuma keluarganya ada di sini.
"Mengikut sumber juga calon BN ini bukan kehendak masyarakat setempat. Tetapi beliau didatangkan dari pilihan orang Putrajaya," kata Datuk Mustaffa Ali pada sidang media di markas PAS di Kampung Baharu di sini, Sabtu lalu.
Kedua ibubapa Tengku Zaihan amat kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas itu yang disifatkan sebagai fitnah .
“ Saya melahirkan dia di rumah No 666 Jalan Nail….cabang dekat orang jual nasi tu…di situlah rumah saya dulu,” kata Nik Yah sambil meminta anak sulongnya Tengku Zahrin Che Ku Abdul Rahman menunjukkan tapak rumah tempat Tengku Zaihan dilahirkan kepada editor.
“Di situ jugalah, anak saya Tengku Zaihan selalu cari anak ikan di parit atau paya berdekatan rumah.. Saya ingat, moga dia anak sayakan, saya tahulah,” jelas Nik Yah lagi dengan nada yang sedih.
“Saya pun ahli sejarah, saya banyak menulis tentang sejarah “ celah ayahnya Che Ku Abdul Rahman. Beliau berharap dengan penjelasan itu, pihak tertentu tidak lagi membuat fitnah ke atas anaknya Tengku Zaihan, lebih lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.