Halaman

25 August 2013

PMINT sasar peroleh pendapatan sewaan RM30 juta

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) mensasarkan perolehan sebanyak RM30 juta atau 80 peratus pendapatan tahunan menerusi sewaan aset menjelang 2017.

 Pengurus Besar PMINT, Dato' Osman Muda berkata, pihaknya yakin jumlah itu dapat dikumpul dan dijana kerana sehingga Jun lalu, sebanyak RM12 juta (49 peratus) pendapatan sewaan dapat dilkumpul.

 “Apa yang membanggakan, jumlah itu (49 peratus), sudah hampir dengan sasaran yang diminta kerajaan negeri dan Ahli Mesyuarat Lembaga PMINT iaitu sebanyak 50 peratus pendapatan sewaan , sepanjang tahun ini.

“Kita jana pendapatan itu, menerusi pelbagai aset termasuk, premis bangunan, kediaman, perkedaian, ruang niaga, pejabat, bengkel dan kilang industri,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan hamper dan duit raya kepada 150 individu terdiri warga emas, fakir miskin dan anak yatim sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Osman turut memberitahu, pendapatan hasil sewaan aset akan bertambah apabila beberapa projek mega seperti PB Sentral, Plaza Paya Bunga dan PB Square beroperasi kelak.

“Ketiga-tiga projek itu antara penyumbang besar yang bakal diperoleh PMINT, di mana PB Square yang kini hampir 90 peratus siap dibina mampu memperoleh pendapatan antara RM12 hingga RM 15 juta setahun,” katanya.

 Katanya, PMINT berazam meneroka lebih banyak bidang ekonomi baru supaya dapat merancakkan lagi sosio-ekonomi setempat dan mengubah lanskap pembangunan negeri.

 “Sememangnya menjadi tanggungjawab PMINT untuk menyediakan kemudahan yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kalangan rakyat negeri ini dan sehingga kini, PMINT sudah membangunkan banyak projek perumahan dan perkedaian di seluruh Terengganu.

 “Selain menjana pendapatan menerusi jualan hartanah seperti premis perkedaian, ruang pejabat dan perumahan, PMINT juga diberi tanggungawab oleh kerajaan negeri sebagai penyelia projek Perumahan Awam Kos Rendah di seluruh Terengganu sejak 2009,” katanya.

 

Pelancaran Kempen Kawalan Tikus di seluruh Negara

Oleh: Nurul Aziela Saberi
Gambar oleh Zulkipli Putra

Peningkatan kes yang berpunca daripada tikus di beberapa tempat yang menyebabkan penyakit Leptospirosis yang dilaporkan pada tahun 2011, sebanyak 2268 kes dengan 55 kematian, pada tahun 2012 ianya telah meningkat kepada 3665 kes dan 48 kematian.

YB Haji Mohammad Pehimi menyampaikan perangkap tikus kepada NGO dan jabatan kerajaan.
Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengambil peranan dan langkah-langkah untuk menangani isu ini dan salah satunya dengan mengadakan Program Gotong-Royong Perdana yang diadakan secara serentak di seluruh negara.

Lebih menarik lagi pelancaran kempen Kawalan Tikus Program Gotong Royong Perdana 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Medan Selera TNB Chukai, Kemaman dan mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai agensi.

Gotong-royong membersih kawasan di kawasan jeti nelayan Chukai, Kemaman.
YB Haji Muhammad Pehimi Yusof, Timbalan Pengerusi I Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri ADUN Jertih melancarkan program yang mewakili Menteri Besar Terengganu amat berterima kasih kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana telah mengambil inisiatif melancarkan Kempen Kawalan Tikus di Kawasan PBT yang melibatkan 154 PBT di seluruh Negara.

 Gotong royong ini melibatkan aktiviti pembersihan kawasan dan sampah sarap yang merupakan punca tarikan tikus membiak. Aktiviti kawalan tikus pula melibatkan penutupan lubang tikus, semburan asap ke dalam lubang tikus, pemasangan perangkap dan meracun tikus.

 YB Haji Muhammad Pehimi Yusof turut sama bergotong royong dengan 500 peserta daripada 20 agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan sempat menampal lubang tikus di Pasar Cukai ditemani YB Haji Wan Abdul Hakim Haji Wan Mokhtar ADUN Air Putih dan Yang di Pertua Majlis Perbandaran (YDP) Kemaman, Mustafar Khalid.

Apa yang paling menarik seekor tikus yang ditangkap dan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kemaman akan mendapat pulangan sebanyak RM2 bagi setiap seekor tikus berbanding di tempat lain hanya bernilai RM1 seekor.

 Kempen ini akan berterusan bagi mencetuskan kesedaran masyarakat dalam mencegah penularan penyakit Leptospirosis dan mengurangkan populasi tikus dalam kawasan setempat dan pusat rekreasi air.
 

Rumah terbuka Aidilfitri Adun Batu Rakit meriah

Oleh; Esah Abdullah

Lebih tujuh ribu masyarakat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan diperkarangan rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit YB Haji Bazlan Abdul Rahman semalam.

Majlis yang diadakan bermula jam 10 pagi hingga 3.30 petang itu diserbu orang ramai yang berpusu datang untuk menjamu selera dengan pelbagai menu termasuklah ketupat, tapai, nasi, laksa, rojak dan sebagainya.

Turut kelihatan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri , YB Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee; YB Abdul Latif Awang; YB Ghazali Taib; Ahli Parlimen Setiu YB Che Mohd Zulkifli Jusoh serta Adun Jabi YB Mohd Iskandar Jaafar dan Adun Kota Putera YB Mohd Mahdi Musa.

YB Haji Bazlan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua masyarakat dalam Dun Batu Rakit yang hadir memeriahkan sambutan Hari Raya sekaligus mengeratkan ikatan silatulrahim antara penduduk kampung berdekatan.
 

Sambutan tetamu rumah terbuka Speaker di luar dugaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Mohd Zubir Embong, meriah dengan kehadiran ramai tetamu di luar jangkaan.

Menurut Haji Zubir, beliau mensasarkan 3,000 orang tetamu dari sekitar Kuala Terengganu dan Marang akan membanjiri rumah terbukanya yang diadakan jam 2 petang hingga 6 petang, di Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu itu.

Bagaimanapun, kehadiran tetamu yang bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat mencapai lebih 5,000 orang dan hanya berakhir kira-kira lima jam kemudian.

“Saya tidak sangka sambutan amat baik dan meriah memandangkan ini pertama kali saya mengadakan majlis rumah terbuka selepas memegang jawatan Speaker DUN Terengganu sejak 16 Jun lalu.

“Majlis ini juga bukan sahaja untuk orang ramai dan sahabat handai, malah untuk meraikan jentera parti Barisan nasional (BN) yang bekerja keras ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (RU13) lalu walaupun saya tewas untuk merampas Parlimen Kuala Terengganu, terima kasih kepada pengundi saya di parlimen ini.

Katanya, pelantikan sebagai Speaker merupakan amanah yang tidak terduga selepas gagal pada PRU13 lalu, malah sambutan luar biasa pada majlis rumah terbuka itu membuktikan ramai yang menyokong serta menghargai tugas baru beliau sekali gus menyuntik semangat serta komitmen untuk melaksanakan amanah itu dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, bukan hanya jiran, penduduk sekitar, golongan profesional dan wakil rakyat, pemimpin kerajaan dan juga Umno, beliau turut menjemput golongan anak yatim bagi berkongsi kegembiraan dan kemeriahan di majlis julung kali itu.

“Kita merancang, namun Allah s.wt juga merancang dan perancangan Allah adalah yang terbaik. Saya bersyukur kerana inilah rezeki yang dikurniakan Allah s.w.t melalui kerajaan negeri yang tahu menilai yang mana intan, yang mana permata dan yang mana kaca dan Allah meletakkan saya di tempat yang baik serta tidak pernah saya impikan sebelum.

 “Tanggungjawab sebagai Speaker satu amanah cukup besar yang perlu saya jaga baik dari segi perpaduan dan keamanan rakyat Terengganu di bawah Duli yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya dan memohon maaf kepada semua pengundi dan juga jentera parti yang gigih bekerja bersama beliau pada pilihan raya lalu, biarpun keputusan akhir gagal memihak kepada BN.


21 KRT seluruh Terengganu sertai pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang


Dato' Azman melepaskan burung merpati gimik pelancaran sambil diperhatikan ADUN Kota Putera,Mohd Mahdi Musa.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kempen Kibar Jalur Gemilang anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Terengganu yang dilancarkan semalam memberi fokus kepada penyertaan komuniti setempat menghayati erti sebenar kemerdekaan dengan membabitkan diri mengibar jalur gemilang secara menyeluruh.

Pertandingan bagi tahun ketiga itu Sempena Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-56 mengajak rakyat negeri ini turut serta mengibar jalur gemiliag di rumah kediaman, premis perniagaan, pejabat kerajaan dan tempat awam dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan.

Ketua Pengarah JPNIN, Dato’ Azman Amin Hassan yang mewakili Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, melancarkan kempen berkenaan di Dataran Che Kundur,Lorong Haji Da, Batu Buruk,Kuala Terengganu.

Azman berkata, menerusi peertandingan itu, diharap rakyat Terengganu tanpa mengira kaum,agama dan fahaman politik diajak sama mengibarkan jalur gemilang di tempat masing-masing.

Pelancaran yang penuh meriah itu turut dihadiri kira-kira 3,000 ahli jawatankuasa KRT seluruh negeri sebagai tanda sokongan terhadap program berkenaan. Pertandingan itu bermula 17 Ogos dan berakhir pada 17 September depan memilih tiga KRT terbaik dari daerah masing-masing sebagai wakil daerah ke peringkat negeri.

Satu majlis penyampaian hadiah kepada KRT yang berjaya akan diadakan pada 21 September depan.

Menerusi pertandingan itu KRT yang berjaya menjadi johan akan menerima RM3,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penyertaan. Naib Johan RM2,000, Piala Iringan dan Sijil Penyertaan manakala tempat ketiga RM1,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penyertaan.

Selain itu, pihak penganjur juga akan menyediakan lima hadiah saguhati RM500 kepada lima KRT yang berjaya.

Kenyir destinasi 'bird watching'

Penjenamaan Tasik Kenyir sebagai destinasi ‘bird watching’ iaitu lokasi utama memerhati burung mampu memberi impak kepada peningkatan pengunjung bagi aktiviti tersebut, sekali gus memperkenalkan lagi Tasik Kenyir sebagai destinasi ekopelancongan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie berkata, terdapat 290 spesies burung direkodkan di Tasik Kenyir termasuklah sembilan daripada 10 spesies enggang yang sebelum ini hanya dikenali di Sarawak. “Kawasan Tasik Kenyir sememangnya kaya dengan pelbagai spesies mamalia dan burung, malah ia menyamai kepelbagaian spesies di Taman Negara. Selain burung, terdapat 40 spesies mamalia turut direkodkan melalui perangkap kamera.
“Aktiviti memerhati burung ini adalah riadah yang sihat untuk semua usia di persekitaran alam semula jadi dan mampu menjadi salah satu daya tarikan pelancong, khususnya untuk mengenali serta menambah pengetahuan mengenai haiwan ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kenyir Bird & Nature Quest 2013 di sini, kelmarin, yang disertai 80 peserta termasuk enam dari luar negara yang mana seminar itu diadakan selama dua hari. Beliau yang juga Adun Permaisuri berkata, seminar itu dilihat mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta pelbagai latar belakang dan beliau turut mencadangkan program tersebut diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun. “Seminar ini menumpukan pemikiran generasi muda dan pengenalan interaksi antara haiwan dengan manusia. "Inti pati diperoleh ini perlu disebarkan kepada penuntut di institusi pengajian kerana mereka inilah sandaran masa hadapan terhadap program yang diadakan hari ini,” katanya.

Rombongan Huaxicun dari China lawat Terengganu

Rombongan Huaxicun dari China tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, untuk lawatan empat hari ke negeri Terengganu.

Ketibaan Rombongan tersebut disambut dengan paluan kompang oleh kakitangan SUKTRA, pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan mereka dibawa ke hotel penginapan.

Pada pagi ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan menerima kunjungan hormat rombongan berkenaan di Pejabat Menteri Besar, Tingkat 16, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Selepas itu, Menteri Besar bersama-sama rombongan itu mengadap KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu.

Pada sebelah petang pula diadakan sesi dialog Bersama Kerajaan Negeri Terengganu bersempena lawatan rombongan dari Huaxicun, China di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu.

Menteri Besar akan meraikan rombongan tersebut pada majlis makan malam di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, malam ini.

 

24 August 2013

YAB Menteri Besar Terengganu ke Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Utama GM Terengganu Masters 2013 di Resort World, Kijal, Kemaman.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah kepada pemenang PGM Terengganu Masters di Resort World, Kijal, Kemaman.








Rapatkan jurang perbezaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Rakyat negeri ini diminta merapatkan jurang antara mereka bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu, terutama menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-56.

Ketua Penerangan Umno, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata semasa pilihan raya umum lalu memang terdapat jurang antara penduduk tempatan disebabkan sokongan dan fahaman politik yang berbeza.

Bagaimanapun, katanya, PRU13 sudah berlalu dan kini rakyat perlu bersatu padu dan mendokong kerajaan semasa yang dipilih secara majoriti oleh rakyat, demi kebaikan semua.

“Saya menucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kepada semua rakyat Terengganu, khususnya mereka yang tinggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan rumah terbuka DUN Seberang Takir di Dataran Permata, hari ini.

Pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan dan kempimpinan Umno negeri turut hadir memeriahkan majlis berkenaan yang bermula jam 11.30 pagi hingga 5 petang.

Ketika ditemui Teganukita, Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, berkata rakyat negeri ini perlu mendokong kerajaan negeri dan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional (BN) supaya ia sentiasa kuat dan tidak perlu bergantung kepada kuasa asing.

“Jika kerajaan lemah dan perlu mendapatkan bantuan asing bagi mentadbir negara, rakyat akan mendapat susah kerana kita perlu membayar bantuan mereka dengan harga yang mahal,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya terus menyokong kerajaan dan membantu memulihkan kepercayaan pengundi terhadap BN pada pilihan raya akan datang.

 

YB Haji Muhammad Pehimi bin Yusof mewakili Menteri Besar ke Majlis Pelancaran Kempen Kawalan Tikus Program Gotong Royong Perdana 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Medan Selera Hadapan TNB, Jalan Sulaimani, Chukai, Kemaman.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

YB Haji Muhammad Pahemi menampal lubang tikus ketika menyertai gotong-royong di Pasar Chukai, Kemaman.

Pelajar INSPI menunjukkan tikus yang berjaya ditangkap dalam gotong-royong berkenaan.

YB Muhammad Pahemi memegang tikus yang masuk perangkap.