Halaman

06 August 2013

MB hargai peranan media bantu BN kekal di Kuala Besut

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merakamkan penghargaan kepada petugas media di seluruh Terengganu yang sudah memainkan peranan dengan baik sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut sehingga membawa kemenangan kepada parti Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, baru-baru ini.

 “Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih dengan kerja keras saudara-saudari semua yang menyumbang tenaga dan memberi laporan berita yang meluas sepanjang PRK Kuala Besut lalu.

“Alhamdulillah, BN mengekalkan kerusi itu dengan bantuan rakan media juga yang memberikan laporan yang betul dan pantas sepanjang kempen PRK itu,” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan dengan petugas media Terengganu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut mengingatkan semua petugas media, dalam keghairahan mereka menonjolkan imej agensi media masing-masing serta mencari keuntungan dalam perniagaan, golongan itu juga harus bertanggungjawab dengan setiap laporan yang dihasilkan serta mengelak dari memfitnah pihak lain.

Katanya, kerajaan amat memahami dasar dan peraturan agensi media termasuk media arus perdana serta media baru hari ini yang berusaha menarik perhatian dan tumpuan umum dengan berita yang dapat melariskan media masing-masing.

“Bagaimanapun, prasyarat yang harus diutamakan adalah media perlu bertanggungjawab apa yang dilakukan dan jangan sehingga memfitnah kerana tindakan itu seumpama membunuh.

“Pada masa yang sama, ramai di kalangan kita mudah percaya dengan fitnah, khususnya yang disebarkan menerusi Facebook sebagai medium yang berperanan besar menyebar luas maklumat yang dianggap sebagai paling mudah dan tepat pada masa kini,” katanya.

Oleh yang demikian, beliau berharap semua petugas media melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan memberi laporan tepat supaya tidak menimbulkan kekecohan dan salah faham yang memberi kesan besar kepada pembangunan masyaraka, negeri dan juga negara.


Penjawat awam ingkar akan dikenakan tindakan

Oleh: Noraini Jusoh

Walaupun musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut telah berakhir, namun terdapat segelintir kakitangan awam di negeri ini yang dalam diam menyokong pembangkang menampal pelekat dengan simbol parti pembangkang di kenderaaan masing-masing.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, pihaknya ada menerima laporan masih ada kakitangan awam yang tidak membuang pelekat berkenaan walaupun musim pilihan raya sudah berlalu.

"Mereka seharusnya tidak mempamerkan sokongan terhadap mana-mana pihak dengan menggunakan pelekat yang terdapat simbol parti kerana boleh mengundang pelbagai persepsi negatif.

"Sebagai kakitangan kerajaan, tindakan displin boleh dikenakan terhadap mereka yang melanggar etika sebagai seorang penjawat awam,” ujarnya kepada Teganukita.

Katanya, beliau menasihatkan kepada penjawat awam berkenaan supaya membuang segala pelekat yang mempunyai lambang parti kerana ia hanya digunakan pada musim pilihanraya sahaja.

"Sebagai penjawat awam, selepas pilihanraya kita hendaklah menyokong kerajaan yang dipilih iaitu Kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

 

Buah rotan jadi hidangan Aidilfitri


Oleh: Suriati Ali

Saban kali menyambut Aidilfitri, puluhan juadah, termasuk nasi minyak, rendang, lemang, ketupat, kerepek dan meruku, pasti menjadi pilihan untuk dihidang kepada tetamu yang bertandang.

Puan Maimunah
 Tidak dilupa, sejenis makanan yang cukup digemari masyarakat Terengganu, `buah rotan’ turut menjadi hidangan bersama beberapa jenis makanan lain.

 Pengusaha makanan yang pemilik syarikat Sisme Industri, Puan Maimumah Yusuf, berkata, saban tahun buah rotan yang diusahakan hampir 30 tahun lalu, mendapat sambutan cukup mengalakkan dan paling laris menjelang munggu akhir Ramadan.

“Waktu itu, bagaikan tidak cukup tangan untuk memenuhi hasrat pelanggan yang rata-rata menempah dalam kuantiti yang banyak iaitu antara tiga hingga lima kilo bagi setiap pelanggan..

Pelbagai jenis kerepek yang dijual pada harga yang berpatutan
 “Ingin menolak, mereka pelanggan yang sudah biasa membeli, selain mengakui makanan ini menjadi hidangan wajib di rumah masing-masing, selain ingin menjadikannya sebagai buah tangan,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani, Jalan Hiliran barui-baru ini.

 Katanya, pelanggan gemar mendapatkan buah rotan yang dihasilnya kerana berbeza dengan pengusaha lain, di mana terdapat dalam pelbagai perisa, iaitu strawbery, coklat, bbq, asli dan vanilla. “Bagi melariskan lagi perniagaan, produk lain turut dijual, antara popia, kerepek tisu,bunga durian,popia nestum, dan kerepek getah, semua makanan itu ditawarkan dengan harga yang sangat berpatutan,” katanya.

Tidak sabar nak sambut raya

Oleh; Esah Abdullah dan Nurul Suraya Sukur (pelatih) 

“Saya sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama saya menerima bantuan pakaian raya dan tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri serta bergaya dengan baju baru yang diterima,” kata Nik Mohd Rasul Nik Soekery, 16, dari Asrama Perkaya Besut.

Beliau tersenarai antara 250 pelajar anak yatim dan pelajar fakir miskin yang menerima Pengurniaan Sumbangan Pakaian Hari Raya dalam majlis yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu semalam.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin telah menyempurnakan majlis berkenaan.

Bagi adik Nur Fatimah Awang, 14, dari Asrama Darul Falah berkata amat bersyukur dengan bantuan yang diterima dan akan menggunakan duit bantuan untuk tujuan persekolahan serta ingin bergaya dengan baju baru yang diterimanya.

 “Saya gembira kerana dipilih sebagai seorang penerima bantuan dan bersyukur kerana tidak perlu menyusahkan ibu bapa untuk membeli barang kelengkapan sempena hari raya nanti,” katanya yang mempunyai enam adik beradik.

Adik Mohd Tirmizi Azri, 14, dari Batu Rakit mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sangat perihatin terhadap golongan anak yatim seperti kami dan dapat sambut ketibaan Aidilfitri dengan penuh ceria.

“Saya gembira kerana mendapat baju raya yang cantik dan tidak sabar untuk menyambut hari raya pada tahun ini. Terima kasih dengan bantuan yang diberi,” katanya yang mempunyai lima beradik dan sudah 2 tahun tinggal di Asrama Darul Falah.

Nur Syafiqah Mohd Ali, 15, dari Asrama Perkaya Besut pula tidak dapat menyembunyikan kegembiraan kerana mendapat dua pasang baju kurung untuk digayakan pada hari raya nanti.

“Saya ada lima beradik dan jika tidak terpilih menerima bantuan seperti hari ini tentu saya tidak mampu mendapat pakaian secantik ini,” katanya.


 







05 August 2013

Terengganu persiap ketahanan mental pelajar

Oleh: Matura Jamaluddin 

 Kerajaan negeri mempersiapkan pelajarnya yang akan dihantar ke luar negara dari segi mental dan fizikal bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam gejala tidak sihat .

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, PengajianTinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas, YB Ghazali Taib berkata mereka perlu dipersiapkan bagi menghadapi cabaran seperti pergolakan politik sewaktu berada di negara asing.

 "Kita mahu menyediakan ketahanan mental mereka. Jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti rampasan kuasa dan tunjuk perasaan di luar negara, mereka akan mampu menghadapinya," katanya ketika menutup kem persediaan pelajar Terengganu ke luar negara di sini hari ini.

 Beliau berkata persiapan itu juga bagi memastikan pelajar tidak mudah diganggu atau dihasut oleh anasir subversif yang boleh merosakkan diri mereka, negara dan agama.

Ghazali berkata, kerajaan negeri tahun ini memberi tumpuan kepada penghantaran pelajar ke Jordan, Maghribi dan Rusia bagi mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan pengajian Islam.

 Kem itu mempersiapkan 26 pelajar yang akan dihantar ke Timur Tengah manakala lebih 40 pelajar ke Rusia yang sebahagian besarnya ditaja Yayasan Terengganu, selain pelajar persendirian.

 Mengenai keadaan pelajar Terengganu di Mesir yang sedang bergolak, YB Ghazali berkata terdapat pelajar yang enggan dibawa pulang kerana selesa belajar di sana dan pengajian mereka hampir selesai.

 "Namun kita nasihatkan supaya mereka pulang ke tanah air sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan September ini," katanya.

 

Harga barang terkawal

Oleh; Esah Abdullah dan Nurul Suraya Sukur (pelatih) 
Gambar oleh; Farah Farina Mohmad Zali (pelatih)

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri (PPDNKK) sentiasa turun padang memantau harga barang di premis-premis perniagaan bagi memastikan masyarakat mendapat harga yang berpatutan untuk persiapan menyambut hari raya.

YB Roslee Daud 
Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan orang ramai untuk berjimat ketika berbelanja.

“Setakat ini tiada aduan dan rungutan daripada orang ramai yang diterima mengenai harga barangan yang terdapat di premis perniagaan di negeri ini,” katanya kepada pemberita di majlis Pelancaran Program Jualan Terus dari Kilang Peringkat Negeri Terengganu di Perkarangan Perpustakaan Awam Terengganu.

YB Roslee Daud membantu kanak-kanak ini mencuba baju baru
Katanya, pada awal Ramadan memang ada rungutan daripada orang ramai mengenai beberapa harga keperluan harian khususnya ayam namun seteah kerajaan menguatkuasakan harga syiling baru-baru ini tiada rungutan lagi yang kedengaran.

“Saya yakin orang ramai telah menerima dan berpuas hati dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Katanya, mengenai program inisiatif KPPDNK ini yang bertujuan memberi peluang kepada rakyat mendapat pelbagai barangan pada harga lebih rendah serta mengurangkan beban perbelanjaan semasa musim perayaan.

“Saya lihat banyak barangan yang dijual dengan potongan harga hingga 70 peratus dan ianya ada kualiti dan ini menguntungkan pengguna ketika berbelanja ,” katanya.

Sementara itu terdapat 17 syarikat bergabung menjayakan program berkenaan dengan pelbagai jualan pakaian, kasut, bag dan sebagainya dan akan berakhir sehingga 7 Ogos ini.
 

Penerima zakat Maidam insaf dan terharu

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukur (pelatih) 

Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjengah tidak lama lagi amat bermakna kepada 7,018 ketua isi rumah yang dikategorikan sebagai asnaf fakir dan miskin apabila masing-masing menerima bantuan zakat berjumlah RM2,962, 600 di seluruh Terengganu pada tahun ini.

Lebih bermakna, apabila Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperkenalkan kaedah baru pengagihan wang zakat berkenaan, iaitu RM300 seorang dan pertambahan RM50 bagi setiap tanggungan tanpa had, bermula tahun ini.

Kaedah baru itu membolehkan penerima zakat mendapat bantuan lebih tinggi kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebelum ini, Maidam mengagihkan RM350 bagi seorang hingga tiga tanggungan dan RM450 jika lebih dari tiga tanggungan.

Puan Khatijah Harun
Seorang surirumah, Puan Khatijah Harun, 50 dari Kampung Tok Jiring berasa sangat insaf, terharu dan bersyukur dengan bantuan yang diterima hasil keprihatinan dan nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t, apatah lagi di bulan Ramadan yang penuh keberkatan .

Beliau yang mempunyai tujuh tanggungan dan layak menerima RM650 akan menggunakan bantuan zakat itu sebagai persiapan menghadapi hari raya tidak lama lagi.

Puan Halijah Ibrahim
 “Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana prihatin dengan kesusahan yang saya hadapi. Duit ini akan digunakan untuk membuat persiapan raya anak-anak saya,” katanya.

Manakala Puan Halijah Ibrahim, 40 dari Seberang Takir pula akan menggunakan bantuan tersebut untuk membeli barang-barang keperluan harian dan persiapan menyambut lebaran bersama keluarga tidak lama lagi.

Encik Abu Bakar Jusoh
“Sebagai ibu tunggal kepada empat orang anak, saya sangat bersyukur dengan bantuan Zakat dari pihak Maidam ini. Duit ini akan digunakan untuk membeli keperluan harian selain sedikit persiapan untuk hari raya,” katanya yang menerima RM550.

Seorang lagi penerima zakat, Encik Abu Bakar Jusoh, 50 turut terharu dan bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana dapat menampung perbelanjaan dia dan keluarga khususnya ketika umat Islam bakal meraikan 1 Syawal nanti.

 “Pendapatan sebagai penoreh getah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian. Jadi, Alhamdulillah dengan bantuan zakat ini dapat meringankan beban saya dan menyediakan keperluan sepatutnya,” katanya.




Maidam agih zakat lebih tinggi, ikut kadar baru bermula tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukur (pelatih)
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali (pelatih)

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperkenalkan kaedah baru pengagihan wang zakat kepada asnaf fakir dan miskin sempena Ramadhan berjumlah RM300 seorang dan pertambahan RM50 bagi setiap tanggungan tanpa had, bermula tahun ini.

Sebelum ini, Maidam mengagihkan RM350 bagi seorang hingga tiga tanggungan dan RM450 jika lebih dari tiga tanggungan.
Dato’ Mohd Rozali Saleh
 Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata bermula tahun ini, pihaknya mengagihkan bantuan zakat mengikut kadar baru yang membolehkan penerima menikmati kadar yang jauh lebih tinggi dan hanya diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja.

“Pada tahun ini Maidam menyediakan bantuan kepada fakir dan miskin sempena Ramadhan khas kepada yang berdaftar dengan Maidam serta penerima bantuan lain, khususnya program e-Kasih yang melibatkan lebih 6,000 orang.

“Selain itu, kita memutuskan bahawa bantuan hari raya ditiadakan bagi mengelak salah agihan wang zakat kerana sebelum ini bantuan itu dibayar menerusi `sinf fakir miskin’ tetapi penerimanya bukan semuanya terdiri dari fakir miskin,” katanya kepada Teganukita sempena program pengagihan wang zakat kepad asnaf fakir dan miskin sempena Ramadhan 1434H/2013M, di Dewan Terbuka Maidam, Kuala Terengganu, hari ini.

Seramai 4,382 penerima zakat dari Kuala Terengganu menerima bantuan yang diagihkan mengikut Dewan Undangan Negeri masing-masing, membabitkan peruntukan RM1,852,900 sepanjang dua hari sehingga esok.

Penerima zakat ini begitu gembira kerana mendapat bantuan MAIDAM
Dato’ Mohd Rozali berkata, pada tahun ini, jumlah ketua isi rumah di seluruh Terengganu yang layak menerima bantuan itu adalah seramai 7,018 dengan 24,162 ahli isi rumah yang melibatkan peruntukan RM2,962, 600.

Daripada jumlah itu, daerah lain seperti Kemaman melibatkan 666 penerima (RM292,050); Marang 582 penerima (RM239,850); Hulu Terengganu 486 penerima (RM218,350); Besut 376 penerima (RM151,800); Dungun 353 penerima (RM137,050) dan Setiu 173 penerima (RM70,600).

“Fakir miskin yang ditetapkan oleh Maidam adalah berdasarkan kadar per kapita RM500 seorang pendapatan bulanan yang dikira berdasarkan perdapatan suami atau isteri yang dibahagikan kepada semua bilangan ahli isi rumah.

“Maidam bagaimanapun belum memuktamadkan jumlah keseluruhan penerima bantuan ini memandangkan kita percaya masih ada asnaf fakir dan miskin yang belum mengisi borang dan berdaftar dengan kita untuk siasatan lanjut serta kelulusan apakah bentuk bantuan yang sepatutnya layak mereka diterima,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua penerima bantuan itu, sekiranya tidak layak menerima zakat kerana mereka bukan dalam kategori fakir dan miskin, penerima wajib menolak bantuan itu berikutan haram memakan wang yang bukan hak kita, selain tidak selamat dan berdosa besar.

Beliau berkata, Maidam juga sebagai organisasi yang mengurus bantuan zakat berpegang kepada amanah, mengelak ketirisan, penyelewengan dan campur tangan pihak ketiga yang tidak sihat dalam setiap pelaksanaan projek, program, aktiviti dan inisiatif yang dianjurkan jabatan itu.

 

MKJR anjur kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan

Oleh: Suraya Abd Sukor 

 Dalam usaha untuk mengurangkan kadar kesesakan dan kemalangan jalan raya di kalangan pengguna, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Terengganu telah mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2013, di hadapan Dewan Sivik Kampung Jabi, Besut, petang semalam.

 Kempen yang merupakan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Terengganu bersama agensi-agensi Kerajaan dan Badan-badan NGO dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Mohd Iskandar Jaafar.


 Beliau berkata, kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan berpunca daripada aliran trafik masuk ke negeri Terengganu di mana anak perantau yang pulang beraya di kampung masing-masing.

“Antara faktor lain yang menyebabkan kesesakan jalan raya kerana kekurangan papan-papan tanda sama ada papan tanda keselamatan atau amaran di kawasan-kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut dan papan tanda di kawasan pembinaan jalan.

 “Kita telah mengenal pasti beberapa tempat di negeri Terengganu yang telah banyak berlaku kemalangan maut dan kesesakan disebabkan dua faktor tersebut yang menjadi kebiasaan menjelang musim perayaan,” katanya kepada TeganuKita. 

Selain itu, beliau menyeru semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang sedia ada dan menjadi pengguna yang berhemah, selain mengamalkan sikap tolak ansur antara semua pengguna jalan raya.

 “Saya berharap agar agensi kerajaan, terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memperbanyakkan papan-papan tanda di beberapa tempat yang dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan maut di seluruh negeri.

 “Selain itu, saya berharap agar pihak di atas dapat perbanyakkan papan-papan tanda yang memberi amaran kepada pengguna jalan raya mengenai kawasan-kawasan pembinaan jalan atau pelebaran bahu-bahu jalan,” katanya.

 Sebanyak 2000 risalah berkaitan kempen keselamatan jalan raya dan ‘ole-ole’ diedarkan kepada pengguna jalan raya yang menghala ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu, semasa kempen tersebut berlangsung.

NAK RAMPAS ISTANA??


Sebuah pertubuhan yang menamakan diri mereka kononnya sebagai Kumpulan Panji Hitam dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara telah berkumpul di hadapan pintu 1, depan Istana Negara.
  Kumpulan seramai 10 orang individu yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua perempuan yang memakai pakaian serba hitam menaiki 3 buah kereta.
 Kejadian lebih kurang jam 4 pagi tadi itu bertujuan kononnya untuk mengambil alih pentadbiran Istana Negara kerana mereka mendakwa mereka adalah pewaris agong yang sah.
  Semua anggota kumpulan berkenaan di tangkap dan di bawa ke Balai Polis Travers. Pemeriksaan awal terhadap semua kenderaan tidak menjumpai sebarang senjata dan yang ditemui hanyalah bendera dan beberapa helaian watikah baiah kumpulan tersebut.
  Setiap kenderaan yang disiasat membawa bendera bertulisan jawi Lailahaillallah Muhammadurrasulullah. Semakan awal kesemua mereka berlainan alamat negeri seperti Melaka, Perak, Kedah dan Johor- dari TerengganuToday.