Halaman

04 August 2013

Imam Timur Tengah kagum kestabilan politik Malaysia

Menteri Besar, Dato Sri Haji Ahmad Said bersama imam dari negara Timur Tengah.
Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra 

Beberapa imam dari Timur Tengah yang memimpin solat terawih sepanjang Ramadan di masjid-masjid seluruh negeri pada tahun ini melahirkan rasa kagum mereka terhadap kestabilan politik dan suasana aman di negara ini, termasuk ketika proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Mereka berpendapat keadaan itu amat sukar dinikmati di sebahagian besar negara Islam, terutama negara-negara yang bergolak sejak sekian lama akibat pelbagai masalah yang dihadapi rakyatnya.


Sehubungan itu, kata mereka, rakyat negara ini amat bertuah kerana berpeluang hidup di sebuah negara yang aman dan mengamalkan proses demokrasi yang sihat, tanpa dikongkong mana-mana pihak.

Imam-imam dari negara Timur Tengah itu ditempatkan di masjid-masjid seluruh negeri sejak awal Ramadan bagi memimpin solat terawih sepanjang Ramadan bagi memberi peluang rakyat tempatan menjadi makmun kepada imam dari Mesir dan Makkah.

Mereka diraikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam satu majlis yang diadakan di Seri Iman, malam tadi.

Imam-imam berkenaan memberitahu Menteri Besar setelah beberapa tahun bertugas di negara ini mereka mengiikuti secara dekat apa yang berlaku di Malaysia, termasuk proses PRU-13.

Sehubungan itu, mereka berharap rakyat negara ini bersyukur dengan apa yang telah mereka nikmati dan terus berusaha menjaga keamanan negara.

 

Yang Di-Pertuan Muda mengurniakan sumbangan raya kepada anak yatim

Oleh; Esah Abdullah dan Nurul Suraya Sukur (pelatih)




Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Hari Raya kepada Anak-anak Yatim dan Anak-anak Fakir Miskin di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu pagi ini.

Berkenan berangkat kekanda dan adinda Tengku Muhammad Ismail iaitu Tengku Nadhirah Zahrah; Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’ .

Hadir sama, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Sri Baharuddin Sultan Mahmud; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Mahdi Musa.



Seramai 250 pelajar terdiri daripada anak-anak yatim dan pelajar anak fakir miskin berusia enam tahun (pra sekolah) hingga 17 tahun daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya), Marang, Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Seberang Takir dan Asrama Anak-anak Yatim Darul Falah, Marang menerima sumbangan pakaian hari raya.

Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua’az berkenan mengurniakan sumbangan kepada pelajar lelaki manakala Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’ mengurniakan sumbangan kepada pelajar perempuan.

Pelajar lelaki menerima sepasang baju Melayu, sampin beserta songkok dan baju T manakala pelajar perempuan dua pasang baju kurung dan tudung serta wang tunai RM200 setiap seorang dan kurma.

Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan mengiringi dua putera dan dua puteri Diraja itu sepanjang majlis pengurniaan berlangsung.


 









Derita Mazlan kian berakhir

Oleh: Aida Abd Rahman

Penderitaan aktivis seni, Encik Mazlan Zakaria, 53, yang kehilangan kaki kanan akibat penyakit kencing manis yang kronik terus mendapat pembelaan kerajaan apabila mendapat pelbagai bantuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Encik Mazlan yang baru sahaja menerima bantuan jangka pendek RM10,000 daripada kerajaan negeri disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee di rumahnya di Kampung Tasek, Bukit Payong, Rabu lalu, turut menerima kerusi roda dari JKM sejak bulan lalu, selain mendapat peruntukan Tabung Bantuan Kecemasan JKM RM200 lebih seminggu lalu.

Timbalan Pengarah JKM negeri, Encik Shaballah Zainal Abidin, berkata pihaknya meluluskan bantuan itu selepas menjalankan siasatan terperinci terhadap pemohon dan berdasarkan siasatan lanjut itu, pemohon layak menerima bantuan yang disediakan jabatannya.

“Selain kerusi roda untuk kegunaanMazlan yang kini menjadi orang kurang upaya, JKM juga meluluskan bantuan kanak-kanak menerusi nama isteri beliau, Che asmah Sulong, 47, untuk kegunaan dua anak mereka yang masih bersekolah berjumlah RM100 seorang bermula bulan lalu.

“Bantuan itu bagi meringankan perbelanjaan persekolahan dua anak Mazlan yang akan diperuntukkan sehingga mereka berusia 18 tahun,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Encik Shaballah berkata JKM juga sedang di peringkat keputusan mesyuarat penimbang jabatan bagi memutuskan permohonan bantuan am bulanan RM200 sebulan kepada Encik Mazlan dan akan diketahui dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya juga sedang meneliti dan akan menyiasat kes-kes permohonan bantuan yang melibatkan aktivis seni lain yang uzur serta tidak lagi mampu bekerja di seluruh Terengganu berdasarkan laporan dan juga permohonan pemohon itu sendiri.

Beliau bekata, ada di kalangan aktivis seni yang uzur gagal mendapat bantuan JKM memandangkan memiliki sumber kewangan yang kukuh dan dijaga waris terdekat yang mempunyai pendapatan yang melebihi syarat ditetapkan untuk membolehkan mereka mendapat bantuan berkenaan.

Encik Mazlan aktif di bidang teater sejak di bangku sekolah kemudian menyertai Ruang Teater Tamu dan perkumpulan teater Komputer serta pernah menjadi juara Bakat TV bersama kumpulan Pok Su (Mazlan) dan Pok De (Azmi) pada era 1990-an.

Bapa kepada tujuh anak berusia lapan hingga 27 tahun itu mengidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan kaki kanannya turut dipotong pada Mei lalu untuk mengelak jangkitan kuman selapas penyakitnya semakin kritikal.


Kampus Antarabangsa UniSZA di Kuala Lumpur bakal beroperasi 1 September

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukur (pelatih)
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali (pelatih)

Kampus Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Lumpur akan beroperasi pada 1 September ini di Bangunan Takaful, Jalan Kampus Attap.

Prof Dr. Yahaya Ibrahim
Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr. Yahaya Ibrahim berkata, kampus berkenaan bakal menawarkan program peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Phd dengan menawarkan bidang Pengurusan, Undang-Undang, Teknologi Maklumat, Bahasa dan Komunikasi.

"Penubuhan Kampus Antarabangsa ini bermatlamat untuk mengembangkan sayap UniSZA ke peringkat antarabangsa.

"Ia terbuka kepada pelajar luar negara yang berminat menyambung pengajian di UniSZA dengan kemudahan kampus di Kuala Lumpur berbanding kampus utama di Terengganu,” ujarnya pada sidang media Sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Hotel Tabung Haji, baru-baru ini.

Katanya, kampus ini juga menyediakan Program Eksekutif kepada pelajar tempatan yang dibuat selepas waktu bekerja, sekali gus memudahkan kakitangan kerajaan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Jelas beliau, kampus tersebut akan beroperasi dengan pengambilan pelajar sulung seramai 500 orang pelajar yang terdiri daripada 200 orang pelajar dari negara China dan selebihnya dari negara lain termasuk Indonesia dan Timur Tengah (termasuk Afrika).

Tambah beliau, selain pensyarah daripada kampus UniSZA di Terengganu, pensyarah terpilih daripada Universiti awam dan swasta sekitar Kuala Lumpur akan dilantik menjadi tenaga pengajar di kampus berkenaan.

 

Terengganu harap anak didik kembali berbakti

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri mengharapkan pelajar yang mengikuti pengajian perubatan di luar negara menerusi tajaan Yayasan Terengganu, kembali berkhidmat di Terengganu bagi menangani masalah kekurangan doktor.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata masalah kekurangan doktor di Terengganu agak kritikal dengan nisbah seorang doktor untuk 1,400 pesakit.

 "Angka ini jauh lebih tinggi berbanding negeri lain termasuk Sabah dan Kelantan," katanya pada majlis penutup kuliah khas pembelajaran klinikal yang disertai 160 pelajar perubatan tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang mengikuti pengajian di Mesir, Jordan dan Rusia.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Mohammad Omar. Kursus empat hari bermula 29 Julai itu diselia oleh doktor pakar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah dan membabitkan pelajar tahun empat dan lima Menurut Ghazali sejak 2007 hingga sekarang, kerajaan negeri menerusi YT membelanjakan lebih RM25 juta menaja 450 pelajar perubatan di luar negara.

 YB Ghazali berkata, mengenai kursus klinikal itu, kerajaan Terengganu merupakan satu-satunya kerajaan negeri yang menganjurkan program tersebut yang memberi pendedahan langsung kepada pelajar berkenaan prosedur klinikal ke atas pesakit.

 "Kita dapati sistem pengajian perubatan di luar negara agak berbeza dengan universiti di sini kerana mereka tidak didedahkan dengan prosedur klinikal kepada pelajar ,” katanya.

 YB Ghazali turut berpesan supaya anak didik itu tidak lupa jasa kerajaan Terengganu yang sanggup mengeluarkan belanja besar semata-mata mahu mereka berbakti balik kepada keluarga dan negara bukannya bertindak melulu menghentam apabila sudah berjaya.

“Jika perkara itu berlaku, ia cukup dikesali kerana bukan saja memburukkan imej Terengganu serta negara, malah boleh berdepan dengan sebarang kemungkinan dan tindakan,” katanya.

 

03 August 2013

1,000 hadir majlis berbuka puasa anjuran UMNO Bahagian Besut


Sebahian penduduk yang menghadiri majlis berbuka puasa di Dataran Kuala Besut semalam.

Oleh: Mohammad Ishak 

Dataran Kuala Besut yang menjadi lokasi pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, oleh Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini, sekali lagi menghimpunkan ribuan penduduk terutama golongan miskin di daerah Besut dalam majlis berbuka puasa.

Majlis anjuran UMNO Bahagian Besut diadakan dilokasi berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada penduduk Kuala Besut yang sekali lagi memilih calon BN untuk kekal di kerusi berkenaan.

Pada PRK itu,Jurutera,Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman,37,yang mewakili BN menag selepas mengalahkan calon PAS, Che Long pada perlawanan satu lawan satu.

Majlis berbuka puasa yang diadakan secara santai di permukaan muara kuala itu tentunya memberi makna penuh erti kepada penduduk DUN Kuala Besut.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian itu,Dato’Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut merangkap Menteri Pendidikan II, ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, ADUN Jertih, Muhamad Pehimi Yusof dan ADUN Kuala Besut yang baru, Tengku Zaihan.

Pada majlis itu UMNO bahagian turut menyumbang duit raya kepada golongan miskin dari seluruh daerah Besut. Idris yang juga Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut, mengambil peluang mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua pengundi di DUN Kuala Besut kerana terus memberi sokongan kepada calon BN.

“Insyaalah segala janji yang dibuat oleh pemimpin BN ketika kempen PRK baru-baru ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat demi untuk kesejahteran penduduk,” katanya.

40 rumah untuk golongan miskin di DUN Jabi siap dibina


ADUN Jabi Mohd Iskandar Jaafar menziarah pesakit di Kampung Apal, 

Oleh: Mohammad Ishak 

Sebanyak 40 buah rumah untuk golongan miskin di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Setiu, sudah dibina sejak awal tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi,Mohd Iskandar Jaafar berkata, sebahgian besar rumah terbabit sudah diduduki oleh penduduk terbabit.

Katanya, pembinaan rumah berkenaan dapat membantu golongan miskin di kawasan berkenaan tinggal di kediaman lebih selesa berbanding sebelum ini.

Menurutnya, menjelang akhir tahun ini pihaknya menjangka sebanyak 100 buah rumah akan dibina di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, DUN Jabi mempunyai penduduk kategori miskin agak ramai dan usaha membasminya sedang giat dilakukan oleh kerajaan membabitkan agensinya.

Katanya,Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah diarah memantau penduduk miskin yang memerlukan bantuan terutama rumah kediaman.

“Malah saya sendiri kerap turun padang untuk meninjau masalah yang dihadapi rakyat dan tindakan sewajarnya akan dilakukan jika ada masalah berbangkit,” katanya.

Bubur lambuk Masjid Abidin dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali 

Bubur lambuk Masjid Abidin, Kuala Terengganu, sememangnya dikenali di kalangan warga bandar raya Kuala Terengganu yang pasti tidak melepaskan peluang untuk mendapatkannya setiap kali ketibaan Ramadan.

Masjid yang lebih dikenali sebagai Masjid Putih itu menjadi tumpuan bermula pukul tiga petang bagi mendapatkan bubur lambuk yang diagihkan secara percuma.

Sejak beberapa tahun lalu, program tajaan kerajaan negeri itu dilaksanakan secara bergotong-royong bagi memeriahkan suasana bulan Ramadan serta merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat.

Meskipun ia boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai atau bazar Ramadan dengan harga RM2 sebungkus, namun bubur lambuk Masjid Putih tetap menjadi pilihan ramai.

Bagi Alias Mahmud, 53, yang mengetuai program masakan itu berkata, dengan 20 orang kakitangan sambilan, sebanyak 280 periuk bubur lambuk akan disediakan sepanjang Ramadan ini.

 Menurutnya, bagi menyediakan 10 periuk bubur lambuk sehari, ramuan seperti beras, isi ikan selayang, rempah-ratus dan sayur mula dimasak seawal pukul 9 pagi di perkarangan masjid berkenaan secara serentak.

 Setiap periuk katanya, 10 kilogram beras akan ditanak selama kira-kira sejam sebelum dimasukkan bahan yang lain seperti lima kilogram isi ikan selayang serta pelbagai jenis sayur termasuklah bayam, serai dan pucuk paku.

 "Setiap hari, kami mesti sediakan kira-kira 3,000 bungkus bubur lambur dan sepanjang bulan ini, hampir 84,000 bungkus akan diagihkan secara percuma," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

 Tambah Alias, dua minggu sebelum bermulanya Ramadan, pihaknya telah menempah pelbagai jenis sayur dan daun kayu untuk tujuan itu kerana ramuan seperti daun kesom, kemanging dan pucuk paku sukar didapati dalam kuantiti yang banyak.

 "Walaupun terpaksa berebut, semua bahan mentah diperolehi dari tempat berdekatan. Sebelum sahur, kita dah tunggu di pasar untuk dapatkan 80 kilogram ikan selayang.

 "Ramuan seperti ikan selayang dan daun kayu yang menjadikan bubur itu sedap atau sebaliknya dan keistimewaan bubur lambuk Terengganu terletak pada bahan sampingannya iaitu budu dan pucuk paku," ujarnya.

 

02 August 2013

Penggunaan elektrik meningkat 10 peratus menjelang hari raya

Oleh; Esah Abdullah 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri menjangkakan penggunaan bekalan elektrik pada musim perayaan tahun ini meningkat antara lima hingga 10 peratus di negeri ini.

Pengurus Besar negeri, Ir Md Yuslan Md Yusof berkata, peningkatan itu berlaku kerana banyak aktiviti seperti menjahit dan memasak dilakukan oleh pengguna.

Katanya, berikutan itu persediaan awal telah dilakukan oleh TNB termasuk membabitkan kerja menaik taraf peralatan di pencawang dengan meningkatkan voltan fius, kabel dan beberapa peralatan lain.

“Kawasan yang dikenalpasti pada tahun lepas berlaku gangguan telah dilaksanakan penyelenggaraan lebih awal pada sistem bekalan agar tidak berlaku lagi pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, ini untuk memastikan pengguna dapat menyambut kemeriahan hari raya tanpa ada gangguan yang berpanjangan. Tambahnya, TNB juga mempunyai pasukan bersedia untuk bertugas terhadap sesuatu kerosakan dan aduan yang diterima pada musim perayaan.

“Persediaan rapi dibuat kerana pengguna bekalan elektrik pada setiap musim perayaan akan meningkat dan sekaligus dapat mengurangkan gangguan bekalan.

“Kira-kira 500 petugas akan bertugas secara bergilir-gilir pada musim perayaan untuk memastikan masalah gangguan dapat dibaiki dengan segera,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa TNB Bersama Media di Primula Hotel semalam.

Sementara itu beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan penyambungan pendawaian dan pendawaian baharu tanpa nasihat atau khidmat syarikat yang diiktiraf TNB bagi mengelakan kejadian litar pintas.

Selain itu katanya, pengguna yang akan pulang ke kampung untuk berhari raya diingatkan supaya mematikan semua suis utama untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
 

Satu tidak kaut untung

Oleh: Suriati Ali 

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) menyangkal dakwaan pihak tertentu yang menyatakan pihak itu mementingkan keuntungan dengan mengenakan caj komisen kepada pengguna yang membuat bayaran bil.

 Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husain Embong, berkata apa yang diperkatakan itu tidak benar sama sekali, kerana sebaliknya caj komisen RM0.70 seperti yang didakwa itu sebenarnya dibuat oleh bank-bank komersial atau agensi kutipan luar mulai Jun lalu.

 “Perkhidmatan yang mereka berikan dengan kadar yang berbeza-beza dan Satu tidak mengambil satu sen pun daripada caj berkenaan.enanggung kos yang terus meningkat.

"Satu tidak membuat keuntungan daripada caj itu, bayaran yang diterima adalah mengikut jumlah penggunaan air sebagaimana yang dibilkan kepada pengguna.

Satu tidak dan jauh sekali daripada bertujuan membuat keuntungan mudah dalam hal ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak,” katanya.

 "Bagaimanapun, pengguna masih mempunyai pilihan sama ada membuat bayaran di agensi kutipan luar dan dikenakan caj oleh agensi berkenaan atau berurusan di kaunter Satu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Telekom Malaysia (TM) dan tidak dikenakan caj," jelas beliau dalam kenyataan di sini.

 Menurut beliau, caj perkhidmatan oleh agensi kutipan luar telah dikenakan sejak penubuhan Satu lagi dan pihaknya yang menanggung caj tersebut dengan membuat bayaran kepada pihak berkenaan mengikut bilangan bil air yang dikendalikan.

 Beliau menarik perhatian sebagai contoh, Pos Malaysia telah menaikkan caj komisen daripada 50 sen kepada 70 sen pada tahun ini manakala sebahagian bank telah memohon menaikkan kadar yang tidak dipersetujui Satu kerana akan membebankan pengguna.

 "Pada setiap tahun, Satu berbelanja lebih RM500,000 bagi tujuan ini dan jumlahnya semakin besar mengikut bilangan bil yang dibayar oleh pengguna di agensi-agensi berkaitan. Satu tidak mampu lagi menanggung caj perkhidmatan ini," ujarnya.

 Sehubungan itu juga katanya, Satu telah menamatkan khidmat beberapa agensi kutipan luar termasuklah bank komersial kerana mengenakan kadar caj perkhidmatan yang lebih tinggi, sekali gus akan membebankan pengguna.

 "Satu meletakkan syarat jika bank-bank komersial berhasrat menjadi ejen kutipan bil Satu, mereka hendaklah mengekalkan kadar caj komisen sedia ada dan perlu membuat pengubahsuaian pada sistem kutipan mereka,'' katanya.

 Namun demikian katanya, ada sebahagian bank telah memohon untuk menaikkan kadar caj komisen dan pihak Satu tidak bersetuju kerana akan membebankan pengguna.

 "Keadaan itu menyebabkan sebahagian bank telah menggantung urusan penerimaan bayaran bil Satu.

"Namun bank seperti CIMB Bank, Bank Islam, AgroBank, Bank Rakyat dan RHB Bank masih menerima bayaran bil Satu sama ada di kaunter mereka atau melalui perbankan internet.

 "Pihak Satu masih meneruskan rundingan dengan bank-bank lain untuk menambahkan kemudahan kepada pengguna dan akan memastikan caj komisen yang dikenakan oleh bank terlibat berada pada tahap minimum dan munasabah bagi menjaga kepentingan pengguna, selain memulakan kaunter kutipan bergerak,” katanya.